Skip to content

Ingatkan Kudis biasa. Tetapi ia merosakkan buah pinggang

Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lepas.

Seorang kanak-kanak datang ke bahagian kecemasan dengan masalah kedua-dua matanya membengkak. Ibu pesakit menyatakan pesakit mengalami masalah ini lebih kurang 2 hari. Dia tidak bawa berjumpa doktor semalam disebabkan dia ingat bengkak tersebut akan surut dengan sendiri. Tetapi malangnya tidak. Bengkak tersebut semakin menjadi besar

Bila saya renung balik pesakit ini dengan ibunya baru saya teringat yang mereka pernah datang ke hospital ini sebab batuk dan selesema 2-3 minggu lepas. Pesakit tidak mengalami sakit tekak ketika itu. Apa yang menarik perhatian saya adalah kakinya yang banyak dengan kudis.



Kalau ikut orang kita, kudis ini terbahagi kepada dua. Iaitu Kudis Api dan Kudis Buta. Kudis Api dalam istilah perubatan dipanggil sebagai Impetigo. Ia disebabkan jangkitan kuman pada bahagian permukaan kulit. Kudis Buta pula dalam istilah perubatan dipanggil sebagai Scabies. Ia disebabkan parasit Sarcopties scabieae yang tinggal di dalam kulit menyebabkan masalah kulit gatal dan bernanah.

Pada pesakit ini jika dilihat, kawasan kudis tersebut lebih banyak dikawasan celah-celah jari kaki. Dan ia bertompok-tompok dengan banyaknya. Melihat kepada karakter kudis ini, ia lebih kepada masalah kudis buta berbanding kudis api.

Oleh itu, saya berikan rawatan kudis buta seperti biasa iaitu Losyen Benzyl benzoate yang digunakan untuk membunuh parasit tersebut. Malah saya juga memberikan losyen yang lebih supaya ia boleh digunakan oleh adik beradiknya yang menghadapi masalah yang sama.

Disamping itu, kawasan kudis buta tersebut juga sebenarnya mempunyai jangkitan bakteria. Ia seolah-olah mempunyai nanah yang mengalir daripada kudis itu. Rawatan untuk ini selalunya kita akan bagi Antibiotik.

Bakteria Penyebab Kerosakan Buah Pinggang Akut

Sebenarnya aku pun teringat waktu tu bahawa jangkitan kuman dibahagian kulit seperti ini akan meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami kerosakan buah pinggang akut. Sebab itu pentingnya pemberian antibiotik.



Bakteria yang selalunya menjangkiti kawasan kulit ini adalah jenis bakteria Streptococcus. Bakteria inilah yang selalu menjadi punca kerosakkan buah pinggang.

Kerosakan ini berlaku apabila bakteria ini menghasilkan protein yang mampu melekat dikawasan buah pinggang. Lebih spesifik lagi adalah kawasan glomerulus. Kawasan glomerulus inilah yang berfungsi sebagai penapis buah pinggang yang pertama terlebih dahulu.

Kemudian protein imun pun dihasilkan untuk melawan protein daripada bakteria yang melekat pada glomerulus itu. Ini menyebabkan terkumpulnya protein imun di kawasan glomerulus dan keradangan pun berlaku dikawasan tersebut. Sel darah putih akan beramai-ramai kesitu untuk menghapuskan protein.

Hasilnya, Glomerulus tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menjalankan prosesnya untuk menapis darah dan fungsi buah pinggang pun terjejas

Tak Ambil Antibiotik

Aku pun mula melihat sama ada kaki tersebut sudah pun sembuh atau tidak. Ternyata kaki yang dulunya ada kudis sudah pun sembuh.

Aku pun tanya kepada ibu lagi sama ada telah mengambil antibiotik yang aku berikan. Sebenarnya ibu tersebut telah tertinggal antibiotik yang diberikan di hospital sebab pada ketika itu sedang sibuk menguruskan anak dia. Dia cuma hanya menggunakan losyen tersebut sahaja.

Aku menarik nafas panjang. Sebab kemungkinan besar kanak-kanak ini telah mengalami kerosakan buah pinggang akut yang aku risaukan sebelum ini. Dalam istilah perubatan ia dipanggil sebagai ‘Acute Post Streptococcus Glomerulonephritis’. Iaitu Keradangan Glomerulus selepas jangkitan kuman Streptococcus.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ciri-ciri Penyakit ini

Terdapat beberapa ciri yang dialami oleh pesakit ini apabila aku menyoal ibunya. Ciri tersebut adalah:



  • Mata yang bengkak. Tetapi tidak kemarah-merahan
  • Kaki yang bengkak
  • Bahagian Scrotum yang bengkak(bahagian testis lelaki)
  • Air Kencing yang menjadi seperti warna ‘Air Teh’
  • Tidak banyak buang air kencing

Kesemua ciri-ciri ini terdapat pada kanak-kanak lelaki tersebut. Malah dia juga mengadu sakit kepala dan ia mungkin disebabkan tekanan darahnya yang tinggi.

Aku pun memeriksa tekanan darahnnya. Benar tekanan darahnya 140/90. Untuk kanak-kanak yang berusia 7 tahun dengan tekanan darah seperti itu adalah sesuatu yang sangat tinggi.

Tekanan darah yang tinggi ini boleh menyebabkan pesakit mengalami sawan jika tidak dirawat dengan cepat.

Kenapa Jadi Simptom seperti ini?

Apabila glomerulus bengkak dan meradang, ia tidak mampu untuk menapis darah. Oleh itu, air kencing tidak dapat dihasilkan malah air terkumpul banyak di dalam badan. Sebab itulah pesakit ini selalunya akan menghasilkan air kencing yang sedikit sahaja. Air yang berlebihan dalam badan inilah yang akan pergi kebahagian tisu lain seperti dikawasan mata, menyebabkan kelopak mata bengkak. Dikawasan scrotum, menyebabkan kawasan tersebut bengkak. Kaki pun akan bengkak disebabkan perkara tersebut

Air yang banyak dalam badan juga akan menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi. Tekanan darah yang tinggi pula boleh menjejaskan fungsi otak dan menyebabkan sawan berlaku

Penyiasatan

Beberapa perkara perlu diambil daripada pesakit untuk mengesahkan masalah tersebut. Air kencing diambil dan ujian dilakukan. Terbukti dalam air kencing tersebut terdapat darah dan protein di dalamnya walaupun air kencingnya tidak berwarna kemerah-merahan.

Darah dan protein yang berada di dalam air kencing menunjukkan fungsi glomerulus untuk menapis darah telah pun terjejas. Bila penapis rosak, sekali dengan sel darah pun keluar daripada buah pinggang tersebut.

Darah pesakit juga diambil untuk mengetahui sama ada terdapat protein anti-streptolysin O dalam darah ataupun tidak. Ia bukti bahawa sebelum ini dia pernah dijangkiti dengan kuman Streptococcus.



Di dalam Wad

Pesakit terus dimasukkan di dalam wad dimana rawatan seterusnya diterima. Pesakit diberi ubat tekanan darah tinggi untuk mengurangkan tekanan darah tersebut. Antibiotik juga diberi untuk membunuh kuman-kuman yang tertinggal walaupun kudisnya sudah pun sembuh sepenuhnya.

Pemerhatian dilakukan sehinggalah pesakit boleh kencing dengan kuantiti yang normal dan tekanan darah menjadi normal.

Pesakit ini beruntung kerana Kondisi buah pinggangnya semakin elok dan tidak mengalami komplikasi seperti sawan dan sebagainya.

Kesimpulan

Jika anak mempunyai kudis, rawatlah ia secepat mungkin kerana ia berisiko untuk mengalami masalah buah pinggang dikemudian hari.

Tidaklah semua pesakit ataupun sebahagian besar pesakit yang mempunyai kudis akan mengalami perkara yang sama. Tetapi ia meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghadapi masalah yang diceritakan ini.

Rujukan

  1. Paeds Protocol for Malaysian Hospital
  2. Acute Post Streptococcal Glomerulonephritis, Emedicine
  3. Pengalaman Sendiri
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + one =