Skip to content

Kanser Payudara: Punca, Simptom dan Rawatan

Kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi dihadapi oleh kaum wanita. Dan ia juga penyebab utama kepada kematian disebabkan kanser pada kaum wanita.

Kebanyakan daripada kanser payudara di awalnya tidak mempunyai sebarang simptom seperti rasa sakit ataupun tidak selesa pada payudara. Oleh sebab itu, kadang-kadanga kanser ini dikesan apabila seseorang itu melakukan pemeriksaan mammogram sebelum pesakit sendiri merasai ketulan tersebut.

Oleh itu, secara klinikal, untuk mengesan dan memastikan seseorang itu mengalami kanser payudara, ia memerlukan 3 jenis pemeriksaan iaitu pemeriksaan secara klinikal dimana pesakit ataupun perawat kesihatan sendiri melakukan pemeriksaan payudara pada pesakit. Kemudian diikuti dengan pemeriksaan mammogram ataupun ultrasound. Jika ketulan yang tidak normal ditemui, pesakit akan pergi ke pemeriksaan seterusnya iaitu menggunakan jarum biopsi. Jarum akan dicucuk ke dalam ketulan tersebut untuk mengambil sedikit sampel bagi memastikan sama ada ia kanser ataupun tidak.

Anatomi (Struktur Payudara)



Payudara seseorang wanita dewasa adalah satu kalenjar yang menghasilkan susu terletak pada dinding dada. Ia terletak pada otot dibahagian depan dada iaitu pektoralis major.

Ia disokong oleh ligament cooper dimana ia seperti tali yang memegang buah dada supaya ia tidak jatuh kebawah.

Ia mempunyai 15-20 lobul yang berfungsi untuk menghasilkan susu.

Punca Kanser Payudara

Kajian epidemiologi telah mengenalpasti beberapa faktor risiko berkaitan dengan kanser payudara pada kaum wanita. Faktor risiko ini adalah:

1. Umur



Mereka yang berusia lebih daripada 40 tahun ke atas mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan wanita yang lebih muda

Risiko ini meningkat semakin tinggi pada mereka yang berumur 50 dan juga 70 tahun. Ia mempunyai 2 masa yang berbeza mungkin disebabkan jenis kanser yang berlaku.

Selalunya kanser yang berlaku pada umur 50 tahun adalah lebih teruk kerana ia senang merebak dan tidak sensitif dengan rawatan hormon. Manakala kanser payudara yang berlaku pada umur 70 tahun lebih lambat membesar dan boleh dirawat dengan rawatan hormon

2. Sejarah Keluarga dengan penyakit kanser

Sejarah keluarga yang mempunyai kanser payudara meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami perkara yang sama. Risikonya adalah 4 kali ganda jika seseorang ahli keluarga itu mengalami kanser payudara.

Ahli keluarga yang mempunyai kanser ovari juga akan meningkatkan risiko seseorang itu untuk mengalami kanser payudara.

Beberapa sejarah keluarga yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami kanser payudara adalah:

  • 2 atau lebih ahli keluarga yang pernah mengalami kanser payudara atau kanser ovari
  • Kanser yang berlaku pada ahli keluarga yang berumur kurang daripada 50 tahun
  • Ahli keluarga yang mempunyai kanser payudara dan juga kanser ovari
  • Ahli keluarga lelaki yang mempunyai kanser payudara
  • Mutasi pada Genetik BRCA1 dan BRCA2

3. Faktor hormon



Mereka yang mengalami masalah hormon ataupun sejarah reproduktif yang lambat juga akan akan meningkatkan risiko. Faktor risiko tersebut adalah:

  • Pertama kali mengandung pada waktu sudah berumur
  • Tidak pernah mengandung
  • Mula datang haid pada usia muda
  • Menopause pada lewat usia

4. Sejarah kanser payudara sebelum ini

Mereka yang mempunyai kanser tersebut sebelum ini akan mempunyai risiko yang lenih tinggi berbanding orang lain

5. Obesiti
6. Merokok
7. Minum alkohol

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan tanda kanser payudara

Terdapat beberapa simptom dan perubahan yang boleh dilihat pada payudara. Ianya adalah

  • Ketulan pada bahagian payudara
  • Perubahan dalam bentuk dan saiz payudara. Contoh payudara sebelah kiri lebih ketara saiznya berbanding kanan
  • Perubahan pada kulit(Semakin menebal, berbonjol ataupun kemerah-merahan)
  • Baru sahaja mengalami puting yang ditarik kedalam (inverted nipple)
  • Keluar cecair seperti darah daripada puting
  • Bengkak kelenjar limfa di bahagian ketiak
simptom kanser payudara

Kanser payudara mungkin telah merebak ke kawasan lain jika pesakit mengalami simptom seperti:

  • Susah bernafas
  • Sakit pada kawasan tulang jika ia merebak ke bahagian tulang (Kanser tulang)
  • Perut membesar (seperti busung)
  • Mata kekuningan
  • Sakit kepala yang teruk
  • Fungsi kognitif pesakit semakin berkurangan

Periksa Simptom anda Di Sini

Ujian Pemeriksaan

Pesakit selalunya akan menjalani 3 prosedur yang penting untuk menentukan dia mempunyai kanser tersebuta ataupun tidak.



Ianya adalah:

  • Pemeriksaan payudara secara fizikal
  • Pengimejan menggunakan mammography ataupun ultrasound
  • Biopsi Jarum (needle biopsy)

Pemeriksaan fizikal adalah penting untuk mengetahui lokasi ketumbuhan itu. Ia juga penting untuk melihat sama ada kanser tersebut sudah merebak ketempat lain ataupun tidak.

Diiukti dengan mammogram ataupun ultrasound untuk melihat karakter ketumbuhan tersebut. Kemudian, sedikit sampel akan diambil melalui prosedur biopsi jarum iaitu satu jarum akan dicucuk ke kawasan yang terlibat untuk mengetahui jenis sel yang terdapat dikawasan tersebut.

Jika ia disahkan kanser, maka pesakit akan menjalani rawatan yang seterusnya iaitu pembedahan dan/atau kemoterapi.

Terdapat juga pengimejan seperti CT scan dan MRI yang digunakan untuk melihat sama ada kanser tersebut sudah merebak ketempat lain ataupun tidak. Ini penting untuk menentukan tahapan kanser tersebut.

Rawatan

Pembedahan merupakan rawatan utama untuk membuang kanser yang berada pada payudara yang terlibat. Penggunaan kemoterapi itu adalah bergantung kepada tahapan dan saiz kanser tersebut. Ada kanser yang diberi kemoterapi selepas pembedahan dibuat. Ada kanser yang saiznya besar, diberi kemoterapi terlebih dahulu sebelum pembedahan dibuat untuk mengecilkan saiznya.

Pembedahan

Terdapat beberapa jenis pembedahan payudara yang boleh dilakukan



  1. Lumpectomy: Ia melibatkan pembuangan kawasan kanser sahaja. Ia tidak melibatkan pembuangan seluruh payudara. Jenis pembedahan ini selalu dibuat untuk kawasan kanser yang kecil dan juga bagi mereka yang berada diawal usia.
  2. Total mastectomy: Pembuangan seluruh payudara yang terlibat. Selalunya melibatkan saiz kanser yang lebih besar ataupun mereka yang sudah berumur
  3. Radical mastectomy: Ia melibatkan pembuangan payudara berserta otot dibawah payudara tersebut. Selalunya pembedahan jenis ini akan melibatkan juga pembuangan kalenjar limfa dibahagian ketiak. Ini kerana dirisaukan yang kanser tersebut akan merebak ke bahagian lain terutamanya pada kelenjar limfa di bahagian ketiak.

Kemoterapi

Kemoterapi adalah penting untuk membunuh sel kanser yang masih wujud selepas kanser tersebut dibuang. Ia juga mungkin akan digunakan sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz kanser tersebut.

Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin akan dihadapi oleh pesakit. Ianya adalah:

  • Kurang selera makan
  • Keguguran Rambut
  • Rasa loya dan muntah
  • Kitar haid yang terganggu
  • Pesakit lebih mudah dijangkiti
  • Rasa letih

Terapi Hormon

Terdapat juga satu rawatan yang dinamakan sebagai terapi hormon untuk menghapuskan dan juga mengelakkan daripada kanser payudara berlaku semula. Ia hanya spesifik untuk beberapa jenis kanser sahaja.

Apabila kanser dibuang daripada badan, kanser tersebut akan dihantar ke makmal untuk diperiksa sama ada mempunyai reseptor ER ataupun PR. Jika kanser tersebut mempunyai reseptor yang dinyatakan, maka barulah terapi hormon sesuai untuk dijalankan pada pesakit ini.

Terapi hormon ini akan ditentukan sama ada perlu ataupun tidak mengikut doktor yang merawat pesakit.

Bacaan seterusnya: Kanser usus, Punca, Simptom dan Rawatan



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Torre LA, Bray F, Siegel RL, Ferlay J, Lortet-Tieulent J, Jemal A. Global cancer statistics, 2012. CA Cancer J Clin. 2015 Mar. 65(2):87-108.
  2. Siegel RL, Miller KD, Jemal A. Cancer statistics, 2018. CA Cancer J Clin. 2018 Jan. 68 (1):7-30.
  3. Holmes MD, Liu S, Hankinson SE, Colditz GA, Hunter DJ, Willett WC. Dietary carbohydrates, fiber, and breast cancer risk. Am J Epidemiol. 2004 Apr 15. 159(8):732-9
  4. Morrow M, Van Zee KJ, Solin LJ, Houssami N, Chavez-MacGregor M, Harris JR, et al. Society of Surgical Oncology-American Society for Radiation Oncology-American Society of Clinical Oncology Consensus Guideline on Margins for Breast-Conserving Surgery With Whole-Breast Irradiation in Ductal Carcinoma in Situ. Pract Radiat Oncol. 2016 Sep-Oct. 6 (5):287-95.
Advertisements

2 thoughts on “Kanser Payudara: Punca, Simptom dan Rawatan”

  1. Saya datang had semasa berumur 11 tahun, Dan sekarang berumur 19 tahun… payudara sebelah kanan saya terdapat seperti satu ketulan tp tak sakit cuma tidak selesa, adakah itu tanda²nya? … Saya seorg yg lasak dan lebih selesa memakai sports bra.. Adakah itu juga menjadi salah satu punca penyebab lancer payudara?

    1. Jarang seseorang yang berumur 19 tahun mempunyai masalah kanser payudara. Kemungkinan besar ia adalah disebabkan fibdroadenoma iaitu ketumbuhan yang bukan kanser dan tidak berbahaya. Masalah fibroadenoma ini masih lagi tidak diketahui puncanya. Penggunaan sports bra bukan punca kepada masalah fibroadenoma mahupun masalah kanser payudara.

      Saya nasihatkan Cik untuk membuat pemeriksaan lanjut di klinik bagi mengetahui sama ada ia kanser, masalah fibroadenoma ataupun masalah lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 − 3 =