Skip to content

Kanser Tulang: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu kanser tulang dan apakah punca-puncanya?

Artikel ini akan membincangkan berkenaan kanser tulang, punca-puncanya dan rawatan.

Pengenalan


Tulang merupakan organ badan yang penting. Tulang yang sihat membantu manusia melaksanakan aktiviti kehidupan harian dengan lebih mudah dan efisyen. Namun, tulang juga boleh terdedah kepada penyakit. Justeru, penulisan pada kali ini akan cuba berbicara mengenai kanser tulang.



Berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011, kanser tulang merupakan kanser ketiga tertinggi (9.4%) dalam kalangan lelaki berusia 15-24 tahun.

Apa itu Tulang dan Fungsinya?


Tulang ialah organ yang membentuk rangka dalam manusia dan haiwan vertebrat (bertulang belakang). Dianggarkan seorang manusia mempunyai lebih dari 200 tulang. Selain membentuk rangka manusia, tulang juga berfungsi untuk melindungi organ-organ utama seperti paru-paru dan hati disamping menjadi tempat penghasilan sel darah putih dan merah serta penyimpanan galian.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Apa itu Kanser Tulang?


Sel tulang akan sentiasa membahagi untuk menghasilkan sel-sel tulang yang baharu dan sihat. Sekiranya proses pembahagian ini terjadi secara berlebihan dan tidak terkawal, maka sel-sel baharu yang terhasil menjadi tidak normal. Sel-sel abnormal yang banyak ini seterusnya akan menggantikan sel tulang yang sihat dan akan membentuk benjolan yang dinamakan kanser.

Kanser tulang terdiri daripada primer dan sekunder. Kanser tulang primer ialah kanser yang berasal dari tulang itu sendiri, manakala kanser tulang sekunder ialah kanser tulang yang disebabkan oleh kanser dari organ-organ lain yang merebak ke tulang (contohnya: kanser payu dara, paru-paru dan kalenjar prostate). Kanser tulang sekunder merupakan kanser tulang yang paling banyak ditemui. Kanser ini boleh menyerang ke semua tulang (tidak spesifik pada tulang tertentu sahaja).

Selanjutnya, ketumbuhan tulang primer boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Kanser bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain manakala  barah pula terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Kanser tulang bukan barah biasanya lebih kerap berlaku berbanding barah.



Ketumbuhan Tulang Jenis Bukan Kanser (Benign Tumor)

Kanser jenis ini mempunyai diagnosa yang luas. Contoh kanser tulang bukan barah (benign) yang sering berlaku adalah:

1. Osteochondroma

Menurut American Academy of Orthopaedic Surgeons (AAOS), osteochondroma merupakan ketumbuhan tulang yang sering berlaku (35-40%) kepada golongan kanak-kanak dan remaja. Ketumbuhan ini terjadi disebabkan pembahagian abnormal yang berlaku pada sel-sel tulang dan tulang rawan. Ia biasanya berlaku pada tulang panjang (long bones) yang masih aktif membahagi contohnya pada tulang femur, tibia dan humerus. Kebarangkalian ketumbuhan ini bertukar menjadi kanser barah sekitar 1%.

2. Nonossifying fibroma unicameral

Ia merupakan cis (cyst) yang berlaku pada tulang. Sering terjadi pada bahagian kaki kanak-kanak dan remaja. Ia sering terjadi tanpa simptom dan dijumpai secara tidak sengaja dalam sinar X. Ketumbuhan ini tidak berisiko untuk menjadi kanser barah.

3. Giant cell tumors

Mereka yang berusia 20-45 tahun berisiko untuk mendapat ketumbuhan ini. Walaupun jarang berlaku, tetapi ketumbuhan ini merupakan ketumbuhan yang agak aggresif.ketumbuhan ini biasa terjadi pada metafisis (metaphysis) tulang panjang seperti femur, tibia, radius dan humerus. Risiko untuk bertukar menjadi kanser barah ialah kurang 1% dan wanita lebih berisiko untuk mendapat ketumbuhan ini.



4. Enchondroma

Ia merupakan cis (cyst) yang berlaku di dalam tulang sumsum. Biasanya ia bermula sejak kanak-kanak dan kekal sehingga dewasa. Enchondroma juga merupakan sebahagian daripada simptom yang berlaku pada syndrom Ollier Mafucci. Biasanya berlaku pada tapak tangan dan kaki serta tulang seperti femur dan humerus.

5. Fibrous dysplasia

Berlaku disebabkan mutasi pada gen yang menyebabkan tulang berisiko tinggi untuk mudah patah.

6. Aneurysmal bone cyst

Ketumbuhan ini berlaku disebabkan salur darah abnormal yang terjadi di dalam tulang sumsum. Ia boleh terjadi dengan cepat dan merosakkan plat pertumbuhan (growth plate). Biasanya terjadi pada kanak-kanak dan remaja. 

Ketumbuhan Tulang Jenis Kanser (Malignant Tumor)

Contoh kanser tulang barah (malignant) adalah:



1. Osteosarcoma

Juga dikenali sebagai “osteogenic sarcoma” kanser ini kerap terjadi antara umur 10 ke 30 tahun dan selepas 60 tahun. Sering berlaku dalam kalangan lelaki serta mereka yang mempunyai sejarah rawatan radiasi, penyakit tulang seperti Paget Disease dan Fibrous Dysplasia, sindrom kanser seperti Familial retinoblastoma dan LeFraumeni syndrome, dan bone infarct atau kematian tulang. Ia biasanya terjadi di femur, tibia dan humerus. Kanser ini membahagi dengan cepat dan sering merebak ke bahagian anggota badan yang lain (contoh: paru-paru).

2. Ewing sarcoma family of tumors

Kanser ini boleh terjadi pada kanak-kanak seawal usia 5 tahun dan sering terjadi kepada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Ia biasanya bermula pada kaviti tulang yang menghasilkan tulang sumsum. Selain itu, ia juga terjadi pada tisu lembut (soft tissue) seperti lemak, otot, dan salur darah. Sering terjadi pada tulang punggung (pelvis), femur, tibia, fibula dan humerus.

3. Chondrosarcoma

Biasanya berlaku pada lelaki usia 40-70 tahun. Ia boleh berlaku di femur, tibia, humerus dan scapula.

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca Kanser Tulang


Punca utama penyakit ini masih lagi tidak diketahui. Namun ia mungkin disebabkan beberapa faktor:



1. Genetik

Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai sejarah kanser tulang ataupun kanser lain akan berisiko untuk mengalami masalah ini

2. Radiasi

Seperti yang kita maklum, mereka yang terdedah dengan radiasi lebih berisiko untuk mengalami penyakit kanser. Ini kerana gelombang radiasi boleh merosakkan genetik di dalam sel menyebabkan sel membahagi secara cepat dan tidak normal.

3. Merokok

Tabiat merokok akan mendedahkan seseorang itu kepada kanser kerana ia meningkatkan radikal bebas di dalam tubuh seseorang. Radikal bebas ini mampu merosakkan genetik di dalam sel menyebabkan sel membahagi secara tidak terkawal

4. Kecederaan pada tulang

Ada sesetengah kanser dan ketumbuhan lebih mudah tumbuh pada bahagian yang pernah mengalami kecederaan terutamanya bahagian tulang.



Simptom Kanser Tulang


Simptom yang berlaku berbeza untuk setiap individu dan bergantung pada jenis kanser. Namun, secara amnya terdapat beberapa simptom yang dihadapi oleh pesakit, ianya adalah:

  • Bengkak dan sakit pada kawasan yang terlibat
  • Sakit yang kuat terutamanya pada waktu malam
  • Hilang fungsi anggota
  • Tulang lebih rapuh dan senang untuk patah
  • Hilang berat badan secara mendadak
  • Hilang selera makan
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Demam yang berpanjangan

Ujian Pengesahan


Masalah ini boleh disahkan melalui pengambilan sejarah pesakit dengan terperinci, kemudian pemeriksaan fizikal pada pesakit yang menyeluruh akan dilakukan berserta ujian makmal.

Antara penyiasatan lain yang boleh dilakukan ialah:

1. Pengambilan darah dan sampel air kencing

Enzyme akaline phosphatase (ALP) dan lactate dehydrogenase (LDH) akan meningkat sekiranya berlaku pembahagian abnormal pada tulang.

2. X-ray

Jarang x-ray dilakukan bagi mengesan kanser tulang. Selalunya ia dijumpai dengan cara tidak sengaja sebagai contoh jika seseorang itu melakukan x-ray disebabkan batuk yang berpanjang, tiba-tiba pada ketika itu doktor yang melihat x-ray anda mendapati terdapat perubahan pada tulang awak dan kemungkinan besar ia disebabkan virus.

3. Imbasan CT atau MRI



Melihat penglibatan struktur tulang, tulang sumsum, tisu saraf, dan salur darah sekitar kawasan kanser.

4. Biopsi tulang

Pembedahan kecil untuk mengambil tisu tulang dan di periksa di makmal bagi mengetahui jenis kanser tersebut.

Rawatan Kanser Tulang


Rawatan Ketumbuhan tulang adalah bergantung kepada jenis ketumbuhan tersebut. Untuk kanser tulang, terdapat beberapa jenis rawatan. Ia adalah:

1. Pembedahan

Pembedahan ini bertujuan untuk membuang seluruh kanser. Sekiranya ia berlaku pada tangan dan kaki, pakar bedah akan cuba menyelamatkan anggota tersebut (limb salvage surgery) dengan memastikan semua sel-sel kanser dibuang manakala tendon, otot, salur darah, dan saraf akan dikekalkan. Tulang yang dibuang itu akan digantikan dengan implant. Sekiranya kanser sudah pada tahap kritikal, pemotongan anggota badan yang terlibat (amputasi) mungkin akan dicadangkan.

2. Radiasi

Biasanya rawatan ini dijalankan serentak dengan pembedahan. Dos sinaran X yang tinggi akan diberikan pada kawasan kanser untuk mengecilkan kawasan kanser dan membunuh sel-sel kanser. Radiasi juga boleh mengurangkan kesakitan serta risiko tulang patah.



3. Kemoterapi

Jika doktor merasakan sel-sel kanser anda akan merebak atau telah merebak ke anggota badan yang lain, kemoterapi mungkin akan ditawarkan. Kemoterapi ialah penggunaan ubat anti kanser (contoh: doxorubicin, cisplatin, dan methotrexate) untuk membunuh sel-sel kanser yang sedang membahagi dan merebak.

Ubat ini akan memasuki salur darah dan akan mempengaruhi sel-sel yang membahagi dengan cepat seperti sel kanser. Sel tubuh yang normal mungkin akan terganggu, namun sel ini berkeupayaan untuk pulih sewaktu tempoh rehat di antara dua rawatan. Kekerapan rawatan bergantung kepada jenis kanser, ubatan yang diberikan, tindakbalas sel kanser terhaadap ubat dan kesan sampingan ubat yang mungkin ada.

Faktor lain dalam rawatan kemoterapi:

  • Jenis kanser
  • Bahagian tubuh yang dihidap kanser
  • Umur pesakit
  • Tahap kesihatan pesakit

Antara kesan sampingan kemoterapi ialah:

Ketumbuhan tulang Jenis bukan kanser (benign)

Bergantung pada keadaan. Adakalanya doktor akan memantau kanser tersebut untuk beberapa ketika samada ia semakin merebak, kekal, atau berkurangan. Kanser yang berlaku pada kanak-kanak sering kali pulih apabila mereka meningkat dewasa.

Untuk itu, pesakit dikehendaki untuk menghadiri temujanji berserta melakukan x-ray untuk menilai keadaan ketumbuhan..

Doktor mungkin mencadangkan pembedahan untuk membuang kanser tersebut kerana ada sesetangah kanser boleh berubah menjadi barah (malignant) disamping ia akan menyebabkan tulang rapuh dan cepat patah.

Prognosis (Kesudahan Pesakit)


Prognosis bergantung kepada beberapa faktor:

  • Umur
  • Tahap kesihatan pesakit
  • Jenis kanser
  • Gred kanser
  • Bacaan darah Alkaline Phosphatase (ALP) semasa diagnosis dilakukan
  • Kanser telah merebak atau tidak (metastasis)

Peluang untuk sembuh adalah semakin baik seiring dengan kepakaran dalam melakukan pembedahan serta kemajuan dalam ubat-ubatan kemoterapi.

Penutup

Tulang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Hargailah nikmat tersebut dengan menggunakannya pada tujuan kebaikan.

Jika anda mempunyai simptom seperti yang dinyatakan, anda perlu segera mendapatkan nasihat perubatan dan temujanji segera.

Periksa Simptom anda Di Sini

Masalah Kanser yang lain

Kanser UsusKanser Esofagus
Kanser HatiKanser Perut
Kanser MataKanser Buah Pinggang
Kanser ProstatKanser Payudara
Kanser TulangKanser Testis
Kanser Pundi KencingKanser Hidung
Kanser OvariKanser Rahim
Kanser Paru-paruKanser Pankreas
Kanser LimfomaKanser Otak
Kanser TiroidKanser Kulit
Kanser GusiKanser Tekak
Kanser TonsilKanser Lidah
Kanser MulutKanser Serviks

Rujukan:

  1. Buku teks: APLEY’S & SOLOMON’S System of Orthopaedics and Trauma
  2. Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011
  3. Osteosarcoma Kanser yang digeruni. Malaysian Medical Gazette
  4. Bone Tumor. Healthline
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × 1 =