Skip to content

Kurang Sperma: Punca, Simptom dan Rawatan

Kurang sperma bermaksud kepekatan ataupun bilangan sperma yang berada di dalam air mani adalah kurang daripada jumlah yang normal.

Dalam istilah perubatan ia dipanggil sebagai oligospermia. Jika tiada langsung sperma didapati di dalam air mani, kita namakan masalah ini sebagai azoospermia.

Masalah ini berlaku apabila bilangan sperma seseorang itu adalah kurang daripada 15 juta sperma dalam setiap mililiter air mani. Mempunyai sperma yang kurang akan menyebabkan seseorang itu sukar untuk mempunyai zuriat.

Simptom Kekurangan Sperma



Simptom utama mereka yang mengalami masalah ini adalah kemandulan. Bermaksud isteri tidak mampu hamil disebabkan bilangan sperma suami yang sedikit. Kebanyakan daripada pesakit selalunya tidak mempunyai sebarang simptom.

Tetapi ada juga sesetengah lelaki yang mempunyai simptom disebabkan penyakit lain yang dihadapi olehnya seperti:

  • Masalah dengan hubungan seks: Kurang nafsu untuk melakukan seks, mati pucuk
  • Sakit, bengkak atau ketumbuhan pada bahagian testis

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca Kurang Sperma

Penghasilan sperma adalah suatu proses yang kompleks dan memerlukan testis dan juga bahagian penghasilan hormon berfungsi dengan normal. Apabila sperma dihasilkan ia akan disimpan di dalam testis dan hanya akan dikeluarkan apabila ejakulasi berlaku.

Penyakit



Terdapat beberapa penyakit yang menyebabkan masalah kekurangan bilangan sperma berlaku. Ia adalah:

1. Varicocele

Ini adalah keadaan dimana terdapat saluran darah yang membengkak dibahagian testis. Ia merupakan salah satu punca utama penyebab kemandulan lelaki.

Perkara ini mungkin akan menyebabkan kawalan suhu dibahagian testis tidak dapat dikawal dengan sepenuhnya. Varicocele akan menyebabkan kualiti sperma berkurangan.

2. Jangkitan testis

Terdapat jangkitan kuman di bahagian testis yang akan menyebabkan sperma tidak dapat dihasilkan dengan baik. Jangkitan beguk sebagai contoh juga boleh menyebabkan bahagian testis ini mengalami keradangan dan komplikasinya adalah kurangnya penghasilan sperma selepas itu.

3. Masalah ejakulasi

Ejakulasi berbalik(retrograde ejaculation) berlaku apabila terdapat air mani yang masuk ke dalam pundi kencing berbanding di pancutkan semua keluar.



4. Antibodi yang menyerang sperma

Terdapat pesakit di mana sistem imunnya mengalami kekeliruan sehingga mana sperma dalam badannya di serang oleh antibodi yang dhasilkan oleh badannya sendiri.

5. Ketumbuhan

Kanser boleh memberi kesan kepada organ reproduktif lelaki secara langsung apabila kanser itu sendiri boleh menghasilkan hormon yang mengganggu fungsi tersebut. Pembedahan dan juga kemoterapi untuk rawatan kanser tersebut juga boleh mengganggu kesuburan seseorang lelaki.

6. Testis yang tidak turun(Undescended testis)

Ketika pembesaran bayi dalam kandungan, testis berada di dalam abdomen sehinggalah ia turun ke dalam skrotum. Tetapi terdapat pesakit yang testisnya tidak turun ke dalam skrotum dan tersekat di dalam abdomen. Ini menyebabkan perkembangan sperma tidak begitu sempurna. Bahkan ia meningkatkan risiko kanser testis

7. Ketidakstabilan hormon

Gangguan hormon di dalam badan terutamanya hormon tiroid dan juga hormon adrenal akan mengganggu penghasilan sperma



8. Kecacatan genetik

Penyakit keturunan seperti Sindrom Klinefelter, Sindrom Kallmann dan Sindrom Kartagener boleh menyebabkan kemandulan kepada individu yang menghadapi masalah tersebut.

9. Ubat-ubatan

Beberapa jenis ubat seperti steroid anabolik, suntikan testosteron, ubat kemoterapi boleh mengganggu penghasilan sperma.

10. Pembedahan

Beberapa jenis pembedahan boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mengganggu saluran yang menyalurkan sperma keluar seperti pembedahan angin pasang, pembedahan pada bahagian testis, pembedahan pada bahagian prostat dan sebagainya.

Punca dari persekitaran

Penghasilan sperma juga boleh terganggu disebabkan pendedahan dengan benda di kawasan persekitaran kita seperti:



  • Bahan kimia daripada industri: Pendedahan yang lama kepada bahan seperti benzene, toluene, xylene, herbicides, pesticides dan pelarut organik boleh menyebabkan bilangan sperma berkurangan
  • Logam berat: Pendedahan kepada logam berat juga boleh menyebabkan kemandulan
  • Radiasi: Pendedahan kepada radiasi x-ray boleh menyebabkan penghasilan sperma berkurangan malah ia mengambil masa beberapa tahun untuk ia menjadi normal semula.
  • Suhu testis yang berlebihan: Suhu yang tinggi boleh mengganggu penghasilan sperma di dalam testis. Terdapat kajian yang menyatakan penggunaan sauna boleh mengurangkan penghasilan sperma.

Duduk dengan terlalu lama, memakai pakaian yanag ketat boleh meningkatkan suhu dibahagian testis dan menyebabkan penghasilan sperma sedikit terganggu

Gaya hidup dan lain-lain

Terdapat beberapa punca lain yang menyebabkan masalah kurang sperma ini berlaku. Ia adalah:

  • Alkohol: Pengambilan alkohol boleh mengurangkan penghasilan hormon testosterone dalam badan yang akan berakhir dengan kurangnya penghasilan sperma.
  • Pekerjaan: Terdapat beberapa pekerjaan yang boleh meningkatkan risiko kemandulan atau kurangnya penghasilan sperma terutamanya yang melibatkan tempoh masa duduk yang lamai sebagai contoh pemandu lori. Walaubagaimanapun, data yang ada menunjukkan kesan yang berbeza-beza atau tidak konsisten.
  • Merokok: Mereka yang merokok mempunyai bilangan sperma yang lebih rendah berbanding dengan orang yang tidak merokok.
  • Stres dan kemurungan: Stress yang terlalu lama boleh menyebabkan gangguan pada hormon
  • Berat badan: Obesiti boleh menyebabkan gangguan pada hormon badan dan ini boleh menyebabkan kurangnya penghasilan sperma tersebut

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ujian Pemeriksaan

Apabila terdapat pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak berjumpa dengan doktor, setiap pasangan tersebut akan diuji untuk melihat punca sama ada ia berasal daripada isteri ataupun suami.

Punca kepada masalah ini disiasat bukan dengan tujuan menyalahkan sesiapa, tetapi punca tersebut perlu dirawat agar pasangan tersebut boleh menghasilkan zuriat dimasa hadapan.

Analisa air mani

Ujian yang paling penting untuk melihat masalah sperma adalah analisis air mani(semen analysis). Caranya adalah dengan mengambil air mani daripada suami dan melihat bilangannya dibawah mikroskop. Pemeriksaan tersebut bukan sahaja untuk melihat bilangan sperma tetapi terdapat ciri-ciri lain yang akan dilihat pada sperma seperti:

  • Pergerakan sperma(motility)
  • Struktur sperma
  • Isipadu air mani

Air mani boleh diambil dengan beberapa cara seperti:



  • Onani(masturbasi) sehingga ejakulasi berlaku
  • Menggunakan kondom khas supaya air mani tersebut boleh dikumpulkan dalam kondom.

Keputusan analisa sperma

Bilangan sperma yang normal adalah di antara 15 juta hingga 200 juta sperma dalam 1 milileter air mani. Mereka yang mempunyai sperma yang sedikit adalah jika jumlah sperma itu kurang daripada 15 juta sperma dalam satu mililiter air mani.

Rawatan Masalah Kurang Sperma

Rawatan masalah ini bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut:

1. Pembedahan

Bagi mereka yang mengalami masalah seperti varicocele, pembedahan untuk membuang saluran darah yang bengkak itu perlulah dibuat supaya suhu testis boleh menjadi normal semula dan penghasilan sperma akan meningkat.

2. Rawatan hubungan seks

Terdapat kaunseling dan juga ubat yang boleh digunakan untuk membantu dalam masalah mati pucuk dan juga ejakulasi pramatang

3. Persenyawaan In-vitro



Terkadang sperma pesakit masih kurang walaupun rawatan telah diberikan. Maka persenyawaan invitro mungkin akan membantu. Sperma yang baik akan diambil daripada air mani pesakit dan akan disenyawakan dengan ovum. Setelah disenyawakan, ia akan disuntik semula ke dalam rahim pesakit.

4. Pengambilan suplemen

Terdapat beberapa jenis suplemen yang terbukti meningkatkan kuantiti serta kualiti sperma. Suplemen tersebut adalah

  • Suplemen Zinc
  • Suplemen yang mengandungi L-Carnitine(Profortil)

Produk yang dicadangkan untuk menambah sperma

Cara untuk Mengelakkan Masalah Kurang Sperma

Terdapat berberapa tips yang boleh diamalkan untuk mengelakkan masalah ini daripada berlaku. Ia adalah:

  • Berhenti merokok
  • Kurangkan ataupun berhenti daripada mengambil alkohol
  • Tidak mengambil dadah ataupun ubatan terlarang seperti steroid anabolik
  • Mengekalkan berat badan sihat
  • Elakkan daripada memakai seluar yang ketat
  • Berjalan-jalan setelah pada posisi duduk yang lama
  • Elakkan daripada terdedah dengan logam berat, bahan kimia yang berbahaya kepada sperma.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. How common is male infertility, and what are its causes? National Institute of Child Health and Human Development.
  2. Yao DF, et al. Male infertility: Lifestyle factors and holistic, complementary, and alternative therapies. Asian Journal of Andrology. 2016;18:410.
  3. Using dietary supplements wisely. National Center for Complementary and Integrative Health. – NIH
  4. Evans-Hoecker EA, et al. Major depression, antidepressant use, and male and female fertility. Fertility and Sterility. 2018;109:879.
  5. WHO laboratory manual for the examination and processing of human semen. World Health Organization.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 4 =