Skip to content

Kekurangan Vitamin C(Skurvi): Simptom dan Rawatan

Kekurangan vitamin C dikenali sebagai scurvy dalam bahasa perubatan. Ia boleh menyebabkan anemia iaitu kurang darah merah, kepenatan dan kelesuan, pendarahan secara tidak sengaja, sakit otot dan sendi, bengkak pada badan dan juga luka pada gusi dan gigi yang longgar.

Kekurangan vitamin C pada masa dahulu sering dikaitkan dengan pelayar dan pedagang yang menghabiskan banyak masa di laut dan menyukarkan mereka mendapatkan bekalan makanan segar.

Pada zaman kini, kekurangan vitamin C sudah jarang terjadi terutamanya di kawasan yang dibekalkan dengan bijirin dan roti yang diperkaya dengan vitamin C. Namun begitu, masih lagi terdapat kematian dan masalah kesihatan yang direkodkan akibat kekurangan vitamin C buat jangka masa yang panjang, terutamanya di negara bergolak dan mundur seperti Afrika.

Apa itu skurvi?



Skurvi terjadi apabila terdapat kekurangan vitamin C, atau asid askorbik. Kekurangan nutrien ini menyebabkan kelemahan anggota badan, anemia, penyakit gusi dan masalah kulit.

Ini berkait rapat dengan fungsi vitamin C yang diperlukan untuk menghasilkan kolagen, komponen penting dalam tisu konektif. Struktur tisu konektif penting bagi sokongan dan struktur organ termasuk saluran darah.

Kekurangan vitamin C juga dikaitkan dengan sistem imunisasi yang lemah, gangguan penyerapan zat besi dan metabolisma kolesterol.

Simptom Kekurangan Vitamin C

Vitamin C penting dalam penyerapan zat besi dan penghasilan kolagen. Jika badan tidak menghasilkan kolagen yang cukup, tisu dalam badan akan mula rosak.

Ia juga diperlukan bagi menghasilkan dopamine, norepinephrine, epinephrine iaitu sejenis bahan yang diperlukan bagi menjana tenaga.



Tanda tanda dapat dilihat setelah 8 ke 12 minggu kekurangan vitamin C. Tanda tanda awal termasuk hilang selera makan, susut berat badan, kelesuan, kepenatan dan mudah marah.

Dalam tempoh 1 ke 3 bulan, terdapat simptom berikut:

  • Simptom kurang darah merah seperti pucat, berdebar debar, kepenatan
  • Sakit otot dan sendi
  • Pendarahan kecil berupa seperti tompok tompok merah di bawah kulit
  • Rambut kering dan gugur
  • Penyakit gusi seperti gusi berdarah, jangkitan gusi
  • Gigi mudah tercabht
  • Luka yang lambat sembuh
  • Sesak nafas
  • Perubahan mood seperti depresi

Kajian mendapati bahawa kekurangan vitamin ini dalam kalangan ibu mengandung boleh menyebabkan masalah tumbesaran otak bayi dalam kandungan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Kekurangan Vitamin C

Badan Manusia tidak menghasilkan vitamin C. Ia perlu didapati dari sumber luaran terutamanya buahan dan sayuran atau makanan yang diperkaya dengan vitamin C.

Kekurangan vitamin C boleh terjadi melalui:

  • Diet yang mengandungi jumlah buahan segar dan sayuran segar yang sedikit. Faktor ini juga mungkin disumbangkan oleh masalah kewangan ataupun kegagalan tanaman
  • Penyakit kronik dan berpanjangan seperti anoreksia dan penyakit mental lain yang menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan selera makan dan tidak peduli tentang kesihatan badan
  • Diet yang terkawal kerana alahan, kesukaran untuk menelan atau makan
  • Usia yang tua
  • Pengambilan alkohol berlebihan ataupun bahan terlarang
  • Penyakit usus seperti radang usus dalam penyakit Crohn’s yang menjejaskan penyerapan vitamin C

Rawatan Kekurangan Vitamin C

Rawatan bagi masalah ini adalah dengan membekalkan jumlah vitamin C yang cukup kepada badan melalui pengambilan suplemen makanan ataupun suntikan.

Dos yang disarankan ialah:



  • 1 ke 2 gram setiap hari selama 2 hari
  • 500 miligram untuk 7 hari seterusnya
  • 100 miligram untuk 3 bulan akan datang

Dalam masa 24 jam, pesakit akan merasakan tanda tanda mulai berkurangan seperti kelesuan, sakit otot dan kepenatan. Tanda tanda lain seperti pendarahan kecil akan mula sembuh dalam 1 ke 2 minggu.

Pencegahan Kekurangan Vitamin C

Ia boleh dicegah melalui pengambilan vitamin C secukupnya dalam makanan. Bagi wanita mengandung, mereka perlu mengambil sebanyak 85mg vitamin C bagi mengekalkan kesihatan bayi.

Sumber makanan yang kaya dengan vitamin C adalah:

  • Buah buahan sitrus seperti oren, lemon, strawberi, beri, jambu batu, kiwi, betik
  • Sayur sayuran seperti tomato, lobak merah, lada benggala, brokoli, ubi kentang, kubis dan bayam

Jika anda sudah mengambil diet yang cukup kadar buahan dan sayuran, anda sudah mempunyai vitamin C yang cukup dalam badan. Oleh itu, suplemen atau makanan tambahan seperti pil vitamin C secara amnya, tidak diperlukan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Agarwal, A., Shaharyar, A., Kumar, A., Bhat, M. S., & Mishra, M. (2015, June) Scurvy in pediatric age group – A disease often forgotten? Journal of Clinical Orthopaedics and Trauma.62, 101-107
  2. Léger, D. (2008, October). Scurvy: Reemergence of nutritional deficiencies. Canadian Family Physician 5410, 1403-1406
  3. National Institutes of Health Office of Dietary Supplements. (2016, February 11). Vitamin C [Fact sheet for professionals]
  4. Nigan, V. (2005). Scurvy
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven − one =