Skip to content

Lewat Datang Haid: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah lewat datang haid? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom yang berkaitan dan rawatan kepada masalah ini.

Apakah itu Lewat Datang Haid?

Kelewatan Haid ialah ketiadaan haid dari waktu yang ia sepatutnya ada. Kelewatan Haid sekunder berlaku apabila anda mengalami sekurang-kurangnya satu tempoh haid dan anda berhenti haid selama tiga bulan atau lebih lama. Kelewatan Haid sekunder berbeza dengan Kelewatan Haid primer. Kelewatan Haid primer berlaku jika anda tidak mengalami haid pertama pada usia 16 tahun.

Pelbagai faktor risiko boleh menyumbang kepada keadaan ini, termasuklah :

  • Penggunaan kawalan kelahiran
  • Ubat-ubatan tertentu untuk merawat kanser, psikosis, atau skizofrenia
  • Penggunaan terapi hormon
  • Keadaan perubatan seperti hipotiroidisme
  • Berat badan berlebihan atau kurang berat badan


Kelewatan Haid biasanya tidak membahayakan kesihatan anda. Ia boleh dirawat dengan berkesan dalam kebanyakan kes. Tetapi untuk mengelakkan komplikasi anda dalam tempoh masa yang panjang anda mesti berjumpa dengan doktor pakar untuk mengetahui penyebab sebenar di sebalik Kelewatan Haid anda.

Punca Lewat Datang Haid

Semasa kitaran haid yang normal, paras estrogen meningkat. Estrogen adalah hormon yang bertanggungjawab untuk perkembangan seksual dan pembiakan para wanita. Tahap estrogen yang tinggi menyebabkan lapisan rahim membesar dan menebal. Apabila lapisan rahim menebal, badan anda mengeluarkan telur dari salah satu ovari.

Telur akan pecah jika sperma lelaki tidak menyuburkannya. Ini menyebabkan tahap estrogen menurun. Semasa tempoh haid anda, anda akan menanggalkan lapisan rahim yang menebal dan mengeluarkan darah melalui faraj. Tetapi proses ini boleh terganggu oleh beberapa faktor tertentu.

Penyebab Kelewatan Haid yang mungkin termasuk:

  • Obesiti
  • Kekurangan zat makanan
  • Anoreksia nervosa (Penyakit yang menyebabkan seseorang itu menahan lapar secara sukarela)
  • Penurunan berat badan yang melampau
  • Terlalu banyak bersenam
  • Sindrom ovari polisistik (PCOS)
  • Kanser ovari
  • Sistik ovari 
  • Parut dari proses D&C (Proses pengembangan pembukaan serviks dan pengorekan menggunakan alat “Curettage”)
  • Masalah dengan kelenjar tiroid anda
  • Ketidakseimbangan hormon
  • Tekanan atau kemurungan
  • Penggunaan ubat-ubatan tertentu, seperti beberapa antipsikotik

Selain itu, penyebab semula jadi dan normal bagi Kelewatan Haid sekunder termasuklah :

  • Kehamilan (Perkara paling utama untuk setiap doktor pertimbangkan apabila anda lewat datang haid)
  • Menyusu badan
  • Menopaus


Ketidakseimbangan hormon

Ketidakseimbangan hormon adalah penyebab paling biasa Kelewatan Haid sekunder. Ketidakseimbangan hormon boleh berlaku akibat:

  • Tumor pada kelenjar pituitari atau tiroid
  • Tahap estrogen yang rendah
  • Tahap testosteron yang tinggi
  • Perancangan keluarga melalui hormon juga boleh menyumbang kepada Kelewatan Haid sekunder. Depo-Provera, suntikan kawalan kelahiran hormon dan pil perancang hormon, boleh menyebabkan anda terlepas haid. Rawatan dan ubat perubatan tertentu, seperti kemoterapi dan ubat antipsikotik, juga boleh mencetuskan Kelewatan Haid.

Masalah struktur organ pembiakan

Keadaan seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang membawa kepada pertumbuhan sis di dalam ovari. Sis ovari adalah jisim yang tidak berbahaya, atau dengan kata lain bukan sejenis kanser, yang berkembang di dalam ovari. PCOS ini juga boleh menyebabkan Kelewatan Haid.

Tisu parut yang terbentuk akibat jangkitan di bahagian rahim atau prosedur dilatasi dan kuretase beberapa kali (D&C) juga boleh menyebabkan haid anda untuk terhenti.

D&C melibatkan pembesaran pembukaan serviks anda dan pengikisan lapisan rahim dengan alat berbentuk sudu yang dipanggil kuret. Prosedur pembedahan ini sering digunakan untuk membuang lebihan tisu dari rahim jika terlalu tebal. Ia juga digunakan untuk mendiagnosis dan merawat pendarahan rahim yang tidak normal. Kadangkala perempuan mengandung yang keguguran dan janinnya tidak turun dengan sempurna, prosedur ini mungkin digunakan.

Faktor gaya hidup

Berat badan boleh menjejaskan haid. Wanita yang berlebihan berat badan atau terkurang berat badan mungkin berhenti mendapat haid. Ini terutamanya berlaku kepada atlet yang berlatih secara berlebihan.



Tekanan emosi adalah satu lagi kemungkinan penyebab Kelewatan Haid. Badan anda mungkin bertindak balas terhadap tekanan yang melampau dengan mengganggu kitaran haid biasa anda. Tempoh haid anda kemungkinan besar akan bersambung semula sebaik sahaja anda mengatasi kebimbangan anda. Jadinya jika anda merasa anda stress dan tertekan kebelakangan ini, sesi bersama kaunselor mungkin dapat membantu.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom dan Tanda 

Simptom utama Kelewatan Haid ialah ketiadaan beberapa tempoh haid secara berturut-turut. Wanita juga mungkin mengalami:

  • Jerawat
  • Kekeringan faraj
  • Suara menjadi lebih dalam
  • Pertumbuhan rambut yang berlebihan atau tidak diingini pada badan dan muka
  • Sakit kepala
  • Perubahan dalam penglihatan
  • Keluarnya cecair dari puting

Komplikasi

Walaupun terlepas dan lewat haid mungkin tidak kelihatan seperti satu krisis kesihatan, ia boleh membawa risiko kesihatan. Jika ia dikaitkan dengan perubahan hormon, ia boleh menjejaskan ketumpatan tulang anda, meningkatkan risiko anda untuk patah tulang dan osteoporosis. Ia juga boleh menjadikannya lebih sukar untuk hamil jika anda mencuba.

Ujian Pengesahan

Doktor anda terlebih dahulu akan meminta anda mengambil ujian kehamilan untuk menolak kehamilan. 

Untuk mendiagnosis punca anda terlepas haid, doktor anda akan menolak kehamilan dan menopaus terlebih dahulu. Jika anda tidak hamil, mereka mungkin akan meminta anda untuk menerangkan gejala dan sejarah perubatan anda. Adalah penting untuk memberitahu doktor anda tentang:

  • Sebarang gejala yang anda alami
  • Bila haid terakhir anda
  • Berapa lama haid anda berlangsung selalunya
  • Ubat-ubatan atau ubat lain yang anda gunakan, termasuk pil perancang, suplemen dan ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor.
  • Perubahan pada diet, rutin senaman atau berat badan anda
  • Cabaran emosi atau tekanan dalam hidup anda

Doktor anda mungkin melakukan pemeriksaan pelvis. Mereka juga boleh membuat ujian diagnostik, seperti ujian air kencing, darah atau pengimejan, untuk membantu mereka membuat diagnosis. 

Doktor anda kemudiannya boleh menjalankan beberapa siri ujian darah. Ujian ini boleh mengukur tahap testosteron, estrogen, dan hormon lain dalam darah anda.

Doktor anda juga boleh menggunakan ujian pengimejan untuk mendiagnosis Kelewatan Haid. MRI, imbasan CT, dan ujian ultrasound membolehkan doktor anda melihat organ dalaman anda. Doktor anda akan mencari sis atau ketumbuhan lain pada ovari anda atau dalam rahim.



Rawatan

Pelan rawatan yang disyorkan doktor anda untuk Kelewatan Haid akan bergantung kepada punca masalah anda. Jika anda belum mempunyai pakar sakit puan, anda boleh pergi ke klinik kesihatan anda untuk mendapatkan nasihat mereka dahulu.

Jika ia dikaitkan dengan obesiti, doktor anda mungkin akan mengesyorkan program penurunan berat badan. Jika penurunan berat badan yang melampau atau senaman yang berlebihan adalah sebabnya, mereka akan menggalakkan anda untuk menambah berat badan ataupun dalam sesetengah orang, untuk kurangkan bersenam.

Untuk membantu anda menjaga kesihatan mental anda, doktor anda juga mungkin menetapkan terapi bersama kaunselor, ubat-ubatan atau rawatan lain jika anda dirujuk kepada pakar psikiatri.

Untuk merawat masalah dengan kelenjar tiroid anda, doktor anda mungkin memberi ubat seperti penggantian hormon tiroid atau mengesyorkan pembedahan untuk membuang tumor tersebut.

Untuk kanser ovari, doktor anda mungkin mengesyorkan gabungan ubat-ubatan, terapi radiasi dan kemoterapi.

Secara kesimpulannya, dapatkan nasihat dan berjumpa dengan doktor anda dahulu untuk mendapatkan kepastian di sebalik kelewatan haid anda.

Rujukan

  1. Periods and fertility in the menstrual cycle. (2019). nhs.uk
  2. Stopped or missed periods. (2019). nhs.ukWhat causes menstrual irregularities? (2017). nichd.nih.gov
  3. When will my periods come back after I stop taking the pill? (2022). nhs.uk
  4. Underweight. (2019). womenshealth.gov
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 10 =