Skip to content

Multiple Sclerosis: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca dan simptom kepada penyakit Multiple sclerosis? Artikel ini akan membincangkan perkara ini berserta rawatan yang perlu dilakukan

Pengenalan

Multiple Sclerosis merupakan antara penyakit autoimun yang boleh menyebabkan kelumpuhan dalam jangka masa panjang. Penyakit autoimun adalah dimana sistem imun tubuh seseorang menyerang sel atau tisu sendiri apabila sistem imun badan tersebut gagal membezakan sel atau tisu badan dan menganggap sel atau tisu tersebut sebagai sel atau tisu asing. Multiple Sclerosis adalah penyakit demielinasi pada sistem saraf termasuk otak dan saraf tunjang.

Mielin merupakan lapisan protektif yang melindungi neuron pada sistem saraf bagi penghantaran impuls yang lebih pantas. Ianya dihasilkan oleh oligodendrocytes iaitu sekumpulan sel yang menyokong neuron pada sistem saraf. Bagi penyakit Multiple Sclerosis, demielinasi terjadi apabila sistem imun menyerang dan memusnahkan mielin menyebabkan kehilangan komunikasi antara neuron yang membawa kepada masalah deria, motor dan kognitif.



Multiple Sclerosis juga merupakan hipersensitiviti jenis IV dimana hipersensitiviti tersebut di aktifkan oleh sel. Hal ini menyebabkan reaksi autoinflammasi serta penghasilan antibodi yang menyerang sel oligodendrocytes meninggalkan kesan parut pada tisu pada saraf yang dipanggil sebagai sclera menyebabkan saraf tidak lagi dapat berfungsi.

Punca Penyakit Multiple Sclerosis

Seperti penyakit autoimun yang lain, punca bagi penyakit Multiple Sclerosis tidak dapat dikenalpasti. Namun, ianya berkait rapat dengan genetik dan faktor persekitaran. Antara punca genetik adalah Multiple Sclerosis lebih banyak terjadi dikalangan perempuan sebanyak dua kali ganda dan mempunyai gen kod HLA-DR2.

Antara faktor persekitaran termasuk jangkitan dimana sistem imun menjadi lebih lemah dan kekurangan vitamin D dimana Multiple Sclerosis lebih sering terjadi pada populasi yang tinggal dikawasan yang kurang mendapat cahaya matahari seperti di utara eropah.

Secara mudahnya, faktor risiko yang boleh menyebabkan masalah ini adalah:

  1. Umur. Penyakit ini boleh berlaku pada semua peringkat umur. Tetapi ia selalunya berlaku pada mereka yang berumur diantara 20-40 tahun.
  2. Jantina. Kaum wanita adalah 2-3 kali ganda lebih mudah mengalami masalah ini berbanding lelaki
  3. Sejarah Keluarga. Jika ahli keluarga anda mempunyai sejarah penyakit ini, maka anda juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghadapi masalah yang sama
  4. Jangkitan kuman. Dikatakan jangkitan kuman seperti Epstein Barr virus boleh meningkat kebarangkalian untuk menghadapi masalah ini.
  5. Vitamin D. Mereka yang kurang terdedah kepada matahari akan mengalami masalah kekurangan Vitamin D dan mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit multiple sclerosis berbanding orang lain
  6. Merokok. Mereka yang merokok mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi menghadapi masalah ini berbanding mereka yang tidak merokok.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Jenis Multiple Sclerosis



Terdapat 4 jenis Multiple Sclerosis berdasarkan pola simptom mengikut masa. Antaranya adalah ˸

  • Relapsing-Remitting Multiple Sclerosis(RRMS) merupakan yang paling biasa terjadi. Serangan autoimun bagi RRMS terjadi antara selang masa beberapa bulan atau tahun dan menyebabkan pertambahan kekurangan upaya bagi setiap serangan. Hal ini terjadi apabila simptom bertambah baik apabila berlaku proses remielinasi dimana lapisan mielin menjadi sembuh. Namun, proses remielinasi kebiasaannya tidak lengkap menyebabkan pertambahan kelumpuhan bagi setiap serangan.
  • Secondary Progressive Multiple Sclerosis(SPMS) adalah hampir sama dengan RRMS tetapi dalam beberapa lama serangan sistem imun menjadi berterusan dan menyebabkan kelumpuhan juga menjadi berterusan.
  • Primary Progressive Multiple Sclerosis (PPMS) merupakan serangan imun secara berterusan yang menyebabkan kelumpuhan berterusan sepanjang hidup.
  • Progressive-Relapsing Multiple Sclerosis (PRMS) merupakan serangan sistem imun yang juga berterusan tetapi perkembangan kelumpuhan adalah lebih cepat.

Simptom Multiple Sclerosis

Simptom bagi Multiple Sclerosis adalah berlainan antara pesakit dan ianya bergantung kepada lokasi penyakit ini berlaku. Multiple Sclerosis kebiasaannya mempengaruhi individu berumur antara 20 hingga 40 tahun. Simptom setiap kali serangan boleh berlanjutan hingga beberapa minggu atau beberapa bulan. Antara simptom Multiple Sclerosis yang paling biasa termasuk ˸

  1. Kelemahan bertutur atau bertutur dengan tidak jelas (Slurred Speech). Hal ini dapat mengganggu pergerarakan terkawal seperti makan dan bercakap juga pergerakan tidak terkawal seperti menelan.
  2. Sakit seperti terkena renjatan elektrik ketika membengkokkan leher. Simptom ini dikenali sebagai Thermitte Sign
  3. Nystagmus, merupakan keadaan dimana kedua-dua belah mata melakukan pergerakan yang berulang-ulang (seperti bergetar) dan pergerakan ini tidak boleh dikawal. Hal ini menyebabkan gangguan penglihatan dan berlaku apabila plak sclera terjadi dibahagian saraf mata.
  4. Intention tremor, merupakan masalah menggeletar yang berlaku semasa bahagian badan terlibat dalam pergerakan terkawal. Masalah geletar ini berpunca daripada plak sclera terjadi dibahagian saraf yang mengawal pergerakan. Hal ini juga menyebabkan kelemahan dan kekejangan otot, masalah geletar dan kehilangan keseimbangan dan koordinasi pergerakan. Dalam kes yang teruk masalah ini boleh membawa kepada kelumpuhan.
  5. Plak sclera yang terjadi dibahagian saraf yang mengawal deria rasa boleh menyebabkan simptom seperti kebas, rasa kesemutan dan rasa mencucuk.
  6. Simptom yang melibatkan usus dan pundi kencing menyebabkan pesakit tidak boleh mengawal pembuangan air kencing atau air besar.
  7. Berjalan tidak stabil
  8. Pening

Ujian Pemeriksaan

Multiple Sclerosis merupakan penyakit yang disyaki apabila terdapat beberapa simptom yang melibatkan sistem saraf tubuh yang berlainan serta terdapat sela masa diantara serangan.

Antara siasatan yang boleh dilakukan termasuk pengimejan MRI dan analisa cecair otak (cerebrospinal fluid) serta lain-lain yang relevan berdasarkan pemerhatian doktor.

Rawatan Multiple Sclerosis

Penyakit ini belum lagi mempunyai penawat yang betul-betul berkesan. Rawatan bagi Multiple Sclerosis adalah bertujuan mengurangkan simptom serangan, mengurangkan kekerapan serangan serta mengawal simptom secara spesifik. Antara rawatannya adalah termasuk ˸

  1. Ubat – ubatan seperti kortikosteroid bagi merawat keradangan, cyclophosphamide bagi melemahkan sistem imun tubuh, dan immunoglobulin secara intravena atau juga dikenali sebagai antibody.
  2. Rawatan simptom secara spesifik seperti rawatan bagi simptom depresi, dan kegagalan pundi kencing.
  3. Terapi fizikal dan terapi rehabilitasi kognitif bagi membantu mengurangkan simptom serta membantu pesakit untuk menambahkan kualiti hidup pesakit.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. What is multiple sclerosis? National Multiple Sclerosis Society. Accessed Oct. 26, 2020.
  2. Daroff RB, et al. Multiple sclerosis and other inflammatory demyelinating diseases of the central nervous system. In: Bradley’s Neurology in Clinical Practice. 7th ed. Philadelphia, Pa.: Elsevier Saunders; 2012. Accessed Oct. 26, 2020.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − five =