Semut Charlie: Simptom dan Rawatan

gigitan semut charlie

Pernahkah anda berasa sakit dan pedih pada kulit sejurus selepas bangun daripada tidur? Dan kemudian anda rasa gatal dan panas yang berterusan sehingga kulit bertukar menjadi gelembung yang mengandungi air jernih atau nanah? Sesetengah masyarakat Malaysia percaya bahawa keadaan ini mempunyai kaitan dengan kejadian aneh seperti digigit makhluk ghaib dan sebagainya. Namun, anda sebenarnya mungkin telah digigit oleh serangga yang dikenali sebagai Semut Charlie.

Pengenalan

Walaupun disebut sebagai ‘semut’, namun ia sebenarnya merupakan sejenis kumbang yang lebih dikenali sebagai Rove Beetle. Semut Charlie ialah serangga kecil berukuran 7-8mm panjang dan mempunyai kepala hitam serta bahagian badan berwarna merah atau oren. Mereka berasal daripada negeri-negeri timur Australia.

Biasanya semut ini dijumpai di kawasan takungan air seperti saliran atau paya. Walau bagaimanapun, sifat semulajadinya yang tertarik kepada cahaya menyebabkan ianya mudah dijumpai di kawasan perumahan. Ketika waktu malam terutamanya pada musim hujan, semut Charlie akan terbang secara berkumpulan untuk melakukan migrasi ke kawasan yang lebih kering.

Simptom dan Tanda Terkena Semut Charlie

Semut Charlie tidak menggigit atau menyengat tetapi darah mereka mengandungi toksin kuat iaitu pederin yang boleh menyebabkan iritasi kepada kulit dan mata. Jika anda terlanyak semut Charlie, toksin tersebut akan dilepaskan dan diserap oleh kulit anda. Anda mungkin mengalami simptom seperti:

  • Radang kulit atau mata
  • Gatal kulit
  • Kulit atau mata menjadi merah
  • Kulit menjadi panas
  • Jangkitan pada kulit

Rawatan

Tiada rawatan pertolongan cemas yang khusus apabila anda terdedah kepada toksin semut Charlie ini. Rawatan yang boleh anda cuba ialah elakkan bersentuhan dengan semut ini selepas anda terkena toksinnya. Basuh bahagian tubuh yang terjejas menggunakan air sabun, kemudian gunakan kompres sejuk, ubat antihistamin, atau gunakan pokok lidah buaya(aloe vera) untuk mengurangkan simptom daripada menjadi lebih teruk.

Dapatkan rawatan perubatan jika reaksi kulit menjadi sangat teruk terhadap toksin semut Charlie.

Cara Pencegahan

Pakai pakaian berlengan panjang supaya kulit kurang terdedah kepada mana-mana serangga yang bahaya. Tutup lampu semasa tidur agar tidak menarik perhatian serangga yang gemar kepada cahaya. Pasang jaring penghalang di tingkap rumah anda supaya serangga kecil tidak dapat menembusi ruangan dalam rumah. Guna racun serangga untuk membunuh semut ini dengan berkesan.

Kesimpulan

Sukar untuk anda elakkan diri daripada terkena toksin semut Charlie kerana saiznya yang terlalu kecil yang menyebabkan seseorang tidak perasan akan kehadirannya. Anda boleh melakukan rawatan seperti di atas iaitu dengan merawat kawasan kulit yang merah, bengkak, sakit, dan gatal. Sekiranya anda mengesyaki bahawa anda mengalami reaksi teruk terhadap toksin tersebut, dapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera supaya komplikasi dapat dielakkan.

Rujukan:

  1. Rove beetles. (n.d.). Retrieved October 25, 2020, from NSW Government
  2. PAEDERUS DERMATITIS. (n.d.). Retrieved October 25, 2020, from AOCD
  3. Hazmi, D. (n.d.). Gigitan Serangga Charlie. Retrieved October 25, 2020, from Mmgazette

Nadia Benmahfouz

Nadia Lutfi Benmahfouz Bt Shaikh Ahmad Latfi merupakan seorang pelajar perubatan di Universiti Teknologi MARA. Beliau aktif dalam pelbagai aktiviti di universiti dengan menjadi pengacara majlis serta mengetuai acara zumba. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Nadia Benmahfouz di SINI

Kenali Nadia Benmahfouz melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − nine =