Skip to content

Nyanyuk (Dementia): Punca, Simptom & Rawatan

Apakah itu nyanyuk atau dalam istilah perubatan Dimentia? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan dimentia.

Pengenalan

Dementia adalah penurunan dalam fungsi kognitif dalam kegunaan seharian. Dementia boleh menjejaskan:

  • Ingatan
  • Keupayaan berfikir
  • Bahasa
  • Keupayaan membuat keputusan
  • Tingkah laku

Dementia boleh disebabkan oleh pelbagai penyakit atau kecederaan. Kesan terhadap keupayaan mental boleh jadi dari ringan hingga teruk. Ia juga boleh menyebabkan perubahan personaliti dalam sesetengah orang.



Sesetengah jenis Dementia adalah progresif dan kesannya datang secara beransur. Ini bermakna mereka menjadi lebih teruk dari masa ke masa. Sesetengah jenis Dementia boleh dirawat atau boleh diterbalikkan. Namun, bidang ini masih dalam proses kajian. Dalam masyarakat Malaysia, Dementia juga dikenali sebagai Nyanyuk. Seringkali, orang yang nyanyuk adalah dalam golongan warga emas. Namun, masyarakat kita sering memandang perkara ini adalah perkara biasa dan bukan satu penyakit dan golongan ini dibiarkan tanpa rawatan yang sebetulnya mereka terima, lalu mengakibatkan mereka berada dalam keadaan yang sukar.

Punca Masalah Nyanyuk

Dementia mempunyai banyak punca. Secara amnya, ia berpunca daripada sel neuron (sel otak) yang semakin haus atau gangguan dalam sistem badan lain yang mempengaruhi cara neuron berfungsi.

Beberapa keadaan boleh menyebabkan Dementia, termasuk penyakit otak. Penyebab yang paling biasa ialah penyakit Alzheimer dan Dementia vaskular (penyakit salur darah di otak).

Beberapa punca Dementia yang lebih biasa termasuk:

Penyakit neurodegeneratif



“Neurodegenerative” bermaksud neuron secara beransur-ansur berhenti berfungsi atau berfungsi dengan tidak sepatutnya dan akhirnya mati.

Ini memberi kesan kepada sambungan neuron-ke-neuron, dipanggil ruang sinaps, yang merupakan penghubung mesej di dalam otak anda. Masalah dalam sambungan ini boleh mengakibatkan pelbagai penyakit berkaitan Demetia.

  • Penyakit Alzheimer
  • Penyakit Parkinson dengan Dementia
  • Dementia vaskular
  • Penggunaan alkohol yang berpanjangan (kronik)

Penyebab Dementia lain

Dementia mempunyai sebab lain, termasuk:

  • Perubahan struktur otak, seperti hidrosefalus dan hematoma 
  • Gangguan metabolik, seperti hipotiroidisme, kekurangan vitamin B12, dan gangguan buah pinggang dan hati
  • Toksin, seperti plumbum
  • Tumor atau jangkitan otak 
  • Kesan sampingan ubat

Sesetengah jenis Dementia ini mungkin boleh diterbalikkan kesannya. Penyebab Dementia yang boleh dirawat ini boleh membalikkan gejala jika mereka dirawat dengan cukup awal. Ini adalah salah satu daripada banyak sebab mengapa penting untuk menghubungi doktor anda dan mendapatkan pemeriksaan perubatan sebaik sahaja gejala muncul.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Gejala – gejala dan tanda – tanda Nyanyuk

Pada peringkat awal, Dementia boleh menyebabkan gejala, seperti:

  • Perubahan dalam pembuatan ingatan jangka pendek. Seseorang boleh mengingati peristiwa 15 tahun yang lalu seperti semalam, tetapi mereka tidak dapat mengingati apa yang mereka makan untuk makan tengah hari.
  • Mencari perkataan yang betul. Ingatan perkataan atau perkaitan mungkin lebih sukar.
  • Perbuatan berulang-ulang. Seseorang mungkin bertanya soalan yang sama, menyelesaikan tugas yang sama, atau menceritakan kisah yang sama beberapa kali.
  • Keliru dengan alamat atau arah. Tempat yang seseorang pernah kenal dengan baik kini mungkin terasa asing. Mereka juga mungkin bergelut dengan laluan memandu yang telah mereka lalui selama bertahun-tahun kerana ia tidak lagi kelihatan biasa.
  • Perubahan emosi. Kemurungan, kekecewaan, dan kemarahan adalah perkara biasa bagi penghidap Dementia.
  • Hilang minat. Sikap tidak peduli mungkin berlaku pada penghidap Dementia. Ini termasuk kehilangan minat terhadap hobi atau aktiviti yang pernah mereka gemari.
  • Kekeliruan. Orang, tempat dan acara mungkin tidak lagi dikenali. Seseorang mungkin tidak mengingati orang yang mengenali mereka.
  • Kesukaran menyelesaikan tugas harian. Seseorang di peringkat awal Dementia mungkin menghadapi masalah mengingati cara melakukan tugasan yang telah mereka lakukan selama bertahun-tahun.

Tahap dementia 

Kemerosotan kognitif awal

Orang dewasa yang lebih tua mungkin mengalami gangguan kognitif ringan tetapi mungkin tidak akan mengalami Dementia atau sebarang gangguan mental yang lain. Biasanya mereka mengalami kealpaan, masalah mengingati perkataan dan masalah ingatan jangka pendek.



Dementia ringan

Pada peringkat ini, orang yang mengalami Dementia ringan mungkin boleh berfungsi secara bebas. Gejala termasuk:

  • Ingatan jangka pendek lemah
  • Perubahan personaliti, termasuk tiba – tiba mengalami kemarahan atau kemurungan
  • Tersalah letak barang atau lupa lokasi barang
  • Kesukaran dengan tugas yang kompleks atau penyelesaian masalah
  • Kesukaran meluahkan emosi atau idea

Dementia sederhana

Pada peringkat Dementia ini, orang yang terjejas mungkin memerlukan bantuan daripada orang tersayang atau profesional penjagaan. Ini kerana Dementia kini boleh mengganggu tugas dan aktiviti harian. Gejala termasuk:

  • Penilaian terhadap situasi yang buruk
  • Kekeliruan dan kekecewaan
  • Kehilangan ingatan yang menjangkau lebih jauh ke masa lalu
  • Memerlukan bantuan dengan tugas seperti berpakaian dan mandi
  • Perubahan personaliti yang ketara

Dementia yang teruk

Pada peringkat akhir Dementia ini, gejala mental dan fizikal keadaan terus bertambah buruk. Gejala termasuk:

  • Ketidakupayaan untuk mengekalkan fungsi badan, termasuk berjalan dan akhirnya menelan dan mengawal pundi kencing
  • Ketidakupayaan untuk berkomunikasi
  • Memerlukan bantuan sepenuh masa
  • Peningkatan risiko jangkitan

Diagnosis dan pengesahan

Tiada ujian spesifik boleh mengesahkan diagnosis Dementia. Sebaliknya, doktor akan menggunakan beberapa siri ujian dan peperiksaan. Ini termasuklah :

  • Sejarah perubatan dan kesihatan yang menyeluruh
  • Peperiksaan fizikal yang teliti
  • Ujian makmal, termasuk ujian darah
  • Perbincangan semula semua gejala, termasuk perubahan dalam ingatan, tingkah laku dan fungsi otak
  • Sejarah nyanyuk atau dementia dalam keluarga

Doktor boleh menentukan sama ada anda atau orang yang disayangi mengalami gejala Dementia dengan tahap kepastian yang tinggi. Walau bagaimanapun, mereka mungkin tidak dapat menentukan jenis Dementia yang tepat. 



Alzheimer’s disease dan Dementia.

Dementia dan penyakit Alzheimer adalah tidak sama. Dementia adalah istilah umum yang digunakan untuk menjelaskan sekumpulan gejala yang berkaitan dengan ingatan, bahasa, dan membuat keputusan.

Penyakit Alzheimer adalah jenis Dementia yang paling biasa terjadi dalam masyarakat umum. Ia menyebabkan kesukaran dengan perkara seperti:

  • Ingatan jangka pendek
  • Kemurungan
  • Kekeliruan
  • Perubahan tingkah laku

Dementia menyebabkan gejala seperti:

  • Kealpaan atau kemerosotan ingatan
  • Hilang rasa arah
  • Kekeliruan
  • Kesukaran dengan penjagaan diri seperti mandi ataupun membeli barang

Penyakit Alzheimer juga boleh menyebabkan gejala ini, tetapi gejala Alzheimer lain mungkin termasuk kemurungan, penilaian rasional terjejas dan kesukaran bercakap.

Begitu juga, rawatan untuk Dementia bergantung pada jenis Dementia yang anda miliki. 

Dalam kes beberapa jenis Dementia, merawat punca sebenar atau ada sebarang penyakit yang menyebabkan Dementia mungkin membantu dalam mengurangkan atau menghentikan masalah ingatan dan tingkah laku. Walau bagaimanapun, itu tidak berlaku dengan penyakit Alzheimer. Alzheimer’s merupakan sejenis Dementia yang tidak mempunyai rawatan yang definitif.

Rawatan

Dua rawatan utama digunakan untuk mengurangkan gejala Dementia: ubat-ubatan dan terapi. Rawatan untuk dementia selalunya bergantung kepada pesakit dan orang – orang tersayang yang membantu pesakit untuk melambatkan progress Dementia.

Ubat untuk Dementia



Dua jenis ubat utama digunakan untuk merawat gejala penyakit Alzheimer dan keadaan lain yang menyebabkan Dementia:

  • Inhibitor kolinesterase. Ubat-ubatan ini meningkatkan bahan kimia yang dipanggil acetylcholine. Bahan kimia ini boleh membantu membentuk ingatan dan meningkatkan pertimbangan. Ia juga boleh melambatkan gejala penyakit Alzheimer yang semakin teruk.
  • Memantine. Ubat ini digunakan untuk melambatkan permulaan gejala kognitif dan tingkah laku pada orang yang mempunyai penyakit Alzheimer yang sederhana atau teruk. Memantine boleh membenarkan penghidap penyakit Alzheimer mengekalkan fungsi mental biasa mereka untuk jangka masa yang lebih lama.

Kedua-dua ubat ini juga boleh ditetapkan bersama. Kesan sampingan boleh berlaku. Ubat-ubatan lain mungkin ditetapkan untuk merawat gejala yang berkaitan, seperti gangguan tidur, perubahan mood dan banyak lagi.

Terapi 

Terapi ini boleh membantu mengurangkan gejala Dementia dan mengurangkan beberapa komplikasi keadaan yang boleh diurus sebelum menjadi lebih teruk. Rawatan terapi yang tidak melibatkan ubat untuk Dementia termasuklah :

  • Mengubah suai persekitaran anda. Kekacauan, bunyi bising dan rangsangan berlebihan boleh mengurangkan tumpuan.
  • Mengubah suai tugas biasa. Anda boleh bekerjasama dengan ahli terapi atau profesional penjagaan kesihatan lain untuk memecahkan aktiviti harian, seperti mandi atau dandanan, kepada tugas yang boleh diurus.
  • Terapi cara urus pekerjaan. Pakar terapi cara urus pekerjaan ialah profesional penjagaan kesihatan khusus yang boleh membantu anda belajar untuk menjadi lebih selamat dan lebih terjamin dengan tugas termasuk berjalan kaki, memasak dan memandu.

Cara Mengelakkan Nyanyuk. 

Selama beberapa dekad, doktor dan penyelidik percaya Dementia tidak dapat dicegah atau disembuhkan. Walau bagaimanapun, penyelidikan baru menunjukkan bahawa perkara tersebut mungkin tidak mustahil.

Khususnya, para penyelidik dari satu kajian dari tahun 2017, mengenal pasti sembilan faktor risiko yang boleh meningkatkan peluang seseorang untuk mengalami Dementia. Mereka termasuklah :

  • Tekanan darah tinggi pada pertengahan umur
  • Obesiti pertengahan umur
  • Hilang pendengaran
  • Kemurungan pada lewat umur
  • Kencing manis
  • Gaya hidup tidak aktif
  • Merokok
  • Pengasingan sosial
  • Tahap pendidikan yang lebih rendah

Saintis percaya bahawa mengambil kira faktor risiko ini dengan rawatan atau campur tangan boleh melambatkan atau mungkin menghalang beberapa kes Dementia. Penemuan ini mencadangkan bahawa bekerjasama dengan doktor anda untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat dan aktif boleh membantu mencegah atau melambatkan permulaan Dementia.

Rujukan



  1. Dementia. (2021). -WHO
  2. Giannopoulos PF, et al. (2018). Learning impairments, memory deficits, and neuropathology in aged Tau transgenic mice are dependent on leukotrienes biosynthesis: Role of the cdk5 kinase pathway. – Springer
  3. Livingston G, et al. (2016). The Lancet international commission on dementia prevention and care. Discovery.ucl
  4. Tom SE, et al. (2015). Characterization of dementia and Alzheimer’s disease in an older population: Updated incidence and life expectancy with and without dementia.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six + 4 =