Skip to content

Pil Actifed: Dos, Kegunaan dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan pil atau ubat actifed? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat actifed, dos dan kesan sampingan yang mungkin dihadapi oleh anda ketika mengambil ubat ini


Ada sesetengah pesakit yang mengalami masalah selesema dan bersin tidak selalu diberikan ubat chlorpheniramine (juga dikenali dengan jenama Piriton) semata-mata. Ada sesetengah kes yang biasanya melibatkan hidung tersumbat tetapi diberi satu lagi jenis ubat selesema lain iaitu Actifed. Kali ini penulis mahu membincangkan sepenuhnya mengenai ubat dwifungsi ini.

Kegunaan

Actifed (nama jenama campuran ubat antihistamin triprolidine dan ejen dekongestan hidung pseudoephedrine) adalah ubat yang diletakkan dalam Kumpulan B Racun Berjadual, memerlukan preskripsi doktor seperti biasa. Menurut undang-undang, pesakit yang mengambil ubat ini juga perlu direkod butiran peribadi mereka sekali memandangkan ubat ini mengandungi dekongestan pseudophedrine.



Penggunaan pseudoephedrine di Malaysia tanpa kebenaran berpotensi menyebabkan bahaya dan menyalahi undang-undang disebabkan peranan pseudoephedrine sebagai prekursor untuk penghasilan dadah berbahaya amphetamine dan terbitan lain dadah tersebut.

Kegunaan ubat ini adalah untuk:

Ubat ini wujud dalam bentuk berikut:

  • Tablet – mengandungi 2.5 mg triprolidine dan 60 mg pseudoephedrine/tablet
  • Sirap – 1.25 mg triprolidine dan 30 mg pseudoephedrine/5 ml

Cara Penggunaan

Cara penggunaan ubat ini adalah seperti berikut:

  • Biasa diambil selepas makan.
  • Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati: boleh digunakan tetapi dengan pantauan doktor secara berhati-hati. Pesakit kegagalan buah pinggang dan hati tahap serius perlu mengelakkan ubat ini.
  • Warga tua: biasanya tidak berapa digalakkan,
  • Dos biasa dewasa: 1 biji 3 – 4 kali sehari (tapi biasanya 3 kali sehari atau selang 8 jam). Maksimum 10 mg triprolidine/hari.
  • Dos biasa kanak-kanak:
    • 6 – 12 tahun: ½ biji 3 kali sehari, maksimum 5 mg triprolidine/hari.
    • Bawah 6 tahun: kebiasaannya tidak digalakkan penggunaan dalam kanak-kanak bawah 6 tahun.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Ubat sirap dan tablet boleh disimpan di tempat sejuk dan kering (suhu bilik juga boleh digunakan). Jauhkan daripada cahaya.

Cara Ubat Berfungsi



Ubat Actifed sendiri adalah gabungan dua ubat yang melancarkan dwifungsi yang berbeza.

  • Triprolidine sendiri adalah antihistamine generasi pertama (sama seperti chlorpheniramine) yang amat sensitif pada reseptor histamine-1 (H1), mengurangkan potensi kesensitifan bahagian tubuh badan termasuklah hidung, paru-paru, mata dan kulit akibat dari pengaktifan histamine, seterusnya mengurangkan reaksi kegatalan, hidung tersumbat dan hingus.
  • Pseudoephedrine adalah ejen dekongestan yang bertindak aktif mengikat pada reseptor adrenergik alpha dan beta untuk menghasilkan konstriksi saluran darah, seterusnya mengurangkan penghasilan hingus, melegakan hidung tersumbat dan bersin dan membuka saluran pernafasan paru-paru. Kesan tersebut ditingkatkan lagi menerusi peranannya mengaktifkan pelepasan noradrenalin keluar dari sinaps (synapse) dalam sistem saraf pusat. Pseudoephedrine hanya menghasilkan reaksi setempat sahaja berbanding dari keseluruhan badan, juga menjelaskan kesesuaian ubat tersebut dalam gabungan bersama ubat antihistamin.

Kesan sampingan

Terdapat dua jenis kompaun aktif di dalam ubat ini. Setiap daripadanya mempunya kesan sampingan yang berbeza. Kesan tersebut adalah:

Triprolidine

  • Pening kepala
  • Mengantuk
  • Pengurangan rembesan air mata/air liur, bibir kering
  • Pengecutan saluran pernafasan, kontraksi bronkiol paru-paru – kesukaran untuk bernafas
  • Menaikkan kadar nadi dan kadar pernafasan pesakit (juga boleh berlaku atas kesan sampingan pseudoephedrine juga)
  • Susah buang air kecil dan besar
  • Kegatalan dan kesan-kesan sensitiviti lain

Pseudoephedrine

  • Kesan-kesan dari sistem saraf pusat (sukar duduk diam, badan bergetar-getar, tangan menggigil, berdebar-debar dan sebagainya)
  • Mata kabur
  • Sukar tidur
  • Badan lemah, penat
  • Loya dan muntah
  • Halusinasi
  • Peningkatan tekana darah dan tekanan nadi
  • Berdebar-debar
  • Hyperthermia (suhu badan tinggi)
  • Kemurungan dan kesan psikosis lain
  • Kesan alergik/sensitif pada kulit – kegatalan bahagian kulit, bintik merah, bengkak dan sebagainya
  • Jika digunakan berulang kali- hidung tersumbat sekali lagi (rebound hyperemia), boleh menyebabkan pesakit mengambil dos yang sama leih kerap lagi untuk mencapai tahap terapeutik yang sama (tolerans ubat).
  • Mungkin menaikkan tekanan intraokular mata (untuk kanak-kanak) dan menaikkan risiko glaukoma (untuk orang dewasa)
  • Mungkin menaikkan risiko iskemia darah (untuk orang dewasa)

Ubat actifed ini juga boleh menyebabkan gangguan pada data makmal. Triprolidine contohnya, menghasilkan reaksi negatif antigen percubaan kulit (skin test antigen) untuk mengukur alergik pesakit dan pseudopehedrine menghasilkan ujian positif palsu pengesanan dadah amphetamine dalam ujian air kencing.

Disebabkan inilah juga, ubat ini tidak boleh digunakan untuk kalangan mereka ini:

  • Kegagalan ginjal tahap serius
  • Komplikasi jantung dan darah tinggi yang terlampau membahayakan nyawa
  • Pesakit yang ada mengambil ubat perencat monoamine oxidase (MAOI) (isocarboxazide, tranylcypromine)
  • Kanak-kanak di bawah 6 tahun.

Peringatan (precaution)

Penggunaan ubat gabungan ini perlu digunakan secara berhati-hati lagi-lagi kepada golongan tersebut:

  • Warga tua: ubat antihistamin lebih lama berlegar dalam tubuh badan
  • Ibu mengandung: pengambilan ubat antihistamin generasi lama tidak berisiko tinggi, namun begitu laporan ada menyatakan bayi lahir pramatang dalam kalangan ibu yang mengambil triprolidine berisiko tinggi mendapat pertumbuhan abnormal tisu berserat (fibrous tissue) belakang struktur lensa mata yang mengakibatkan buta. Ada kes lain melibatkan kesan penutupan abnormal dinding abdomen badan janin (gastrochisis) pada waktu trimester pertama disebabkan pseudoephedrine. Meskipun begitu, pengambilan ubat ini perlu dipantau doktor.
  • Ibu menyusu: dapatan cadangan klinikal terbaru lebih mengesyorkan ubat generasi kedua antihsitamin (loratadine, cetirizine) sebagai pilihan untuk ibu menyusu kerana ubat ini masih lagi boleh keluar dalam susu ibu. Pengambilan dos triprolidine berlebihan dalam bayi mengakibatkan ketidakselesaan, mengantuk dan sebagainya. Namun begitu, campuran bersama pseudoephedrine mungkin mengganggu susu ibu. Jika pesakit tidak dapat mengeluarkan susu ibu atau sukar menghasilkan banyak susu, pengambilan ubat ini perlu dielakkan. Jumpa dahulu dengan doktor jika sekiranya masih lagi perlu menggunakan ubat ini.
  • Pesakit sawan: jika diambil berterusan menaikkan insiden sawan
  • Pesakit glaukoma, BPH, kerosakan saluran perkumuhan: boleh dimulakan juga untuk kalangan pesakit ini tetapi dengan pantauan rapi doktor.
  • Pesakit komplikasi jantung (darah tinggi, kegagalan jantung, aritmia jantung dan sebagainya) serta paru-paru (bronkitis dan bronkiektasis)
  • Pesakit hipertiroid: meningkatkan simptom hipertiroid dalam pesakit sedia ada (kesukaran bernafas, sukar mengawal otot dan sebagainya). Boleh dimulakan tetapi perlu pengawasan doktor.
  • Kegagalan fungsi hati (pesakit dalam tahap serius boleh menggunakan ubat ini tapi hanya dengan nasihat doktor).
  • Kegagalan fungsi ginjal – hanya untuk pesakit buah pinggang ringan dan sederhana sahaja.

Diingatkan semula, ubat ini boleh digunakan maksimum 7 hari (1 minggu) sahaja. Sekiranya simptom selesema masih berlanjutan, berjumpa terus dengan doktor berdekatan.



Interaksi antara ubat

Sila ambil perhatian jika anda ada mengambil ubat actifed ini bersama ubat-ubat dan makanan lain. Dapatkan nasihat terlebih dahulu dari para doktor berkenaan pengambilan ubat yang boleh dibenarkan untuk mengelakkan apa-apa kesan yang membahayakan. Berikut disertakan antara makanan dan ubat-ubatan yang terlibat berinteraksi dengan ubat campuran ini.

  • Makanan tinggi protein tirosina (telur, keju dan hasilan tenusu, kekacang, oat dan gandum): menaikkan potensi darah tinggi (adrenergic storm) yang membahayakan nyawa. Pengambilan bersama dengan ubat MAOI dan pseudoephedrine bersama makanan tersebut membahayakan nyawa pesakit. Sebaiknya dielakkan.
  • Ubat MAOI (tranylcypromine, isocarboxazide), ubat benzodiazepine (midazolam, alprazolam, lorazepam), barbiturat (phenobarbitone), ubat tahan sakit opioid (buprenorphine, tramadol), ubat merawat kebimbangan (chloral hydrate, zolpidem), ubat antipsikotik (aripiprazole, olanzapine, quetiapine, risperidone), ubat antikemurungan (dothiepin, imipramine, amitryptyline), ubat antihistamin lain (loratadine, azelastine, cinnarizine): meningkatkan kesan sedatif triprolidine
  • Ubat MAOI (tranylcypromine, isocarboxazide, selegiline), ubat terbitan ergot untuk migrain (ergotamine), antikemurungan (amitryptyline, imipramine, venlafaxine), ubat sedut anestasia berasaskan gas (methoxyflurane, enflurane dan sebagainya), ubat dekongestan hidung lain (ephedrine, phenylephrine, oxymetazoline), : meningkatkan kesan terapeutik dan kesan sampingan pseudoephedrine (darah tinggi). Jika sekiranya ubat jenis ini perlu diambil untuk jangka masa panjang, ubat campuran ini tidak boleh dipertimbangkan sebagai rawatan untuk selesema dan gatal hidung biasa.
  • Insulin untuk rawatan kencing manis: mengurangkan kesan insulin untuk menurunkan gula dalam darah; pengaktifan reseptor beta dari pseudoephedrine menaikkan pengeluaran gula dalam hati, menaikkan proses glikogenolisis (pemecahan glikogen kepada gula), dan menurunkan penghasilan insulin dalam badan.
  • Garam sodium bikarbonat, sodium laktat dan asid sitrik (yang juga dihasilkan dari sodium sitrat) – menaikkan penyerapan semula pseudopehedrine ke badan
  • Ejen mengasidkan urin kencing (sodium fosfat) – mengurangkan kesan terapeutik ubat pseudoephedrine dengan perkumuhan keluar ubat tersebut dari badan.
  • Pseudoephedrine boleh mengurangkan kesan terapeutik sesetengah ubat darah tinggi (metthyldopa, guanethidine dan terazosin sebagai contoh) dan ubat mengecutkan kelenjar prostat (tamsulosin dan sebagainya).

Kesan terlebih dos

Pengambilan ubat campuran dalam jangka masa panjang boleh menghasilkan simptom sebegini:

  • Mengantuk
  • Lemah seluruh badan
  • Pening kepala
  • Lesu
  • Susah membuang air kencing
  • Kadar nadi dan tekanan darah tinggi
  • Demam
  • Mudah meragam dan hiperaktif
  • Sawan
  • Depresi pernafasan

Biasanya rawatan untuk kes toksisiti ubat ini bergantung kepada keadaan pesakit secara keseluruhannya, dan bantuan untuk mengurangkan simptom biasanya diberikan untuk pesakit sebegini. Antaranya termasuklah:

  • Pesakit yang dikesan kes toksisiti lebih awal dari tempoh 3 jam dari pengambilan dos toksik perlu dijalankan prosedur gastric lavage jika perlu.
  • Pemberian garam terutamanya ejen mengasidkan urin kencing (sodium fosfat) mungkin boleh dipertimbangkan.

Rujukan:

  1. Triprolidine + pseudopehedrine. Dalam: MIMS Gateway [Internet]. Diambil dari: Mims Gateway
  2. BNF 78
  3. Frank Shann
  4. Actifed – Medscape
  5. Micromedex
  6. Do not give decongestants to young children for common cold symptoms. In: ScienceDaily
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + 7 =