Skip to content

Rabun Malam: Punca, Simptom dan Rawatan

Rabun malam merupakan sejenis gangguan penglihatan yang juga dikenali sebagai nyctalopia. Individu yang mengalami masalah ini mempunyai kesukaran untuk melihat pada waktu malam atau dalam keadaan sekitar yang kurang pencahayaan. Individu yang mempunyai masalah rabun malam juga mungkin mengalami masalah untuk memandu pada waktu malam. Ianya bukanlah penyakit secara sendiri, tetapi lebih kepada gejala kepada masalah yang lain sebagai contoh masalah rabun jauh yang tidak dirawat.

Simptom Rabum Malam

Tanda utama masalah rabun malam adalah kesukaran untuk melihat dalam keadaan gelap. Masalah ini lebih mudah dikenal pasti apabila individu mengalami kesukaran melihat apabila bergerak dari persekitaran cahaya yang terang kepada persekitaran cahaya yang malap. Masalah ini juga berlaku ketika memandu pada waktu malam kerana perubahan cahaya lampu jalan dan suasana malam yang gelap menyukarkan penglihatan individu yang mempunyai masalah tersebut.

Periksa Simptom anda Di Sini

Punca Rabun Malam



Terdapat beberapa masalah mata yang boleh menyebabkan rabun malam. Antaranya termasuk :

  • Rabun jauh. Masalah ini sering berlaku pada individu yang mempunyai rabun jauh. Rabun jauh merupakan apabila penglihatan menjadi kabur apabila melihat objek yang berada pada jarak yang jauh.
  • Katarak. Katarak merupakan keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi keruh yang boleh disebabkan oleh proses penuaan, kecederaan mata, penyakit-penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat.
  • Retinis pigmentosa. Retinis pigmentosa merupakan penyakit keturunan yang menyebabkan kehilangan medan penglihatan periferi pada kedua-dua mata secara perlahan.
  • Kekurangan vitamin A. Masalah kekurangan vitamin A dikatakan menyebabkan sel mata menjadi kering seterusnya menghadkan keupayaan mata bagi mengurus ketumpatan cahaya.
  • Glaukoma. Glaukoma merupakan penyakit saraf optik yang disebabkan oleh tekanan dalam mata yang tinggi menyebabkan gangguan pada penglihatan. Glaukoma yang kronik dan progresif juga dapat mengakibatkan kebutaan kekal.
  • Diabetes Mellitus. Masalah Diabetes Mellitus yang tidak terkawal dapat membawa kepada komplikasi kepada mata yang dipanggil retinopati diabetik. Komplikasi ini menyebabkan kerosakan pada retina seterusnya menyebabkan gangguan penglihatan.
  • Ubat – ubatan seperti ubat bagi penyakit glaukoma yang bertindak mengecilkan anak mata.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Ujian Pemeriksaan

Bagi membuat diagnosis bagi masalah rabun malam, doktor mata anda akan mengambil sejarah perubatan anda secara terperinci dan membuat pemeriksaan yang berkenaan. Antara prosedur yang boleh dilakukan adalah seperti direct opththalmoscope dan menggunakan slit lamp biomicroscopy. Ujian darah juga boleh dilakukan bagi mengenal pasti masalah kekurangan vitamin A dan mengukur paras gula dalam darah bagi masalah diabetes yang berkaitan.

Rawatan Rabun Malam

Rawatan bagi rabun malam adalah dengan merawat punca bagi masalah tersebut. Antaranya termasuk :

  • Rabun jauh. Masalah rabun jauh atau juga dikenali sebagai myopia boleh dirawat dengan penggunaan kaca mata atau kanta lekap bagi rabun jauh bagi menambah baik penglihatan pada waktu siang dan malam.
  • Katarak. Katarak boleh dirawat melalui pembedahan katarak. Pembedahan tersebut merupakan prosedur bagi menggantikan kanta yang telah kabur kepada kanta tiruan yang dapat membantu menambah baik penglihatan selepas pembedahan. Pembedahan katarak kebiasaannya dilakukan oleh doktor pakar mata.
  • Kekurangan vitamin A. Bagi rabun malam yang berpunca daripada masalah kekurangan vitamin A, rawatannya adalah mengambil vitamin A sebagai makanan tambahan mengikut saranan doktor. Pengambilan diet yang seimbang serta kaya dengan vitamin A juga dapat membantu masalah ini seperti mengambil sayur-sayuran yang mengandungi karoten seperti brokoli, bayam, lobak merah dan labu juga makanan seperti susu dan telur.
  • Retinis Pigmentosa. Masalah genetik seperti Retinis Pigmentosa tidak dapat dirawat. Hal ini kerana gen yang bertanggungjawab bagi penghasilan pigmen diretina tidak dapat ditambah baik dengan penggunaan kanta atau secara pembedahan.

Cara mengelakkan Rabun Malam

Pengawalan kandungan gula dalam darah dan pengambilan diet yang seimbang dapat mengurangkan risiko untuk mengalami masalah rabun malam. Pemakanan yang kaya dengan antioksida, vitamin dan mineral dapat membantu mengurangkan risiko katarak. Makanan yang kaya dengan vitamin A seperti yang telah disebutkan juga dapat mengurangkan risiko rabun ini.

Sekiranya anda mengalami masalah ini, langkah berjaga – jaga haruslah diambil kira bagi memastikan keselamatan anda dan juga orang disekeliling. Elakkan diri daripada memandu pada waktu malam sehingga rabun malam tersebut telah dirawat. Pemakaian kaca mata atau topi dapat mengurangkan silau terutama ketika perubahan keadaan cahaya dari kawasan cerah ke kawasan yang lebih gelap.



Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Night Blindness – Healthline
  2. Night blindness – BMJ ,
  3. Rabun Malam – portal myHealth
  4. Night Blindness – Webmd
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seven − 2 =