Skip to content

Rawatan Akar Gigi: Cara, Harga dan Prosedur

Apakah itu rawatan akar gigi dan keadaan yang memerlukan prosedur ini? Artikel ini akan membincangkan berkenaan rawatan akar gigi, keadaan yang memerlukan rawatan ini, harga dan juga komplikasi yang mungkin berlaku.

Apa itu rawatan akar gigi?

Rawatan akar gigi atau rawatan salur akar adalah suatu rawatan endodontik yang dijalankan untuk merawat jangkitan yang muncul pada akar gigi. Rawatan akar gigi dilakukan dengan cara mengeluarkan tisu pulpa terletak di dalam lapisan tengah gigi. Setelah pulpa yang rosak, dijangkiti atau mati telah dibuang, ruang akar yang tinggal akan dibersihkan, dibentukkan dan diisi semula. Rawatan ini dibuat supaya gigi kekal berfungsi di dalam mulut dan tidak akan dicabut.

Keadaan yang memerlukan rawatan ini

Rawatan endodontik perlu dilakukan apabila pulpa, tisu lembut di dalam salur akar mengalami inflamasi atau jangkitan. Jangkitan pada salur akar gigi berpunca daripada bakteria yang berada di dalam mulut dan menyerang gigi. Ini boleh terjadi apabila:

  • Gigi mengalami kereputan akibat karies gigi
  • Tampalan gigi mengalami kebocoran
  • Kerosakan pada gigi akibat trauma (contohnya, terjatuh)


Apabila jangkitan atau keradangan pulpa dibiarkan tanpa rawatan, nanah boleh berkumpul pada hujung akar di dalam tulang rahang, lalu menjadi nanah. Gusi bernanah boleh merosakkan tulang yang mengelilingi gigi dan menyebabkan kesakitan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Tanda-tanda Memerlukan Saluran Akar

Terdapat beberapa tanda dan simptom yang boleh menunjukkan keperluan anda menjalani rawatan salur akar gigi, iaitu:

  • Kesakitan yang parah apabila mengunyah atau menggigit
  • Gigi retak atau gigi patah
  • Sensitiviti yang berlarutan terhadap benda panas atau sejuk
  • Gusi yang sakit atau bengkak
  • Gigi hitam

Prosedur Rawatan

Rawatan salur akar gigi boleh dilakukan dalam satu atau dua sesi dan melibatkan beberapa langkah:

1. Persediaan untuk rawatan salur akar

Doktor gigi atau pakar endodontik memeriksa dan mengambil x-ray gigi terbabit, dan memberikan suntikan ubat kebas pada kawasan sekitar gigi. Selepas gigi kebas, doktor gigi akan meletakkan sehelai rubber dam iaitu lampiran getah protektif di sekitar gigi untuk mengasingkan gigi dan menjadikan kawasan gigi bersih serta bebas dari air liur.



2. Membuang tisu pulpa, membersihkan dan membentuk salur akar

Doktor gigi akan membuat pembukaan pada korona gigi. Instrumen kecil akan digunakan untuk membersihkan pulpa dari ruang pulpa dan salur akar serta membentuk ruang untuk pengisingan.

3. Mengisi salur akar

Setelah ruang dibersihkan dan dibentuk, doktor gigi akan mengisi salur akar dengan bahan biokompatibel, seperti bahan yang dipanggil gutta-percha. Gutta-percha akan diletakkan bersama simen adhesif untuk memastikan penutupan salur akar yang lengkap. Selalunya, bahan pengisian sementara diletakkan untuk menutup pembukaan tersebut. Bahan pengisian sementara akan dibuang oleh doktor gigi sebelum gigi menjalani restorasi.

4. Restorasi gigi

Selepas sesi terakhir dengan doktor gigi, anda perlu kembali semula untuk menerima korona (crown) atau restorasi lain untuk diletakkan pada permukaan gigi supaya dapat mempertahankan gigi dan kembali berfungsi.

Komplikasi rawatan

Jangkitan baru boleh terjadi selepas rawatan salur akar dijalankan. Punca terjadinya perkara ini adalah disebabkan:

  • Terlepas pandang akar dan tidak dibersihkan
  • Ada keretakan yang tidak dikesan pada akar gigi
  • Masalah pada restorasi yang membolehkan bakteria memasuki bahagian dalam gigi
  • Kerosakan pada bahan penutupan salur akar

Harga rawatan

Rawatan akar gigi boleh dilakukan di klinik pergigian kerajaan atau klinik pergigian swasta. Harga rawatan salur akar adalah berbeza mengikut kemahuan dan kemampuan anda. Bagi klinik pergigian kerajaan:



NoJenis rawatanKelas satu (RM)Kelas dua (RM)Kelas tiga (RM)Pesakit luar (RM)
1Rawatan kanal akar (gigi hadapan)7560Percuma4
2Rawatan kanal akar (gigi belakang)150115Percuma4

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia

Bagi kilnik pergigian swasta pula, harganya berbeza mengikut klinik dan kawasan. Namun begitu, secara puratanya:

  • Gigi hadapan: RM600- 800
  • Gigi belakang: RM800- 1800

Apa perlu dibuat selepas rawatan akar?

Selepas rawatan salur akar dijalankan, anda perlu menjaga gigi anda dengan sebaiknya semasa gigi sedang sembuh. Anda mungkin akan mengalami gigi sensitif selama beberapa hari. Selain itu,untuk memastikan gigi pulih sepenuhnya dan tidak mengalami komplikasi, anda perlu melakukan beberapa langkah seperti:

  1. Mengelakkan diri daripada menggigit makanan atau objek keras sehingga rawatan selesai.
  2. Memberus gigi 2 kali sehari dan menjaga kebersihan mulut
  3. Tidak mengambil makanan yang mengandungi gula dengan banyak.
  4. Berhenti merokok jika anda merokok.
  5. Berjumpa kembali dengan doktor gigi jika masih ada kesakitan atau bengkak.

Rujukan:

  1. Root Canal Treatment. NHS UK.
  2. Root Canal Explained. American Association of Endodontists.
  3. Root Canal Treatment. Portal MyHealth
  4. Root Canals. WebMD.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − one =