Mata

Mata Berkedip: Punca, Simptom dan Rawatan

mata berkedip

Pernahkah anda mengalami mata berkedip (eye twitch) ? Artikel ini membincangkan tentang punca, simptom, ujian pemeriksaan dan rawatan bagi masalah mata berkedip.

Mata berkedip atau juga dikenali sebagai myokymia merupakan kekejangan otot pada kelopak mata menyebabkan mata berkedip, berulang kali dan tidak dapat dikawal. Kebiasaannya ia terjadi pada kelopak mata atas namun ia juga boleh melibatkan kedua-dua kelopak mata bahagian atas dan bawah.

Masalah ini kebiasaannya masalah yang ringan dan terasa seperti tarikan yang lembut pada kelopak mata. Namun, sesetengah individu mungkin mengalami masalah blepharospasm dimana kekejangan yang kuat berlaku pada kedua kelopak mata yang menyebabkan mata dipaksa untuk tutup sepenuhnya.

Kekejangan pada mata biasanya berlaku beberapa saat selama satu minit hingga ke dua minit. Episod mata berkedip adalah tidak dijangka. Ianya boleh berlaku dan hilang dalam beberapa hari sehingga beberapa minggu atau bulan.

Ia juga tidak sakit dan tidak bahaya kepada individu yang mengalaminya namun ia boleh mengganggu dan menyebabkan ketidakselesaan terutama untuk melihat. Walaupun seringkali tidak bahaya namun masalah ini juga boleh juga menjadi tanda awal bagi penyakit kronik terutamanya sekiranya kekejangan kelopak mata tersebut melibatkan kekejangan atau pergerakan yang tidak dapat dikawal pada bahagian muka yang lain.

Punca Mata Berkedip

Mata berkedip boleh berlaku tanpa sebab yang boleh dikenalpasti. Memandangkan ianya jarang menyebabkan masalah yang serius, puncanya juga jarang diperiksa.

Namun begitu, mata berkedip boleh disebabkan atau menjadi lebih teruk dengan beberapa sebab dibawah :

  • Rengsaan kepada mata
  • Ketegangan pada kelopak mata
  • Letih yang berlebihan
  • Gangguan tidur atau tidak cukup tidur
  • Senaman fizikal yang berlebihan
  • Kesan sampingan ubat-ubatan
  • Tekanan (stress)
  • Pengambilan alkohol, tembakau atau kafein berlebihan

Blepharospasm pula lebih sering berlaku pada perempuan lebih daripada lelaki dan kebiasaannya melibatkan individu berusia pertengahan hingga lewat dewasa. Punca sebenar blepharospasm masih belum diketahui namun terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan kekejangan menjadi lebih teruk. Antaranya termasuk :

  • Radang pada kelopak mata (blepharitis)
  • Radang pada selaput mata (conjunctivitis)
  • Mata kering
  • Rengsaan daripada persekitaran seperti angin, cahaya terang atau pencemaran udara
  • Letih berlebihan
  • Sensitif kepada cahaya
  • Tekanan (stress)
  • Pengambilan alkohol atau kafein berlebihan
  • Merokok

Masalah blepharospasm kebiasaannya menjadi lebih teruk dengan masa dan boleh membawa kepada komplikasi seperti penglihatan menjadi kabur, menjadi lebih sensitif terhadap cahaya dan kekejangan pada otot muka.

Simptom yang Berkaitan

Sepertimana yang telah disebutkan, mata berkedip kebiasaannya tidak mempunyai simptom lain yang spesifik. Berikut merupakan simptom bagi mata berkedip yang kronik iaitu blepharospasm. Ianya termasuk :

  • Kedipan mata bertambah
  • Kekejangan otot kelopak mata yang membuatkan mata tertutup sepenuhnya
  • Melibatkan kedua-dua belah mata
  • Kekejangan otot pada bahagian lain di muka
  • Mata menjadi rengsa apabila terdedah kepada cahaya terang
  • Kekejangan kebiasannya berlaku sehingga satu jam

Terdapat beberapa penyakit lain yang turut dikaitkan dengan masalah ini. Antaranya ialah :

  • Bell’s palsy merupakan lumpuh pada sebelah muka menyebabkan satu mata dan sudut mulut menjadi senget
  • Dystonia yang menyebabkan kekejangan otot yang tidak dapat dikawal
  • Multiple sclerosis merupakan penyakit yang melibatkan sistem saraf pusat
  • Tourette syndrome yang menyebabkan pergerakan badan dan suara yang tidak diinginkan dan tidak dapat dikawal

Ujian Pemeriksaan

Walaupun mata berkedip jarang mengakibatkan masalah serius, anda perlu mendapatkan nasihat doktor atau doktor pakar mata sekiranya :

  • Mata berkedip selama lebih dari seminggu
  • Kedipan mata membuatkan mata tertutup rapat
  • Kekejangan melibatkan otot muka yang lain
  • Kemerahan, radang atau cecair tidak normal keluar daripada mata
  • Kelopak mata bahagian atas kelihatan jatuh

Antara ujian pemeriksaan yang kebiasaanya dilakukan oleh doktor adalah termasuk :

  • Mengambil sejarah penyakit pesakit
  • Pemeriksaan mata melalui fundoscope atau slit lamp biomicroscope
  • Pemeriksaan visual acuity sekiranya mengalami masalah mata kabur
  • Pemeriksaan neurologikal bagi mengesahkan penyakit seperti Bell’s palsy, multiple sclerosis dan sebagainya. Sekiranya terdapat masalah melibatkan bahagian otak atau saraf, doktor anda akan merujuk anda pada doktor pakar yang terlibat.

Rawatan Mata Berkedip

Masalah ini kebiasaannya sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan setelah beberapa hari atau minggu. Sekiranya masih tidak berlalu, anda perlulah mengelakkan daripada antara punca-punca yang berpotensi untuk menyebabkan mata berkedip seperti tekanan, letih yang berlebihan, pengambilan kafein yang berlebihan dan sebagaimana yang telah disebutkan tadi.

Oleh yang demikian, anda boleh melakukan beberapa perkara tersebut, seperti :

  • Mengurangkan pengambilan kafein
  • Mendapatkan tidur yang cukup
  • Mengelakkan mata menjadi kering dengan penggunaan ubat titis mata
  • Melakukan kaedah tuam pada mata apabila mata mula berkedip

Antara rawatan bagi blepharospasm pula ialah suntikan botulinum toxin (botox) bagi meredakan kekejangan dan pembedahan bagi kes blepharospasm yang teruk.  

Rujukan:

  1. Eyelid Twitch – Healthline
  2. Why Do My Eyes Twitch – WebMD
  3. American academy of ophthalmology
  4. Uptodate – blepharospasm

About Author

Siti Nuraidatul Amira bt Mohamad Anas merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Universiti Teknologi MARA. Beliau pernah memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Perubatan pada sesi 2018/2019. Selain itu, beliau pernah menyertai program sukarelawan kemanusiaan ke Cambodia dan Global Volunteering Program pada tahun 2019. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Nuraidatul Amira di SINI

Kenali Nuraidatul Amira melalui profil beliau di SINI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *