Skip to content

Rawatan Filling Gigi: Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Apakah itu rawatan filling gigi? Artikel ini akan membincangkan berkenaan prosedur filling gigi, komplikasi rawatan dan juga harganya.

Apa itu rawatan filling gigi?

Pernahkah anda hadir ke klinik gigi dan mendapatkan rawatan untuk menampal gigi anda yang berlubang? Jika jawapannya ya, anda telah menjalani rawatan filling gigi. Rawatan filling gigi atau tampalan gigi dijalankan untuk menampal atau mengisi lubang pada gigi yang disebabkan oleh kereputan atau karies.

Rawatan ini menggunakan beberapa jenis bahan tampalan mengikut kesesuaian kes dan kemahuan pesakit. Rawatan filling gigi boleh dilakukan pada setiap peringkat umur termasuklah kanak-kanak mahupun warga emas.

Keadaan yang memerlukan rawatan ini



Keadaan utama yang memerlukan rawatan ini adalah apabila gigi berlubang.

Gigi berlubang adalah disebabkan oleh karies gigi. Apabila anda makan sesuatu yang manis, bakteria akan menukar gula kepada asid seterusnya melarutkan mineral di dalam enamel gigi.

Selepas itu, enamel akan terhakis seterusnya menyebabkan lubang atau karies pada gigi. Selain itu, rawatan ini juga diperlukan sekiranya gigi sudah haus akibat perbuatan mengigit kuku atau masalah bruxism. Kadang-kala  tampalan lama sudah haus dan tidak lagi menyokong struktur gigi.

Pada masa kini, lebih ramai orang sedar dan cakna dari segi estetik maka, mereka mungkin membuat keputusan untuk menukar filling gigi yang lama kepada baharu. Keadaan ketiga adalah disebabkan trauma. Semasa trauma, gigi berkemungkinan patah atau retak. Oleh sebab itu, selepas rawatan untuk memulihkan kecederaan gigi, gigi akan ditampal semula mengikut struktur dan warna asal.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Prosedur Rawatan

Anda akan menjalani rawatan filling gigi di klinik gigi. Terdapat beberapa prosedur yang akan dilakukan untuk rawatan ini seperti:



1. Pemerhatian dan pemeriksaan

Doktor gigi akan melakukan pemeriksaan dan pemerhatian pada gigi terbabit. Gigi tersebut akan dikategorikan mengikut kadar reputan. Doktor akan menggunakan peralatan seperti periodontal probe dan cermin mulut untuk memeriksa gigi.

2. X-ray

Pesakit akan menjalani pemeriksaan x-ray pada gigi bertujuan untuk melihat sejauh mana kereputan gigi berlaku sama ada pada enamel, dentin atau ke pulpa gigi. Dari situ, doktor gigi akan membuat keputusan mengenai jenis filling dan rawatan seterusnya.

3. Persediaan sebelum rawatan

Gigi sekitar akan dibersihkan dahulu dari sisa makanan dan plak. Doktor gigi akan menyuntik ubat kebas sekiranya gigi tersebut mempunyai lubang reput yang besar dan serius. Doktor akan meletakkan helaian rubber dam untuk mengisolasikan gigi yang akan ditampal.

4. Semasa rawatan

Lubang karies akan dibersihkan dan dibuang menggunakan drill atau alat handpiece sertapelbagai jenis bur. Pada permulaan, doktor gigi akan menggunakan handpiece kelajuan tinggi untuk membuang reput dan enamel yang tidak disokong. Selepas drill sampai ke bahagian dentin, handpiece kelajuan rendah akan digunakan.



Selepas semua karies dibuang, doktor gigi akan membentuk ruang pada gigi untuk meletakkan tampalan. Jika reput menghampiri akar gigi, liner akan diletakkan untuk melindungi saraf.

Untuk tampalan berwarna, doktor akan meletakkan acid etch dan dental bonding agent. Bahan-bahan ini diperlukan untuk menguatkan tampalan. Selepas itu, tampalan composite resin akan diletakkan secara berperingkat diselangi dengan kaedah istimewa light cure untuk mengeraskan tampalan ini.

Selepas itu, doktor akan menggunakan bur untuk menyiapkan dan menggilap filling gigi tersebut.

Untuk filling seperti amalgam, doktor akan meletakkan amalgam pada lubang gigi yang telah bersih serta dibentukkan dan mengukir mengikut struktur gigi.

5. Selepas rawatan

Doktor akan memeriksa gigitan pada pesakit sama ada filling tersebut diletakkan sesuai dengan ketinggian gigi. Jika pesakit mengadu tidak selesa, filling akan dibentuk dan dibunag sedikit mengikut keselesaan pesakit.

Pesakit juga digalakkan untuk melakukan pemeriksaan susulan untuk filling gigi tersebut.

Apa perlu dibuat selepas rawatan

  1. Elakkan minum minuman panas untuk beberapa jam.
  2. Elakkan mengunyah sehingga rasa kebas hilang.
  3. Memberus gigi dan berkumur secara berhati-hati.

Komplikasi rawatan

Sensitiviti



Gigi mungkin akan sensitif pada tekanan, udara, makanan manis atau sejuk selepas rawatan. Sensitiviti akan menurun selepas satu atau dua minggu. Jika tidak hilang, sila berjumpa dengan doktor anda semula.

Sakit

Anda juga mungkin berasa sakit selepas ubat kebas mulai hilang kerana tampalan terlalu tinggi. Anda perlu berjumpa semula dengan doktor gigi untuk mengurangkan ketinggian filling gigi.

Alahan

Anda juga mungkin mengalami alahan pada bahan tampalan seperti amalgam. Anda boleh mengubah filling kepada jenis lain.

Jenis filling gigi

  1. Amalgam (berwarna kelabu)- Campuran logam seperti merkuri, perak dan lain lain. Jarang digunakan sekarang.
  2. Composite (berwarna gigi)- Campuran resin dan glass. Pilihan utama pada masa sekarang.
  3. Glass ionomer (berwarna gigi)- Powdered glass, boleh mengeluarkan floride untuk membantu mengelakkan reput berlaku.
  4. Gold fillings- Inlay atau onlay yang dibuat di makmal dan diletak pada gigi. Jenis restorasi tidak langsung.

Harga rawatan

Di klinik kerajaan, harga bagi rawatan tampalan gigi kekal bagi pesakit luar adalah RM 2.00. Manakala bagi klinik swasta pula berharga di antara RM 50.00 sehingga RM 200.00 bergantung pada lokasi.

Rujukan

  1. What is a Filling? Colgate.
  2. What are NHS fillings and crowns made of. NHS UK.
  3. Dental Filling Options. Mouth Healthy by American Dental Association.
  4. Tooth Coloured Fillings. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − 13 =