Kata-kata wanita di depan saya itu buat saya terkesima seketika.
Terbayang kembali suasana riuh di meja makan sebentar tadi. Kami ditakdirkan duduk semeja di majlis makan malam ketika itu, di salah sebuah restoran Arab yang terkemuka di Kuala Lumpur. Tiada satu susuk tubuh pun yang saya kenali di majlis itu kecuali suami saya. Yang saya tahu 8 orang staf yang duduk bersama kami malam itu adalah suami isteri. Kata suami sayalah.
Dalam terkial-kial saya menyuap makanan sambil tangan kiri menggendong anak saya yang baru berumur 2 bulan ketika itu, wanita di sisi saya itu tampil menawarkan pertolongan.
“Biar saya pegang dia ye Dr..”, sapanya ramah.
Lansung saya serahkan anak saya padanya. Sambil membelai-belai anak saya, suaminya di sebelah mengusik,
“Aih, teringin nak baby lagi ke.. ” kata suaminya mesra sambil tersenyum.
Wanita itu menjeling, nampak malas nak melayan suaminya.
Kelihatan suaminya bertambah galak mengusik, ‘Kalau nak baby lagi boleh je..bagi saya kawen lagi sorang. Haha’, kata-kata suaminya disambut dengan ketawa oleh 2 orang lagi staf lelaki yang duduk di sebelahnya.
“Buatlah kalau berani.”, wanita itu mendengus sambil tangannya erat memeluk bayi saya. Sambil itu dia tersenyum nipis memandang saya.
Saya membalas senyumannya. Faham akan riak wajahnya begitu setelah menjadi penonton setia ‘drama’ sebabak sebentar tadi. Minda saya juga sibuk memikirkan maksud di sebalik gurauan mereka tadi.
Kalau nak baby, kenapa kena kahwin lain?
Kenapa kena bergurau macam tu?
Nak baby minta sajalah isteri mengandung.
Atau..
Isterinya dah tak boleh mengandung?
Segala jenis diagnosis muncul di benak saya.
Saya bermonolog sendirian menebak jawapan sendiri.
Ish lelaki. Balik-balik bab kawin dua je yang dijadikan modal mengusik.
Hati saya terasa jengkel seketika. Mungkin kerana saya juga wanita.
Usai makan, meja agak lengang. Kaum lelaki mengambil giliran solat maghrib di tingkat atas.
‘Terima kasih tau kak tolong tadi..’ saya membuka bicara melihatkan meja sudah pun lengang. Hanya kami berdua saja.
‘Alah..tak ada apa sangat la Dr.. saya memang suka baby’. Katanya sambil mencuit pipi anak saya.
‘Sebenarnya saya dah tak boleh mengandung Dr..dah BTL dah.’, katanya tanpa berselindung.
‘Oh..akak da ada berapa orang anak?’
‘3 orang anak saya’, jawabnya.
‘Oh..tiga-tiga czer la tu ye? Lepas tu BTL..’
‘Ya Dr..tiga-tiga czer. Takde rezeki nak bersalin biasa. Emm, sebab tu saya malas nak jawab kalau orang tanya bila nak mengandung lagi semua. Cerita kat Dr kan senang..’, katanya sambil ketawa.
Saya turut ketawa kecil. Lega persoalan di minda dah terjawab. Patutlah suaminya mengusik begitu tadi.
‘Tak apalah kak..3 orang anak pun dah rezeki tu. Ada orang takde rezeki pun nak dapat anak..’kata saya memujuk.
‘Syukur je Dr..tapi yelah, stress bila orang yang jenis tak faham ni asyik tanya benda sama’, katanya mengakhiri perbualan kami.
Apakah itu Bilateral Tubal Ligation?
BTL adalah singkatan bagi ‘bilatetal tubal ligation‘ atau dengan kata lainnya bermaksud ‘ikat salur peranakan’.
Prosedur ini akan dilakukan apabila terdapat indikasi tertentu di mana kehamilan tidak boleh lagi berlaku, kerana sekiranya ia berlaku akan memudaratkan dan membahayakan nyawa wanita tersebut.
Doktor takkan sesekali melakukan BTL sesuka hati kepada pesakit tanpa sebarang indikasi.
Antara contoh keadaan yang memerlukan BTL adalah:
- Mereka yang sudah mempunyai anak yang ramai
- Ibu yang sudah meningkat usia
- Ibu yang akan mengalami kemudaratan jika mengandung
- Ibu yang mempunyai penyakit berisiko seperti kencing manis yang tidak terkawal, darah tinggi yang tidak terkawal, kanser dan sakit jantung yang serius.
- Melahirkan anak secara pembedahan sebanyak tiga kali/ empat kali (maksimum) di sesetengah hospital.
Berbalik pada cerita kakak tadi, dia mengaku agak tertekan bila kerap diajukan soalan tentang ‘bila nak pregnant lagi’.
Elakkanlah bertanya soalan yang sensitif terutamanya tentang zuriat, kerana setiap orang ada ceritanya masing-masing yang kita tidak tahu dan mungkin tak perlu ambik tahu pun.
Anak ramai itu rezeki .
Anak sikit pun rezeki juga.
Tak ada rezeki dapat anak pun rezeki juga, cuma rezeki dalam bentuk yang berbeza.
ALLAH itu kan Maha Adil.
Tiada yang lebih tiada yang kurang.
Semua diberi mengikut kehendakNya.
Ucapakan kata-kata yang baik dan doa yang baik-baik saja ya.❤️