Skip to content

Sumbangan Dunia Islam Kepada Penemuan Vaksin

Asal Usul Gerakan Antivaksin

Pada abad ke 18, iaitu sekitar tahun 1700, dunia barat atau lebih spesifiknya, di Britain telah diserang wabak Smallpox atau Cacar Air yang telah meragut begitu banyak nyawa terutamanya kanak-kanak.

Pada tahun 2020, dunia telah berdepan dengan wabak pandemik Covid 19 yang juga telah meragut jutaan nyawa manusia dalam tempoh hanya setahun. Beza antara tahun 2020 dengan tahun 1700 adalah kemajuan teknologi. Namun, ada satu hal yang tidak berubah iaitu, Golongan Antivaksin.

Golongan Antivaksin berasal daripada Negara Barat pada tahun 1800 iaitu 100 tahun selepas vaksin diperkenalkan di negara itu. Bila disebut perkataan “Barat”, akan ada manusia yang dangkal pemikirannya mengatakan apa-apa yang berasal dari Barat adalah jahat dan ia adalah konspirasi Iluminati, New World Order atau banyak lagi. Namun, tidakkah terfikir bahawa gerakan Antivaksin di Malaysia ini juga sebenarnya bearasal daripada Barat?

Islam dan Asal Usul Kaedah Vaksinisasi



Di Negara Barat pada ketika Wabak Smallpox sedang mengganas meragut nyawa, lain halnya dengan Dunia Islam dibawah kepimpinan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Kaedah “Inoculation”, kata lain yang merujuk kepada kaedah Vaksinasi telah meluas digunakan dan dianggap sebagai satu tradisi turun temurun dimana setiap warga menormalisasikan kaedah tersebut untuk melawan jangkitan wabak pembunuh. Kaedah tersebut sangat popular samada di Palestin, mahupun di Afrika Utara yang telah menggunakan kaedah “Inoculation” sebelum tahun 1700 lagi, lama sebelum Negara Barat mengenali kaedah ini.

Berdasarkan kajian-kajian moden, ada beberapa teori yang mengatakan bahawa kaedah “Inoculation” berasal daripada Arab, China dan India. Namun, menurut Arthur Boylston (2012), teori yang mengatakan kaedah “Inoculation” berasal daripada Arab adalah lebih tepat. Ini adalah berdasarkan kajian yang telah dibuat pada tahun 1768 oleh Chais dan Matthew Maty.

Oleh sebab itulah, bilamana idea dan tradisi “Inoculation” ini diperkenalkan kepada Dunia Barat, maka terdapat begitu banyak suara-suara sumbang yang menentang. Mungkin disebabkan ianya berasal dari Dunia Islam? Yang pada ketika itu dianggap sebagai kolot sehingga ada yang meremehkan kaedah tersebut kerana ia berasal daripada “ignorant people in ignorant societies”? Mungkin.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Vaksin dan Dunia Barat

Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan kaedah vaksin kepada Dunia Barat adalah Lady Mary Wortley Montagu, seorang Penulis terkenal dan Isteri kepada Duta Inggeris di Istanbul pada tahun 1716 – 1718. Oleh kerana beliau lama menetap di Turki, beliau mendapati masyarakat tempatan mempunyai kebiasaan yang tidak dilakukan oleh masyarakat Barat pada ketika itu iaitu kaedah “Inoculation”.

Sebelum timbulnya idea untuk menulis mengenai kaedah “Inoculation”, beliau terlebih dahulu telah mencuba sendiri kaedah tersebut kepada anak-anak mereka pada dua masa dan tempat yang berlainan. Untuk anak perempuan beliau, kaedah tersebut dilakukan oleh seorang Ahli Perubatan Greek pada April 1721, di England. Beliau kemudian meminta seorang lagi Ahli Perubatan yang bernama Charles Maitland yang bekerja dibawah Kedutaan Inggeris di Istanbul untuk melakukan kaedah yang sama kepada anak lelakinya.



Beliau begitu kagum dan tertarik dengan kaedah vaksinasi yang pada ketika itu dipanggil dengan panggilan “Inoculation” atau “Variolation”. Lady Montagu kemudian telah menulis beberapa siri surat yang menjelaskan dengan terperinci berkenaan kaedah tersebut dan surat-surat itu kemudian dihantar ke England. Terdapat begitu banyak bantahan yang diterima oleh beliau terutamanya daripada Pihak Gereja yang menentang sebarang intervensi yang mungkin dilihat sebagai cubaan melawan kuasa Tuhan dan tidak kurang juga daripada kalangan Ahli Perubatan sendiri pada zaman itu.

Beberapa tahun selepas itu, kajian saintifik berkenaan kaedah “Inoculation” telah dihantar kepada Royal Society pada tahun 1724 oleh Dr Emmanuel Timoni, yang bertugas di Istanbul. Penemuan ini juga dikuatkan dengan bukti-bukti sokongan daripada Cassem Aga, Duta Tripoli, yang membuktikan keberkesanan kaedah ini berdasarkan sejarah penggunaan kaedah tersebut yang telah lama dipraktikkan di Negara Islam. Pada tahun 1729, Cassem Aga adalah antara warga berbangsa Arab terawal yang telah dilantik sebagai Felo di Royal Society, sebuah Institusi Saintifik yang berprestij bertaraf dunia yang diasaskan oleh King Charles II pada 28 November 1660.

Kaedah “Inoculation” kemudiannya telah digunakan secara meluas di England dan Perancis, lama sebelum Edward Jenner, yang dikatakan orang pertama menemukan Vaksin.

Kesimpulan

Virus Covid 19 adalah berbahaya dan ianya wujud. Baru-baru ini, Virus Covid 19 telah dikesan bermutasi kepada strain yang lebih berbahaya. Kita tidak punya Alternatif yang banyak selain daripada menghalang rebakan dengan cara mematuhi SOP, memakai mask dan penjarakan sosial. Dengan usaha mencipta Vaksin untuk melawan Covid 19 yang giat dilaksanakan, golongan Antivaksin usahlah memperlekeh dan mempengaruhi masyarakat dengan momokan-momokan mengarut dan tidak bertanggungjawab. Serahkan urusan ini kepada ahlinya. Kebinasaan dunia akan terjadi apabila sesuatu urusan itu diberikan kepada yang bukan ahlinya. Ubat bagi kebodohan itu adalah dengan bertanya kepada yang tahu.

RUJUKAN

  1. Priya Shetty, Arabic roots of modern medicine. Published The Lancet:July 02, 2011 DOI:https://doi.org/10.1016/S0140-6736(11)61004-0
  2. Boylston A. (2012). The origins of inoculation. Journal of the Royal Society of Medicine105(7), 309–313. https://doi.org/10.1258/jrsm.2012.12k044
  3. Islam and Vaccines by Mohammad Mustaqim Malek. New Straits Times
  4. Inoculation from East to West – 1001 Inventions – 1001Invetions
  5. History of Anti-vaccination Movements | History of Vaccines – History of Vaccines
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7 + eighteen =