Apakah cara rawatan untuk putihkan gigi? Artikel ini akan membincangkan punca kepada berlakunya kekuningan gigi dan juga cara-cara yang boleh diambil untuk putihkan gigi.
Dalam era Covid-19 ini, Malaysia lebih mementingkan penggunaan sesawang media seperti Zoom, Googlemeet dan CiscoWebex sebagai alternatif baru untuk berinteraksi. Dengan kehadiran pelbagai aplikasi sosial media baharu juga seperti Tiktok yang menjadi tarikan ramai dan juga platform untuk individu mempopularkan diri mereka, maka tidak hairanlah rawatan pemutihan gigi merupakan salah satu rawatan yang amat digemari ramai.
Bagaimana Perubahan Warna Gigi Terjadi?
Perubahan warna gigi merupakan salah satu masalah yang sering dihadapi oleh pesakit-pesakit yang datang ke klinik gigi tidak kira kanak-kanak ataupun dewasa. Perubahan ini adalah bersifat multifaktorial di mana ia dibahagikan kepada intrinsik dan extrinsik.
Intrinsik
- Perubahan warna yang berlaku di dalam struktur gigi disebabkan faktor dalaman
- Boleh berlaku sejak proses pertumbuhan gigi ataupun selepas pertumbuhan gigi yang lengkap
- Karies, ubat-ubatan, trauma, masalah kesihatan ataupun faktor genetik
Extrinsik
- Perubahan warna yang berlaku di permukaan luar struktur gigi disebabkan faktor luaran
- Minuman seperti kopi, teh, air berkarbonat dan makanan yang mengandungi pewarna
- Tabiat merokok, pengunaan tembakau dan mengunyah sireh pinang
- Penggunaan bahan kumur yang mngandungi klorheksidina (Chlorhexidine) secara berpanjangan
Apakah itu Rawatan Pemutihan Gigi?
Sehingga kini, terdapat dua konsep pemutihan gigi iaitu ‘vital bleaching’ dan ‘non-vital bleaching’.
Vital bleaching
Proses pemutihan gigi yang dilakukan pada luar struktur gigi untuk menghilangkan kekuningan dan kekusaman menggunakan bahan aktif peroksida.
Non vital bleaching
Proses pemutihan gigi yang dilakukan di dalam gigi yang telah menjalani rawatan akar yang berubah warna disebabkan kehilangan saluran darah.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
5 Cara Terbukti Berkesan untuk Gigi Sentiasa Putih
Artikel ini akan membincangkan cara-cara yang terbukti berkesan dan selamat untuk memastikan gigi sentiasa putih dari peringkat individu sehingga ke peringkat yang lebih professional.
1. Penjagaan kebersihan mulut yang optimum
Kondisi mulut dan gigi yang bebas dari pengumpulan bakteria mampu mengelakkan penyakit kronik seperti karies dan masalah gusi yang menjadi punca perubahan warna dan struktur gigi itu sendiri
Kekerapan memberus gigi dengan teknik yang betul, penggunaan ubat gigi berfluorida serta tabiat ‘flossing’ mampu memastikan mulut dalam keadaan terbaik
2. Cegah perubahan warna gigi sebelum ia berlaku
Kopi, teh, dan minuman berkarbonat berpotensi besar untuk menghakis gigi dan meninggalkan warna disebabkan sifat asidiknya.
Kurangkan pengambilan dan limitkan kontak masa bahan-bahan ini dengan permukaan gigi dengan memberus gigi sebaik sahaja selesai menikmatinya.
Alternatif lain adalah dengan menggunakan straw atau berselang-seli dengan air mineral.
3. Berhenti merokok!
Merokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah antara salah satu faktor terbesar kekuningan gigi. Ini adalah disebabkan kekerapan merokok serta kandungan rokok itu sendiri yang mempunya bahan pewarna yang berkonsentrasi tinggi.
4. Penggunaan kit pemutih gigi ‘over the counter’ (OTC) ataupun professional
Kit pemutih gigi professional yang diperolehi dari doktor gigi mempunyai konsentrasi hidrogen peroksida yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kit pemutih gigi OTC dan terbukti lebih mahal kerana lebih tertumpu kepada pesakit itu secara individual.
Kit pemutih gigi kebiasaannya mengandungi jalur pemutih, dulang dan berus mikro untuk memudahkan aplikasi bahan pemutih gigi serta cara-cara aplikasi bagi memudahkan pengguna namun ia bergantung kepada jenama barang tersebut.
5. Professional ‘Teeth Whitening’
Rawatan pemutihan gigi ini dijalankan di dalam klinik gigi sendiri dan mempunyai pelbagai tawaran pilihan bergantung kepada keperluan pesakit
Ini adalah kaedah rawatan pemutihan gigi yang amat digalakkan kerana rawatan ini bersifat komprehensif dan memaparkan hasil yang lebih bermutu disamping ia dijalankan oleh doktor gigi yang bertauliah.
Kaedah ini juga dapat mengelakkan masalah-masalah gigi nipis, gigi sensitive ataupun kecederaan gusi yang kebiasaannya berlaku dalam rawatan pemutihan gigi sendiri di rumah.
Terdapat pelbagai alternatif lain untuk mendapatkan gigi yang lebih putih seperti pemakaian Veneers di mana selapis nipis bahan restorasi dilekatkan kepada permukaan hadapan gigi namun prosedur ini agak mahal jika dibandingkan dengan proses ‘tooth whitening’. Alternatif lain seperti penggunaan arang aktif, kulit buah dan cuka tidak digalakkan kerana tidak mempunyai bukti saintifik yang kukuh serta kesan sampingan walaupun terbukti mampu memutihkan gigi.
Diharapkan artikel cara putihkan gigi ini dapat membantu para pembaca untuk mendapat gigi yang putih dan sihat.
Bacaan Tips yang lain:
Rujukan:
- Gigi Berubah Warna – Portal MyHealth
- Pemutihan Gigi, Apakah Kesan Kepada Gigi? – Dr Anis. The Malaysian Medical Gazette
- 10 Secrets to Whiter Teeth – WebMD
- 6 Simple Ways to Naturally Whiten Your Teeth at Home – Healthline
- What You Should Know About The Different Types of Teeth Whitening – Perfect teeth