Skip to content

Pendakap Gigi (Braces): Kegunaan dan Penjagaan

Apakah itu pendakap gigi(braces), kegunaannya dan cara untuk menjaga alat ini? Artikel ini akan membincangkan berkenaan pendakap gigi secara lengkap beserta penggunaannya.

Apa itu Pendakap Gigi?

Setiap individu menginginkan rupa yang cantik pada diri mereka. Ini termasuklah keadaan gigi dan mulut. Namun begitu, sebahagian daripada masyarakat mempunyai masalah gigi tidak terurus dan gigitan tidak rata. Oleh sebab itu terdapatnya rawatan ortodontik iaitu pendakap gigi (braces) yang digunakan untuk membetulkan masalah gigi yang tidak terurus. Pendakap gigi adalah satu alat untuk membetulkan dan meluruskan gigi serta membaiki kedudukan gigitan gigi di dalam sesebuah rahang.

Jenis Pendakap gigi

Terdapat beberapa jenis pendakap gigi, antaranya adalah:



1. Pendakap gigi besi/ Tradisional

Pendakap gigi jenis ini diperbuat dari wayar keluli tahan karat dan braket besi yang dilekatkan ke gigi menerusi sejenis simen. Braket ini disambungkan bersama menerusi wayar arkus yang memberikan tekanan pada gigi untuk bergerak ke posisi yang betul.

Wayar arkus disambungkan ke braket dengan menggunakan getah pengikat yang akan ditukar oleh doktor gigi setiap kali pendakap gigi diketatkan.

2. Pendakap gigi seramik

Kaedah penggunaannya sama seperti pendakap gigi besi, tetapi braket diperbuat dari bahan seramik yang jelas dan telus. Pendakap gigi jenis ini semakin popular kerana braketnya tidak terlalu nyata dari segi pandangan.



3. Pendakap gigi lingual

Ia adalah sama seperti pendakap gigi tradisional kecuali braket dan wayar diletakkan di bahagian dalam gigi iaitu bahagian lelangit dan lidah. Pendakap gigi ini langsung tidak kelihatan dari luar namun ianya susah dibersihkan dan lebih mahal.

4. Invisalign

Invisalign adalah sejenis pendakap gigi yang berupa seperti plastik jernih. Ia dibuat khas mengikut keadaan dan bilangan gigi pesakit. Ia juga menyerupai pelindung gigi (mouth guard).

Invasalign boleh dibuka ketika makan dan pesakit boleh menukarnya setiap 2 minggu. Setiap pendakap gigi yang baru akan mengubah kedudukan gigi.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Indikasi

Bukan semua pesakit perlu memakai pendakap gigi, terdapat beberapa kriteria dan indikasi bagi membolehkan pesakit memakainya, contohnya:

  • Gigi yang terlalu padat dalam sesebuah rahang
  • Ruang yang terlalu banyak di antara gigi
  • Gigi hadapan atas yang bertindih terlalu banyak dengan gigi hadapan bawah, sama ada secara menegak atau melintang (gigi jongang)
  • Gigi hadapan atas berada di belakang gigi hadapan bawah apabila mengigit
  • Masalah rahang yang tidak seimbang lalu menyebabkan gigitan tidak sekata

Prosedur yang Dilakukan Untuk Pemasangan Pendakap Gigi

Terdapat beberapa prosuder yang perlu dijalani ketika membuat rawatan pendakap gigi ini. Ia adalah:

1. Konsultasi



Sebelum janji temu rasmi pertama, pesakit akan mendapat konsultasi dari pakar ortodontik. Gigi anda akan diperiksa dan rawatan bersesuaian akan dicadangkan.

2. Sebelum rawatan

Gigi pesakit perlu dibersihkan dahulu secara professional. Jika pesakit perlu rawatan gigi lain seperti masalah periodontal/gusi atau cabutan, doktor gigi akan mengesyorkan supaya isu ini diselesaikan dahulu.

3. Lawatan pertama

Keseluruhan gigi dan mulut pesakit akan diambil x-ray. Gambar muka, gigi dan mulut pesakit juga akan diambil. Selain itu, doktor gigi juga akan mengambil acuan gigi untuk dijadikan rekod dan model gigi. 

4. Mendapat pendakap gigi

Doktor gigi akan mengeringkan gigi pesakit dan meletakkan bahan pelekat untuk memastikan ruang gigi pesakit sesuai untuk dilekatkan. Selepas itu, pendakap gigi akan diletakkan pada gigi dengan menggunakan simen dan dikeraskan supaya braket akan kekal pada tempatnya. Akhir sekali, wayar arkus akan diletakkan menerusi braket dan dipegang oleh getah pengikat.

5. Janji temu seterusnya



Pesakit akan mendapat 4-8 minggu untuk menyesuaikan diri sebelum membuat janji temu seterusnya. Doktor gigi akan memeriksa keadaan gigi dan menukar getah pengikat lama serta mengetatkan pendakap gigi. Janji temu ini akan dilakukan sehingga mendapat hasil gigi yang diinginkan.

Penjagaan Pendakap Gigi

Setelah memakai pendakap gigi, pesakit perlu membuat penjagaan rapi untuk mengelakkan masalah gigi lain timbul. Antara cara penjagaan yang disyorkan:

  • Berus gigi 2 kali sehari
  • Flos sekali setiap hari
  • Berus dan flos gigi secara berhati-hati untuk mengelakkan braket dan wayar rosak
  • Menggunakan ubat gigi berflorida
  • Menggunakan ubat kumur mulut untuk membersihkan mulut
  • Mengelakkan snek yang boleh tersekat pada celah gigi
  • Mengelakkan makanan melekit
  • Tidak menggigit makanan keras yang boleh merosakkan pendakap gigi
  • Sentiasa hadir janji temu yang telah diberikan oleh doktor gigi

Komplikasi Penggunaan Fake Braces

Pada masa kini, terdapat satu trend yang semakin popular di kalangan masyarakat iaitu fake braces atau pendakap gigi palsu. Pendakap gigi palsu adalah bahaya sama sekali kerana dibuat oleh individu yang tidak bertauliah dan tidak berlesen. Terdapat banyak komplikasi negatif akibat pemakaian pendakap gigi palsu, iaitu:

  • Kesan dari pelekat boleh menghakiskan lapisan gigi
  • Karies gigi dan gusi berdarah boleh berlaku kerana tiada nasihat penjagaan yang diberikan selepas pemasangan pendakap gigi
  • Boleh menyebabkan perubahan posisi gigi yang tidak diingini
  • Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat beberapa kes fake braces yang dilaporkan menyebabkan pergerakan gigi dan hampir tercabut dari gusi.

Rujukan:

  1. Are You Wearing Braces?. Kementerian Kesihatan Malaysia.
  2. What Are the Different Types of Braces, and Which Is Right for Me?. Colgate.
  3. Braces. Mouth Healthy by American Dental Association.
  4. Types of Braces and Treatment. 3M.
  5. Fake Braces. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + seven =