Skip to content

Ubat Cephalexin: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat cephalexin? Artikel ini akan membincangkan berkenaan kegunaan ubat cephalaxin, dos dan kesan sampingan ubat ini

Pengenalan

Cephalexin merupakan sejenis antibiotik iaitu ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Oleh yang demikian, ianya tidak berkesan untuk penggunaan bagi merawat penyakit yang disebabkan oleh virus seperti demam biasa, selesema dan bronchitis akut. Cephalexin berada dalam kumpulan generasi pertama antibiotik Cephalosporin. Ianya merupakan antibiotik berspektrum luas yang bertindak merawat bakteria dari gram positif dan juga gram negatif. Artikel ini membincangkan tentang penggunaan, penyimpanan dan kesan sampingan dan beberapa perkara lain bagi antibiotik Cephalexin.

Penggunaan

Berikut merupakan jenis jangkitan yang boleh dirawat dengan penggunaan Cephalexin. Antaranya ialah :

  • Jangkitan kulit dan tisu lembut
  • Jangkitan saluran kencing
  • Jangkitan saluran pernafasan atas (URTI)
  • Jangkitan telinga bahagian tengah (otitis media)
  • Jangkitan pada tekak (Streptococcal pharyngitis)
  • Jangkitan tulang dan sendi


Cephalexin diambil secara makan mengikut dos yang telah ditetapkan oleh doktor, kebiasaannya setiap 6 hingga 12 jam sebelum atau selepas makan. Dos yang ditetapkan doktor adalah bersesuaian dengan penyakit dan keadaan pesakit. Dos bagi kanak-kanak dikira mengikut berat kanak-kanak tersebut. Penggunaan antibiotik haruslah mengikut dos yang telah ditetapkan oleh doktor atau ahli farmasi kerana penggunaan antibiotic secara tidak tepat atau berlebihan boleh menyebabkan kerintangan antibiotik.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Berikut merupakan cara menyimpan antibiotik Cephalexin :

  • Kapsul  atau tablet Cephalexin hendaklah disimpan suhu bilik antara 20-25’C dan hindari daripada cahaya matahari.
  • Serbuk bagi suspensi oral hendaklah disimpan pada suhu 20-25’C atau disimpan sejuk pada 2-8’C. Selepas 14 hari, ubat yang tidak digunakan hendaklah dilupuskan.
  • Ubat hendaklah dijauhkan daripada kanak-kanak dan haiwan peliharaan

Cephalexin dengan jenama yang berbeza mungkin mempunyai cara simpanan yang berbeza. Oleh yang demikian, anda hendaklah membaca pada label pakej ubat tersebut atau bertanya ahli farmasi tentang penyimpanan ubat yang lebih tepat.

Cara Ubat Berfungsi

Cephalexin berfungsi dengan menghalang penghasilan dinding sel pada bakteria dengan bercantum dengan 1 atau lebih Penicillin-binding-protein (PBP). Penicillin-binding-protein membantu dalam penghasilan peptidoglycan yang merupakan komponen penting bagi dinding sel bakteria. Hal ini menghalang proses pembiakan bakteria.

Cephalexin diserap dengan pantas dan hampir sepenuhnya melalui salur pencernaan serta diedarkan pada keseluruhan tisu badan dan cecair kecuali cecair cerebrospinal. Seterusnya, ia disingkirkan melalui air kencing.

Kesan Sampingan



Antara kesan sampingan cephalexin adalah termasuk :

  • Reaksi hipersensitiviti seperti ruam, urtikaria atau gegata, angioedema (bengkak pada wajah atau bibir)
  • Cirit – birit
  • Sakit perut
  • Loya atau muntah
  • Sakit kepala atau pening
  • Kesan sampingan yang lebih teruk seperti sawan, susah bernafas, sakit untuk buang air kecil dan sebagainya.

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang telah disebutkan, anda hendaklah merujuk kembali kepada doktor perubatan anda.

Peringatan

Berikut merupakan beberapa peringatan sebeleum mengambil antibiotik cephalexin. Antaranya termasuk :

  • Anda hendaklah memberitahu doktor atau pegawai farmasi anda sekiranya anda mempunyai alahan terutama alahan bagi antibiotik penicillin atau antibiotik dalam kumpulan cephalosporin yang lain dan juga sebarang alahan kerana antibiotik tersebut mungkin mengandungi bahan tidak aktif yang boleh mendatangkan alahan kepada anda.
  • Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan seperti kegagalan buah pinggang dan masalah saluran usus seperti colitis.
  • Ibu mengandung dan juga menyusukan anak perlu mendapatkan nasihat doktor perubatan berkaitan risiko sebelum mengambil antibiotik tersebut.

Interaksi Antara Ubat

Terdapat beberapa ubat yang mempunyai interaksi dengan antibiotik cephalexin dan boleh menyebabkan kurang keberkesanan cephalexin atau meningkatkan kesan sampingan apabila diambil bersama cephalexin. Interaksi antara ubat mungkin menyebabkan anda harus berhenti mengambil salah satu daripadanya. Oleh yang demikian, anda perlulah mendapatkan nasihat doktor dan sentiasa memaklumkan doktor perubatan anda tentang sejarah ubatan yang anda ambil. Berikut merupakan beberapa jenis ubat yang sering mempunyai interaksi dengan antibiotik cephalexin :

  • Metformin – penggunaan cephalexin bersama metformin yang merupakan agen oral hypoglycaemic boleh meningkatkan kepekatan metformin dalam darah dan mengurangkan pembersihan metformin melalui ginjal
  • Probenecid boleh menghalang pembuangan cephalexin melalui ginjal
  • Cephalexin juga boleh mengurangkan keberkesanan pil perancang yang mengandungi estrogen
  • Seterusnya, rawatan serentak dengan cephalosporins dos tinggi dan diuretik boleh memberi kesan buruk pada buah pinggang

Kesan Terlebih dos

Antara simptom terlebih dos termasuk seperti loya, muntah, sakit perut, cirit-birit, darah dalam air kencing serta sawan. Sekiranya anda atau orang terdekat terlebih dos dan mengalami simptom seperti yang disebutkan hendaklah mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Namun, sekiranya terlupa untuk mengambil dos yang telah ditentukan, adalah dinasihatkan untuk mengambil antibiotik cephalexin dengan segera namun tidak perlu mengambil dos secara dua kali ganda.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 − 12 =