Skip to content

Ubat Diclofenac: Kegunaan, Dos dan Kesan Sampingan

Terdapat pelbagai jenama atau brand untuk ubat Diclofenac iaitu Voren atau Voltaren. Apakah fungsi, dos dan kesan sampingan ubat tahan sakit ini. Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan perkara tersebut.

Pengenalan

Ubat Diclofenac merupakan ubat di bawah kategori Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs yang juga sering disingkatkan panggilannya sebagai (NSAIDs). Ubat tahan sakit boleh diambil melalui mulut iaitu jenis tablet, kapsul dan cecair, melalui suntikan oleh doktor dan melalui dubur iaitu suppository. Terdapat juga ubat tahan sakit dalam bentuk krim dan ointment yang boleh disapu di permukaan kulit. NSAIDs ialah satu kelas ubat yang mempunyai kesan anti-radang dan penurunan suhu badan selain kesan melegakan kesakitan yang juga dikenali sebagai analgesik dalam dunia perubatan.

 Selain diclofenac, ibuprofen, naproxen, aspirin, ketorolac, mefenamic acid, ketoprofen, meloxicam, celecoxib adalah contoh-contoh ubat NSAIDs. Walaupun perbezaan dalam aktiviti anti-radang antara NSAIDs adalah kecil, namun terdapat perbezaan dalam tahap toleransi dan tindakbalas dalam badan setiap individu terhadap ubat-ubatan tersebut. Menurut kupasan melalui laman sesawang portal MyHealth oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pula menyatakan bahawa, kelegaan pada kesakitan akan mula tidak lama selepas pengambilan dos pertama dan kesan analgesik penuh biasanya diperolehi dalam masa seminggu, manakala kesan anti-radang mungkin tidak dapat dirasai sehinggalah 3 minggu.

Cara Ubat Berfungsi



Diclofenac berkesan melegakan kesakitan muskuloskeletal dan sendi yang ringan hingga sederhana contohnya bagi penyakit gout, artritis rheumatoid dan osteoartritis. Kegunaan lain termasuk melegakan kesakitan selepas pembedahan, sakit senggugut, sakit gigi dan lain-lain. Kesan anti-radang nya disebabkan dari kemampuan ubat itu untuk mengurangkan aktiviti prostaglandin di tempat keradangan, serta efektif untuk menghalang pengeluaran atau tindakan mediator kimia lain daripada reaksi keradangan/inflamasi.

Sebagai contoh, bagi mereka yang menghidapi sakit sendi dan sakit belakang akan dipreskrib ubat ini kerana untuk penyakit tersebut, kebiasaannya inflamasi turut berlaku dan dengan ubat diclofenac dapat merawat sakit beserta keradangan tersebut. Walaubagaimanapun NSAIDs mempunyai beberapa kesan sampingan dan mungkin tidak sesuai untuk semua orang. NSAIDs tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah gastrik ataupun ulser di dalam perut. Dalam kes-kes seperti ini biasanya doktor atau ahli farmasi akan memberikan ubat yang lebih sesuai kepada pesakit.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penggunaan

Jika mengambil ubat tablet, telan ubat ini secara keseluruhan selepas makan. Jangan menghancurkan, mengunyah, atau memecahkan tablet. Melakukannya boleh merosakkan lapisan khas pada tablet dan boleh meningkatkan kesan sampingan.

Nama Brand

Antara contoh nama-nama brand untuk ubat diclofenac ini termasuklah Voltaren, Difnal, Cataflam. Ubat diclofenac generik keluaran pengilang ubatan tempatan pula Zolterol, Voren, Axcel dan lain-lain lagi.

Kesan Sampingan

Menurut informasi bertulis daripada laman sesawang portal MyHealth, antara contoh reaksi alahan adalah seperti ruam, kegatalan kulit, kesukaran bernafas, dan bengkak di bahagian muka. NSAIDs boleh menyebabkan pendarahan pada saluran gastrousus. Risiko pendarahan ini adalah rendah bagi pengguna yang jarang mengambil NSAIDs, dan tinggi bagi yang mengambilnya secara kerap atau setiap hari dalam dos yang tinggi. Risiko juga meningkat terutamanya bagi golongan yang berumur lebih daripada 65 tahun, mempunyai sejarah ulser perut, dan mengambil ubat cair darah dan/atau kortikosteroid, merokok dan mengambil minuman beralkohol.



Pastikan anda memberitahu doktor dan ahli farmasi anda tentang semua produk yang anda gunakan termasuklah ubat-ubatan preskripsi yang lain, ubat bukan preskripsi, dan produk-produk herba. Untuk mengurangkan risiko kesan sampingan seperti pendarahan perut, gunakan ubat ini pada dos efektif paling rendah untuk jangka waktu sesingkat mungkin. Jangan meningkatkan dos anda atau mengambilnya lebih kerap daripada yang ditetapkan. Untuk keadaan kronik seperti arthritis, teruskan mengambilnya seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Bincangkan risiko dan faedah dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Kesan Terlebih Dos

Sesetengah individu juga akan berisiko tinggi mengalami kesan sampingan jantung dan buah pinggang. Risiko ini meningkat dengan peningkatan dos dan tempoh penggunaan NSAIDs, dalam pengguna yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, darah tinggi, kencing manis, tahap kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang dan individu yang pernah mangalami strok.

Penting bagi anda untuk menyimpan senarai bertulis semua ubat-ubatan preskripsi dan bukan preskripsi yang anda ambil, serta produk seperti vitamin, mineral, atau makanan tambahan yang lain. Anda mesti membawa senarai ini setiap kali anda berjumpa doktor atau jika anda dimasukkan ke hospital. Maklumat penting juga untuk dibawa sekiranya berlaku kecemasan.

Interaksi antara Ubat

Seperti ubat-ubatan yang lain, pil makanan tambahan kalsium juga boleh berinteraksi apabila diambil bersama dengan ubat-ubatan lain. Menurut rujukan bertulis daripada MIMS Malaysia, ia menyatakan bahawa diclofenak akan berinteraksi dengan ubat jantung seperti digoxin, ubat anti-diabetic, ubat pencair darah, ubat cyclosporin, ubat kanser seperti methotrexate, ubat  dan suplimen vitamin K.

Peringatan

Beritahu doktor dan ahli farmasi:

  • jika anda pernah atau pernah menghidap penyakit buah pinggang, hati, jantung atau ulser gastrousus dan perut .
  • jika anda hamil, merancang untuk hamil, atau sedang menyusukan bayi.

Penyimpanan Ubat:

Seperti ubat-ubatan yang lain, simpan ubat ini di tempat yang kering. Semestinya jauhkan strip atau kotak ubat-ubatan daripada kanak-kanak. Jangan makan selepas tarikh tamat tempoh yang tertera pada strip atau kotak ubat. Sebagai contoh “EXP: NOV 2022”, tarikh tamat tempoh ini merujuk kepada hari terakhir pada bulan yang dinyatakan itu. Tetapi kebanyakan kilang ubat kini telah menulis tarikh luputnya dengan lengkap seperti “30112022” di tepi atau belakang botol atau kotak ubat tersebut. Selain itu, anda juga dinasihatkan agar tidak memakan mana-mana ubat-ubatan setelah anda dapati perubahan pada rupa dan warna.

Sumber:

  1. Manfaat dan Risiko Ubat Penahan Sakit – MyHealth Portal
  2. Diclofenac – WebMD
  3. MIMS Malaysia
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − fourteen =