Skip to content

Ubat Paracetamol (Panadol): Dos dan Kesan Sampingan

Apakah dos, kegunaan dan kesan sampingan ubat paracetamol juga dikenali sebagai Panadol ini? Artikel ini akan membincangkan berkenaan kegunaan dan kesan sampingan ubat ini.


Orang selalu sebut, “Kalau demam makan Panadol”. Ungkapan sedemikian takkan pernah luput dalam ingatan semua. Selama masih hidup atas muka bumi ini, paracetamol [nama sebenar yang membawakan anda jenama Panadol dan Tylenol (nama jenama inovator)] adalah ubat yang sudah pun terbukti sejak generasi sebagai antara ubat yang berkesan untuk tahan sakit dan demam ringan di mana-mana serata dunia. Kali ini, kita akan mengupas sedikit berkenaan ubat ini.

Kegunaan

Paracetamol (juga dikenali dengan nama lain acetaminophen) adalah ubat yang boleh didapati di kaunter farmasi dan amat berguna dalam kebanyakan masa sebagai ubat tahan sakit dan demam. Biasanya ubat ini terdapat dalam pelbagai bentuk:

  • Tablet – biasanya 500 mg di hospital kerajaan, 650 mg/biji turut dijual di farmasi komuniti, juga ada disediakan dengan tablet mudah larut (Panadol Soluble, 500 mg paracetamol dan tambahan 425.5 mg garam sodium), tablet pelepasan berterusan (Panadol Extend, 665 mg paracetamol), tablet serapan cepat (Panadol Actifast, 500 mg paracetamol dan 173 mg garam sodium; Panadol Optizorb 500 mg paracetamol) dan ada dicampurkan bersama sesetengah ubatan lain:
    • Kafein (bahan aktif dalam kopi): diguna untuk melegakan sakit kepala dan migrain. Panadol Extra (500 mg paracetamol dan 65 mg kafein) antara contohnya.
    • Codeine (ubat tahan sakit jenis opioid): juga digunakan sebagai selsema serta digunakan selepas prosedur gigi. Panadiene (paracetamol 500 mg dan codeine 8 mg) adalah contohnya.
    • Pamabrom (sejenis ubat lawas kencing – membuang air dari badan): Campuran paracetamol bersama ubat ini kerap diberi untuk mengurangkan kesakitan dialami ketika datang bulan dan simptom-simptom yang kerap datang bersama keluaran darah haid seperti kembung perut, bengkak air, dan apa saja yang menyebabkan pertambahan berat badan dalam kalangan wanita haid. Panadol Menstrual (paracetamol 500 mg dan pamabrom 25 mg) adalah contoh utama.
    • Phenylephrine (dipasarkan sebagai Panadol Cold+ Flu-ND) atau phenylephrine dan chlorpheniramine (dalam Panadol Cold+ Flu-D): Phenylephrine digunakan untuk melegakan hidung tersumbat, dan chlorpheniramine (seperti dibincangkan dalam artikel lepas sebagai ubat selesema, gatal dan alahan). Digunakan bersama untuk mengurangkan kesakitan dan demam yang melibatkan reaksi selesema. Panadol Cold+ Flu-ND mengandungi paracetamol 500 mg dan 5 mg phenylephrine. Panadol Cold+ Flu-D pula mempunyai komposisi sama seperti Panadol Cold + Flu-ND, tetapi dengan campuran 2 mg chlorpheniramine.
  • Suntikan (cecair 10 mg/ml untuk infusi intravena)
  • Sirap untuk oral (kekuatan 120 mg/5 ml dan juga 250 mg/5 ml dengan pelbagai perisa)
  • Ubat dubur (supositori) 125 dan 250 mg


Kebiasaan pengambilan ubat ini adalah seperti berikut:

  • Ambil ubat sebelum/selepas makan.
  • Dewasa dan kanak-kanak 12 tahun ke atas:
    • Ubat oral berkekuatan 500 mg (juga termasuk Panadol biasa) boleh diambil 500 – 1000 mg (1 – 2 biji) 3 – 4 kali sehari. Maksimum mesti 4 g (4000 mg atau 8 biji) sehari. Sama juga untuk ubat oral campuran seperti kafein (Panadol Extra), pamabrom (Panadol Menstrual), codeine (Panadiene), phenylephrine (Panadol Cold+ Flu-ND) dan campuran phenylephrine dan chlorpheniramine (Panadol Cold + Flu-D). Penggunaan ubat campuran ini diingatkan hanya boleh dibenarkan untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas dan dewasa sahaja.
    • Ubat oral berkekuatan 650 mg: 1 – 2 biji 650 mg diambil 3 kali sehari. Maksimum tidak melebihi 4 g/hari (4000 mg atau dalam kes ini 6 biji/hari). Ini kebiasaannya berguna buat pesakit yang tidak mahu mengambil ubat terlalu banyak dalam satu-satu masa.
    • Panadol Soluble: Caranya perlu meletakkan ubat dalam 1 gelas air 250 ml dan biarkan ubat larut seketika dalam air dan kemudiannya habiskan minum ubat tersebut. Sama dos seperti Panadol biasa, tetapi perhatian perlu ditujukan buat mereka yang mengalami masalah komplikasi jantung dan darah tinggi kerana ubat ini mempunyai garam sodium yang tinggi. Perkara yang sama turut dilihat bagi Panadol Extend dan Actifast juga.
    • Ubat dubur: Sama seperti dos ubat biasa untuk dewasa dan 12 tahun ke atas.
    • Intravena (dalam darah): Bagi pesakit >33 ke ≤50 kg: 15 mg/kg setiap 4 – 6 jam jika perlu, maksimum mesti 3 g/hari, dan >50kg: 1 g 4 – 6 jam jika perlu, maksimum mesti 4 g/hari. Setiap pengambilan ubat berkenaan perlu diinfusi secara intravena selama 15 minit.
  • Pesakit kanak-kanak:
    • Dos kebiasaannya untuk kanak-kanak bawah 12 tahun adalah mesti 15 mg/kg diambil 3 – 4 kali sehari dan tidak boleh melebihi dos yang disyorkan. Sesetengah sirap mempunyai kekuatan yang berbeza – 120 mg/5 ml dan 250 mg/5 ml. Sebaiknya berbincanglah terus dengan farmasis anda tentang berapa banyak dos diberikan pada anak terlebih dahulu. Ambil maklum perisa kesukaan anak anda terlebih dahulu.
    • Dubur: Pesakit berusia 3 – 11 bulan kebiasaannya perlu mengambil 1 ubat supositori 80 mg, boleh digunakan sehingga 4 kali sehari dalam satu masa. Pesakit bawah 3 bulan mungkin tidak digalakkan diguna tanpa pengawasan doktor.
  • Pesakit kegagalan fungsi hati:
    • Oral: Ubat tidak boleh melebihi 3 g /hari. Pengurangan dos mungkin perlu digunakan untuk pesakit ini.
    • Suntikan intravena: Tidak boleh digunakan untuk pesakit kegagalan hati serius. Untuk ringan dan sederhana sahaja tidak boleh lebih 3 g/hari.
  • Pesakit kegagalan buah pinggang
    • Untuk pesakit mengalami kadar pembersihan kreatinin [creatinine clearance (CrCl)] kurang dari 30 ml/min, boleh dinaikkan selang masa pengambilan setiap 6 jam sekali, dengan maksimum ubat mesti bawah 3 g/hari.

Penyimpanan

Ubat tablet dan sirap (sirap ampaian atau sirap cecair) serta ubat suntikan disimpan dalam suhu antara 20-25°C, suhu dingin dan kering. Jauhkan daripada cahaya dan kelembapan. Supositori pula boleh disimpan dalam peti sejuk tetapi jangan disejukbekukan.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Ubat Nerfungsi

Sebelum ini dikatakan ubat ini berfungsi dengan merencat fungsi enzim cyclooxygnase-1 dan -2(COX-1 dan COX-2). Namun begitu kajian terkini menunjukkan sifat analgesik ubat paracetamol ini adalah disebabkan ia dapat merencat reseptor Transient Receptor Potential Vanilloid 1 (TRPV1) dan Cannabinoid 1 (CB1) dan ini dapat mengurangkan kesakitan yang di alami seseorang

Selain itu, pengurangan pelepasan perantara prostaglandin PGE1 dalam saraf pusat (otak) dan menghadang kemasukan pirogen dalaman seperti sitokinin dalam pusat kawalan suhu di hipotalamus otak adalah antara cara bagaimana ubat ini menurunkan suhu badan ketika demam.

Kesan sampingan

Jarang seseorang itu mengalami kesan sampingan ketika mengambil ubat ini. Akan tetapi ini adalah di antara kesan sampingan paracetamol yang mungkin boleh di alami oleh seseorang:

  • Kegatalan (bintik merah dekat kulit)
  • Sembelit
  • Loya dan muntah
  • Pening kepala
  • Sukar tidur
  • Gelisah
  • Atelektasis: komplikasi pernafasan menyebabkan paru-paru kempis sebahagian atau keseluruhannya
  • Kurang tekanan darah dan bacaan nadi tinggi (tachycardia) – jarang


Kesan yang jarang didapati termasuklah:

  • Sindrom Steven-Johnson, nekrosis epidermal toksisiti (melibatkan kulit)
  • Kegagalan fungsi hati (boleh menyebabkan kematian)
  • Pneumonitis (jangkitan tisu paru-paru)
  • Acute renal tubular necrosis – kemusnahan struktur tubular dalam sistem ginjal
  • Kekurangan sistem darah – leukopenia, neutropenia, agranulocytosis, pancytopenia

Penggunaan paracetamol kebiasaannya tidak digalakkan bagi golongan ini:

  • Kegagalan hati serius (dalam Tahap C Klasifikasi Child-Pugh) dan masalah berkaitan hati
  • Hipersensitiviti terhadap paracetamol

Peringatan (precaution)

  • Jangan melebihi dos disyorkan untuk ubat ini tidak mengira umur dan berat badan pesakit.
  • Peringatan juga buat golongan ini:
    • Kekurangan enzim glukosa-6-phosphatase (G6PD): penyakit genetik menyebabkan kerapuhan struktur sel darah merah kerana stres oksidasi, menghasilkan anemia. Namun begitu, ada pesakit yang tidak mempunyai masalah langsung selepas memakan ubat ini. Sebaiknya berbincanglah dengan doktor anda dahulu jika anda pesakit G6PD.
    • Ketagihan arak: menaikkan insiden kegagalan fungsi hati.
    • Malnutrisi dan dehidrasi
    • Kegagalan fungsi hati dan ginjal
    • Kanak-kanak (sebab itulah pemberian perlu mengikut berat badan)

Interaksi antara ubat

Seperti biasa dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika ada mengambil apa-apa ubat dan makanan. Berikut adalah contoh interaksi yang kerap dilihat.

  • Alkohol – menaikkan hepatotoksisiti dalam badan
  • Colestyramine (pengumpul asid hempedu) – mengurangkan penyerapan paracetamol
  • Metoclopramide, domperidone (ubat muntah) – menaikkan penyerapan paracetamol
  • Isoniazid (ubat TB), probenecid (ubat gout) – menaikkan kesan paracetamol
  • Levonorgestrel/ethinylestradiol (ubat perancang keluarga), ubat sawan (phenytoin, carbamazepine, valproic acid), herba St John’s wort – mengurangkan kesan paracetamol
  • Warfarin- meningkatkan kesan cair darah warfarin (kalau digunakan untuk masa lama)

Kesan terlebih dos

Terlebih mengambil paracetamol menyebabkan kesan toksik pada hati, biasanya tidak mengira umur, melibatkan pengambilan 200mg/kg atau 10g atau mana-mana yang berkenaan. Kesan keracunan biasanya disebabkan oleh penghasilan bahan perantaraan metabolisma paracetamol bernama N-acetyl-p-benzoquinoneimine, yang merosakkan struktur tisu hati.

Antara simptom yang biasa dilihat dalam kes keracunan ini adalah:

  • Loya dan muntah
  • Badan kurus kering
  • Sakit abdomen perut
  • Metabolik asidosis.

Kesan serius yang muncul selepas 12 – 48 jam keracunan paracetamol boleh melibatkan:

  • Kerosakan tisu hati ketara
  • Ensefalopati (Kerosakan pada otak) – mengurangkan jangka hayat pesakit kepada 30% jika tidak disegerakan N-acetylcysteine
  • Kurang gula (hypoglycemia)
  • Pendarahan
  • Tekanan darah rendah
  • Aritmia jantung
  • Keradangan organ pankreas (pancreatitis)

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Ubat, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  2. Frank Shann
  3. BNF 78
  4. Micromedex
  5. Acetaminophen – Medscape
  6. Paracetamol. Dalam: MIMS Gateway
  7. Pamabrom. Dalam: Drugs.com
  8. Risalah Maklumat Ubat untuk Pengguna (RiMUP). Panadiene Tablet (paracetamol 500 mg/codeine phosphate 8 mg).
  9. Panadol® Menstrual
  10. Panadol Extra with Optizorb
  11. Panadol Soluble
  12. Panadol® Actifast
  13. Farmasi Marmin. Dah kenal jenis-jenis Panadol?
  14. Ohashi, N. & Kohno, T. (2020). Analgesic effects of acetaminophen: A review of known and novel mechanism of action. Frontiers in Pharmacology, 11, 580289.
  15. Management of Poisoning: MOH Clinical Practice Guidelines (Dec 2011). Ministry of Health Singapore.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =