Skip to content

Ubat Rabeprazole: Dos, Kegunaan & Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat Rabeprazole? Artikel ini akan membincangkan dos, kegunaan dan kesan sampingan ubat rabeprazole.

Pengenalan

Dalam edisi lalu penulis membincangkan secara panjang lebar mengenai ubat esomeprazole, antara ubat gastrik daripada kumpulan penebat pam proton (proton-pump inhibitors, PPI) yang sangat berkesan dalam spektrum rawatan yang cukup besar meliputi ulser perut dan duodenum, simptom penyakit refluks gastroesofageal (gastro-oesophageal reflux disease, GERD) dan juga ulser disebabkan jangkitan bakteria Helicobacter pylori, antara contoh utama. Kali ini penulis mahu menerangkan satu lagi ubat dalam kumpulan yang sama bernama rabeprazole.

Kegunaan

FDA meletakkan rabeprazole untuk kegunaan berikut:

  • Penyakit refluks gastroesofageal (gastro-oesophageal reflux disease, GERD)
  • Penyakit Gastrik
  • Jangkitan bakteria Helicobacter pylori (biasa dalam gabungan bersama antibiotik – terapi campur tiga) melibatkan ulser bahagian duodenum
  • Sindrom pengeluaran asid berlebihan (termasuklah sindrom Zollinger-Ellison)
  • Ulser duodenum
  • Ulser Perut

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Cara Pengambilan Ubat



Kebiasaannya rabeprazole boleh dimulakan rawatan oleh doktor setelah meneliti segala perkara berkaitan keadaan semasa pesakit. Pembelian ubat ini amat memerlukan preskripsi doktor. Cara pengambilan ubat biasanya adalah seperti berikut:

  • Ambil sebelum makan untuk mengelakkan ketidakselesaan perut (ambil maklum ubat ini untuk mengurangkan kesan gastrik). Namun begitu sesetengah pembekal ada menyatakan ambil selepas makan dibenarkan.
  • Ditelan sepenuhnya dengan air kosong semasa makan atau pada waktu perut kosong. Ubat tidak boleh dihancurkan dan dikunyah. (Ubat ini adalah salutan enterik yang digunakan untuk mengelakkan ubat dari dipecahkan asid dalam perut, memecahkan ubat tersebut menjadikan ubat kurang efektif).
  • Jika terlupa, ambil segera dos yang tertinggal sementara masih teringat. Jika masa pengambilan dos seterusnya sudah pun dekat, ambil dos baru sahaja dan abaikan dos yang lupa diambil tersebut. Jangan gandakan dos.

Penyimpanan

Ubat tablet perlu disimpan di bawah suhu kurang dari 30°C (jauhkan dari panas) dan jauhkan dari jangkauan kanak-kanak. Ambil perhatian sesetengah pembekal tidak menggalakkan ubat keluar daripada blister yang disediakan (perlu disimpan dalam blister asal), dan gunakan hingga tarikh luput sahaja.

Dos

Dos ubat ini mengikut penyakit atau masalah yang dihadapi oleh pesakit.

  • Rawatan simptomatik GERD (melibatkan pedih ulu hati siang atau malam bersama simptom GERD lain):
    • (Dewasa) 20 mg makan sekali sehari (selang 24 jam) selama 4 minggu jika melibatkan esofagitis, boleh dinaikkan durasi pengambilan kalau masih belum sembuh; jika tidak melibatkan esofagitis makan 10 mg sekali sehari x 4 minggu, kemudian diambil 10 mg bila perlu sahaja.
  • Rawatan jangkitan Helicobacter pylori dengan ulser duodenum :Rawatan 3 serangkai untuk 10 hari rawatan– 20 mg sekali sehari + amoxicillin 1000 mg 2 kali/hari + clarithromycin 500 mg 2 kali sehari
    • Jika diikutkan panduan klinikal pula, rawatan 3 serangkai untuk 14 hari rawatan– 20-40 mg 2 kali/hari + clarithromycin 500 mg 2 kali/hari + amoxicillin 1000 mg 2 kali/hari ATAU metronidazole 500 mg 3 kali/hari (selang 8 jam).
  • Rawatan sindrom Zollinger-Ellison dan masalah lebihan pengeluaran asid gastrik lain: (Dewasa) Dos permulaan 60 mg 2 kali/hari, sesuaikan dos dengan keadaan semasa supaya rawatan lebih berkesan; biasanya dos melebihi 100 mg/hari perlu diambil 2 kali sehari; dos maksimum 60 mg 2x/hari (maksimum 120 mg/hari) pernah digunakan.
  • Ulser duodenum dan gastrik: (Dewasa) 20 mg sekali sehari selepas makan sehingga 4 minggu (ulser duodenum) atau 8 minggu (ulser perut), jika perlu mungkin perlu ditambah dengan ubat lain juga
  • Penyelarasan dos:
    • Pesakit nefritis tubulointerstitial akut: jangan guna
    • Pesakit buah pinggang dan warga tua: tiada penyelarasan dos
    • Pesakit hati: Tiada penyelarasan dos dibuat untuk pesakit hati ringan dan sederhana tetapi gunakan dengan berhati-hati dalam kalangan pesakit hati serius.

Brand ubat yang ada dalam pasaran

Fasiliti kerajaan tidak menyimpan ubat rabeprazole, namun begitu menerusi dapatan NPRA, ubat ini didagangkan bawah jenama berikut:

  • Tablet 10 mg: Pariet (Eisai)
  • Tablet 20 mg: Pariet (Eisai), Rabotide (Healol), Rabeprazole Sandoz (Novartis)

Cara ubat berfungsi

Pengeluaran asid hidroklorik dari perut kita sebenarnya dibuat oleh kewujudan pam pembawa ion hidrogen (H+)/ion kalium (K+) yang dijana oleh sistem enzim ATPase (adenosina trifosfatase) dalam kawasan sel parietal gastrik yang biasanya merupakan jalan terakhir pengeluaran asid ke dalam bahagian perut. Seperti dibincangkan dahulu untuk esomeprazole,  rabeprazole juga turut dikesan mengaruh laluan ini dan kesan terapeutiknya seperti kalangan ahli keluarganya yang lain pun sama, iaitu selama 24 jam.

Kesan sampingan



Kesan sampingan yang biasa dilihat:

  • Sakit kepala
  • Cirit-birit
  • Sembelit
  • Angin perut
  • Loya dan muntah
  • Mata kabur
  • Bengkak kaki dan buku lali
  • Mulut kering
  • Vertigo dan pening kepala
  • Ruam kulit, geligata dan kegatalan (ambil maklum kalau ruam kulit berlaku terutama yang terdedah pada matahari, dengan sakit-sakit sendi – mungkin menandakan penyakit subakut kutaneus lupus eritematosus kerana agak jarang berlaku)
  • Mengantuk
  • Susah tidur (insomnia)
  • Bronkospasma atau sesak nafas (amat bahaya pada pesakit asma), batuk dan selesema serta simptom berkaitan saluran pernafasan lain
  • Kenaikan parameter hati
  • Mempengaruhi bacaan parameter hormon tiroid, menaikkan nilai gastrin dan kreatinin
  • Hiponatremia (jarang)
  • Demam, bengkak di tempat cucuk dan lemah badan (jika pengambilan melalui IV)
  • Dermatitis (sakit kulit)
  • Menaikkan nilai tes serum chromogranin A (CgA) yang mungkin menyebabkan keputusan salah positif untuk tes tumor neuroendokrin

Kesan sampingan serius dan jarang berlaku serta penting

  • Kesan alergik (semput, bengkak-bengkak bibir, mulut dan tekak, ruam, pengsan dan kesukaran bernafas); boleh juga termasuk reaksi anafilaktik, sindrom Steven-Johnson dan toksik nekrolisis epidermal – bahaya
  • Keretakan tulang- osteoporosis (sebab itu penggunaan melebihi 8 minggu adalah dilarang, risiko lagi teruk kalau warga tua guna >1 tahun dengan dos tinggi), diiringi dan mungkin ada sakit-sakit badan, lemah badan
  • Masalah kekurangan sel darah putih atau merah (anemia, pancytopenia, agranulocytosis)
  • Masalah berkaitan sistem penghadaman (pankreatitis, stomatitis)
  • Masalah berkaitan hepatik: keradangan hati, kemunduran dan kegagalan fungsi hati sama ada/ tak ada jaundis
  • Masalah kandidiasis (jangkitan kulat) dalam sistem penghadaman
  • Gangguan selera makan dan hepatik ensefalopati (jika melibatkan sistem saraf pusat)
  • Pembesaran buah dada (jarang)
  • Pengurangan vitamin B12 (atau folat) dalam badan mengakibatkan anemia – ulser mulut, keliru, penat, lelah, letih, pening kepala, palpitasi jantung
  • Nefritis tubulointerstitial akut
  • Atropik gastritis
  • Hipomagnesemia (kurang garam magnesium dalam badan, boleh berlaku seawal 3 bulan, biasa berlaku 1 tahun selepas mulakan PPI) – keletihan, pengecutan otot tidak sekata, peningkatan denyutan jantung, sawan, kesukaran pergerakan; boleh menyebabkan pengurangan garam kalium dan kalsium juga; sentiasa berhati-hati dalam pengambilan.
  • Cirit-birit berkaitan Clostridium difficile berserta jangkaan jangkitan laluan gastroenterik lain disebabkan bakteria Salmonella sp. dan Campylobacter sp.
  • subakut kutaneus lupus eritematosus (SCLE), dan juga mungkin sistemik lupus eritematosus (SLE)- boleh jadi masalah baru berlaku dan boleh berpotensi menjadi lebih teruk.
  • Benjolan (polip) dekat kawasan perut [polip fundik perut]

Disebabkan itulah pemberian ubat ini tidak digalakkan kepada golongan berikut:

  • Kanak-kanak bawah 12 tahun
  • Pesakit akut nefritis tubulointerstitial (penyakit buah pinggang melibatkan kemasukan perantara inflamatori menjangkiti kawasan interstitium nefrotik buah pinggang menyebabkan pembengkakan air; kebanyakan disebabkan alergik pada ubat) – walaupun ubat masih boleh digunakan, jika ada simptom berkaitan penyakit ini pesakit mesti berhenti mengambil rabeprazole.
  • Pesakit diketahui alergik/ hipersensitiviti terutamanya angioedema, anafilaksisi, kejutan anafilaktik, kesukaran bernafas dan bintik-bintik merah kepada bahan terbitan kimia benzimidazol (termasuklah rabeprazole)
  • Jika pesakit ada mengambil bersama penebat protease (atazanavir, nelfinavir), rilpivirine – ubat HIV/AIDS.
  • Pesakit kegagalan hati serius
  • Pesakit mengandung (Kategori C FDA)
  • Pesakit menyusu anak (dalam kajian haiwan ubat boleh muncul dalam susu ibu tikus)

Peringatan (precaution)

Ubat ini boleh menyebabkan kekaburan mata dan rasa pening, jangan memandu atau membawa jentera berat.

Ubat ini masih boleh digunakan tetapi dengan kawalan doktor termasuklah:

  • Kanser/ malignan perut
  • Pesakit yang mengalami kekurangan atau berisiko tinggi kekurangan penyerapan Vitamin B12 (cyanocobalamin)
  • Pesakit yang kerap memerlukan pengambilan oral kortikosteroid dan ubat NSAID (untuk tahan sakit)
  • Pesakit yang ada risiko osteoporosis dan keretakan tulang
  • Pesakit kegagalan hati dan buah pinggang
  • Warga tua (risiko lagi teruk kalau warga tua guna >1 tahun dengan dos tinggi)
  • Kanak-kanak 1 – 11 tahun

Interaksi antara ubat

Ambil peringatan untuk bertanyakan para doktor jika sekiranya mengambil ubat ini bersama-sama ubat lain. Ini adalah antara contoh interaksi ubat bersama ubat-ubat pilihan:

  • Menaikkan kesan kardiotoksisiti digoxin (ubat jantung) – disebabkan kesan hipomagnesemia. Kesan ini meningkat dengan pemberian bersama ubat diuretik (hydorchlorothiazide, frusemide).
  • Mengurangkan kepekatan ubat cair darah/antiplatelet clopidogrel serta aspirin ; ubat HIV/AIDS atazanavir, nelfinavir, rilpivirine, indinavir; ubat tiroid levothyroxine; ubat imunosupresan mycophenolate mofetil;
  • Menaikkan kepekatan ubat imunosupresan tacrolimus dan sirolimus, ubat kanser methotrexate (kes toksisiti buah pinggang); serta ubat sawan (phenytoin, diazepam); citalopram, escitalopram (ubat SSRI untuk kemurungan); imipramine (ubat trisiklik antidepresan untuk kemurungan); menaikkan juga insiden pendarahan bersama warfarin (ubat cair darah)
  • Mengurangkan penyerapan ubat kulat (itraconazole, ketoconazole), garam-garam zat besi dan Vitamin B12, ubat kanser erlotinib
  • Kepekatan ubat rabeprazole berkurangan dengan penggalak enzim untuk CYP3A4 dan CYP2C19 (antibiotik rifampicin, rifabutin; herba St John’s wort)
  • Kepkatan rabeprazole menaik dengan penebat enzim CYP3A4 (ubat kulat voriconazole dan antibiotik clarithromycin), dan penebat enzim CYP 2C19 (SSRI – fluvoxamine)

Kesan terlebih dos

Simptom biasa berlaku adalah

  • Lemah tubuh badan
  • Keliru
  • Pening kepala
  • Mengantuk
  • Bacaan nadi jntung naik
  • Loya dan muntah
  • Berpeluh banyak
  • Kulit kemerah-merahan
  • Mulut kering
  • dan kesan-kesan sakit berkaitan sistem penghadaman lain.

Rawatan kebiasaannya mengikut keadaan semasa pesakit.



Ubat Gastrik yang lain

Ubat OmeprazoleUbat Pantoprazole
Ubat EsomeprazoleUbat Rabeprazole
Ubat AntasidUbat Gastrik

Rujukan

  1. Buku Biru Formulari Farmaseutikal Kebangsaan, Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. BNF 78
  3. Micromedex
  4. MIMS Gateway
  5. Medscape
  6. Quest 3+ Sistem Pendaftaran Produk & Pelesenan: Product Search
  7. Risalah maklumat ubat untuk pesakit (RiMUP): Pariet Tablets® (rabeprazole sodium 10mg, 20mg)
  8. Risalah maklumat ubat untuk pesakit (RiMUP): Rabeprazole Sandoz® gastroresistant tablets 20mg (rabeprazole sodium 20mg)
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × one =