Skip to content

Ambil ubat tahan sakit ketika demam boleh menyebabkan kematian

Seorang pemuda berusia 25 tahun datang ke jabatan kecemasan disebabkan demam 3 hari. Selain dari itu, pesakit juga mengalami sakit kepala dan sakit-sakit badan. Pesakit kelihatan sangat letih

Tekanan darah, denyutan nadi dan suhu pesakit diambil di kaunter triage iaitu kaunter saringan untuk mengenalpasti sama ada pesakit stabil ataupun tidak.

Pada ketika itu, tekanan darahnya rendah iaitu 90/50mmHg. Tekanan darah yang normal adalah lebih daripada 100/60mmHg.



Denyutan nadinya pula laju iaitu 135 denyutan dalam seminit. Denyutan nadi yang normal adalah kurang daripada 100.

Suhu badannya pula adalah sangat tinggi 39 darjah celcius.

MA (Medical assistant) menekan butang loceng di triage menandakan pesakit ini akan ditolak masuk terus ke zon kuning kerana keadaannya yang tidak stabil

Zon Kuning

Waktu di zon kuning tu, aku pun mengambil sejarah pesakit dan memeriksa pesakit.

Pesakit menyatakan dia sudah demam 3 hari. Terasa sakit seluruh badan dan hendak bergerak pun tidak larat.



Selalunya jika pesakit demam, doktor wajib menanyakan simptom-simptom denggi yang berbahaya iaitu:

Bagi pesakit ini dia mengadu pedih pada bahagian ulu hatinya. Dia pun menceritakan bahawa yang dia hanya mengambil ubat demam dan ubat tahan sakit di rumah kerana kepalanya berasa sangat sakit.

Dengar je ubat tahan sakit, terus terdetak dalam hatiku. BAHAYA NI.

Penggunaan ubat tahan sakit(NSAIDS) ketika demam adalah dilarang

Jika seseorang yang baru sahaja demam dan tidak diketahui punca demam tersebut, sepatutnya dia tidak boleh mengambil ubat tahan sakit jenis NSAIDs.

Ini kerana terdapat kajian yang menyatakan ubat tahan sakit ini akan meningkatkan risiko seseorang itu mengalami denggi berdarah dan kerosakan hati akut ketika dia sedang mengalami demam denggi.

Perlu diketahui bahawa salah satu fungsi hati adalah untuk menghasilkan Faktor Pembeku Darah(Clotting factor). Ketika mana ubat ini diambil oleh seseorang pesakit denggi, maka dia lebih terdedah kepada kerosakan hati akut yang menyebabkan hati tidak boleh menghasilkan faktor pembeku darah. Oleh itu, denggi berdarah lebih mudah berlaku.

Telah banyak kajian menyatakan pesakit denggi lebih mudah mengalami demam denggi berdarah jika dia mengambil ubat tahan sakit jenis ini.

Ini adalah senarai ubat tahan sakit jenis NSAIDs yang selalu kita gunakan:



  • Diclofenac
  • Mefenamic acid(Juga dikenali dengan jenama ponstan/pontalon)
  • Naproxen sodium

Penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDs waktu demam hanya dibenarkan jika punca sebenar demam tersebut sudah diketahui dan keputusan darah menunjukkan pesakit tidak mengalami denggi.

Hanya PARACETAMOL sahaja yang tidak berbahaya jika digunakan pada ketika demam.

Berbalik kepada kes ini

Pesakit menyatakan bahawa ubat tahan sakit tersebut bernama Voltaren. Voltaren ni nama jenama bagi ubat tahan sakit jenis NSAIDS iaitu Diclofenac.

Dia makan ubat tahan sakit tersebut disebabkan tidak tahan sakit kepala. Sebelum ini dia menggunakan ubat itu untuk penyakit yang lain

Pemeriksaan pada bahagian perut pula menunjukkan bahagian hatinya boleh dirasa dan pesakit merasa sangat sakit ketika hatinya itu ditekan.

Bagi pesakit dewasa yang normal, selalunya hati tidak boleh dirasa kerana ia berada di bawah tulang rusuk. Jika hati itu sudah membengkak, maka doktor yang memeriksa sudah tentu akan dapat merasakan hati tersebut.

Saya rasa keputusan fungsi hati pesakit ini mesti sangat teruk kerana hatinya sudah membengkak.

Keputusan darah keluar dan menunjukkan bacaan platlet yang rendah iaitu kurang daripada 50. Keputusan denggi pun positif(NS1 positif). Bahkan keputusan fungsi hatinya sangat tidak normal.



Pesakit kemudian di hantar ke wad. Di wad pula, tekanan darah pesakit masih lagi rendah walaupun setelah diberi air terus ke dalam saluran darahnya.

(Teknikalnya saya tak ceritakan secara spesifik) Tetapi pesakit telah disahkan mengalami pendarahan disebabkan demam denggi dan dimasukkan ke dalam ICU. Ketika itu, pesakit diminta menjalani transfusi darah bagi merawat masalah tersebut.

Denggi berdarah bukan sesuatu perkara yang ringan. Jika anda kena, berkemungkinan besar nyawa anda akan melayang.

Kesimpulannya disini, jika anda baru sahaja demam 1-2 hari, elakkan daripada mengambil ubat tahan sakit. Periksa dahulu penyakit anda dengan doktor sebelum mengambil ubat tersebut.

Beli termometer di sini

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − six =