Skip to content

Ulser Perut: Punca, Simptom dan Rawatan

Perut merupakan antara organ penting dalam sistem penghadaman manusia. Namun, ketidakselesaan pada perut boleh mengganggu aktiviti harian. Sekiranya ia dibiarkan tanpa rawatan, ia mungkin membawa bahaya kepada diri. Justeru, penulisan kali ini akan cuba berkongsi mengenai salah satu masalah yang menyebabkan ketidakselesaan pada perut iaitu ulser perut.

Isi Kandungan
  1. Fungsi Perut
  2. Bagaimana ulser perut berlaku?
  3. Punca ulser perut
  4. Simptom Ulcer perut
  5. Komplikasi
  6. Diagnosa lain
  7. Ujian Pengesahan
  8. Rawatan
  9. Pesakit yang sedang puasa

Fungsi Perut

Perut ialah organ berotot dan berongga yang terletak di bahagian atas abdomen. Tugas perut adalah menerima makanan daripada esofagus. Seterusnya, perut akan merembeskan asid hidroklorik dan enzim untuk tujuan penghadaman dan pencernaan makanan.

Selain itu, perut juga mempunyai gerakan beritma untuk menghacurkan, mencernakan, mengisarkan, dan mencampurkan bolus makanan dengan jus-jus, enzim, dan asid. Kemudian, bolus makanan yang diproses itu akan dihantar ke usus kecil (duodenum) untuk proses penghadaman dan pencernaan seterusnya.

Bagaimana Ulser Perut Terjadi?



Asid hidroklorik yang dihasilkan mampu mengakis tisu pada dinding perut. Walau bagaimanapun, lapisan mukosa yang berada pada dinding perut membantu menghalang hakisan ini daripada berlaku. Ulser perut mula terjadi apabila berlaku gangguan pada mekanisme pertahanan ini, iaitu apabila lapisan mukosa menjadi semakin nipis dan perembesan asid secara berlebihan berlaku. Akhirnya, berlaku ulser pada bahagian dinding perut. Ulser atau luka ini boleh berlaku bukan sahaja pada bahagian dinding perut, bahkan juga pada usus kecil (duodenum).

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Epidemiologi

Dianggarkan sebanyak 4.6 juta penduduk Amerika Syarikat mempunyai ulser perut. Dalam pada itu, menurut laporan MEDLINE dan PubMed 2018, Sepanyol mempunyai pesakit ulser perut paling ramai di dunia iaitu 141.8 per 100,000 penduduk.

Punca Ulser Perut

Ulser perut berlaku disebabkan beberapa faktor:

  • Jangkitan pada lapisan mukosa oleh bakteria Helicobacter pylori (H. pylori). Ini merupakan penyebab utama berlakunya ulser perut.
  • Penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) secara berpanjangan. Contoh ubat jenis ini ialah aspirin, ibuprofen, atau naproxen.
  • Sindrom Zollinger-Ellison. Sindrom ini menyebabkan perembesan asid hidroklorik secara berlebihan.

Makanan berempah, stress, merokok, dan pengambilan alkohol akan memburukkan lagi gejala ulser perut dan menyebabkan proses penyembuhan berlaku dengan perlahan.

Simptom Ulser Perut

Pesakit ulser perut akan menunjukkan gejala seperti:

  • Pedih atau sakit di kawasan ulu hati
  • Ulser perut: menjadi semakin sakit apabila makan
  • Ulser duodenum: sakit hilang apabila makan
  • Masalah penghadaman
  • Kesakitan di sebelah malam yang menyebabkan pesakit terjaga daripada tidur
  • Kembung perut
  • Cepat berasa kenyang
  • Loya
  • Muntah
  • Hilang selera makan
  • Penurunan berat badan
  • Perut berangin


Sekiranya ulser perut telah mengakibatkan pendarahan, gejala yang mungkin terjadi adalah:

Pendarahan yang banyak boleh menyebabkan Anemia iaitu kurang darah merah. Gejala anemia adalah seperti keletihan, sesak nafas, atau kulit menjadi pucat. Oleh itu, sekiranya gejala seperti haematemesis dan melaena berlaku, pesakit diminta hadir ke hospital dengan kadar segera bagi menerima rawatan kerana ia boleh membahayakan nyawa pesakit.

Sekiranya, ulser tersebut mengakibatkan lubang (perforation) pada bahagian dinding perut, ia boleh menyebabkan radang pada peritoneum (peritonitis) dan memerlukan rawatan segera. Antara gejala mungkin terjadi:

  • Sakit diseluruh bahagian abdomen
  • Abdomen mengeras (Board-like rigidity, guarding)
  • Demam
  • Tanda-tanda kejutan (Shock)

Periksa Simptom anda Di Sini

Komplikasi

Ulser perut boleh menyebabkan beberapa komplikasi, antaranya:

1. Pendarahan dalaman

Pendarahan dalaman ini amat berbahaya dan memerlukan pemeriksaan endoskopik untuk merawatnya. Pesakit mungkin memerlukan pembedahan sekiranya pendarahan tersebut gagal dikawal.

2. Kanser perut



Ulser perut yang kronik boleh menyebabkan kanser. Ini disebabkan ulser ini akan menyebabkan pembahagian sel yang laju pada bahagian ulser. Ketika pembahagian sel tersebut, ia boleh menghasilkan sel yang tidak normal iaitu kanser.

3. Radang pada peritoneum (peritonitis)

Jika bahagian ulser bocor, makanan akan masuk ke dalam bahagian abdomen dan menyebabkan peritonitis iaitu radang pada lapisan yang menyelaputi dinding abdomen. Pesakit mudah hilang nyawa jika menghadapi masalah ini.

Diagnosa Lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama. Antara diagnosa lain adalah:

  • Acute Cholangitis (Keradangan Saluran Hempedu)
  • Acute Cholecystitis (Keradangan Pundi Hempedu)
  • Acute Gastritis (Keradangan Perut atau Gastrik)
  • Diverticulitis(Keradangan pada poket yang terhasil pada saluran usus besar)
  • Batu Hempedu (Cholelithiasis)
  • Keradangan Saluran Esofagus (Oesophagitis)
  • Asid Refluks(GERD)
  • Keradangan usus (Inflammatory Bowel Syndrome)

Antara diagnosa lain yang boleh hadir dengan gejala muntah darah dan najis hitam adalah:

  • Salur darah bengkak di antara perut dan esofagus (Gastro-esophageal varices)
  • Masalah gastrik
  • Duodenitis
  • Oesophagitis
  • Mallory-Weiss tear – Kecederaan pada bahagian bawah esofagus disebabkan masalah kerap muntah
  • Kanser Perut

Ujian Pengesahan

Ulser perut boleh disahkan melalui pengambilan sejarah pesakit dengan terperinci. Sejarah kesihatan pesakit serta sejarah penggunaan ubat-ubatan amat penting. Seterusnya, pemeriksaan fizikal seperti per rectal examanination pada pesakit akan dilakukan berserta ujian makmal.

1. Ujian non-invasif

Ujian non-invasif menggunakan serum darah. Ujian ini bertujuan mengesan kehadiran antibodi (imunoglobin G) terhadap bakteria H.pylori. Selain itu, ujian pernafasan bagi mengesan urea yang dihasilkan oleh H. pylori ketika pesakit bernafas juga boleh dilakukan.



2. Ujian darah

Terdapat beberapa ujian darah yang perlu dilakukan untuk mengetahui keadaan pesakit

  • Full blood count: bagi mengetahui status haemoglobin pesakit
  • Urea dan elekrolit: pendarahan mengakibatkan paras urea meningkat
  • Blood cross match: untuk transfusi darah sekiranya perlu
  • Liver function test: untuk menilai fungsi hati
  • Prothrombin time: untuk memastikan pesakit tidak mempunyai masalah penggumpalan darah (coagulopathy)

3. Endoskopi dan biopsi

Ujian ini akan dijalankan dalam tempoh 12-24 jam. Tujuan utama endoskopi; diagnosis, rawatan, dan mengenal pasti risiko (Klasifikasi Forrest). Ujian ini dijalankan dengan memasukkan kamera fiberoptik ke dalam perut pesakit dan melihat kehadiran ulser, pendarahan dan tisu yang tidak normal. Kemudian, sedikit tisu akan diambil bagi tujuan analisa makmal.

Antara komplikasi yang mungkin terjadi ialah terbentuk lubang (perforation) pada bahagian salur penghadaman, jangkitan kuman, atau pendarahan.

4. Pengimejan

Terdapat beberapa jenis pengimejan yang akan dilakukan jika pesakit mengalami masalah ini. Ia adalah:

  • Barium swallow: Pesakit akan diminta meminum barium. Barium ini akan membantu doktor melihat dengan lebih jelas keadaan perut dan duodenum menerusi sinar-x.
  • Untuk ujian ini, pesakit diminta berpuasa selama 6 jam sebelum ujian dijalankan.
  • Tip:
    • Sila berpakaian longgar yang mudah untuk disarung dan dibuka.
    • Elakkan memakai barang kemas.
    • Makan dan minum secukupnya sebelum berpuasa.
    • Barium telah ditambah dengan perasa dan pemanis. Namun, rasanya mungkin kurang menyenangkan.
    • Makan makanan yang tinggi kandungan serat dan minum air secukupnya amat penting selepas prosedur dijalankan bagi mengelakkan sembelit.
  • Antara komplikasi yang mungkin terjadi ialah sembelit dan kembung perut. Najis juga berwarna terang kerana barium tidak diserap oleh usus besar. Ibu mengandung tidak digalakkan menjalani prosedur ini bagi mengelakkan kesan radiasi pada bayi.

Rawatan Ulser Perut

Rawatan untuk penyakit ulser perut boleh dibahagikan kepada beberapa kaedah bergantung kepada punca dan keadaan pesakit. Rawatan tersebut adalah:



1. Terapi 3 serangkai

Terapi ini merangkumi penggunaan ubat:

  • Proton pump inhibitor (Omeprazole)
  • Antibiotik (Amoxicillin)
  • Antibiotik Clarithromycin atau Metronidazole

Ubat ini digunakan hanya jika pesakit dijangkiti bakteria H. pylori. Ubat ini bertujuan untuk membunuh kuman tersebut dan melindungi dinding perut daripada asid yang dihasilkan

2. Berhenti ambil ubat tahan sakit

Pesakit perlulah berhenti daripada menggunakan ubat tahan sakit jenis NSAID(seperti Ponstan dan voltaren). Ini kerana ubat tersebut boleh menggalakkan penghasilan asid yang berlebihan.

3. Transfusi darah sekiranya perlu

Pemberian darah kepada pesakit perlu dibuat sekiranya pesakit kehilangan darah yang banyak. Beberapa bacaan yang perlu dilihat sebelum pemberian darah adalah:

  • Tekanan darah sistolik <110 mmHg
  • Degupan jantung >110/min
  • Haemoglobin <8 g/dl
  • Sakit dada (Angina) atau mempunyai penyakit kardiovaskular dengan bacaan haemoglobin <10 g/dl

Jika pesakit mempunyai bacaan seperti diatas, pesakit selalunya akan diberikan transfusi darah.



4. Endoskopi terapi

Jenis-jenis endoskopi:

  • Termal (Thermal)
  • Suntikan (Injection)
  • Mekanikal (Mechanical)

Pesakit yang telah dibenarkan keluar (discharge) dari hospital, akan menjalani endoskopi susulan selepas beberapa minggu untuk melihat kadar penyembuhan ulser dan untuk memastikan ia bukan kanser.

5. Pembedahan

Jarang pembedahan dilakukan untuk merawat masalah ini. Tetapi jika pesakit mengalami komplikasi seperti dibawah, maka pesakit perlu menjalani pembedahan.

  • Pendarahan yang teruk
  • Berlaku penyempitan salur makanan
  • Terbentuk lubang pada perut (perforation)
  • Terapi secara ubatan tidak berjaya

6. Gaya hidup

Rawatan bukan sahaja bergantung kepada ubat dan prosedur yang akan dilakukan. Pesakit juga perlu mengubah gaya hidup agar penyembuhan penyakit ini dapat berlaku dengan baik. Beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh pesakit adalah:

  • Berhenti merokok
  • Berhenti mengambil minuman keras
  • Amalkan pemakanan sihat seperti mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan

Prognosis (Kesudahan Pesakit)

Prognosis penyakit ini amat baik sekiranya berjaya dikesan pada peringkat awal. Selain itu, rawatan seperti penggunaan ubat-ubatan dan endoskopi turut membantu pesakit untuk pulih. Dianggarkan kadar kematian hanya 1 dalam 100,000 kes.



Apa pesakit yang sedang puasa boleh buat untuk mengatasi masalah ini?

Penyakit ulser perut sangat popular pada bulan Ramadan. Ada yang menyatakan mereka mempunyai ulser perut sehingga tidak mampu menunaikan ibadah puasa ramadan. Berikut merupakan saranan untuk pesakit ulser perut pada bulan Ramadan:

  • Melewatkan sahur dan berbuka puasa awal apabila masuk waktu berbuka  puasa.
  • Mengambil makanan dalam jumlah yang sederhana semasa berbuka.
  • Mengelakkan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan teh.
  • Mendapatkan rawatan awal untuk masalah ulser peptik sebelum tibanya bulan puasa dan mengambil rawatan eradikasi Helicobacter pylori sekiranya perlu.
  • Mengelakkan mengambil makanan yang berempah, pedas dan berasid untuk mengurangkan iritasi pada dinding perut.
  • Menghadkan pengambilan makanan yang kompleks dan mempunyai kandungan lemak yang tinggi.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Penyakit ini mampu dirawat andai dikenalpasti pada peringkat awal. Sekiranya anda mempunyai gejala seperti diatas, sila segera hadir ke hospital atau klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. CPG: Management Of Non-Variceal Upper Gastrointestinal Bleeding
  2. Browse’s Introduction to the Symptoms & Signs of Surgical Disease
  3. Medscape: Peptic Ulcer Disease
  4. MedBear
  5. Myhealth: Ulser Peptik
  6. Healthline: Stomach Ulcers and What You Can Do About Them
  7. Healthline: What to Expect from a Barium Swallow
  8. National Anti Microbial Guideline 2019
  9. WebMD: Picture of Stomach
  10. IKIM: Koleksi Hadis Ramadan
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × four =