Umur berapakah bayi akan tumbuh gigi? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan pertumbuhan gigi bayi mengikut umur.
Pengenalan
“Bila gigi anak kita nak tumbuh ni?”
“Kenapa gigi bawah dah tumbuh tapi gigi atas tak tumbuh lagi?”
“Gigi anak jiran dah banyak dah, gigi anak kita baru dua batang. Macam mana ni?”
Begitulah soalan-soalan yang sering ibu bapa ajukan terutama buat mereka yang baru sahaja menimang cahaya mata. Masih banyak perkara tentang si kecil yang menjadi tanda tanya para ibu bapa diluar sana. Ada beberapa asas yang perlu ibu bapa ketahui sebelum saya ceritakan dengan lebih mendalam soal tempoh masa yang diperlukan untuk gigi bayi mula tumbuh.
Pertamanya adalah ibu bapa perlu tahu gigi ada dua jenis; gigi susu dan gigi kekal. Yang pertama akan tumbuh dalam mulut bayi ialah gigi susu dan diikuti pula dengan gigi kekal. Gigi kekal itulah yang akan kekal dalam mulut anak sehinggalah mereka dewasa. Seterusnya ibu bapa perlu tahu tentang bilangan gigi yang akan tumbuh.
Untuk gigi susu, bilangannya adalah 20 batang gigi manakala gigi kekal pula ada 32 batang semuanya.
Umur Berapa Gigi Susu Mula Tumbuh?
Gigi Susu | Usia Gigi Tumbuh/Keluar |
ATAS | |
Gigi seri tengah/kacip (Central incisor) | 8 – 12 bulan |
Gigi seri samping/kedua (Lateral incisor) | 9 – 13 bulan |
Gigi taring (Canine) | 16 – 22 bulan |
Gigi geraham pertama (First molar) | 13 – 19 bulan |
Gigi geraham kedua (Second molar) | 25 – 33 bulan |
BAWAH | |
Gigi seri tengah/kacip (Central incisor) | 6 – 10 bulan |
Gigi seri samping/kedua (Lateral incisor) | 10 – 16 bulan |
Gigi taring (Canine) | 17 – 23 bulan |
Gigi geraham pertama (First molar) | 14 – 18 bulan |
Gigi geraham kedua (Second molar) | 23 – 31 bulan |
Melihat daripada jadual diatas, dapat kita lihat gigi pertama yang akan tumbuh adalah gigi seri tengah bahagian bawah seawal usia anak 6 bulan.
Seterusnya diikuti dengan gigi seri tengah bahagian atas dan begitulah sehingga cukup 20 batang gigi susu. Gigi susu akan lengkap keluar pada usia anak dua setengah ke tiga tahun. Ini bermakna sekiranya anak yang usianya sudah mencapai 3 tahun dan gigi masih tidak cukup 20 batang, ibu bapa dinasihatkan agar membawa anak ke klinik gigi untuk pemeriksaan lanjut.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Umur Berapa Gigi Susu Mula Tanggal/Cabut?
Gigi susu apabila sudah tiba masanya akan tercabut lalu digantikan oleh gigi kekal. Berikut adalah jadual tanggal setiap gigi susu untuk bahagian atas dan bawah. Ini penting supaya ibu bapa boleh turut memantau penjagaan dan kesihatan gigi anak.
Gigi susu akan berada didalam mulut anak kita sehingga mereka berusia 6 ke 7 tahun sebelum digantikan dengan gigi kekal.
Gigi Susu | Usia Gigi Tanggal/Cabut |
ATAS | |
Gigi seri tengah/kacip (Central incisor) | 6 – 7 tahun |
Gigi seri samping/kedua (Lateral incisor) | 7 – 8 tahun |
Gigi taring (Canine) | 10 – 12 tahun |
Gigi geraham pertama (First molar) | 9 – 11 tahun |
Gigi geraham kedua (Second molar) | 10 – 12 tahun |
BAWAH | |
Gigi seri tengah/kacip (Central incisor) | 6 – 7 tahun |
Gigi seri samping/kedua (Lateral incisor) | 7 – 8 tahun |
Gigi taring (Canine) | 9 – 12 tahun |
Gigi geraham pertama (First molar) | 9 – 11 tahun |
Gigi geraham kedua (Second molar) | 10 – 12 tahun |
Rajah 1: Jadual Gigi Susu Mula Tumbuh & Tanggal (Sumber: American Dental Association)
Fakta Tambahan Mengenai Gigi Susu:
- Gigi susu bayi perempuan biasanya tumbuh lebih awal berbanding dengan gigi bayi lelaki.
- Gigi akan mula tumbuh di bahagian rahang bawah dahulu sebelum di rahang atas.
- Gigi di kedua-dua rahang (atas dan bawah) akan tumbuh secara berpasangan. Jika gigi tumbuh di bahagian kanan rahang, gigi jenis yang sama juga akan tumbuh di bahagian kiri rahang.
- Saiz gigi susu lebih kecil berbanding gigi kekal dan warnanya lebih putih. Warna gigi kekal lebih putih kekuning-kuningan.
- Menjelang usia anak-anak 2-3 tahun, semua gigi susu akan selesai proses pertumbuhannya.
Apabila usia kanak-kanak mencapai 4 tahun, struktur dan bentuk muka akan mula berubah. Proses tumbesaran yang dialami kanak-kanak ini akan menyebabkan saiz rahang mereka turut membesar. Ini seterusnya akan menambah ruang diantara gigi-gigi susu. Ruang-ruang yang ada diantara gigi susu itu normal. Hal ini kerana ruang adalah diperlukan untuk gigi kekal yang lebih banyak bilangannya dan saiz yang lebih besar akan mula tumbuh.
Kenapa Kita Tetap Kena Jaga Gigi Susu Betul-Betul Padahal Selepas Beberapa Tahun Akan Tercabut Juga?
Ya, memang betul gigi susu akan tercabut/tertanggal selepas beberapa tahun. Walaupun demikian, ia tidak mengurangkan kepentingan dan peranan yang dimainkan oleh gigi susu. Berikut adalah sebab kenapa gigi susu juga perlu diberi penjagaan dan kesihatan yang terbaik meskipun tidak akan kekal lama dalam mulut anak-anak kita.
- Gigi susu akan menyediakan ruang yang secukupnya untuk gigi kekal tumbuh kemudian. Sekiranya gigi susu rosak atau tercabut sebelum waktunya, ini akan mengganggu ruang yang diperlukan oleh gigi kekal untu keluar.
- Gigi akan membentuk struktur dan muka yang normal. Kehilangan gigi dengan kuantiti yang banyak akan menyebabkan bentuk dan struktur muka berubah.
- Gigi susu yang sihat boleh membantu proses percakapan kanak-kanak.
- Gigi yang sihat diperlukan untuk memudahkan kanak-kanak makan makanan yang sihat dengan selesa. Kehilangan atau kerosakan gigi boleh menyebabkan kanak-kanak hilang selera makan dan mengganggu diet dan khasiat mereka.
- Gigi susu juga boleh memberi kesan kepada keadaan gigi kekal. Jangkitan atau kerosakan pada gigi susu boleh menyebabkan tompok-tompok/bintik-bintik gelap kelihatan pada gigi kekal.
Umur Berapa Gigi Kekal Mula Tumbuh?
Gigi Kekal | Usia Gigi Tumbuh |
ATAS | |
Gigi seri tengah/kacip (Central incisor) | 7 – 8 tahun |
Gigi seri samping/kedua (Lateral incisor) | 8 – 9 tahun |
Gigi taring (Canine) | 11 – 12 tahun |
Gigi premolar pertama (First premolar) | 10 – 11 tahun |
Gigi premolar kedua (Second premolar) | 10 – 12 tahun |
Gigi geraham pertama (First molar) | 6 – 7 tahun |
Gigi geraham kedua (Second molar) | 12 – 13 tahun |
Gigi geraham ketiga/bongsu (Third molar/Wisdom tooth) | 17 – 21 tahun |
BAWAH | |
Gigi seri tengah/kacip (Central incisor) | 6 – 7 tahun |
Gigi seri samping/kedua (Lateral incisor) | 7 – 8 tahun |
Gigi taring (Canine) | 6 – 7 tahun |
Gigi premolar pertama (First premolar) | 9 – 10 tahun |
Gigi premolar kedua (Second premolar) | 10 – 12 tahun |
Gigi geraham pertama (First molar) | 11 – 12 tahun |
Gigi geraham kedua (Second molar) | 11 – 13 tahun |
Gigi geraham ketiga/bongsu (Third molar/Wisdom tooth) | 17 – 21 tahun |
Rajah 2: Jadual Gigi Kekal Mula Tumbuh (Sumber: American Dental Association)
Berdasarkan jadual diatas, gigi dewasa akan mula tumbuh atau keluar ketika usia anak enam tahun. Untuk sesetengah kanak-kanak, gigi geraham pertama (first molar) adalah yang yang pertama akan tumbuh tetapi ada juga yang gigi seri tengah yang tumbuh dahulu.
Ibu bapa perlu ingat bahawa gigi akan keluar berbeza-beza bagi setiap kanak-kanak. Gigi anak kita mungkin tidak akan keluar serentak pada waktu yang sama dengan gigi anak jiran. Ada yang keluar sedikit awal, ada juga yang sedikit lambat.
Pada usia anak 13 tahun, sebahagian besar 28 gigi kekal sudah berada pada tempat yang sepatutnya. Bilangan kesemua gigi kekal adalah 32 batang lalu 4 batang bakinya ialah gigi geraham ketiga atau juga dikenali sebagai gigi bongsu akan mula tumbuh pada usia 17 tahun hingga 21 tahun.
Penumbuhan gigi geraham ketiga atau gigi bongsu ini juga tidak sama untuk semua orang disebabkan beberapa faktor antaranya saiz rahang, ruang untuk gigi bongsu keluar dan sebagainya.
Artikel Berkaitan: 7 Fakta Tentang Gigi Bayi Yang Ibubapa perlu tahu
Rujukan:
- Berg, J. H. (2013). Pediatric dentistry. Elsevier.
- Ismail, W. S. bt. W. (2017, February 14). Masalah berkaitan PERTUMBUHAN GIGI. PORTAL MyHEALTH.
- Anatomy and Development of the mouth and teeth – Stanford Children’s Health – Lucile Packard Children’s Hospital Stanford. (n.d.).
- Eruption charts. Mouth Healthy TM. (n.d.).