Skip to content

Gigi Jongang: Punca dan Rawatan

Gigi yang menjulur keluar, juga sering dikenali sebagai gigi jongang. Gigi jongang adalah sejenis maloklusi yang sering dijumpai oleh pakar orthodontik. Maloklusi adalah perkataan yang membawa maksud gigitan yang tidak betul atau sesuai.

Jenis malokulsi ini dikaitkan dengan istilah seperti overjet dan overbite. Dalam kes gigi jongang, gigi di bahagian atas akan terkeluar dan tidak bertemu sepenuhnya atau tidak menggigit gigi di bahagian bawah. Dalam gigitan normal, gigi atas sepatutnya bertemu dan menggigit gigi bawah dengan elok.

Dalam beberapa kes, gigi jongang mungkin tidak kelihatan jika tidak dibuka mulut, namun ada juga individu yang mempunyai gigi atas jongang yang ketara. Gigi jongang adalah masalah yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Punca Gigi Jongang



Terdapat beberapa punca terjadinya gigi jongang, antaranya adalah:

1. Corak kerangka

Ini adalah disebabkan oleh genetik. Gigi jongang selalu dikaitkan dengan rahang atas yang panjang atau rahang bawah yang pendek. Kadang kala rahang atas boleh berkembang lebih dari kadar biasa berbanding dengan struktur muka yang lain. Rahang bawah juga lebih kecil berbanding rahang atas. Dalam kes sebegini, gigi hadapan atas akan condong ke depan dan/atau gigi hadapan bawah akan condong ke belakang. Ini hasil dari faktor tisu lembut atau tabiat.

2. Tisu lembut

Dalam kes ini, bibir selalunya tidak tertutup sepenuhnya kerana kehadiran gigi hadapan yang condong atau faktor corak kerangka. Bibir tidak tertutup sepenuhnya bermaksud apabila bibir atas dan bawah tidak bertemu. Apabila bibir tidak tertutup, pesakit akan cuba untuk menutup mulut dalam beberapa cara. Jika bibir bawah terperangkap di belakang gigi atas hadapan, bibir bawah tersebut akan menolak gigi atas ke hadapan. Seterusnya, jika lidah secara tabiatnya ke hadapan untuk bertemu dengan bibir bawah, juga boleh menyebabkan gigi atas hadapan condong seterusnya menjadi gigi jongang.



3. Faktor gigi

Gigi jongang juga boleh terjadi akibat kesesakan gigi di dalam satu rahang. Kerana gigi lain di rahang atas kekurangan ruang untuk tumbuh, gigi hadapan boleh bergerak ke hadapan seterusnya menjadi gigi jongang.

4. Tabiat

Jarak antara gigi atas dan bawah akan meningkat hasil tabiat menghisap ibu jari yang berterusan. Daya berpanjangan kepada gigi daripada tabiat menghisap jari beberapa jam sehari cukup untuk menggerakkan gigi. Akibat tabiat ini, gigi atas hadapan akan condong ke depan dan gigi bawah hadapan akan condong ke belakang.

Rawatan gigi jongang

Rawatan gigi jongang bergantung kepada beberapa faktor termasuklah punca, umur pesakit, masalah kerangka yang lain, penambat dan pengekalan gigi.

Remaja

Bagi pesakit yang masih remaja dan terdapat campuran gigi susu dan gigi kekal, pesakit tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, pesakit perlu menunggu semua gigi kekal tumbuh terlebih dahulu. Jika ia masih jongang, barulah rawatan yang seterusnya akan dilakukan.

Kes ringan



Boleh dirawat dengan pemasangan pendakap gigi (braces). Ia dilakukan dengan penarikan gigi hadapan. Pendakap gigi biasanya mengambil masa selama 18 ke 30 bulan untuk menghasilkan keputusan yang baik bergantung kepada tahap kes. Sebelum pendakap gigi dipasang, ruang di dalam rahang perlu ada dengan memastikan tiada kesesakan gigi berlaku. Ini boleh dilakukan dengan cara mencabut gigi premolar kedua atau gigi mana yang berkenaan bergantung pada kes.

Kes sederhana

Kes tahap sederhana selalunya dirawat dengan pendakap sementara (functional appliance) diikuti dengan pemakaian pendakap gigi kekal untuk penyusunan. Pendakap sementara ini adalah pendakap yang boleh ditanggalkan untuk pemakaian gigi atas dan bawah. Ini adalah cara modifikasi rahang. Sebab pemakaian pendakap jenis ini sebelum pendakap gigi kekal adalah untuk mengurangkan keparahan gigi jongang. Masa yang diperlukan bagi pemakaian pendakap sementara untuk selesai adalah selama 9 ke 12 bulan, Pendakap kepala (headgear) juga boleh ditambah untuk menahan pertumbuhan rahang atas.

Kes parah

Kes parah wajar dilakukan ketika pertumbuhan muka sudah selesai. Rawatannya adalah gabungan pendakap gigi dan pembedahan rahang.

Dewasa

Kerana kadar pertumbuhan di kalangan pesakit dewasa sudah selesai, maka cara modifikasi rahang seperti pendakap sementara tidak boleh dijalankan. Dalam kes ini, cabutan gigi dan rawatan pendakap gigi kekal adalah disyorkan. Dalam sesetengah kes yang lebih serius, pembedahan rahang mungkin perlu dijalankan untuk mengubah kedudukan rahang.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penutup

Masalah ini perlu dirawat dalam jangka masa yang lebih awal iaitu ketika remaja untuk mengelakkan rawatan yang rumit di masa hadapan. Jika rawatan gigi jongang dapat diselesaikan, pesakit boleh mendapat perubahan yang baik dari segi penampilan gigi dan wajah. Pesakit juga akan mendapat lebih keyakinan untuk menjalani kehidupan seharian. Rawatan ini boleh mengurangkan risiko kecederaan gigi apabila bermain sukan dan memperbaiki kualiti kehidupan individu seperti bercakap dan menggigit makanan.



Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Laura Mitchell. An Introduction to Orthodontics Fifth Edition (2019). Oxford University Press.
  2. Protruding Teeth. Kementerian Kesihatan Malaysia. Myhealth Portal
  3. What Causes Buck Teeth. Colgate.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + 1 =