Skip to content

Gigi Bongsu: Komplikasi dan Rawatan

Gigi bongsu adalah gigi geraham ketiga yang terdapat pada rahang atas dan bawah. Bagi orang dewasa, jumlah gigi kekal berjumlah 32 batang gigi termasuklah gigi bongsu. Jika terdapat sebarang perubahan atau cabutan gigi, maka jumlahnya akan berkurang. Kadangkala gigi bongsu tidak akan tumbuh atau dalam sesetengah kes, gigi bongsu tidak muncul sama sekali dalam rahang pesakit.

Cara gigi bongsu tumbuh

Dalam keadaan normal, jumlah gigi bongsu adalah 4 batang. Setiap rahang mempunyai 2 batang di bahagian kiri dan kanan. Selalunya, gigi bongsu akan tumbuh apabila individu berusia di hujung remaja atau awal 20-an. Gigi bongsu terletak pada bahagian paling hujung di sesebuah rahang.

Gigi bongsu akan tumbuh apabila kesemua gigi kekal yang lain sudah tumbuh dan berfungsi. Oleh sebab itu, ruang di dalam mulut kadangkala tidak cukup untuk gigi bongsu tumbuh secara elok. Akibat tiada ruang, gigi bongsu boleh tumbuh secara menyerong atau tersangkut atau tumbuh secara separa. Dalam kes sebegini, gigi bongsu akan dikategorikan sebagai gigi terhimpit (terimpak).

Komplikasi



Berbalik pada kes gigi bongsu terimpak, ini terjadi akibat kekurangan ruang di rahang. Gigi bongsu selalunya tidak perlu dicabut sekiranya ia terimpak tetapi tidak mendatangkan sebarang masalah. Namun begitu, gigi bongsu yang terimpak atau tidak tumbuh sepenuhnya juga boleh mendatangkan masalah gigi.

Makanan dan bakteria boleh tersangkut di celah gigi bongsu, lalu menyebabkan pengumpulan plak gigi. Apabila ini terjadi, komplikasi atau masalah lain akan muncul, contohnya seperti:

  • Karies gigi
  • Penyakit gusi atau periodontal
  • Mulut berbau
  • Perikoronitis ( inflamasi pada tisu lembut di sekeliling gigi tersebut)
  • Cellulitis ( jangkitan bakteria di pipi, lidah atau tekak)
  • Abses/ nanah ( pengumpulan nanah pada gigi bongsu atau tisu lembut di sekeliling gigi akibat jangkitan bakteria)
  • Cysts
  • Tumor

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Rawatan

Kebanyakan masalah yang disebutkan sebelum ni boleh diselesaikan dengan antibiotik dan ubat kumur mulut. Namun begitu, jika rawatan lain tidak berhasil, maka cabutan gigi bongsu perlu dijalankan. Doktor gigi mungkin boleh mencabut gigi bongsu pesakit, atau pesakit boleh dirujuk kepada pakar maxillofasial untuk pembedahan yang rumit.

Jika gigi bongsu tidak terimpak, gusi yang berlebihan (perikoronitis) akan dibuang. Jika gigi tersebut terimpak dan masalah berulang, gigi bongsu harus dicabut melalui pembedahan. Doktor gigi akan mengambil x-ray gigi berkenaan untuk menganalisa kedudukan gigi dan cara cabutan.  

Sebelum pembedahan dijalankan, prosedur ini akan diterangkan kepada pesakit terlebih dahulu dan pesakit akan diminta untuk menandatangani borang persetujuan.



Setelah itu, pesakit akan diberikan suntikan ubat kebas untuk mengebaskan kawasan sekitar gigi bongsu. Pesakit akan berasa sedikit tekanan sebelum gigi dicabut, ini disebabkan oleh doktor gigi atau pakar bedah perlu meluaskan soket gigi dengan menggerakkan gigi sepenuhnya.

Jika gigi tersebut terimpak dan terletak secara menyerong, gusi di sekeliling gigi bongsu perlu dipotong sedikit. Selepas itu, gigi bongsu perlu dibelah separuh sebelum dikeluarkan. Pembedahan ini mungkin mengambil masa dalam tempoh 5-20 minit bergantung pada kerumitan kes.

Apabila gigi bongsu telah dicabut, pesakit mungkin mengalami gusi bengkak dan rasa tidak selesa di mulut. Kadangkala bengkak juga boleh terjadi di muka pesakit. Perkara ini dirasai dengan teruk pada 3 hari pertama, namun ia boleh bersambung sehingga 2 minggu.

Terdapat juga risiko selepas pembedahan ini berlaku, contohnya jangkitan atau penyembuhan tertangguh akibat jika pesakit merokok ketika peringkat pemulihan.

Risiko lain juga termasuklah soket kering atau dry socket. Soket kering adalah keadaan di mana ada rasa sengal atau sakit di gusi atau rahang, dan kadangkala bau atau rasa busuk berpunca dari soket gigi yang dicabut. Keadaan ini terjadi kerana pesakit tidak mengikuti arahan selepas pembedahan yang diberikan oleh doktor gigi.

Penutup

Pertumbuhan gigi bongsu adalah normal di kalangan individu. Gigi ini akan tumbuh pada waktu yang berlainan untuk setiap orang. Jika anda mempunyai masalah yang disebabkan oleh gigi bongsu, maka disarankan untuk membuat janji temu dengan doktor gigi bagi pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:



  1. Wisdom Tooth Removal. National Health Service (NHS) United Kingdom.
  2. Wisdom Tooth. Mouth Healthy by American Dental Association.
  3. Wisdom Tooth. Kementerian Kesihatan Malaysia.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × three =