Skip to content

Kematu: Punca, Cara Rawatan dan Komplikasi

Kematu adalah masalah yang disebabkan penebalan pada kulit. Ia mungkin akan menyebabkan rasa sakit ataupun tidak. Ia menjadi lebih serius apabila berlakunya jangkitan kuman pada kawasan tersebut.

Bagi pesakit kencing manis, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius di bahagian tersebut.

Istilah Perubatan

Kematu: Merujuk kepada penebalan kulit dan ia terbahagi kepada dua jenis iaitu ‘Corn’ dan ‘Callus’
Corn: Merujuk kepada penebalan kulit yang bertumpu menghasilkan satu benjolan. Ia disebabkan tekanan pada satu titik fokus terutamanya pada bahagian yang mempunyai unjuran tulang
Callus: Merujuk kepada penabalan kulit pada satu bahagian yang besar. Ia disebabkan tekanan pada semua kulit dibahagian tersebut.
Patofisiologi: Bagaimana penyakit tersebut berlaku

Masalah Kematu



Kematu adalah istilah umum yang bermaksud penebalan kulit. Akan tetapi dalam istilah perubatan ia terbahagi kepada dua iaitu ‘Corn’ dan ‘Callus’. Dalam masalah ‘corn‘, terdapat satu benjolan penebalan kulit disebabkan tekanan yang berlaku pada satu titik fokus.

Manakala ‘callus’ pula adalah penebalan kulit pada satu kawasan kulit yang besar dan ia disebabkan tekanan pada semua kawasan tersebut.

Tekanan ini menyebabkan keratin dan sel kulit bertambah dikawasan tersebut. Penebalan kulit yang melampau akan menyebabkan sakit yang kronik pada kulit yang terlibat. Ia juga boleh merekah dan menghasilkan ulser.

Kematu selalunya berlaku pada atlet, mereka yang mempunyai masalah ketika berjalan, masalah kasut yang tidak sesuai ataupun jenis pekerjaan yang dibuat.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bagaimana Kematu Terjadi?

Kematu terjadi disebabkan tekanan dan geseran yang selalu berlaku pada bahagian kulit yang sama. Selalunya ia berlaku pada bahagian kulit yang mempunyai tulang menekan padanya. Apabila sel dibahagian tersebut selalu menerima tekanan dan mengalami kerosakan, satu faktor tumbesaran(growth factor) akan dilepaskan dikawasan tersebut untuk memperbaiki tisu yang rosak.



Ia juga akan menyebabkan pembahagian sel yang berlebihan hingga terjadinya penebalan kulit. Kulit yang tebal inilah dipanggil sebagai kematu(Corn ataupun Callus)

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang membuatkan seseorang itu mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah kematu. Ianya adalah

  • Individu yang sudah berumur
  • Kaki yang kudung
  • Obes
  • Ketuat
  • Bulimia nervosa.
  • Kencing manis. dalam masalah ini ia merosakkan tisu saraf dibahagian kaki hingga apa yang dipijak tidak dirasai. Ini akan menyebabkan masalah tekanan yang berterusan pada tapak kaki.
  • Rheumatoid arthritis

Periksa Simptom anda Di Sini

Prognosis(Kesudahan)

Masalah ini selalu berulang pada individu yang sama kerana faktor risiko yang sama. Simptom yang selalu berlaku pada mereka yang mempunyai masalah ini adalah sakit pada tapak kaki ketika berjalan.

Masalah kematu selalunya tidak menyebabkan kematian. Akan tetapi ia meningkat risiko jangkitan pada bahagian tersebut teruatamanya dalam individu yang berisiko seperti pesakit kencing manis.

Kematu yang terlalu tebal boleh menyebabkan kesakitan dan berakhir dengan ulser.

Simptom dan tanda kematu

Simptom yang selalu terjadi adalah rasa sakit ketika berjalan. Ini kerana kematu selalu berlaku dibahagian kaki disebabkan tekanan berat badan pada bahagian tersebut.

Corn adalah penebalan kulit berbentuk benjolan. Ia mempunyai titik ataupun kawasan berwarna putih dibahagian tengah. Bila ditekan, selalunya ia akan menyebabkan rasa sakit



Callus pula adalah penebalan kulit pada satu kawasan kulit yang besar. Ia disebabkan tekanan pada semua kawasan tersebut.

Kematu bahagian kaki selalunya berlaku pada jari ke-5 di bahagian luar. Ini kerana jari tersebut akan selalu bergeser dengan kasut.

Diantara jari ke-4 dan -5, geseran dan tekanan juga selalu berlaku dan memungkinkan untuk kematu terhasil. Kemudian, pada bahagian hadapan tapak kaki sebelum bahagian jari. Kawasan ini menjadi tumpuan tekanan ketika seseorang berjalan.

Kematu pada bahagian tangan juga boleh berlaku bagi mereka yang melibatkan aktiviti mengangkat benda yang berat.

Komplikasi

Komplikasi yang selalu berlaku adalah jangkitan bakteria dan jangkitan kulat terutamanya pada pesakit kencing manis(Diabetes) dan juga yang mengalami masalah sistemn imun

Corn selalunya berlaku dekat dengan bahagian tulang dan ia meningkatkan risiko untuk jangkitan bakteria pada tulang(Osteomyletis) dan sendi(septic arthritis).

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama. Ianya adalah:

Penyiasatan

Untuk pengesahan kematu, ia tidak memerlukan penyiasatan daripada segi sampel darah ataupun sampel kulit. Cukup dengan pemeriksaan fizikal.



Akan tetapi jika penyakit lain seperti kencing manis dan rheumatoid arthritis disyaki menyebabkan kematu tersebut, penyiasatan darah perlu dibuat untuk mengesahkan masalah tersebut.

Rawatan

Kematu boleh hilang dengan sendirinya apabila tekanan pada bahagian tersebut dihilangkan. Akan tetapi terdapat beberapa rawatan digunakan untuk merawat masalah ini. Ia adalah:

  • Penggunaan agen keratolytic. Sebagai contoh salicylic acid. Ia digunakan untuk menghilangkan ikatan keratin dibahagian kematu tersebut. Jesteru ia akan menyebabkan bahagian kulit yang tebal itu hilang dan menipis.
  • Prosedur pemotongan kematu. Ia dibuat jika kematu terlalu tebal. Ini kerana ia boleh menyebabkan kematu tersebut bertukar menjadi ulser.
  • Penggunaan kasut yang diubah-suai. Jika seseorang itu mengalami masalah saraf, masalah tulang dan masalah sendi yang menyebabkan pergerakan kaki menjadi tidak normal, kasut perlulah diubahsuai atau diletakkan pelapik khas supaya tekanan pada bahagian kaki dapat berlaku secara sekata. Oleh itu, kematu dapat dielakkan.
  • Penggunaan antibiotik jika terdapat jangkitan kuman pada bahagian kematu
  • Penggunaan krim retinoid(Vitamin A). Krim yang sesuai adalah yang mengandungi Vitamin A jenis Tretinoin dan ia terbukti membantu dalam masalah kematu
  • Penggunaan batu apung(Tumice Stone). Batu apung berasal daripada lava gunung berapi. Ia mempunyai tekstur yang kasar. Selalunya ia digunakan untuk mengikis kulit yang telah mati termasuk kematu. Boleh digunakan selepas mandi iaitu ketika mana kematu itu masih lembab.

Cadangan batu asah bagi masalah kematu

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Mann RA. Pain in the foot. 1. Evaluation of foot pain and identification of associated problems. Postgrad Med. 1987 Jul. 82 (1):154-7, 160-2.
  2. DeLauro TM, DeLauro NM. Corns and Calluses. Wolff K, Goldsmith LA, Katz SI, Gilchrest BA, Paller AS, Leffell DJ, eds. Fitzpatrick’s Dermatology in General Medicine. 7th ed. New York, NY: McGraw-Hill; 2008. 97.
  3. Villano PA, Ruocco V, Pisani M. The cameo engraver’s corn. Int J Dermatol. 1990 Jul-Aug. 29 (6):424-5.
  4. Scott MJ Jr, Scott NI, Scott LM. Dermatologic stigmata in sports: weightlifting. Cutis. 1992 Aug. 50 (2):141-5.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + six =