Apakah itu masalah tongue tie yang juga dikenali sebagai lidah pendek ini? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan perkara ini.
Pengenalan
Tongue-tie atau ikatan lidah atau lidah pendek atau istilah perubatan yang lebih tepatnya ankyloglossia adalah keadaan dimana pergerakan lidah bayi terhad semenjak bayi dilahirkan. Tongue-tie ini terjadi adalah kerana tisu membran nipis yang juga dikenali sebagai frenulum lingual yang melekat pada bahagian tengah bawah hingga serta bahagian dasar mulut.
Frenulum lingual yang terlalu pendek daripada normal akan menyebabkan berlakunya “ikatan” lidah. “Ikatan” inilah yang mengehadkan pergerakan lidah. Lidah yang tidak bergerak secara bebas akan mengganggu peranannya ketika menyusu atau bertutur.
Tahap keseriusan tongue-tie itu bergantung ketebalan frenulum lingual tersebut. Frenulum yang lebih tebal akan lebib menyukarkan bayi untuk menyusu atau berkata-kata. Kedudukan dimana frenulum lingual itu melekat juga memainkan peranan. Bayi yang mempunyai tongue-tie atau lidah pendek akan menghadapi kesukaran untuk menjulur lidahnya.
Frenulum lingual yang tidak terpisah sebelum bayi dilahirkan ini akan mendatangkan masalah kepada bayi terutama cara anak anda makan, menelan, bercakap dan sebagainya. Kesukaran untuk bayi menyusu adalah disebabkan lidah yang pendek seterusnya sukar untuk mereka untuk menyedut dengan betul.
Ibu bapa harus cakna akan keadaan anak-anak. Sekiranya tongue-tie dikenal pasti awal, ia boleh dirawat dengan seberapa segera yang mungkin. Tongue-tie atau lidah pendek yang tidak dirawat boleh menyebabkan kesukaran untuk bertutur terutama huruf L dan R apabila anak berusia 2 hingga 3 tahun.
Simptom dan Tanda-tanda
Simptom untuk tongue-tie atau ankyloglossia adalah seperti berikut:
Bayi
- Sukar untuk mereka menggerakkan lidah keatas atau ketepi
- Sukar untuk menjulur lidah melepas gigi depan
- Lidah kelihatan berbentuk hati atau huruf V
- Cenderung melakukan gerakan mengunyah berbanding menghisap apabila sedang menyusu
- Sering mengeluar dan memasukkan puting seakan-akan sukar untuk anak menyusu sekali gus menyebabkan proses menyusu lebih lama
- Berat badan tidak menaik seperti bayi-bayi yang lain
- Bayi dilihat sering lapar
- Bayi akan mengeluarkan bunyik ‘klik’ ketika menyusu
Ibu
- Puting payudara pecah-pecah dan terasa pedih semasa menyusu
- Luka pada puting ibu
- Mastitis (infeksi/jangkitan kuman pada puting)
- Salur susu yang tersekat
- Bekalan susu rendah
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Punca dan Faktor Risiko
Lidah dan dasar mulut akan terpisah sewaktu tumbesaran janin didalam rahim. Kegagalan frenulum lingual untuk terpisah sebelum bayi dilahirkan akan menyebabkan frenulum lingual masih bersambung diantara lidah dan dasar mulut seterusnya menyebabkan tongue-tie atau ankyloglossia terjadi. Punca yang tepat masih juga menjadi tanda tanya pakar-pakar.
Tongue-tie juga boleh terjadi disebabkan faktor genetik. Sekiranya ibu atau ayah bayi mengalami tongue-tie, anak juga akan berisiko untuk menghadapi benda yang sama. Secara umumnya, lelaki adalah 3 kali lebih berisiko untuk menghadapi tongue-tie berbanding perempuan.
Penyakit Berkaitan
Walaupun ada sesetengah kes dimana tongue-tie tidak perlu dirawat dan frenulum lingual akan meregang dengan sendiri apabila usia anak meningkat. Tongue-tie atau ankyloglossia yang tidak dirawat boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti berikut:
- Masalah ketika menyusu. Ketika bayi menyusu, biasanya bayi akan meletakkan lidah mereka dibahagian gusi bawah. Tongue-tie akan menyebabkan bayi sukar untuk menggerak dan memposisikan lidah ditempat yang betul sekali gus menyebakan bayi menggigit/mengunyah puting ibu. Oleh sebab itulah, ibu akan mengalami pedih dibahagian puting. Disamping itu, kesukaran bayi untuk menyusu dengan betul akan menyebakan bayi tidak mendapatkan nutrisi yang cukup seterusnya berat badan bayi menurun.
- Kesukaran untuk bertutur. Tongue-tie juga boleh menyebabkan anak sukar untuk menyebut terutama huruf-huruf tertentu seperti – “t”, “d”, “z”, “s”, “th”, “rrr”, “l”.
- Kebersihan gigi merosot. Tongue-tie akan menyebabkan kesukaran untuk menggunakan lidah sebagai ejen pembersih untuk mencuci sisa makanan yang tertinggal didalam mulut selepas makan. Tongue-tie turut memberi kesan kepada pertumbuhan gigi dimana ruang diantara gigi depan bahagian bawah. Ruang ini seterusnya boleh menyebabkan sisa makanan tersangkut lalu tumbuhnya plak.
- Kesukaran untuk melakukan aktiviti yang menggunakan lidah. Anak akan menghadapi kesulitan untuk makan, menjilat ais-krim, menjilat bibir atau main alatan muzik seperti seruling, rekoder dan lain-lain.
Rajah 1: Bayi menghadapi kesukaran untuk menyusu kerana lidahnya yang pendek tidak dapat merangkum puting sepenuhnya.
Ujian Pengesahan
Sebelum memeriksa keadaan bayi, doktor akan terlebih dahulu bertanya kepada ibu sekiranya terdapat sebarang masalah dalam penyusuan atau tidak. Hanya pemeriksaan secara fizikal sahaja dapat membantu doktor mengesahkan sekiranya anak mempunyai masalah tongue-tie atau tidak.
Doktor akan memeriksa keadaan dalam mulut bayi dari segi pergerakan dan bentuknya. Untuk kanak-kanak yang sedikit dewasa, doktor akan mengarahkan pesakit untuk menggerakkan lidah serta menyebut huruf R atau L. Kedua-dua huruf ini memerlukan mereka untuk menggerakkan lidah mereka keatas. Tongue-tie akan kelihatan sekiranya frenulum lingual yang menyambungkan bahagian bawah lidah ke dasar mulut akan kelihatan sekiranya.
Ada beberapa kaedah penilaian untuk menjalankan ujian pengesahan dengan lebih tepat. Yang paling sering digunakan adalah penilaian Tabby. Ia adalah satu kaedah penilaian yang digunakan untuk menentukan anak itu mempunyai tongue-tie atau tidak.
Rajah 2: Alat Penilaian TABBY (Sumber: University of Bristol)
Rawatan
Rawatan akan dilakukan setelah diagnosis yang jelas terhadap tongue-tie anak dibuat oleh seorang doktor gigi. Kaedah rawatan berbeza mengikut keadaan bayi atau anakyang menghidapi tongue-tie. Sekiranya bayi atau anak masih boleh makan seperti biasa, biasanya doktor akan memantau dari semasa ke semasa akan perkembangan tongue-tie. Hal ini kerana frenulum lingual akan menjadi lebih meregang dengan sendirinya mengikut peningkatan usia anak.
Berbeza pula jika bayi atau anak yang berada dalam keadaan yang sukar untuk makan sekali gus akan memberi kesan terhadap nutrisi bayi. Doktor akan mengambil pendekatan untuk melakukan prosedur pembedahan.
1. Frenulotomi
Frenulotomi atau juga dikenali frenotomi adalah merupakan satu prosedur pembedahan yang dilakukan untuk memotong tongue-tie atau ikatan lidah. Beberapa bulan selepas sahaja bayi dilahirkan, frenulotomi boleh dilakukan dengan selamat.
Prosedur ini boleh dilakukan dengan bius atau tidak. Titisan bius akan diberikan kepada bayi bagi mengurangkan sensasi kesakitan. Bayi hendaklah dibedung dengan baik sebelum prosedur ini dilakukan. Prosedur memotong tongue-tie ini hanya memakan masa selama 3 saat.
Pendarahan yang berlaku susulan frenulotomi adalah sangat sedikit. Bayi boleh menyusu sebaik sahaja prosedur selesai. Sekiranya anak tidak melakukan frenulotomi seawal yang mungkin, mereka akan mengalami masalah pertuturan apabila berusia 2 hingga 3 tahun.
2. Frenulopasti
Frenuloplasti merupakan satu prosedur pembedahan yang akan dilakukan sekiranya frenulum lingual terlalu tebal. Berbeza dengan frenulotomi, frenuloplasti memerlukan bius am dan alat pembedahan yang khusus. Sebaik sahaja tongue-tie atau frenulum lingual itu dipotong, bekas luka akan dijahit semula.
Dalam beberapa kes, laser digunakan untuk memotong tongue-tie. Susulan daripada pembedahan frenuloplasti, beberapa senaman lidah boleh dilakukan untuk memebantu pergerakan lidah.
Rajah 3: Frenulum lingual dalam frenulotomi. (Sumber: Mayo Foundation For Medical Education and Research)
Masalah mulut yang lain
Mulut Berbau | Kanser Gusi |
Lidah Pendek | Tonsil Bengkak |
Kanser Tekak | Kanser Tonsil |
Hilang Suara | Hilang Deria |
Masalah Bruxism | Ranula |
Rujukan:
- Berg, J. H. (2013). Pediatric dentistry. Elsevier.
- Ismail, W. S. bt. W. (2017, April 25). My child has tongue tie? PORTAL MyHEALTH.
- Mayo Foundation for Medical Education and Research. (n.d.). Tongue-tie. Mayo Clinic.
- Moore, W. (n.d.). Tongue-tie in babies (ankyloglossia) – symptoms, causes, treatment. WebMD.