Skip to content

Gigi Jarang: Punca dan Cara Rawatan

Apakah punca kepada masalah gigi jarang ini? Artikel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah ini

Senyuman selalunya adalah perkara pertama yang dipandang apabila kita bersemuka dengan seseorang. Cara senyuman akan diiringi dengan keadaan mulut dan gigi. Gigi yang cantik dan teratur akan menjadi tarikan dan idaman setiap individu.

Namun begitu, sesetengah orang mempunyai keadaan di mana giginya jarang. Gigi jarang bererti terdapat ruang di antara gigi di dalam sesebuah rahang. Keadaan ini adalah bertentangan dengan gigi padat. Ruang yang ada kadangkala adalah kecil tetapi ia juga boleh menjadi besar.



Gigi jarang secara umumnya jarang berlaku namun secara spesifiknya, gigi jarang hadapan sering berlaku. Gigi jarang atas hadapan atau dipanggil median diastema bermaksud terdapat jarak dan ruang di antara gigi hadapan rahang atas.

Punca Gigi Jarang

Masalah ini boleh dikategorikan berpunca dari pergerakan gigi dan penyakit gusi. Terdapat juga beberapa sebab lain yang memungkinkan berlakunya keadaan gigi jarang, antaranya adalah:

  1. Kekurangan jumlah gigi secara genetik atau dari lahir.
  2. Gigi yang bersaiz kecil dalam rahang yang bersaiz besar.
  3. Tabiat menghisap ibu jari semasa kecil.
  4. Lidah yang sering menolak gigi hadapan.
  5. Frenum adalah tisu lembut yang terletak di antara gigi harapan, bibir dan gusi. Apabila gigi kekal hadapan tumbuh, frenum akan surut. Namun begitu, dalam masalah ini, frenum akan menghalang kedua-dua gigi hadapan bercantum seterusnya jarak akan berlaku.
  6. Penyakit gusi/ periodontal. Penyakit gusi adalah penyakit yang melibatkan kerosakan tisu dan tulang penyokong gigi. Apabila keadaan menjadi parah, gigi akan kehilangan sokongan dari gusi dan tulang seterusnya tercabut.

Komplikasi

Keadaan gigi jarang boleh memberi komplikasi pada seseorang individu. Komplikasi ini terbahagi kepada masalah psikologi dan fisiologi, contohnya seperti:

  1. Masalah estetik
    • Gigi jarang mengurangkan nilai estetik pada muka pesakit kerana jarak di antara gigi yang tidak dapat disembunyikan.
  2. Masalah kurang keyakinan di dalam diri pesakit
    • Ini kerana individu mungkin berasa malu dan kurang yakin kerana keadaan gigi yang kurang menarik.
  3. Masalah kebersihan mulut
    • Makanan akan selalu tersangkut di celah gigi kerana ruang yang wujud di antara gigi. Apabila makanan tersangkut, plak gigi akan berlaku akan pengumpulan bakteria di permukaan gigi tersebut.
    • Dalam jangka masa yang tertentu, penyakit gusi atau gingivitis akan muncul dan jika dibiarkan penyakit periodontal akan muncul.
    • Selain itu, karies gigi juga akan berlaku jika masalah ini berpanjangan.
  4. Gigitan tidak betul
    • Gigi jarang akan membuatkan kedudukan gigi tidak sekata dan rata. Ini akan menyebabkan gigitan tidak betul di antara rahang atas dan bawah.
    • Kunyahan juga akan menjadi susah dan tidak selesa seterusnya mengakibatkan kesakitan di dalam rahang. Apabila susah mengunyah, masalah pencernaan boleh berlaku.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Rawatan

Gigi jarang sebenarnya boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan jika keadaan ini tidak mendatangkan sebarang tidak keselesaan pada pesakit. Tetapi jika pesakit mahu merawat masalah ini, terdapat beberapa cara iaitu:

  1. Tampalan gigi
    • Jika ruang di antara gigi adalah kecil, doktor gigi boleh mengesyorkan supaya tampalan gigi dijalankan. Composite resin akan digunakan untuk menampal gigi pesakit.
    • Bahan jenis ini mungkin akan mengalami perubahan atau kehilangan warna selepas beberapa tahun. Kemungkinan untuk tampalan pecah atau tertanggal juga mungkin berlaku kerana ianya tidak begitu kukuh.
  2. Veneer
    • Veneer adalah sejenis bahan restorasi yang dilekatkan pada permukaan hadapan gigi. Ia terbahagi kepada jenis seramik atau porselin.
    • Veneer adalah pilihan baik kerana ia tidak luntur dan lebih kekal lama berbanding tampalan.
  3. Pendakap gigi
    • Pendakap gigi boleh digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi sekali gus mengurangkan jarak di antara gigi. Terdapat pelbagai jenis pendakap gigi yang boleh dipilih dan dipakai.
  4. Aplians boleh tanggal
    • Aplians boleh tanggal adalah sejenis aplians yang boleh ditanggalkan dan boleh membetulkan kedudukan gigi serta masalah gigitan. Ia diperbuat dari bahan arkrilik.
    • Rawatan ini dikhaskan untuk gigi jarang yang tidak serius dan mempunyai jarak yang kecil.
  5. Gigi palsu, jambatan pergigian (bridge) dan implan gigi
  6. Jika gigi jarang disebabkan oleh penyakit gusi, maka gigi perlu dirawat mengikut prosedur masalah gusi seperti scaling dan root planing.

Penutup

Gigi jarang perlu dirawat jika ianya memberi masalah dan ketidak selesaan pada pesakit. Pesakit perlu segera berjumpa dengan doktor gigi dan mendapat janji temu. Pesakit juga perlu menjaga kebersihan mulut seperti memberus gigi 2 kali sehari dan flos sekali sehari. Jika masalah gigi jarang dapat dibetulkan, maka senyuman manis yang menjadi idaman akan dicapai.



Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:

  1. Mitchell, L. & Mitchell, D.A.(2017). Oxford Handbook of Clinical Dentistry.
  2. Littlewood, S.J. & Mitchell, L. (2019). An Introduction to Orthodontics.
  3. Why Are My Teeth Moving Apart?. My Health Portal
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × four =