Skip to content

3 Cara Mudah Jika Anda Susah untuk Mendengar dengan Jelas

Anda rasa susah untuk mendengar dengan jelas? Jangan risau kerana anda boleh mengamalkan beberapa cara untuk anda mendengar dan memahami apa yang anda dengar dengan lebih mudah. Strategi pendengaran (hearing strategy) atau turut dikenali dengan nama taktik pendengaran dan strategi mendengar adalah salah satu cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pemahaman anda apabila mendengar.

Strategi ini bukan hanya boleh diamalkan oleh orang yang mengalami masalah pendengaran sahaja, tetapi ia juga boleh dilakukan oleh orang yang mendengar secara normal. Tidak kira sama ada anda seorang yang memakai alat bantu dengar ataupun tidak, semua individu boleh mencuba tip-tip ini bagi mengurangkan kesusahan anda dalam membezakan bunyi dan memahami sesuatu input yang anda dengar dengan lebih mudah.

Meskipun begitu, pesakit yang mempunyai masalah pendengaran lebih dinasihatkan untuk mengamalkan strategi-strategi di bawah kerana apabila seseorang mengalami masalah pendengaran, individu tersebut akan mengalami kesukaran untuk membezakan antara dua bunyi yang lebih kurang sama.

Strategi 1: Memerhati rakan komunikasi bercakap.



Terdapat banyak petunjuk yang boleh anda dapat apabila anda memerhati orang yang bercakap atau bertutur dengan anda. Antaranya ialah petunjuk yang diterima melalui melihat bacaan bibir (lip-reading) dan bahasa bukan lisan (non-verbal signal).

a) Bacaan bibir (lip-reading)

Mempraktikkan bacaan bibir adalah satu inisiatif yang bagus kerana melalui pembacaan bibir, anda dapat melihat tempat artikulasi seperti kedudukan gigi, bibir dan lidah apabila individu tersebut menuturkan perkataan.

Dengan ini, anda dapat menjadikannya sebagai petunjuk untuk anda meneka apa yang cuba disampaikan oleh mereka. Apabila input yang anda dapat melalui apa yang anda lihat digabungkan dengan input yang anda perolehi melalui apa yang anda dengar, pemahaman anda terhadap perkara yang cuba disampaikan oleh individu tersebut akan menjadi jauh lebih mudah.

b) Bahasa bukan lisan (non-verbal signal)



Anda juga boleh memerhati isyarat bukan lisan merangkumi bahasa tubuh dan gerak muka seperti senyuman, kerutan kening, pandangan pelik dan terkejut daripada mereka. Terdapat banyak informasi yang boleh anda dapat melalui bacaan gerak tubuh dan ekspresi wajah individu yang berbicara.

Dengan adanya gabungan bacaan bibir, muka dan gaya tubuh, anda yang mendengar mampu untuk meneka dan memahami input yang disampaikan oleh individu yang sedang berkomunikasi dengan anda.

Strategi 2: Mengubah cara rakan komunikasi bercakap

Apabila anda berkomunikasi dalam keadaan yang bising, pertuturan yang jelas daripada rakan komunikasi anda amatlah penting berbanding pertuturan biasa dalam kehidupan seharian. Oleh itu, anda perlu meminta rakan anda untuk bertutur dengan jelas seperti:

  • Bercakap pada kadar perlahan.
  • Mengeluarkan bunyi pertuturan dengan meletakkan artikulator seperti bibir, gigi dan lidah pada kedudukan yang tepat.
  • Memberi penekanan bunyi pada perkataan yang penting seperi kata kunci.
  • Menyediakan contoh yang jelas.

Sekiranya anda sudah berusia, percakapan pada kadar perlahan sangatlah membantu anda untuk memahami perkara yang anda dengar kerana otak telah diberi masa yang cukup untuk memproses bunyi yang sampai ke telinga anda. Tidak dilupakan juga, suara yang kuat turut menyumbang kepada kejelasan bunyi yang sampai ke telinga.

Bercakap dengan nada yang kuat bukanlah bermaksud menjerit, namun seandainya anda berkomunikasi dalam keadaan yang sangat bising, rakan komunikasi anda tiada pilihan selain menjerit untuk melawan bunyi persekitaran yang sangat bising.

Seandainya anda tidak faham dan ingin meminta rakan komunikasi anda mengulanginya, anda tidak semestinya perlu bertanya “apa?” berulang kali. Sebaliknya anda boleh mencuba beberapa cara ini bagi mengelakkan rakan anda berasa geram atau marah. Antaranya adalah dengan mengulangi semula apa yang anda dapat dengar sambil meminta pengesahan daripada mereka. Anda juga boleh bertanya soalan yang menunujukkan ayat yang anda dengar dan perkataan yang anda tidak dapat dengar. Sebagai contoh, “Pejabat apa yang kamu sebutkan sebentar tadi?” Jikalau semuanya tidak berjaya, anda mungkin boleh meminta rakan anda mengeja perkataan tersebut.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Strategi 3: Manipulasi persekitaran.

Persekitaran yang baik amat penting untuk seseorang berkomunikasi dengan baik dan berkesan. Antara teknik untuk memanipulasikan persekitaran demi mencapai komunikasi yang berkesan adalah dengan mengurangkan bunyi bising dari persekitaran, memastikan pencahayaan yang mencukupi serta berada dalam kedudukan yang dekat dan selesa dengan rakan komunikasi.

1. Mengurangkan bunyi persekitaran yang bising



Perkara utama yang perlu anda pastikan sebelum berkomunikasi adalah dengan mengurangkan bunyi persekitaran yang bising. Sebagai contoh, anda boleh memperlahankan bunyi suara dari televisyen atau radio, menutup pintu di ruang komunikasi anda atau lebih baik bergerak ke tempat yang lebih senyap.

2. Pencahayaan yang mencukupi

Pencahayaan yang terang juga bagus untuk anda berkomunikasi dengan baik. Hal ini kerana dengan adanya lampu atau cahaya yang cukup terang, anda dapat melihat rakan komunikasi anda dengan jelas. Selain daripada dapat menghormati rakan anda kerana anda memandang ke arah muka mereka sewaktu mereka sedang berbicara, anda juga dapat mempraktikkan bacan bibir, muka dan bahasa tubuh dengan lebih mudah.

3. Posisi dekat dengan rakan komunikasi

Satu perkara yang paling penting apabila anda berbicara atau bercakap dengan seseorang adalah dengan berada pada kedudukan yang tidak terlalu jauh dengan individu tersebut. Apabila anda berada dalam keadaan dekat dan selesa dengannya, isyarat yang sampai ke telinga anda akan lebih jelas berbanding bunyi persekitaran anda (signal-to-noise ratio). Cuba anda bayangkan sekiranya anda berkomunikasi dalam jarak yang jauh, sudah pasti anda akan terganggu oleh bunyi persekitaran.

Seandainya anda seorang yang mempunyai masalah pendengaran di sebelah telinga sahaja, anda hendaklah memastikan orang yang bercakap dengan anda berada di sebelah telinga yang sihat atau tidak mempunyai masalah pendengaran yang terlalu teruk. Hal ini kerana ianya dapat meningkatkan lagi isyarat yang sampai ke telinga anda.

Dengan mengambil inisiatif untuk mengamalkan strategi-strategi ini, ia tidak bermaksud anda yang mempunyai masalah pendengaran tidak perlu mencuba atau memakai alat bantu dengar. Sebaliknya, tip-tip ini hanyalah sebagai tambahan untuk anda praktikkan apabila terdapat bunyi-bunyi perkataan yang tidak terlalu jelas untuk anda dengar. Selamat mencuba!

Rujukan



  1. Dillon, H. (2012). Hearing Aids, Second Edition. Boomerang Press:Sydney.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 + twelve =