Apakah punca jangkitan telinga berserta rawatannya?
Artikel ini akan membincangkan secara lengkap dan mudah berkenaan masalah ini berserta rawatannya?
Pengenalan
Jangkitan bahagian telinga adalah jangkitan yang berlaku di bahagian luar telinga, saluran telinga dan juga hingga bahagian di belakang gegendang telinga. Selalunya pesakit akan merasa sakit di bahagian tersebut dan ia kerap berlaku pada kanak kanak.
Jangkitan ini boleh disebabkan virus, bakteria dan juga kulat. Terdapat beberapa jenis jangkitan yang perlu diketahui. Ia adalah:
1. Otitis Media Akut
Jangkitan ini berlaku di belakang bahagian gegendang telinga. Ia menyebabkan gegendang telinga dan bahagian sekitarnya menjadi bengkak dan kemerahan. Jangkitan jenis akut kebiasaannya berlaku dalam jangka masa yang pendek sahaja.
2. Otitis media berserta nanah (Suppurative Otitis Media)
Nanah disini terhasil disebabkan jangkitan kuman pada bahagian belakang gegendang telinga. Apabila terlalu banyak cecair di belakang gegendang telinga, ia akan menyebabkan tekanan pada gegendang telinga hingga menyebabkan ia bocor. Dari situ keluarlah nanah daripada telinga.
Pesakit selalunya akan merasa telingany seolah-olah penuh dengan air dan ia akan sedikti sebanyak mengganggu pendengaran.
3. Otitis Externa
Otitis externa adalah jangkitan luar telinga iaitu melibatkan kawasan sekitar cuping telinga dan bahagian lubang telinga. Gejalanya pula ialah rasa gatal, tidak selesa pada telinga, telinga bengkak dan lelehan cecair dari dalam telinga.
Ia boleh terjadi jika terdapat kelembapan berlebihan dalam telinga yang menyebabkannya menjadi tempat pembiakan bagi bakteria atau kulat. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk sentiasa memastikan telinga kering selepas mandi atau berenang, memastikan alat fon telinga sentiasa bersih sebelum menggunakannya dan elakkan daripada mengorek telinga.
Punca Jangkitan Telinga
Jangkitan telinga pada kanak-kanak selalunya berlaku apabila mereka baru sahaja sembuh daripada jangkitan saluran pernafasan sebagai contoh sakit tekak atau selesema.
Perlu diketahui struktur telinga dan hidung adalah berkait rapat. Apabila jangkitan bahagian saluran pernafasan berlaku, tiub eustachian yang menyambungkan bahagian salur pernafasan dan telinga mengalami penyumbatan. Rembesan cecair akan terkumpul di belakang gegendang telinga. Lama kelamaan, bakteria akan membiak di dalam cecair tersebut dan terjadilah jangkitan kuman dan penghasilan nanah.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom Jangkitan Telinga
Terdapat beberapa simptom atau tanda yang menunjukkan jangkitan telinga sedang berlaku:
- Sakit telinga
- Rasa berdenyut di dalam telinga
- Demam
- Keluar lelehan cecair jernih atau nanah melalui lubang telinga
- Kurang pendengaran
- Rasa pening dan tidak stabil
- Loya dan muntah
- Kanak kanak mungkin akan menjadi lebih sensitif, kerap menangis dan sukar tidur
Ujian Pengesahan
Terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan masalah ini.
1. Pemeriksaan Telinga
Doktor akan melakukan pemeriksaan di dalam telinga menggunakan alat yang dikenali sebagai “otoscope”. Alat ini digunakan untuk melihat keadaan dalam telinga sekiranya terdapat bengkak, nanah, cecair dan tanda tanda radang. Ia juga digunakan untuk melihat struktur gegendang telinga.
Selain itu, doktor juga akan melakukan ujian pendengaran iaitu “tympanometry” bagi mengesan sebarang gangguan pendengaran yang boleh terjadi kerana jangkitan. Ia akan mengesan dan merekod gegaran gegendang telinga samada normal atau terjejas.
2. Pengambilan darah
Jika pesakit mengalami demam yang tinggi, pesakit dinasihatkan untuk membuat pengambilan darah untuk melihat bacaan sel darah putih. Jika sel darah putih tinggi, doktor mungkin akan memberikan ubat antibiotik kepada pesakit
Rawatan
Bagi sesetengah kes, jangkitan ini akan sembuh sendiri dalam masa beberapa hari. Namun begitu jika anda masih mengalami jangkitan melebihi 3 hari, doktor akan memberikan ubat yang lebih spesifik.
1. Ubat Tahan sakit
Untuk mengurangkan rasa sakit, pesakit selalunya diberikan ubat tahan sakit yang juga bersifat anti-keradangan.
2. Antibiotik
Jika jangkitan kuman di telinga tidak terlalu teruk, pesakit akan diberikan ubat titis antibiotik untuk membunuh jangkitan bakteria. Jika pesakit mengalami demam, maka antibiotik makan akan diberikan kepada pesakit.
3. Ubat Anti-kulat
Jika pesakit mengalami jangkitan kulat di dalam telinga, maka pesakit akan diberikan ubat titis anti-kulat untuk membunuh kulat tersebut.
Komplikasi
Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin berlaku jika jangkitan ini tidak dirawat dengan betul. Komplikasi tersebut adalah:
- Jangkitan ke tulang telinga(Acute Mastoiditis)
- Jangkitan merebak ke bahagian selaput otak (Meningitis)
- Hilang pendengaran
- Gegendang telinga pecah
Cara Mengelakkan Jangkitan Telinga
Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan masalah ini berlaku:
1. Kerap Basuh Tangan
Bagi mengelakkan kuman tersebar ke dalam saluran pernafasan, membasuh tangan secara kerap boleh mengelakkan jangkitan pada saluran pernafasan sekiranya anda menyentuh muka.
Masalah Otitis Media mudah berlaku jika terdapat jangkitan selesema dan jangkitan tekak.
2. Elakkan kawasan berhabuk
Elakkan kawasan yang berhabuk kerana habuk boleh mencetuskan reaksi alergi seperti bersin dan selesema. Ia juga boleh menambahkan rembesan cecair di dalam rongga hidung dan telinga lalu menyebabkan masalah ini berlaku.
3. Vaksin
Lengkapkan suntikan vaksin anak bagi memberi perlindungan menyeluruh kepada mereka. Vaksin seperti Influenza dan pneumococcal dapat melindungi anak anda dari jangkitan virus yang menyebabkan radang salur pernafasan dan telinga.
Artikel Berkaitan Telinga
Sakit Telinga | Telinga Berair |
Jangkitan Telinga | Gegendang Telinga Pecah |
Telinga Tersumbat | Telinga Bernanah |
Tahi Telinga Keras | Telinga Berdesing |
Telinga Gatal |
Rujukan:
- Ear Infection – Healthline
- Otitis Externa – Healthline