Skip to content

Gegendang Telinga Pecah: Punca, Simptom dan Rawatan

Semuanya bermula dengan rasa tidak selesa dalam telinga. Kemudian, mula rasa sakit dalam telinga. Pendengaran pun sudah mula terjejas, demam pula datang menjenguk. Kemudian keluar pula lelehan cecair bercampur  darah dari lubang telinga. Anda mula tidak senang duduk, ditambah pula dengan sakit telinga yang makin teruk dan pendengaran semakin berkurang. Anda pernah mengalami perkara di atas? Jika ya, anda mungkin mengalami gegendang telinga pecah.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca Gegendang Telinga Pecah
  3. Simptom Gegendang Telinga Pecah
  4. Ujian Pengesahan
  5. Rawatan
  6. Pencegahan

Pengenalan


Gegendang telinga merupakan struktur penting dalam bahagian dalam telinga. Ia sangat nipis dan berfungsi untuk membantu membawa gelombang bunyi sampai ke dalam telinga. Ia akan bergetar dan membantu dalam proses pendengaran.

Gegendang telinga yang pecah mungkin mempunyai koyakan atau lubang padanya dan boleh merencatkan fungsinya lantas menjejaskan pendengaran anda. Dalam kes yang lebih teruk, ia boleh menyebabkan hilang pendengaran.



Gegendang telinga pecah kerap terjadi kepada kanak kanak terutamanya mereka yang berusia lingkungan 2 hingga 4 tahun. Hal ini kerana golongan ini jugalah yang terdedah kepada jangkitan dalam telinga, otitis media.

Punca Gegendang Telinga Pecah


Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan pecahnya gegendang telinga anda:

1. Jangkitan

Jangkitan dalam telinga yang kerap terjadi kepada kanak kanak adalah punca utama yang sering menyebabkan gegendang telinga pecah. Dalam jangkitan telinga, berlaku pengumpulan cecair dan nanah di belakang gegendang telinga. Apabila tekanan meningkat, ini boleh memberi kesan kepada gegendang telinga sehingga ia pecah.

2. Perubahan tekanan yang drastik.



Tekanan yang dimaksudkan di sini ialah tekanan dalam telinga yang boleh meningkat dalam sesetengah aktiviti. Kecederaan yang terhasil dari peningkatan tekanan ini dipanggil barotrauma dan terjadi apabila tekanan di luar telinga berbeza dengan di dalam telinga. Antara aktiviti yang boleh menyebabkannya ialah scuba diving, kawasan beraltitud tinggi dan impak yang kuat pada telinga sebagai contoh ditampar

3. Trauma

Sebarang trauma pada bahagian luar telinga ataupun bahagian sisi kepala seperti kemalangan, pukulan, kecederaan sewaktu bersukan boleh memecahkan gegendang telinga. Memasukkan bendasing berbahaya dan tajam ke dalam telinga seperti pengorek telinga, pen juga boleh mencederakan gegendang telinga. Trauma yang terhasil dari bunyi yang terlalu kuat juga memberi kesan yang sama.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Simptom Gegendang Telinga Pecah


Antara tanda tanda yang mungkin anda alami sekiranya gegendang telinga anda pecah:

  • Sakit telinga, dalam sesetengah kes anda sampai tidak boleh tidur malam kerana sakitnya mencucuk.
  • Keluar lelehan cecair dari dalam telinga. Cecair ini boleh bercampur dengan nanah ataupun darah.
  • Kurang pendengaran. Pendengaran anda mungkin terjejas dan and juga mungkin mendengar bunyi berdesing dalam telinga.

Periksa Simptom anda Di Sini

Ujian Pengesahan


Segera ke hospital sekiranya anda mengalami tanda tanda di atas. Doktor akan membuat pemeriksaan dengan lebih lanjut bagi mengenal pasti keadaan anda.

1. Pemeriksaan Otoskopi

Doktor akan menggunakan sejenis alat yang berlampu bagi melihat ruang dalam telinga. Daripada alat ini, doktor dapat melihat keadaan saluran telinga dan juga gegendang telinga sama ada mengalami kecederaan ataupun tidak



2. Tympanometry

Ini adalah ujian bagi menilai fungsi getaran gegendang telinga. Pesakit yang mengalami masalah pecah gegendang telinga selalunya akan menghasilkan keputusan ujian yang tidak normal kerana ia tidak boleh bergetar seperti biasa.

3. Ujian audiologi

Untuk menilai kapasiti pendengaran telinga pesakit sama ada pesakit boleh dengar ataupun tidak.

Rawatan


Jika keadaan memerlukan, doktor akan merujuk anda kepada pakar telinga untuk rawatan lanjut. Rawatan yang diberikan adalah supaya dapat mengurangkan kesakitan dan menghalang ataupun merawat jangkitan.

1. Tampalan

Doktor akan menampal lubang pada gegendang telinga bagi menggalakkan gegendang bercantum semula. Selalunya ia dilakukan oleh doktor pakar Otorhinolaryngology(Telinga, hidung dan tekak)

2. Antibitiotik



Ini untuk merawat jangkitan telinga yang menjadi punca pecahnya gegendang telinga dan juga untuk menghalang terjadinya jangkitan baru di kawasan gegendang yang pecah.

3. Tympanoplasty

Ini adalah sejenis pembedahan yang dilakukan dengan mengambil tisu daripada kawasan badan lain dan melekatkannya pada gegendang yang pecah bagi mengalakkan gegendang bercantum semula.

4. Rawatan Di Rumah

Anda juga boleh menuam telinga anda beberapa kali sehari bagi mengurangkan sakit ataupun mengambil ubat tahan sakit. Elakkan daripada menghembus hidung kerana ini akan meningkatkan tekanan dalam telinga dan melambatkan proses penyembuhan. Jangan guna ubat titik telinga melainkan yang diberi oleh doktor. Ini kerana cecair boleh mengalir melalui lubang yang pecah kedalam telinga tengah.

Gegendang telinga anda  sembuh dalam tempoh 8 minggu. Dalam kebanyakan kes, ia akan sembuh dengan sendiri tanpa rawatan lanjut seperti pembedahan.

Cara mengelakkan Gegendang Telinga dari Pecah


Berikut merupakan perkara yang boleh anda amalkan bagi mencegah gegendang telinga pecah:

  • Pastikan telinga sentiasa kering bagi mengelakkan pembiakan kuman penyebab jangkitan.
  • Berhati hati apabila mandi, pastikan air tidak masuk ke dalam lubang telinga.
  • Jika anda mendapat jangkitan dalam telinga, segera dapatkan rawatan.
  • Elakkan menaiki kapal terbang jika anda mempunyai selesema ataupun jangkitan sinus.
  • Jika perlu, gunakan penutup telinga, kunyah gula gula getah bagi mengekalkan keseimbangan tekanan dalam dan luar telinga.
  • Jangan korek telinga menggunakan apa sahaja sekalipun. Cukup hanya mandi setiap hari bagi membantu telinga kita membersihkan isi dalam telinga yang berlebihan.
  • Elakkan terdedah kepada bunyi bunyi yang kuat seperti di kilang ataupun di kawasan pembinaan. Gunakan penutup telinga jika perlu.

Artikel Berkaitan Telinga



Sakit TelingaTelinga Berair
Jangkitan TelingaGegendang Telinga Pecah
Telinga TersumbatTelinga Bernanah
Tahi Telinga KerasTelinga Berdesing
Telinga Gatal

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan

  1. Ruptured Ear Drum. Healthline

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − 8 =