Rabun dekat atau istilah perubatannya hyperopia atau presbyopia merupakan satu keadaan di mana mata kehilangan upaya untuk memfokus pada objek yang dekat. Hyperopia boleh terjadi pada semua peringkat umur dan selalunya ia disebabkan genetik dimana bebola mata individu tersebut adalah pendek menyebabkan imej objek terfokus di belakang retina. Manakala, presbyopia pula terjadi kepada golongan yang berusia dan merupakan satu bentuk proses penuaan.
Apabila cahaya memasuki mata, ia akan melalui kornea dan melalui anak mata. Iris merupakan satu struktur yang mengawal saiz anak mata bergantung kepada jumlah cahaya yang masuk. Setelah melalui anak mata, cahaya kemudian melalui kanta mata. Kanta mata akan berubah bentuk bagi membengkokkan cahaya dan memfokuskan cahaya pada retina di belakang mata. Dalam golongan berusia, kanta menjadi kurang elastik dan sukar mengubah bentuknya, oleh itu cahaya akan jatuh di belakang retina menyebabkan rabun dekat.
Simptom Rabun Dekat
Tanda rabun dekat mula dialami apabila berusia 40 tahun bagi presbyopia dan tidak mengira umur bagi hyperopia. Ia bermula dengan kesukaran membaca ataupun membuat aktiviti yang memerlukan jarak dekat seperti menjahit yang menjadi semakin bertambah dari hari ke hari.
- Sakit kepala atau sakit di sekitar mata selepas membaca atau membuat aktiviti jarak dekat
- Mengalami kesukaran membaca tulisan kecil
- Memerlukan cahaya terang bagi membaca
- Perlu memegang bahan bacaan dekat dengan muka
- Kesukaran memfokus dan melihat perkara yang dekat dengan anda
- Juling
Punca Rabun Dekat
Apabila proses penuaan terjadi, kanta mata dan otot di sekitar mata kehilangan fleksibiliti dan mengeras, menyukarkan proses mengubah bentuk. Oleh sebab itu, kanta mata tidak dapat mengecil atau membesar bagi memfokuskan kepada objek jarak dekat. Kanta juga tidak dapat memfokuskan cahaya ke atas retina dengan baik.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Faktor Risiko Rabun Dekat
Faktor risiko yang paling utama ialah usia. Kebanyakan orang akan mula mengalami kesukaran memfokus pada objek dekat setelah usia mencecah 40 tahun.
Terdapat juga faktor faktor lain seperti ubatan atau penyakit yang boleh menyebabkan rabun dekat dalam kalangan mereka yang berusia kurang 40 tahun. Ia dipanggil rabun dekat pramatang.
Terdapat juga beberapa keadaan yang meningkatkan risiko anda mengalami rabun dekat pramatang seperti:
- Anemia iaitu kurang sel darah merah
- Penyakit jantung
- Penyakit kencing manis
- Multiple sclerosis iaitu sejenis penyakit saraf autoimmune
- Kecederaan pada mata
- Masalah saluran darah
Tedapat juga beberapa jenis ubatan yang mengurangkan keupayaan mata untuk fokus kepada objek dekat, seperti:
- Alkohol
- Ubat anti depresi
- Anti radang
- Ubat lawas kencing iaitu diuretik
- Ubat anti psikotik
Ujian Pemeriksaan
Secara umumnya, orang dewasa berumur 40 tahun perlu mendapatkan pemeriksaan mata secara berkala bagu mengenal pasti masalah dengan lebih awal ataupun mengenal pasti faktor risiko. Ia dapat mengenal pasti dengan lebih awal tanda tanda penyakit mata dan gangguan penglihatan walaupun tidak mempunyai apa apa simptom.
Doktor akan menitiskan ubat titis bagi membesarkan mata dan memeriksa mata menggunakan alat ophtalmoskop. Ia akan memfokus pada struktur mata, retina dan salur darah mata serta mengenal pasti perubahan yang mungkin terjadi kerana tekanan darah tinggi atau kencing manis.
Rawatan rabun dekat
Tiada rawatab atau ubatan yang boleh membetulkan rabun dekat. Namun terdapat beberapa rawatan yang diberikan bagi meningkatkan kualiti penglihatan anda. Bergantung kepada keadaan dan gaya hidup anda, anda boleh memilih kaedah rawatan seperti kanta pembetul, kanta lekap ataupun pembedahan bagi meningkatkan kualiti penglihatan.
1. Kanta bacaan
Jika anda tidak memakai kaca mata sebelum mengalami rabun dekat, anda boleh menggunakan kanta bacaan. Ia boleh didapati di kedai optometris. Ia berfungsi untuk membantu bacaan dan aktiviti jarak dekat.
2. Kanta bifokal
Kanta bifokal mempunyai dua jenis fokus dan dibahagikan menggunakan satu garisan halus. Fokal bahagian atas akan membantu anda memfokus pada objek jarak jauh manakala fokal bahagian bawah membantu anda fokus pada objek lebih dekat.
3. Kanta trifokal
Kanta trifokal mempunyai tiga fokus berbeza. Ia ditetapkan pada ketetapan penglihatan jarak dekat, pertengahan dan jarak jauh.
Mata anda akan melalui proses penuaan dan kehilangan keupayaan untuk fokus secara beransur ansur. Oleh itu, kanta di atas mungkin perlu ditukar bergantung kepada keadaan anda.
4. Pembedahan
Terdapat beberapa jenis pembedahan bagi merawat rabun dekat, antaranya:
- Conductive keratoplasty iaitu penggunaan tenaga radiofrekuensi bagi mengubah lekukan kornea dan membantu fokus dengan lebih baik.
- LASIK iaitu pembedahan popular menggunakan laser bagi memperbaiki fokus mata untuk jarak dekat dan jarak jauh.
- Implan kanta mata iaitu penggunaan kanta sintetik bagi menggantikan kanta asal yang mengalami gangguan rabun dekat.
Komplikasi rabun dekat
Jika rabun dekat tidak dikenal pasti dan tidak diberi rawatan awal, kualiti penglihatan anda akan terjejas secara beransur menyebabkan gangguan pada kehidupan. Anda juga akan lebih kerap mengalami sakit mata dan sakit kepala kerana kekerapan mata anda bekerja lebih kuat bagi memfokuskan objek dekat.
Seringkali, rabun dekat juga terjadi bersama dengan masalah mata yang lain akibat penuaan seperti:
- Astigmatism atau silau, yang terjadi kerana permukaan lekukan kornea yang tidak rata menyebabkan silau
- Rabun jauh iaitu myopia
Rujukan
- Facts about presbyopia. (2010, October). Retrieved from NIH
- Mayo Clinic Staff. (2014, October 17). Presbyopia
- Hyperopia (farsightedness). (n.d.). American Optometric Association. Retrieved July 31, 2012,
- Mayo Clinic Staff. (2012, April 24). Farsightedness. Mayo Clinic. Retrieved July 31, 2012