Skip to content

Tanda Regangan(Stretch Marks): Punca dan Rawatan

Tanda regangan (stretch marks) merupakan masalah yang biasa terjadi dan menjadi perhatian khususnya dalam kalangan wanita yang mementingkan penampilan diri. Artikel ini membincangkan punca, risiko, dan cara merawat tanda regangan.

Pengenalan

Tanda regangan atau stretch marks juga dikenali sebagai striae merupakan sejenis parut yang menyebabkan garisan halus dan panjang pada kulit. Ianya terjadi disebabkan oleh koyakan tisu dibawah lapisan kulit apabila tisu kulit mengalami pertumbuhan pesat atau regangan yang berlebihan. Ia juga kebiasaannya tidak menyebabkan masalah kesihatan yang serius, akan tetapi ia boleh menyebabkan kekurangan atau kecacatan kosmetik yang mungkin menjadi perhatian bagi yang mengalaminya.

Tanda regangan adalah sangat biasa terjadi, ia melibatkan 70% remaja perempuan dan 40% lelaki. Bahagian badan yang biasa terjadinya tanda regangan pada kulit adalah :

  • Perut
  • Payudara
  • Peha
  • Punggung
  • Pinggul

Simptom dan Tanda Stretch Mark



Tanda regangan bermula dengan bahagian kulit menjadi rata dan nipis berwarna kemerahan. Ia juga boleh menyebabkan kegatalan dibahagian kulit. Tanda tersebut kemudian bertukar kemarahan atau keungguan (striae rubrae) dan selepas beberapa lama kemudian warnanya akan bertukar menjadi putih atau berwarna daging dan kurang menyerlah (striae albae). Saiz tanda regangan kebiasaannya dari beberapa sentimeter panjang dan 1 hingga 10 milimeter lebar.

Tanda regangan boleh menjadi pudar, akan tetapi ia kebiasaannya mengambil masa beberapa tahun.

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Stretch Mark

Seperti yang telah disebutkan dalam bahagian pengenalan, tanda regangan berpunca daripada koyakan lapisan tisu kulit yang mengalami pengembangan atau pengecutan secara ekstrem. Antara punca regangan pada kulit termasuk :

  • Kehamilan : 50% hingga 90% wanita mengandung mengalami tanda regangan semasa atau selepas hamil.
  • Akil baligh : Pecutan perkembangan yang dialami ketika akil baligh juga boleh menyebabkan tanda regangan pada remaja perempuan dan lelaki.
  • Pertambahan berat badan secara mendadak(obesity) boleh menyebabkan regangan kulit yang ekstrem.
  • Masalah kesihatan seperti sindrom Marfan dan sindrom Cushing’s boleh menyebabkan tanda regangan. Hal ini kerana sindrom Marfan menyebabkan kekurangan elastik pada tisu kulit manakala sindrom Cushing’s menyebabkan badan menghasilkan hormon berlebihan membawa kepada pertambahan berat badan secara mendadak dan kulit menjadi rapuh.
  • Penggunaan krim dan losyen kortikosteroid dalam jangka masa yang panjang boleh mengurangkan kolagen pada kulit. Kolagen berfungsi untuk menguatkan kulit serta mengurangkan risiko tanda regangan.

Faktor Risiko

Faktor risiko bagi tanda regangan dipengaruhi oleh tahap regangan kulit serta perubahan kolagen dan kekuatan tisu kulit. Antaranya ialah:

  • Sejarah keluarga
  • Penyakit kronik
  • Indeks jisim tubuh (BMI) sebelum kehamilan
  • Kelahiran bayi bersaiz besar bagi wanita mengandung

Ujian Pemeriksaan



Tanda regangan boleh didiagnos melalui pemeriksaan kulit dan mengkaji sejarah perubatan pesakit tersebut. Doktor akan bertanyakan tentang tanda-tanda, ubat-ubatan serta soalan lain yang relevan bagi mendiagnos tanda regangan.

Rawatan Stretch Mark

Tanda regangan kebiasaannya menyebabkan masalah kosmetik dan akan kurang kelihatan selepas beberapa lama. Secara umumnya tanda regangan tidak memerlukan apa-apa rawatan. Terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan tanda regangan namun ianya tidak terbukti berkesan. Antaranya adalah :

  • Memakai krim, losyen atau gel pelembab
  • Krim atau losyen mengandungi retinoid atau hyaluronic acid

Penggunaan produk seperti krim, losyen ataupun gel haruslah digunakan ketika tanda regangan masih awal dan urutkan produk tersebut secara perlahan pada tanda regangan untuk kesan yang lebih efektif. Selain itu, penggunaan produk yang mengandungi retinol haruslah dielakkan semasa mengandung kerana retinol boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi.

Antara rawatan yang boleh dilakukan dirumah adalah dengan sapukan minyak badam, mentega koko, minyak zaitun atau vitamin E pada tanda regangan.

Prosedur yang boleh dijalankan oleh doktor pakar kulit bagi menghilangkan tanda regangan adalah :

  • Rawatan pengupasan kulit (chemical peels)
  • Terapi laser
  • Rawatan suntikan jarum kulit (skin needling / microdermabrasion)

Langkah pencegahan

Tanda regangan adalah sukar untuk dielakkan namun beberapa langkah dibawah mungkin dapat membantu mengurangkan risiko tanda rengangan. Antaranya ialah:

  • Mengekalkan berat badan yang ideal
  • Mengamalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan vitamin dan mineral yang baik untuk kulit seperti vitamin A dan vitamin C
  • Memastikan pertambahan berat badan yang perlahan dan secara beransur-ansur ketika mengandung
  • Minum enam ke lapan gelas air setiap hari

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:



  1. McAvoy, B. R. (2013, April). No evidence for topical preparations in preventing stretch marks in pregnancy [Abstract]. British Journal of General Practice, 63(609), 212
  2. Picard, D., Sellier, S., Houivet, E., Marpeau, L., Fournet, P., Thobois, B., … & Joly, P. (2015, October). Incidence and risk factors for striae gravidarum [Abstract]. Journal of the American Academy of Dermatology, 73(4), 699-700
  3. Stretch marks. (2014, June) – Kidshealth
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =