Skip to content

Kecederaan ACL: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) dan punca-puncanya? Artikel ini akan menerangkan berkenaan jenis kecederaan ini serta rawatannya.

Pengenalan

Bersukan merupakan aktiviti yang menyihatkan. Masyarakat digalakkan bersukan bagi mengekalkan tubuh badan yang sihat. Masyarakat seharusnya bersyukur kerana negara kita mempunyai pelbagai infrastruktur sukan yang kondusif yang mana memberi peluang kepada masyarakat untuk bermain pelbagai jenis sukan.

Walau demikian, masyarakat disarankan bersukan dengan cara dan teknik yang betul kerana pelbagai kecedaraan akibat aktiviti sukan boleh berlaku. Antara kecederaan yang sering terjadi disebabkan oleh aktiviti sukan terutama dalam kalangan atlet ialah kecederaan pada ligamen Anterior Cruciate Ligament (ACL).



Info:

Zlatan Ibrahimović pernah mengalami kecederaan pada ligamen ACL pada tahun 2017 ketika mewakili kelab Manchester United dalam perlawanan Kejuaraan Liga Eropah menentang Anderlecht. Apa yang mengejutkan, beliau hanya mengambil masa tujuh bulan untuk kembali semula ke padang berbanding secara purata kecederaan ini memerlukan masa sembilan bulan untuk pulih. Beliau sempat berkata “‘lions don’t recover like humans” (Singa tidak memerlukan masa sembuh sama seperti manusia).

Apa itu ACL?

ACL (Anterior Cruciate Ligament) ialah salah satu ligamen yang berada pada sendi lutut manusia. Terdapat beberapa ligamen lain yang berada pada sendi lutut, sebagai contoh Posterior Cruciate Ligament (PCL). Fungsi ligamen-ligamen pada bahagian sendi lutut adalah:

  • Membantu kestabilan sendi lutut dalam melaksanakan aktiviti harian seperti berjalan.
  • Mengawal pergerakan sendi lutut yang melampau dengan menghadkan pergerakkan tersebut.
  • Mengelakkan hyperektensi sendi lutut.
kecederaan acl

Walaupun ligamen ini diperbuat daripada fiber yang kuat, aktiviti sukan yang berpotensi mengakibatkan sendi lutut terkehel atau terseliuh boleh menyebabkan kecederaan pada ligamen ini. Kecederaan yang sering terjadi ialah ligamen koyak sama ada secara separuh atau melibatkan keseluruhan ligamen. Selain itu, secara amnya ia sering berlaku pada atlet wanita berbanding atlet lelaki.

Rentetan daripada kecederaan ini boleh mengakibatkan seseorang itu berasa lemah dan tidak stabil pada sendi lutut yang amat ketara, contohnya ketika berjalan atau menaiki tangga.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Punca Kecederaan ACL



ACL terkoyak ini boleh terjadi dalam beberapa situasi, seperti:

  • Mengubah arah pergerakan secara pantas/tiba-tiba atau berhenti secara mengejut.

Sukan Ragbi selalunya akan melibatkan larian dan pertukaran arah larian secara tiba-tiba dan ini meningkatkan risiko kecederaan ACL

  • Menukar kelajuan semasa berlari.
  • Pendaratan yang tidak betul selepas melompat.
  • Dilanggar (collision) atau bertembung seperti ‘football tackle’.

Football tackle yang berlaku pada bahagian lutut

  • Hyperektensi sendi lutut.

Keadaan lutut yang hyperextension boleh mencederakan ACL bahkan menyebabkan patah tulang bahagian lutut

Berdasarkan situasi di atas, atlet atau ahli sukan seperti bola sepak, bola keranjang, dan rugbi berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan pada ACL kerana sifat sukan itu sendiri yang memerlukan pergerakan pantas, sering bertukar arah, menggelecek dengan lincah dan melibatkan pertembungan fizikal dengan pemain lain.

Periksa Simptom anda Di Sini

Tanda-Tanda Kecederaan ACL

Terdapat beberapa simptom dan tanda kecederaan ACL yang boleh dikenalpasti. Ia adalah:

  • Terdengar bunyi “pop” dibahagian sendi lutut selepas terlibat dalam situasi seperti di atas.
  • Berasa tidak stabil/lemah/longgar pada bahagian sendi lutut.
  • Sakit dan bengkak pada bahagian sendi lutut (mungkin mengambil masa sehingga enam jam untuk bengkak mula kelihatan).
  • Susah untuk berjalan.

Bagaimana Kecederaan ACL dikenalpasti?

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda seperti di atas, anda boleh ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya doktor berpendapat anda mengalami kecederaan ACL, anda akan dirujuk ke bahagian tulang (Orthopedic) untuk mendapatkan rawatan lanjut.



Doktor tulang akan melakukan:

  • Pemeriksaan fizikal untuk mengenalpasti ketidakstabilan pada sendi lutut.
  • X-ray: Untuk mengenalpasti tulang patah pada sekitar sendi lutut. Namun, ujian ini tidak dapat menunjukkan kecederaan pada ligamen.
  • Magnetic Resonance Imaging (MRI): Menunjukkan kecederaan koyakan pada ligamen.

Rawatan Kecederaan ACL

Rawatan Awal

Bagi mereka yang baru sahaja mengalami kecederaan sendi termasuk apa-apa sendi yang lain, anda boleh menggunakan rawatan awal dengan mengingati akronim PRICE:

  • Protection: Melindungi kawasan sendi yang cedera. Jika berlaku pada bahagian kaki, maka perlu diusung untuk mengelakkan kecederaan yang lebih pada bahagian kaki.
  • Rest: Elakkan menggunakan sendi tersebut dan pesakit perlulah berehat agar kawasan sendi tidak semakin teruk
  • Ice: Gunakan pek ais pada bahagian sendi untuk mengurangkan bengkak dibahagian tersebut. Ia mampu mengecilkan saluran darah dan pendarahan di bahagian yang bengkak tidak akan berlaku dengan lebih teruk.
  • Compression: Kawasan cedera perlu diberikan sedikit tekanan agar bengkak tidak menjadi semakin besar.
  • Elevate: Kawasan yang mengalami kecederaan juga perlu ditinggikan lebih daripada paras jantung jika pesakit berbaring. Ini supaya kurang darah pergi kawasan yang sedang cedera.

Rawatan Seterusnya

Seterusnya, rawatan kecederaan ACL bergantung sejauh mana teruk “severity” koyak pada ligamen dan keperluan harian seseorang itu. Contohnya, kecederaan yang melibatkan atlet sukan mestilah memerlukan pembedahan disebabkan mereka perlu kembali kelapangan sukan secepat yang mungkin. Antara rawatannya adalah:

  • Bukan Pembedahan – Fisioterapi
    • Mengurangkan sakit dan inflamasi.
    • Mengembalikan julat pergerakan lutut.
    • Menguatkan otot-otot bahagian pinggul, lutut dan kaki.
    • Memperbetulkan kedudukan patellofemoral (knee cap).
    • Menambahbaik proprioception, ketangkasan dan keseimbangan.
    • Menambahbaik teknik dan fungsi seperti berjalan, berlari, menyangkung, melompat dan menapak.
    • Mengurangkan risiko tercedera semula.
  • Pembedahan – Rekonstruksi ACL
    • Dianggarkan 400, 000 rekonstruksi ACL pada setiap tahun.
    • Ligamen yang koyak akan digantikan dengan graft daripada tendon.
    • Melibatkan bantuan arthroscopy iaitu alat kamera yang dimasukkan ke dalam ruang sendi lutut

Memanaskan Badan: Mengapa kita perlu panaskan badan “Warming Up” sebelum bersenam?

“Warming Up” ialah pergerakan badan yang dilakukan sebelum bersenam atau bersukan yang mana untuk mempersiapkan badan untuk aktiviti yang bakal dilakukan.

Manfaat warming up adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan kadar degupan jantung atau peningkatan kadar nadi (bpm).
  • Peningkatan pengeluaran hormon.
  • Mengurangkan kadar risiko kecederaan.
  • Mekanisma pelepasan haba dalam badan diaktifkan.
  • Merangsang Sistem Saraf Pusat (Central Nervous System).
  • Merangsang peningkatan pergerakan otot.
  • Meningkatkan prestasi semasa bersenam.

Justeru, masyarakat disarankan supaya melakukan warming up sebelum bersukan bagi menyediakan diri dan mengelakkan risiko berlakunya kecederaan.



Penutup

Sesungguhnya, sendi lutut memainkan peranan yang cukup penting dalam memastikan aktiviti harian kita berjalan dengan lancar. Bayangkan sekiranya lutut tidak dapat digerakkan, kita pastinya tidak mampu berdiri dan berjalan mengerjakan aktiviti harian kita. Hendak melepaskan hajat juga sukar dek tidak mampu untuk menyangkung.

Ingatlah, dalam kita bersukan jangan sesekali lupa untuk menyemai semangat kesukanan.

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Healthline: Anterior Cruciate Ligament (ACL) Tear
  2. MyHEALTH:  Perawatan Fisioterapi untuk Kecederaan Ligamen Anterior Cruciate
  3. MyHEALTH: Memanaskan Badan
  4. ORTHOBULLETS: ACL tear
  5. FourFourTwo: How did Zlatan recover from an ACL injury in seven months?
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 3 =