Skip to content

10 Khasiat Durian Belanda Yang Perlu Anda Tahu

Apakah khasiat durian belanda? Artikel ini akan membincangkan khasiat durian belanda, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam durian belanda.

Pengenalan

Annona muricata, iaitu durian belanda ataupun dikenali sebagai graviola di negara-negara Barat, merupakan tanaman yang berasal dari sekitar Peru, Mexico dan Argentina. Durian belanda merupakan keluarga Annonaceae, yang dikenali sebagai keluarga epal kastard. Buah durian belanda mempunyai saiz yang besar dan berbentuk bujur. Bahagian kulitnya berduri tetapi lembut. Isi buahnya berwarna putih, memberikan rasa yang berlemak dan masam-masam manis. Kelazatan buah durian belanda diibaratkan seperti campuran buah mangga dan nanas.

Durian belanda menjadi salah satu buah-buahan tempatan yang diberi keutamaan oleh negara kita kerana potensinya dapat dimanfaatkan kepada pengguna. Ini kerana setiap bahagian pokok durian belanda ini boleh dijadikan sebagai bahan dalam bidang perubatan seperti akar, batang, daun, buah dan biji. Bahagian pokok durian belanda ini boleh dijadikan sebagai bahan dalam masakan dan disapu pada bahagian kulit. Manakala untuk buahnya, secara kebiasaan dimakan begitu sahaja.

Kandungan Nutrisi Durian Belanda



Rajah 1 dibawah menunjukkan kandungan nutrisi durian belanda berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan. Pulpa, iaitu bahagian isinya mempunyai kandungan air yang tinggi iaitu antara 76% hingga 83%. Kandungan karbohidrat pula antara 13% hingga 15%. Ini menunjukkan bahawa buah durian belanda boleh membekalkan tenaga kepada tubuh badan.

Untuk protein, iaitu antara 0.26% hingga 1.03% penting untuk tumbesaran. Kandungan serat iaitu antara 0.36% hingga 2.59% membantu dalam proses penghadaman, mengawal paras gula dalam darah dan mengurangkan paras kolesterol. Paling penting, pulpa durian belanda mengandungi jumlah kalori yang rendah iaitu antara 64 kcal hingga 68 kcal untuk 100g pulpa.

KomponenMoreno-Hernandez et al.Badrie & SchaussVwioko et al.
Kalori (kcal)68.1768.5564.01
Kandungan Air (%)80.7182.875.80
Protein (%)1.031.000.26
Lemak (%)0.770.670.85
Karbohidrat (%)14.2814.6313.83
Serat (%)2.590.790.36

Rajah 1: Kandungan Nutrisi Durian Belanda

Selain daripada karbohidrat, protein, lemak, serat dan air, durian belanda mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi serta pelbagai. Rajah 2 dibawah menunjukkan kandungan vitamin dan mineral dalam durian belanda. Vitamin A diperlukan untuk penglihatan yang baik, kulit yang sihat dan tumbesaran kanak-kanak yang sempurna. Manakalah vitamin B membantu menukarkan makanan kepada tenaga untuk sel-sel badan. Vitamin C, juga dikenali sebagai asid askorbik mempunyai kesan antioksidan, dengan membantu badan mengeluarkan bahan kumuhan karsinogenik hasil dari proses metabolisma yang digelar sebagai radikal bebas. Vitamin E juga mempunyai kesan antioksidan seperti vitamin C.

 Mineral seperti kalsium penting untuk beberapa proses fisiologi tubuh serta pembentukan tulang dan gigi. Magnesium juga penting untuk struktur tulang yang normal, mengelak penyakit berkaitan dengan proses pencernaan serta merawat penyakit jantung dan saluran darah. Manakala fosforus pula membantu buah pinggang berfungsi dengan baik, membantu otot bekerja, terlibat dalam pembentukan DNA dan mengekalkan keseimbangan asid dalam badan. Akhir sekali, zat besi membantu dalam pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah, pembentukan myoglobin dalam otot, pembawa oksigen dan terlibat dalam penggunaan tenaga.

Vitamin(mg/100g)Mineral(mg/100g)
Vitamin A (retinol)14.45bKalsium10.30a
Vitamin B1 (thiamin)0.11aFosforus27.70a
Vitamin B2 (riboflavin)0.05aZat Besi0.64a
Vitamin B3 (niasin)1.28aMagnesium0.04c
Vitamin C29.6a  
Vitamin E29.00c  


Rajah 2: Kandungan Vitamin dan Mineral dalam Durian Belanda. Sumber: aBadrie & Schauss,; bPinto et al.; cOnyechi et al.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komponen Penting Durian Belanda

Pelbagai kajian secara kualitif dan kuantitif terhadap setiap komponen pokok durian belanda telah dijalankan termasuklah bahagian daun, batang, akar, dan buah untuk mengkaji kehadiran fitokimia. Berdasarkan kajian tersebut, pelbagai sumber sebatian fitokimia yang ditemui didalam pokok durian belanda seperti alkaloid, flavonoid, karotin, saponin dan asitogenin.

Fenolik, karotenoid dan flavanoid adalah antioksidan yang berpotensi untuk memberikan manfaat kepada tubuh badan manusia. Ketiga-tiga komponen ini berupaya untuk melawan radikal bebas yang boleh membahayakan kesihatan badan. Komponen ini juga berupaya untuk mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit. Sebagai contoh, penyakit Parkinson, penyakit berkaitan dengan sistem imunisasi, strok, sakit jantung, kanser, kencing manis, penyakit buah pinggang kronik, tulang rapuh dan lain-lain. Selain itu, komponen ini mampu mengelakkan daripada berlakunya penyakit degeneratif dan meningkatkan kesihatan badan. Penyakit degeneratif adalah penyakit yang berlaku disebabkan oleh fungsi dan struktur tisu atau organ menjadi semakin teruk seperti osteoporosis, Alzheimer dan Parkinson.

Alkaloid adalah komponen kedua terpenting dalam pokok durian belanda yang dikesan melalui kehadiran atom nitrogen. Alkaloid dijumpai dalam daun dan buah durian belanda. Alkaloid yang terkandung dalam durian belanda bersifat ‘isoquinoline’ yang bermaksud mempunyai aktiviti biologi dan farmakologi seperti anti malaria, anti-HIV, anti mikroorganisma, anti bakteria, anti kanser dan melawan penyakit Parkinson. Alkaloid juga bersifat sebagai agen menghalang depressi ataupun penyakit tekanan jiwa.

Asitogenin merupakan komponen yang dijumpai pada pokok jenis keluarga Annonaceae. Asitogenin merupakan bahan bioaktif utama dan dijumpai pada bahagian daun, akar, batang dan pulpa buah durian belanda. Asitogenin membantu dalam menghalang pertumbuhan sel kanser. Kajian menunjukkan bahawa asitogenin membantu dalam melawan sel kanser daripada membahagi. Sebagai contoh, kanser payudara, kanser prostat, kanser darah dan juga kanser perut. Selain itu, asitogenin juga bersifat anti mikroorganisma, anti parasit dan imunosupresan (ubat atau bahan yang menghalang badan daripada menolak organ baru hasil daripada pemindahan organ)

Khasiat Durian Belanda Terhadap Kesihatan

1. Kesan Antioksidan

Durian belanda mempunyai kesan antioksidan yang tinggi kerana terdapat pelbagai jenis sebatian antioksidan yang terkandung dalam durian belanda. Satu kajian telah dilakukan dan dalam kajian tersebut, tiga jenis uji kaji dijalankan untuk mengkaji aktiviti antioksidan dalam durian belanda.

Ketiga-tiga uji kaji menunjukkan bahawa durian belanda mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi kerana sebatian antioksidan utama yang terkandung dalam durian belanda ialah sebatian fenolik dan flavonoid. Selain itu, sebatian antioksidan seperti tanin, saponin, asitogenin dan glikosida turut dijumpai dalam durian belanda. Sebatian antioksidan melindungi sel badan daripada radikal bebas dengan menghalang sub unit radikal bebas daripada membahagi.



2. Anti Amnesik

Pada awalnya, kajian menunjukkan bahawa pengambilan produk berasaskan durian belanda (produk hasil campuran daun, akar dan pulpa durian belanda) yang berlebihan akan menyebabkan penyakit gangguan degeneratif iaitu penyakit yang menyebabkan fungsi tisu atau organ berubah dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Sebagai contoh, penyakit Parkinson, osteoporosis dan Alzheimer. Namun demikian, kajian terkini menunjukkan bahawa durian belanda bersifat anti amnesik iaitu menghalang seseorang daripada hilang sebahagian atau sepenuhnya ingatan mereka.

3. Mengelakkan kemurungan dan Stres

Kajian menunjukkan bahawa komponen durian belanda menghasilkan kesan anti tekanan perasaan berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap haiwan. Tekanan perasaan adalah keadaan dimana seseorang itu tidak mempunyai semangat dan enggan melakukan sebarang aktiviti. Keadaan ini akan memberi kesan terhadap pemikiran, sifat, perasaan dan kesejahteraan seseorang.

Kehadiran alkaloid membantu dalam menghalang tekanan perasaan daripada berlaku. Alkaloid adalah sebatian kimia semulajadi yang mempunyai kesan farmakologi dan digunakan sebagai ubat-ubatan. Satu kajian terhadap haiwan dijalankan dan keputusan menunjukkan bahawa durian belanda membolehkan haiwan yang telah lama dalam keadaan tertekan kembali bergerak dan melakukan aktiviti seperti biasa.

Artikel Berkaitan: Kemurungan. Apa yang anda perlu tahu?

4. Mengawal Paras Gula



Durian belanda berupaya dalam menurunkan paras gula dalam darah kepada paras lebih baik kerana mengandungi rendah indeks glisemik. Rendah indeks glisemik bermaksud gula yang dihasilkan akan dirembeskan secara perlahan-lahan ke dalam saluran darah selepas proses penghadaman telah dilakukan.

Antioksidan iaitu polifenol dan flavonoid, yang terkandung dalam durian belanda menghalang daripada kerosakan oksidatif yang berlaku terhadap sel-B pankreas. Kerosakan oksidatif akan menyebabkan penghasilan insulin oleh sel-B pankreas terganggu. Flavonoid pula mengurangkan proses hidrolisis karbohidrat dan penyerapan gula. Hidrolisis karbohidrat bermaksud struktur karbohidrat akan dipecahkan menjadi gula untuk diserap ke dalam darah.

Artikel Berkaitan: Tanda-tanda anda menghadapi kencing manis

5. Kesan Anti Hipertensi

Kajian menunjukkan bahawa durian belanda mempunyai kesan anti hipertensi iaitu kesan yang menghalang komplikasi sakit jantung seperti strok dan serangan sakit jantung. Kandungan fenolik mengurangkan tekanan darah kerana menghalang laluan kalsium. Fenolik menghalang kalsium daripada memasuki saluran arteri dan jantung.

Ini kerana kalsium menyebabkan arteri dan jantung mengecut dengan lebih kuat. Dengan menghalang kalsium, penghalang laluan kalsium ini membolehkan saluran darah untuk mengendur. Penghalang laluan kalsium ini akan menurunkan tekanan darah, melegakan sakit dada dan mengawal denyutan jantung.

Artikel Berkaitan: Apa yang anda perlu tahu tentang darah tinggi

6. Mengawal Kadar Asid Urik



Kandungan kumarin, iaitu salah satu sebatian fenolik mempunyai kesan antioksidan dan mengawal kadar asid urik untuk menghalang daripada berlakunya hiperurisemia. Hiperurisemia adalah keadaan dimana paras asid urik menjadi tinggi dan boleh menyebabkan berlakunya gout dan penyakit kronik yang lain seperti kanser, sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Kumarin mengurangkan penghasilan asid urik dan tidak memberikan kesan negatif kepada badan seperti agen hyperurisemia yang lain.

Artikel Berkaitan: Apa yang anda perlu tahu tengan gout

7. Merawat Penyakit Kuning (Jaundice)

Secara tradisional, durian belanda digunakan untuk merawat penyakit kuning. Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa daun pokok durian belanda mampu mengurangkan paras bilirubin dalam darah dan mengurangkan risiko hyperbilirubinemia. Bilirubin adalah bahan yang ditemui dalam darah, terhasil daripada pemecahan sel darah merah.

Bilirubin akan bergerak melalui hati, hempedu dan sistem pencernaan sebelum dikumuhkan. Daun pokok durian belanda akan mengurangkan paras bilirubin kepada paras yang normal dan melindungi hati daripada sebarang kerosakan.

8. Melindungi Kerosakan Hati

Selain daripada melindungi daripada penyakit kuning, durian belanda mampu melindungi kerosakan hati. Kandungan asitogenin yang tinggi dengan antioksidan akan melawan radikal bebas yang menyebabkan tekanan oksidatif dalam badan.

Tekanan oksidatif akan menyebabkan kerosakan sel dan menyebabkan penyakit degeneratif seperti penyakit kerosakan hati. Tekanan oksidatif turut menyebabkan berlakunya proses nekrosis iaitu tisu badan menjadi mati kerana darah yang melalui tisu itu terlalu sedikit. Proses nekrosis berlaku disebabkan oleh radiasi, bahan kimia ataupun kecederaan.



9. Kesan Anti Kanser

Komponen fitokimia yang terkandung dalam durian belanda akan menghalang aktiviti pembahagian sel kanser. Kajian menunjukkan bahawa ektraks durian belanda mempunyai nilai perubatan dalam melawan kanser. Sebagai contoh, menjadi agen dalam menghalang bahan yang berbahaya kepada sel, menghalang sel daripada mati dan membantutkan pembahagian sel kanser.

Durian belanda membantu dalam melawan kanser payudara, kanser prostat, kanser usus, kanser buah pinggang, kanser darah, kanser serviks dan kanser ovari. Setiap bahagian pokok durian belanda seperti akar, kulit kayu, daun, buah dan bijinya boleh dijadikan sebagai ubat semula jadi.

10.  Kesan Anti Kulat dan Anti Mikroorganisma

Durian belanda mempunyai kesan anti kulat dan anti mikroorganisma disebabkan oleh kandungan alkaloid, asitogenin dan polifenol. Durian belanda mampu melawan mikroorganisma seperti Enterobacter aerogenes, Salmonella typhimurim, Bacillus subtilis dan Enterococcus faecalis. Selain daripada membunuh mikroorganisma, durian belanda mampu melawan kulat seperti Colletotrichum gloeosporioides dan Rhizopus stolonifer. Anti kulat ini disebabkan oleh kehadiran alkaloid, saponin, polipeptida dan polifenol dalam durian belanda.

Kesimpulan

Durian belanda adalah sejenis buah yang bukan sahaja sedap untuk dimakan namun, mempunyai pelbagai khasiat terhadap tubuh badan. Diharap selepas membaca artikel ini, durian belanda akan menjadi antara buah pilihan para pembaca.

Mungkin para pembaca boleh memulakan projek menanam pokok durian belanda di halaman rumah. Namun demikian, ingin saya ingatkan bahawa durian belanda sahaja tidak boleh dijadikan sebagai ubat atau perubatan utama terutamanya pada mereka yang menghidap penyakit kronik. Nasihat daripada doktor amatlah diperlukan untuk mengelakkan sebarang kesan negatif.

Diharapkan artikel khasiat durian belanda ini dapat memberikan pembaca sedikit sebanyak maklumat berkenaan khasiat durian belanda ini dan lain-lain lagi.



Khasiat Makanan Yang Lain

Khasiat MaduKhasiat Kangkung
Khasiat Bawang MerahKhasiat Tomato
Khasiat AprikotKhasiat Durian
Khasiat Durian BelandaKhasiat Jagung
Khasiat SengkuangKhasiat Kacang Tanah
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Kurma
Khasiat MengkuduKhasiat Daun Kari
Khasiat Kacang GajusKhasiat Gam Arab
Khasiat Sayur BayamKhasiat Ulam Raja
Khasiat Kunyit HitamKhasiat Minyak Zaitun
Khasiat Kunyit

Rujukan

  1. Arshad, M., Zhao, L, Wang, C., Muhammad, N., Ali, R., Nawazish, A., & Amjid  Abbas, S. (2017). Management of Hyperuricemia Through Dietary Polyphenols as A Natural Medicament: A Comprehensive Review. Critical Reviews in Food Science and Nutrition, 59(9), 1-23. 
  2. Aulianshah, V. (2017). Hepatoprotective Activity of Ethanolic Extract of Soursop (Annona muricata L.) Through Review Testing of SGOT (Serum Glutamic   Pyruvate Transaminase) and SGPT (Serum Glutamic Oxaloacetic Transaminase) Rattus novergicus Blood With Paracetamol Induced. International Journal of ChemTech Research, 10(9), 866-871. ISSN: 0974 4290
  3. Esparza, L.M.A., & Montalvo-Gonzalez, E. (2020). Bioactive Compounds of Soursop  (Annona muricata L.). Springer, 1(10), 1-15.
  4. Islam, R., Bloch, M.B., Chamcheu, R.C.N., Mbeumi, S.B., Md Rafi, A., Hadir, M., Babatunder, A.S., Kuiate, J.R., Noubissi, F.K., Khali, A.E.S., Whittfiled, G.K., & Chamcheu, J.C. (2018). Anticancer Properties of Graviola (Annona muricata): A Comprehensive Mechanistic Review. Oxidative Medicine and Cellualr Longevity, 2018, 1-39.
  5. Perviz, S., Khan, H., & Pervaiz, A. (2016). Plant Alkaloids as an Emerging Therapeutic Alternative for the Treatment of Depression. Fronties in       Pharmacology, 7(28), 1-10.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − sixteen =