Apakah punca kepada ekzema dan rawatan yang terbaik?
Artikel ini akan menerangkan berkenaan masalah ini berserta punca-puncanya dan rawatan yang anda boleh lakukan.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Ekzema (Eczema) adalah masalah kulit dimana ia melibatkan kegatalan dan penebalan kulit yang bermula daripada awal usia kanak-kanak.
Kulit yang terlibat selalunya akan merasa gatal, tebal dan kering. Jika ia terlampau teruk, kulit tersebut boleh merekah dan senang untuk berdarah.
Perlu kita ketahui bahawa eczema adalah terdiri daripada masalah alahan yang dipanggil sebagai atopy. Oleh itu, seseorang yang mempunyai eczema akan mudah juga untuk mendapat penyakit alahan yang lain seperti asma, allergic conjunctivitis, resdung (allergic rhinitis), alahan pada makanan dan sebagainya.
Sebagai tambahan, ekzema merupakan salah satu masalah awal yang akan timbul menyebabkan ‘atopic march’ (kawad atopy). Bermaksud bila seorang kanak-kanak itu mengalami ekzema di awal usianya, dia akan berisiko untuk mengalami masalah atopy yang lain seperti yang telah diterangkan di atas.
ARTIKEL BERKAITAN: Asma dan resdung (allergic rhinitis)
Bagaimana ekzema terjadi?
Walaupun teknologi telah memberitahu bahawa pesakit ekzema mempunyai kaitan dengan masalah genetik, akan tetapi bagaimana mula terjadinya masalah ekzema tersebut masih lagi susah difahami.
Terdapat beberapa hipotesis yang menceritakan bagaimana masalah ini berlaku. Tetapi kita kami hanya membincangkan perkara yang mudah sahaja.
Ianya bermula apabila seseorang kanak-kanak yang mempunyai risiko mengalami masalah atopy didedahkan dengan bahan yang boleh menyebabkan alahan(ekzema) berlaku.
Beberapa risiko untuk seseorang itu mengalami ekzema adalah:
- Ada ahli keluarga yang mempunyai masalah alahan seperti asma dan resdung
- Pesakit sendiri mengalami masalah alahan seperti asma dan resdung.
Apabila kanak-kanak tersebut didedahkan pada bahan itu, maka sel darah putih akan menghasilkan satu protein yang dikenali sebagai Immunoglobulin E iaitu respon kepada bahan daripada luar itu. Immunoglobulin E(IgE) akan melekat pada sel basophil iaitu salah satu sel yang terlibat dengan alahan.
Ketika kali pertama terdedah, pesakit selalunya tidak akan mengalami masalah alahan atau ekzema. Kali kedua terdedah, bahan itu sendiri akan melekat pada IgE pada sel basophil. Ini akan menyebabkan sel basophil menghasilkan kompaun yang akan menyebabkan kawasan tersebut menjadi merah dan gatal.
Beberapa jenis sel darah putih pun akan ke kawasan tersebut untuk merembeskan bahan yang akan menyebabkan kawasan tersebut gatal secara berpanjangan. Oleh sebab itu, pesakit akan sentiasa menggaru kawasan tersebut hingga menyebabkan kulitnya menjadi kering dan menebal.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Simptom yang selalu dihadapi oleh pesakit ekzema
Terdapat beberapa simptom yang dihadapi oleh pesakit ini, ianya adalah:
- Simptom selalunya bermula ketika pesakit masih kanak-kanak lagi
- Rasa gatal kulit pada kawasan yang terlibat
- Kulit kering
- Kulit Tebal
- Jangkitan kuman pada kawasan kulit yang terlibat
Terdapat beberapa kawasan badan yang selalu menghadapi masalah ini. Ianya adalah:
- Pelipat di lengan
- Siku
- Lutut
- Pipi
- Leher
Faktor yang Mencetuskan Ekzema
Terdapat berberapa faktor yang boleh mencetuskan ekzema
- Jangkitan: Bakteria, virus dan kulat
- Tekanan emosi
- Berpeluh
- Bahan yang boleh menyebabkan iritasi seperti sabun dan pencuci
- Bahan yang boleh menyebabkan alahan(Allergen). Telur, kacang, susu, ikan, soya, debunga
Prognosis (Kesudahan pesakit)
Kebanyakan daripada pesakit ekzema akan sembuh apabila semakin dewasa. Peratusan untuk berlakunya ekzema ketika kanak-kanak adalah lebih kurang 20% akan tetapi ianya berkurangan ke 0.9% apabila menjadi dewasa.
Selain daripada itu, 1 per 3 daripada pesakit yang mempunyai ekzema juga akan mengalami resdung ataupun asma.
Diagnosa-diagnosa lain
Terdapat beberapa diagnosa lain yang boleh menunjukkan simptom yang sama:
- Psoriasis kulit
- Kudis buta
- Seborrheic dermatitis
- Kurap (Tinea corporis)
- Contact dermatitis
ARTIKEL BERKAITAN: Psoriasis dan Kudis buta
Ujian Pengesahan
Penyakit ekzema selalunya disahkan melalui pemeriksaan fizikal dan mengambil sejarah keluarga pesakit.
Jika kulit pesakit mempunyai ciri-ciri ekzema dan dikuatkan lagi dengan sejarah keluarga yang mempunyai masalah alahan, pesakit mungkin akan disahkan mempunyai masalah ini.
Pengambilan darah seperti bacaan serum IgE juga boleh dibuat untuk membantu diagnosis ekzema. Tetapi penggunaannya tidak meluas di Malaysia kerana kosnya yang tinggi dan ia tidak merubah rawatan ekzema itu sendiri.
Rawatan Ekzema
Rawatan pesakit ekzema selalunya bergantung kepada tahap ekzema itu sendiri. Jika ia tidak terlampau teruk, cukup untuk menggunakan krim pelembab. Jika kulit tersebut terlalu tebal dan kemerahan, krim steroid boleh digunakan untuk mengurangkan keradangan di bahagian tersebut.
Beberapa rawatan yang selalu diberikan adalah
1. Krim Pelembab
Mereka yang mengalami masalah ini selalunya mempunyai masalah kulit kering juga. Ini menyebabkan kulit mereka mudah merekah, luka dan juga gatal. Penggunaan krim pelembab mampu untuk melembutkan kulit tersebut dan mengelakkan ia daripada mempunyai komplikasi seperti di atas.
Anda boleh gunakannya 3 kali sehari ataupun selepas mandi untuk mengekalkan kelembapan pada kulit\
2. Krim steroid
Bagi kulit yang sedang mengalami serangan ekzema yang teruk, penggunaan krim steroid adalah diperbolehkan untuk mengurangkan keradangan pada kulit. Selalunya kulit pesakit akan kelihatan merah dan lebih gatal dari biasa.
Caranya adalah dengan menyapu krim ini secara nipis pada kulit. Tidak perlu terlalu tebal.
3. Krim Antibiotik
Masalah ini selalunya menyebabkan kulit lebih mudah luka dan dijangkiti kuman. Jika bakteria telah menjangkiti kawasan kulit tersebut, ia akan menyebabkannya sentiasa basah dan menghasilkan air bisa. Pesakit perlulah mengambil krim antibiotik untuk membunuh kuman dikawasan tersebut. Jika kawasan tersebut terlalu besar, pesakit akan disarankan untuk mengambil antibiotik secara makan.
4. Ubat Anti-histamin
Salah satu punca kepada masalah ini adalah disebabkan badan menghasilakn kompaun histamin yang banyak. Ini menyebabkan kulit menjadi gatal. Oleh itu, anda boleh menggunakan ubat anti-histamin untuk mengurangkan simptom ekzema. Beberapa contoh ubat antihistamin adalah seperti chlorpeniramine, cetrizine, loratadine dan sebagainya
5. Penggunaan sabun khas
Kebanyakan sabun mempunyai sodium lauryl sulfate yang menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan gatal selepas mand. Oleh itu anda dicadangkan untuk mengambil sabun mandi tanpa sodium lauryl sulfate (SLS) untuk mengurangkan simptom tersebut.
Rujukan:
- Hussain Imam, Ng Hoong Phak, Terrence Thomas. Paediatric Protocols for Malaysian Hospitals 3rd Edition. Kementerian Kesihatan Malaysia
- Spergel JM. From atopic dermatitis to asthma: the atopic march. Ann Allergy Asthma Immunol. 2010 Aug. 105(2):99-106; quiz 107-9, 117.
- Heller M, Shin HT, Orlow SJ, Schaffer JV. Mycophenolate mofetil for severe childhood atopic dermatitis: experience in 14 patients. Br J Dermatol. 2007 Jul. 157(1):127-32.
- Huang JT, Abrams M, Tlougan B, Rademaker A, Paller AS. Treatment of Staphylococcus aureus colonization in atopic dermatitis decreases disease severity. Pediatrics. 2009 May. 123(5):e808-14.
- Molfino NA, Gossage D, Kolbeck R, Parker JM, Geba GP. Molecular and clinical rationale for therapeutic targeting of interleukin-5 and its receptor. Clin Exp Allergy. 2011 Sep 23