Politic aside(Politik diketepikan)
Hari ini saya nak bincangkan topik yang sebenarnya tak sensitif tetapi jadi sensitif sebab dipolitikkan iaitu Datuk Seri Najib(DSN) telah mengalami sakit mata sebelah kanan dan menyebabkan dia terpaksa mengambil ‘MC’ dan tidak boleh hadir ke Mahkamah.
Perkara ini berlaku pada 2 minggu lepas iaitu pada 31hb Oktober 2019. Hari ini saya ingin menuliskan berkenaan istilah perubatan dan juga apa selalunya rawatan yang doktor akan berikan kepada pesakit dan pada akhirnya untuk memberi penerangan sama ada Datuk Seri Najib perlu diberi MC ataupun tidak.
Daripada sijil MC yang telah ditunjukkan oleh Datuk Seri Najib di Facebooknya seperti di atas, telah tertera diagnosis yang dihadapi oleh DSN iaitu
Acute Allergic Conjunctivitis with Chemosis + Lid Swelling
Kemudian dibahagian remarks pula, jelas doktor itu telah tulis:
Please refer to the photos attached
sila rujuk kepada gambar yang telah dilampirkan
Maksudnya disini, bukti DSN bengkak mata itu telah ditunjukkan kepada hakim dan hakim berpuas hati dengan perkara tersebut.
Apakah penyakit yang Datuk Seri Najib ada?
Nama penyakit tersebut adalah Acute Allergic Conjunctivitis with chemosis and lid swelling
Kita pecahkan sedikit perkataan-perkataan ini sebab panjang sangat dan supaya semua orang boleh faham.
Acute ini bermaksud ia berlaku secara tiba-tiba dan akan berakhir pun dengan cepat. Selalunya tidak lebih daripada 2 minggu bergantung kepada jenis penyakit. Berlawanan pula dengan istilah chronic yang bermaksud penyakit tersebut akan ataupun telah berlaku dalam tempoh masa yang lama.
Allergic pula bermaksud penyakit tersebut berlaku disebabkan pesakit mengalami alahan kepada sesuatu benda tidak kisahlah makanan, ubat-ubatan, habuk dan sebagainya.
Conjunctivitis pula bermaksud keradangan yang berlaku dibahagian conjunctiva. Conjunctiva adalah satu lapisan nipis yang melapisi mata. Jika ia mengalami keradangan, selalunya mata akan kelihatan merah.
Conjunctivitis ini pula mempunyai pelbagai punca seperti jangkitan virus, bakteria, terkena bahan kimia yang menyebabkan iritasi pada mata dan akhir sekali adalah alahan.
Bagaimana kita nak tahu ia disebabkan alahan, selalunya pesakit akan kerap terkena sakit mata tersebut ada yang sampai tiap minggu pun kena. Amatlah jarang untuk seseorang itu mengalami conjunctivitis yang kerap melainkan ia disebabkan alahan
Chemosis(bukan Phimosis) ini pula bermaksud pembengkakan pada kawasan conjunctiva disebabkan air berkumpul pada tisu di kawasan tersebut. Selalunya kawasan kelopak mata yang terlibat juga akan bengkak.
Anda boleh lihat dalam gambar di atas. Jika anda menghadapi masalah ini, anda rasa bagaimana?
Jika masalah ini berlaku pada orang biasa, apa yang akan berlaku?
Pesakit yang mengalami mata merah dan bengkak pada pertama kali akan dirawat sebagai sakit mata(istilah orang biasa). Tetapi pada kami ia bermaksud conjunctivitis dan selalunya conjuntivitis ini adalah disebabkan jangkitan virus ataupun bakteria. Pesakit seperti ini selalunya akan diberikan MC kerana ia boleh merebak pada orang lain di tempat kerja.
Bahkan jika anda pergi ke tempat kerja, selalunya bos anda akan halau anda ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan juga MC kerana penyakit ini boleh berjangkit kepada orang lain.
Kecuali jika doktor merasakan mata pesakit tidak terlalu merah dan ia mungkin disebabkan masalah lain seperti mata kering(dry eye syndrome).
Jika pesakit kerap mengalami masalah ini pula, pesakit selalunya akan dirujuk ke pakar mata untuk rawatan ‘allergic conjunctivitis’.
Bagi DSN pula, sakit matanya ini bukan sahaja allergic conjunctivitis tetapi sangat teruk hingga menyebabkan chemosis. Mereka yang selalunya mengalami chemosis ini akan sentiasa keluar air mata kerana bengkak dikawasan tersebut akan sedikit sebanyak menutup liang lakrimal yang berfungsi untuk mengeluarkan air mata.
Cuba anda bayangkan jika anda sakit sebegini dan anda kena pergi kerja sambil kerap mengelap mata air anda yang tidak berhenti dan ketika menutup mata anda pun akan merasakan tidak selesa.
Oleh itu, sama ada orang biasa ataupun DSN, dia memang akan layak menerima MC kerana keadaannya yang tidak mengizikan untuk pergi berkerja ataupun pergi ke mahkamah.
Kenapa sakitnya cepat sembuh?
Kebanyakan pennyakit alahan selalunya sangat cepat sembuh sebagai contoh ruam urtikaria(urticarial rash) termasuk allergic conjunctivitis ini.
(Ruam urtikaria ini selalunya timbul apabila seseorang itu mengalami reaksi alahan kepada sesuatu bahan. Dalam bahasa melayunya ada yang panggil ruam ini sebagai gegata dan ada juga yang panggil sebagai sopak garam)
Sebagai contoh jika pesakit datang disebabkan ruam urtikaria pada pukul 9.00 pagi dan diberikan suntikan hydrocort pada ketika itu. Dalam waktu setengah jam ruam tersebut akan hilang sedikit demi sedikit dan mungkin akan hilang sepenuhnya sebelum sempat 1 jam. Sama juga kesnya dengan allergic conjunctivitis.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Kesimpulannya,
Kes seperti Allergic conjunctivitis with chemosis ini adalah sesuatu yang boleh diberikan MC.
Tulisan ini hanya membincangkan keadaan yang di alami oleh DSN. Ia tidak membincangkan sama sekali berkenaan politik.
Penulis jemputan