Skip to content

Apa itu Scaling Gigi atau Cuci Gigi?

Apakah itu scaling gigi dan bagaimanakah ia dilakukan? Artikel ini akan membincangkan berkenaan scaling gigi atau cuci gigi ini dilakukan.

Pengenalan

Dental scaling ataupun scaling gigi selalunya dilakukan bagi membantu individu yang mempunyai penyakit gusi dan pembentukan plak serta karang gigi yang banyak. Jika pembersihan standard akan membersihkan permukaan gigi, prosedur ini pula membersihkan permukaan lebih dalam. Jika doktor gigi mengesyorkan scaling dan root planing untuk gigi anda, adalah sangat bermanfaat untuk anda mengetahui apa maksud prosedur ini supaya anda boleh bersedia untuk masa akan datang.

Apa itu scaling gigi?

Prosedur scaling gigi dan root planing adalah satu prosedur pembersihan dalaman di bawah garisan gusi. Kedua-dua prosedur berfungsi untuk merawat penyakit periodontal atau penyakit gusi yang kronik. Prosedur ini adalah lebih mendalam berbanding pembersihan gigi yang biasa kita lakukan. Scaling dan root planing selalunya mengambil masa lebih dari satu janji temu. Rawatan ini boleh melibatkan ubat kebas bergantung pada tahap kronik penyakit periodontal dan jika anda mempunyai gusi yang menyusut. Masa sembuh hasil daripada prosedur ini selalunya mengambil masa beberapa hari tetapi boleh menjadi lebih lama.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Bagaimana prosedur scaling gigi?



Prosedur ini selalunya dilakukan di klinik gigi sebagai prosedur pesakit luar. Doktor gigi yang merawat anda mempunyai pilihan untuk sama ada menggunakan atau tidak ubat kebas secara sapuan atau suntikan untuk mengurangkan ketidakselesaan ketika rawatan.

Pertama sekali, doktor gigi akan melakukan scaling gigi. Ini dilakukan selalunya dengan dental scaler  atau mesin scaler ultrasonik. Sebelum scaling bermula, doktor akan memeriksa keadaan keseluruhan gigi dan gusi anda. Selepas pemeriksaan, mesin scaler ultrasonik dengan vibrasi sonik akan digunakan untuk membuang plak gigi dan karang gigi daripada permukaan gigi dan di bawah garisan gusi.

Seterusnya, selepas plak dan karang gigi tidak kelihatan dari mata kasar, doktor gigi akan melakukan root planing. Ini dilakukan secara manual dengan menggunakan curette. Curette akan membersihkan karang gigi yang tersembunyi lebih dalam di bawah garisan gusi dan akar. Apabila dibersihkan dan dilicinkan permukaan kasar, ini akan mengurangkan inflamasi tisu gusi seterusnya menyembuhkan gusi.

Siapakah yang memerlukan Rawatan ini?

Seperti yang dibincangkan di atas, doktor gigi akan mengesyorkan rawatan ini jika anda mempunyai penyakit periodontal atau penyakit gusi. Terdapat beberapa indikasi lain untuk membuat prosedur ini diantaranya:

Komplikasi

Komplikasi untuk scaling gigi adalah minimal. Anda mungkin mempunyai risiko untuk mengalami jangkitan selepas prosedur, maka doktor gigi mungkin mempreskripsikan ubat kumur mulut yang mengandungi chlorhexidine selama 2 minggu.



Anda juga boleh mengalami kesakitan dan sensitiviti untuk beberapa hari selepas rawatan. Gusi anda mungkin bengkak, rasa sakit dan berdarah. Anda akan berasa gigi anda jarang kerana karang di celah gigi dan gusi telah dibersihkan namun ianya adalah normal.

Sebarang komplikasi daripada prosedur sepatutnya hilang atau beransur pulih dalam beberapa minggu. Jika tidak hilang, sila rujuk kembali dengan doktor gigi anda.

Harga prosedur

Di Malaysia, anda boleh memilih untuk membuat rawatan sama ada di klinik kesihatan kerajaan ataupun di klinik pergigian swasta. Kedua- dua jenis klinik ini mempunyai julat harga yang berbeza bergantung kepada kemahuan pesakit.

Klinik Kesihatan Kerajaan:

 Kelas PertamaKelas KeduaKelas KetigaPesakit Luar
PenskaleranRM 40RM 16PercumaRM 2

Sumber: Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

Bagi klinik swasta pula, berdasarkan harga semasa, prosedur scaling gigi bermula dari RM 80 sehingga RM 200.

Penutup

Scaling gigi dan root planing boleh mengambil masa lebih daripada satu janji temu. Doktor gigi anda akan mengesyorkan supaya anda kembali untuk janji temu seterusnya untuk memastikan prosedur berjaya dan anda tidak mengalami apa-apa komplikasi seperti jangkitan.

Anda seharusnya menyambung kembali prosedur pembersihan gigi secara normal selepas scaling gigi dan root planing. Ini termasuklah memberus gigi 2 kali sehari dan flossing sehari sekali. Anda juga perlu mengamalkan diet yang seimbang dan sihat serta berjumpa dengan doktor gigi untuk pembersihan berkala untuk mengelakkan keadaan sama berulang.



Rujukan:

  1. Scaling and Root Planing. Mouth Healthy by American Dental Association.
  2. Dental Scaling And Root Planing To Keep Your Teeth And Mouth Clean. -Colgate.
  3. Teeth Scaling: What You Need to Know. Healthline.
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × 2 =