Bagaimanakah prosedur tanam gigi dilakukan? Artikel ini akan membincangkan cara buat tanam gigi, harga prosedur tersebut bagaimana ia dilakukan.
Apa itu rawatan gigi tanam?
Pada tahun 1952, seorang pakar ortopedik Sweden, P.I. Branemark menjumpai satu penemuan yang baharu iaitu keupayaan elemen titanium untuk bercantum dengan tulang manusia secara natural. Penemuan ini telah mengalihkan fokus penyelidikannya dari tulang lutut dan pinggul ke bahagian mulut.
Rawatan gigi tanam adalah satu prosedur gantian gigi serta akar yang telah hilang dengan tanaman pos berupa skrew yang diperbuat daripada titanium keseluruhannya serta gigi palsu kekal untuk menggantikan bahagian gigi.
Gigi implan yang ditanam ke dalam tulang rahang mempunyai kestabilan yang tinggi dan proses pencantuman tersebut dinamakan ‘osseointegration’ ataupun osseo-integrasi. Pada hari ini, peratus kadar kejayaan gigi tanam mencecah sehingga 98%.
Gigi tanam terdiri daripada :
- ‘Implant’ (A) – Ditanam ke dalam tulang rahang
- ‘Abutment’ (B) – Komponen untuk menggabung implant dan gigi palsu
- Crown’ (C) – Gigi palsu kekal
Apakah keadaan yang memerlukan rawatan ini?
Oleh kerana rawatan implan telah memberikan impak yang besar dalam dunia pergigian dari segi keupayaannya untuk bertahan lebih lama dan menghasilkan nilai estetik yang tinggi, ia telah diterima secara meluas oleh masyarakat di serata dunia.
Secara amnya, rawatan gigi tanam ini amat digalakkan jika anda memenuhi kriteria beritkut:
- Kehilangan satu atau lebih gigi kekal
- Mempunyai kebersihan mulut yang baik
- Tidak merokok
- Mempunyai kuantiti tulang rahang yang mencukupi
- Tidak mempunyai masalah kesihatan yang boleh menganggu penyembuhan luka
- Tidak berminat untuk memakai gigi palsu
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Komplikasi rawatan
Seperti rawatan surgeri yang lain, rawatan gigi tanam juga mempunyai potensi untuk komplikasi jika tidak diambil endah. Komplikasi ini jarang berlaku dan kebiasaannya boleh dirawat dengan segera. Antaranya adalah:
- Infeksi di bahagian implan
- Masalah resdung jika implan di gigi atas menembusi bahagian kaviti sinus
- Kecederaan ke atas saraf yang boleh menyebabkan sakit, kebas ke bahagian gigi sekitar, gusi, bibir ataupun pipi.
- Kecederaaan ke bahagian struktur gigi yang lain
Prosedur rawatan
Pada peringkat awal rawatan adalah berupa rancangan serta penilaian kondisi pesakit secara menyeluruh. Ini termasuklah:
- Pemeriksaan pergigian yang komprehensif
- Gambar xray imbasan tulang, gambar-gambar klinikal, serta model gigi pesakit
- Semakan kondisi kesihatan
- Apa-apa masalah kesihatan, ubat-ubatan dan vitamin tambahan
- Masalah jantung ataupun rawatan tulang
- ‘Treatment Planning’
- Pakar implan akan mengambil kira kondisi struktur tulang dan gigi yang tinggal
- Cabutan gigi jika perlu (akar tertanam atau gigi yang tidak boleh diselamatkan)
- ‘Alveolar bone grafting’ jika amaun tulang tidak mencukupi
- Menyarankan beberapa pilihan untuk rawatan tanam gigi yang sedia ada
Jika pesakit tersebut memenuhi kriteria dan sesuai untuk mendapatkan rawatan gigi tanam serta keputusan antara dua belah pihak telah dipersetujui, pesakit akan diberikan tarikh temujanji bagi hari rawatan. Pesakit juga akan diberikan ubat bius untuk memastikan keselesaan pesakit sepanjang rawatan dijalankan
Setelah tempoh penyembuhan selesai, implant tersebut akan diperiksa jika ia telah bercantum sepenuhnya dengan tulang rahang. Penggabung berupa skrew akan dipasang dan acuan gigi akan diambil untuk menghasilkan sarung gigi yang khusus untuk gigi tersebut.
Apa yang perlu dibuat selepas rawatan?
Sejurus sahaja selepas rawatan gigi tanam dilakukan sama ada pada peringkat awal ataupun peringkat yang lanjut, pesakit kebiasaannya akan mengalami ketidakselesaan dan juga beberapa kesan sampingan seperti:
- Pendarahan kecil di bahagian implant
- Sakit yang berdenyut
- Lebam di bahagian gusi
- Bengkak di bahagian gusi dan kawasan muka
Doktor kebiasaannya akan memberikan preskripsi ubat tahan sakit dan antibiotic selepas rawatan tersebut. Lebam dan bengkak akan surut beberapa hari selepas rawatan. Namun begitu, jika kesan-kesan sampingan tersebut menjadi semakin teruk, segera lah berjumpa dengan pakar pergigian tersebut untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pesakit juga disarankan untuk mengambil makanan yang lembut dan sejuk sementara menunggu kawasan implant sembuh. Elakkan mengambil makanan yang pedas dan panas kerana akan menganggu proses penyembuhan kawasan implant.
Harga rawatan
Secara umumnya, terdapat pelbagai sistem implan yang tersedia di serata dunia. Sistem implan ini juga berbeza mengikut jenama dan tempat ia dikilangkan. Harga implan juga berbeza jika dibandingkan antara kerajaan ataupun swasta.
Semua faktor ini mempengaruhi harga keseluruhan rawatan gigi tanam. Oleh itu, amatlah dinasihatkan agar pesakit mendapatkan keterangan yang jelas tentang struktur harga dari doktor pakar pergigian tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan isu salah faham dan juga menjamin proses rawatan yang lancar.
Rujukan:
- What are dental implants? (n.d.). Retrieved February 07, 2021, from AAID Implant
- Dental implant surgery. (2019, January 29). Retrieved February 07, 2021, from Mayoclinic
- Donna S. Bautista, D. (2019, December 23). Dental implants Procedure, COST, TYPES, problems & safe. Retrieved February 07, 2021, from Medicine.net