Skip to content

Gigi Hitam: Punca, Rawatan dan Pencegahan

Apakah warna gigi anda? Jika anda lihat pada cermin sekarang, kemungkinan besar adalah gigi anda berwarna putih kekuning-kuningan. Itu adalah warna normal pada gigi manusia. Namun begitu, terdapat juga di kalangan individu yang mempunyai gigi yang berwarna kehitaman. Gigi hitam ini boleh ditafsirkan sebagai warna hitam yang muncul pada gigi seseorang sama ada keseluruhan gigi atau hanya kesan pewarnaan (staining). Jumlah gigi hitam ini bergantung dan tidak kekal pada sesuatu nombor. Ia boleh terjadi pada kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Punca Gigi Hitam

Punca terjadinya masalah ini pada sesorang ini boleh dikategorikan sebagai jenis dalaman dan luaran. Maksudnya, keadaan ini boleh berlaku berpunca dari dalam badan sebagai contoh penyakit manakala luaran pula berpunca dari sikap atau tabiat individu.

  1. Makanan/ minuman: Kopi, teh, air berkarbonat seperti kola dan wain boleh menyebabkan kesan hitam pada gigi.
  2. Merokok: Bahan toksik yang terdapat di dalam rokok boleh menjadi punca kesan hitam.
  3. Kebersihan gigi yang teruk: Plak gigi dan kesan makanan akan melekat pada gigi kerana tidak memberus dan flos gigi.
  4. Karies gigi: Karies disebabkan oleh bakteria yang merosakkan struktur gigi dan mengakibatkan lubang seterusnya dan menyebabkan kelihatan gelap.
  5. Ubatan: Ubat antibiotik, antihistamin, antipsikotik dan antihypertensif serta ubat kumur yang mengandungi chlorhexidine boleh menyebabkan perubahan warna gigi.
  6. Material pergigian: Tampalan seperti amalgam boleh memberi kesan kelabu-kehitaman pada gigi pesakit.
  7. Trauma: Trauma pada gigi akibat dari jatuh ketika bersukan atau kemalangan boleh menyebabkan saraf gigi rosak atau mati.

Komplikasi

Gigi hitam boleh menjadi serius jika dibiarkan begitu sahaja. Selalunya seseorang akan cakna dan tahu akan perubahan warna gigi sama ada melalui pemerhatian sendiri atau diberitahu oleh orang lain. Antara komplikasi kepada masalah ini adalah seperti:

  1. Estetik: Keadaan gigi hitam akan menyebabkan penampilan sesorang tidak menarik kerana warna yang tidak sekata di antara gigi yang ada.
  2. Psikologi: Individu akan berasa malu dan tidak yakin untuk berhadapan kerana keadaan giginya.
  3. Gigi berlubang: Jika kesan hitam tersebut dari karies gigi.
  4. Gigi mati: Gigi hitam juga salah satu indikasi tisu pulpa di dalam akar gigi rosak dan lama-kelamaan mati.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Rawatan Gigi Hitam



Masalah ini boleh dirawat oleh doktor gigi. Memberus gigi tidak cukup untuk menghilangkan kesan gigi hitam. Kesan warna tersebut boleh dirawat dengan beberapa cara, antaranya adalah:

  1. Rawatan pemutihan gigi: Rawatan ini dilakukan dengan menggunakan produk pemutihan gigi profesional. Rawatan ini sebaiknya dilakukan di klinik gigi dengan bantuan profesional oleh doktor gigi.
  2. Scaling gigi: Scaling gigi boleh dilakukan jika kesan hitam tersebut berpunca dari karang gigi. Doktor gigi akan membersihkannya dengan scaler dan alat ultrasonik.
  3. Tampalan gigi: Tampalan gigi dengan menggunakan resin komposit akan dilakukan untuk menutup lubang pada gigi yang diakibatkan oleh karies.
  4. Rawatan akar: Jika masalah ini berpunca dari tisu pulpa yang rosak atau mati, maka rawatan ini akan dijalankan untuk merawat tisu pulpa dan memenuhinya dengan bahan tampalan akar.
  5. Korona gigi (dental crown): Selepas rawatan akar, gigi yang dirawat akan diletakkan korona pada permukaan gigi.
  6. Venir gigi (dental veneer): Venir adalah bahan restorasi seperti porselin atau seramik yang dilekatkan pada permukaan hadapan gigi. Ini akan membantu untuk memperbaiki warna dan bentuk gigi.
  7. Rawatan berhenti merokok: Rawatan ini juga penting untuk dilakukan kerana merokok merupakan salah satu sebab penting yang menyebabkan kesan kehitaman pada gigi.

Pencegahan

Sebenarnya gigi hitam boleh dihalang daripada berlaku. Beberapa cara telah disyorkan untuk mengelakkan daripada terjadinya perkara ini. Contohnya:

  1. Memberus gigi 2 kali sehari.
  2. Flos gigi sekali sehari.
  3. Memilih ubat gigi berflorida.
  4. Mengehadkan pemilihan makanan dan minuman yang menyebabkan kesan pewarnaan gigi seperti kopi, teh, kola dan wain.
  5. Minum air kosong untuk membersihkan mulut selepas minum air yang mengandungi asid atau mempunyai kesan warna seperti jus, air limau, kopi dan wain.
  6. Berhenti merokok untuk menghentikan kesan kehitaman pada gigi akibat rokok.
  7. Melakukan pemeriksaan gigi setiap 6 bulan dengan doktor gigi.

Penutup

Gigi hitam sememangnya boleh mendatangkan masalah dari segi fizikal mahupun psikologi pada diri seseorang. Jika anda mempunyai masalah ini, sila hadirkan diri untuk berjumpa dengan doktor gigi untuk melakukan pemeriksaan pada gigi seterusnya mendapatkan rawatan untuk membaik pulih gigi anda.

Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:

  1. What To Do About Black Teeth Stains. Colgate.
  2. Tooth Discoloration. Cleveland Clinic.
  3. Gigi Berubah Warna. Portal MyHealth
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine − three =