Skip to content

Gigi Kuning: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah gigi kuning dan rawatannya? Artikel ini akan membincangkan punca kepada masalah ini, rawatan dan pencegahan yang boleh dilakukan.

Pengenalan

Memiliki gigi putih yang asli merupakan satu kelebihan bagi sesetengah individu namun tahu kah anda gigi kita secara semulajadi sememangnya mempunyai warna kekuningan jika dilihat di bawah cahaya matahari.

Warna kekuningan ini adalah refleksi dari warna asal lapisan dentin yang berada di bawah lapisan enamel yang putih. Jadi tidak hairan lah jika gigi kita kelihatan sedikit kekuningan kerana ia adalah penampilan yang normal dan semulajadi.



Walaupun begitu, warna kekuningan ini tidak boleh dipukul sama rata ke atas semua individu. Ini adalah kerana warna kekuningan di gigi boleh disebabkan faktor perbezaan genetik, pengaruh persekitaran ataupun cara hidup masing-masing.

Punca Gigi Kuning

Punca perubahan tona warna pada gigi secara umumnya diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu ekstrinsik, intrinsik ataupun faktor umur. Faktor-faktor tersebut berbeza mengikut setiap individu bergantung kepada gaya hidup, pemakanan dan tabiat

1. Faktor Luaran yang Mempengaruhi Struktur Gigi

  • Plak dan karang gigi
  • Makanan dan minuman yang mempunyai pewarna seperti kopi dan teh
  • Merokok
  • Minuman berkarbonat yang asidik dan menghakis gigi

2. Faktor dalaman yang mempengaruhi struktur gigi  

  • Masalah kesihatan yang mempengaruhi struktur enamel dan dentin
  • Radiasi dan kemoterapi
  • Kesan sampingan ubat-ubatan (Tetracycline dan doxycycline)
  • Penggunaan ubat kumur yang mengandungi klorheksidin secara berlebihan
  • Fluorosis

3. Faktor umur   

  • Perubahan pada struktur gigi pada usia lanjut
  • Lapisan enamel gigi semakin haus

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komplikasi



Sesetengah individu mungkin tidak mempunyai masalah dengan penampilan gigi kuning namun majoriti populasi rakyat Malaysia lebih gemar mempunyai gigi yang putih dari biasa.

Dek kerana obsesi ini telah terhasilnya pelbagai bahan-bahan pemutih gigi yang mempunyai unsur-unsur yang memudaratkan gigi jika digunakan secara berlebihan.

Gigi yang kuning secara amnya tidak mendatangkan komplikasi yang serius jika ia berpunca dari pemakanan tetapi perlu diberikan perhatian jika didatangi dengan simptom-simptom seperti ngilu dan sakit yang berlarutan. Ini adalah indikasi awal bahawa lapisan enamel gigi anda telah mula menipis dan memberikan tindak balas hipersensitif.

Rawatan Gigi Kuning

Rawatan untuk gigi kuning hanya berfokus untuk mengurangkan tona kekuningan di gigi dan memberi senyuman gigi yang lebih putih. Ia juga bergantung kepada punca masalah tersebut. Rawatan tersebut termasuklah:

1. Rawatan pemutihan gigi di klinik gigi

Kos rawatan ini mungkin agak berbeza di kerajaan dan swasta namun kedua-duanya mampu memberi keputusan yang memberangsangkan kepada pesakit

Doktor gigi akan memastikan kondisi gigi bebas dari sebarang plak ataupun karang gigi dengan proses penskaleran gigi.

Bahagian gusi dan gigi akan dilindungi dengan aplikasi bahan hydrogen peroksida ataupun carbamide peroxide dan dinyalakan dengan lampu khusus untuk pemutihan gigi sehingga beberapa kitaran untuk mencapai tahap pemutihan gigi yang memuaskan.



Gigi akan kekal lebih putih untuk 6 ke 12 bulan sahaja.

2. Pemakaian “Veneer” atau sarung gigi

“Veneer” adalah salah satu prostetik gigi kekal yang memerlukan proses penipisan lapisan enamel gigi yang sangat minimal bagi memberi ruang untuk penyarungan gigi prostetik tersebut.

Kos “veneer” adalah lebih mahal kerana ia dapat bertahan lebih lama dan memberikan hasil yang memenuhi citarasa pesakit dari segi saiz, warna dan pilihan bahan.

3. Memakai produk pemutih gigi di farmasi

Semua produk pemutih gigi di farmasi yang diiktiraf sudah sedia ada mempunyai bahan pemutih gigi seperti hidrogen peroksida dan lebih selamat dipakai oleh kerana kandungannya yang terkawal

Pencegahan

Perubahan gaya hidup dan pemakanan sedikit sebanyak dapat mencegah masalah gigi kuning dari menjadi lebih teruk. Antaranya adalah:

  1. Bagi peminat tegar kopi atau teh, amatlah disyorkan untuk mengurangkan pengambilan minuman tersebut ataupun sentiasa memberus gigi sebaik sahaja selesai meminum. Lebih lama bahan-bahan kopi tersebut bersentuhan dengan permukaan gigi, lebih tinggi risiko untuk mendapat gigi kuning
  2. Sentiasa memastikan kondisi oral kaviti dalam keadaan bersih dengan memberus gigi dua kali sehari dengan berus gigi yang lembut dan ubat gigi berfluorida, menggunakan flos dan ubat kumur terutamanya selepas makan.
  3. Melakukan rutin pemeriksaan gigi setiap 6 bulan di klinik gigi
  4. Berhenti dan meninggalkan tabiat merokok

Masalah Gigi dan Gusi yang lain:



Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:

  1. Tooth discoloration – WebMD
  2. Ten Causes Of Yellow Teeth And How To Avoid Them – Colgate
  3. Nyah Gigi Kuning! Mari Kami Kongsikan Tips & Cara Putihkan Gigi Oleh Doktor -doctoroncall
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 6 =