Skip to content

Gigi Rongak: Punca, Simptom dan Rawatan

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, rongak bererti tanggal atau hilang seperti gigi, papan, pagar dan lain-lain. Gigi rongak pula bermaksud tidak ada gigi atau gigi yang hilang disebabkan tertanggal atau tidak tumbuh.

Kondisi gigi rongak ini tidak sahaja melibatkan kanak-kanak malah juga melibatkan kaum dewasa yang disebabkan pelbagai faktor seperti umur, kesihatan, ataupun faktor yang paling umum iaitu gigi berlubang disebabkan karies.

Kebanyakan individu sering mengendahkan masalah ini dengan alasan sudah terlalu tua, kos yang terlalu mahal untuk tampalan dan inginkan cabutan segera dan lain-lain lagi.



Harus diingatkan bahawa rawatan pergigian pada peringkat awal adalah jauh lebih murah daripada peringkat dimana kondisi gigi memerlukan rawatan yang lebih kompleks. Oleh itu, mencegah adalah jauh lebih bermanfaat dari merawat.

Simptom Berkaitan

Gigi rongak selalu berkait rapat dengan proses karies gigi yang tidak dirawat. Pesakit kerapkali berasa sakit pada bahagian gigi yang berlubang dan kebanyakan keadaan gigi tersebut sudah terlalu teruk dan memerlukan cabutan sebagai rawatan kecemasan.

Kehilangan gigi pada usia muda juga sering berlaku disebabkan faktor luaran seperti kemalangan waktu sukan, masalah keradangan gusi yang agresif dan lain-lain.

Punca Gigi Rongak

Kebanyakan punca gigi rongak adalah terdiri dari faktor persekitaran dan kesedaran pesakit sendiri. Ini adalah kerana masalah-masalah ini dapat dicegah pada peringkat awal lagi dan dapat mengurangkan risiko gigi berlubang ataupun masalah gusi yang menjejaskan struktur pegangan gigi seterusnya menyebabkan gigi tanggal dan rongak.

Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan masalah ini seperti:

  • Karies gigi yang tidak dirawat
  • Makanan dan minuman manis yang tidak terjaga
  • Masalah struktur gigi (amelogenesis atau dentinogenesis imperfecta)
  • Tabiat menghisap botol susu melebihi waktu yang disyorkan
  • Masalah gusi kronik yang tidak dirawat
  • Kurang kesedaran tentang kepentingan menyelamatkan gigi berlubang

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Komplikasi



Berdasarkan Pakar Prostodontik dan Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Natasya Ahmad Tarib berkata gigi yang sedia ada akan bergerak ke ruang yang kosong seterusnya menjejaskan susunan gigi. Masalah ini juga akan menyebabkan maloklusi dan menyukarkan pemasangan gigi palsu dalam jangka masa panjang.

Antara komplikasi lain yang boleh disebabkan oleh masalah gigi ini adalah seperti berikut:

  • Tulang rahang mengecut dan menjejaskan posisi gigi sedia ada
  • Kulit mengendur selepas gigi dicabut kerana hilang sokongan tisu
  • Masalah untuk mengunyah dan ketidakhadaman makanan
  • Mengurangkan keyakinan diri
  • Menjejaskan kualiti hidup

Rawatan Gigi Rongak

Masalah gigi rongak ini dapat dicegah sejak awal lagi seperti penjagaan kesihatan mulut yang optimum sekaligus dapat mengurangkan risiko untuk masalah gigi yang berlainan. Antara rawatan yang disarankan ialah:

  • Tampalan gigi kekal di bahagian yang terjejas
  • Gigi palsu kekal seperti Bridge, Crown, Veneers ataupun Implant
  • Tampalan pencegahan seperti fissure sealant dan varnish topikal

Sekali lagi perlu diingatkan bahawa pesakit perlu memperolehi kesedaran yang tinggi berkaitan kepentingan menjaga gigi dan sentiasa mendapatkan nasihat para doktor bagi alternatif lain untuk menyelamatkan gigi yang mempunyai masalah kronik.

Pencegahan

Dalam semua aspek pencegahan masalah pergigian, adalah amat penting untuk mengamalkan penjagaan mulut yang baik. Antara amalan yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut:

  • Memberus gigi minimum dua kali sehari dengan menggunakan berus gigi lembut dan ubat gigi berfluorida
  • Menggunakan ubat kumur dan floss selepas makan
  • Mengamalkan pemakanan seimbang dan mengawal pengambilan makanan bergula tinggi serta mengurangkan ‘snacking’
  • Mendapatkan rutin pemeriksaan gigi sekurang-kurangya dua kali setahun
  • Segera mendapatkan rawatan jika ternampak perubahan yang abnormal di dalam oral kaviti seperti perubahan warna, tekstur dan saiz permukaan gigi dan tisu mulut

Kesimpulan

Masalah gigi rongak bukan sahaja menjejaskan penampilan seseorang individu malah juga menganggu kualiti hidup secara keseluruhan. Oleh itu, segeralah dapatkan rawatan di klinik gigi yang berdekatan agar komplikasi kepada masalah ini dapat dibendung.

Ingat, cabutan gigi tidak semestinya menjadi solusi terbaik !

Masalah Gigi dan Gusi yang lain:



Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Rujukan:

  1. Gigi Anak Hitam & Rongak? Mak Ayah Usah Biarkan, Ini Bukan Hal Biasa Walaupun Gigi Susu – HelloDoktor
  2. Gigi rongak perlu diganti, ganggu struktur gusi – BHOnline
  3. “Kenapa Gigi Anak Saya Rongak?” – Dr Husna Razak – The Malaysian Medical Gazette
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 + 20 =