Skip to content

Gigi: Struktur, Jenis dan Fungsinya

Apakah struktur gigi di dalam mulut kita? Artikel ini akan membincangkan struktur gigi, jenis-jenisnya dan fungsi yang penting untuk menjalankan fungsi mengunyah makanan.

Pengenalan

Apakah perkara pertama yang anda lihat pada senyuman seseorang? Sudah semestinya bahagian mulut dan gigi yang ada pada individu tersebut. Gigi adalah salah satu bahagian yang terdapat pada mulut yang mempunyai fungsi dan peranan yang paling penting.

Hampir kesemua orang akan menjaga penampilan gigi mereka kerana ia mempunyai nilai estetik yang sangat tinggi sama seperti kulit atau rambut. Gigi penting kerana ia boleh menentukan keadaan kesihatan, pemakanan dan gaya hidup pemiliknya.

Struktur gigi



Sebelum itu, anda harus mengetahui mengenai struktur gigi dan fungsinya. Gigi anda merangkumi 4 tisu dental. 3 daripadanya adalah tisu keras iaitu enamel, dentin dan cementum. Tisu keempat pula adalah tisu lembut iaitu pulpa atau bahagian tengah gigi yang mengandungi saraf, saluran darah dan tisu penghubung. Gigi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu korona (crown), leher (neck) dan akar (root).

  • Korona: Bahagian gigi yang kelihatan dan dilitupi oleh enamel.
  • Leher: Bahagian di mana korona dan akar bersambung.
  • Akar: Bahagian gigi di dalam soket tulang.

Gigi juga mempunyai beberapa lapisan yang terdiri daripada tisu keras dan tisu lembut yang telah dinyatakan sebelum ini. Setiap lapisan ini mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri. Contohnya adalah seperti:

  • Enamel: Lapisan paling luar yang melitupi gigi. Ia adalah tisu berkalsifikasi keras yang melindungi dentin di dalam korona gigi. Kerana enamel tidak mempunyai sel hidup, ia tidak boleh membaiki kerosakan daripada masalah reput atau haus secara sendiri. Berwarna putih atau kekuningan.
  • Cementum: Tisu penghubung keras yang melitupi bahagian akar gigi. Ia juga memberi ikatan pada ligamen peridontal.
  • Dentin: Lapisan gigi yang berada selepas enamel dan cementum. Ia mengandungi tubulus mikroskopik yang berongga kecil. Apabila enamel yang melindunginya hilang, tubulus akan memberi laluan untuk makanan yang panas, sejuk, berasid atau melekit untuk merangsang saraf dan sel di dalam gigi. Dentin berwarna kuning.
  • Ruang pulpa: Ruang ini diisi dengan pulpa iaitu tisu lembut di bahagian tengah gigi yang mengandungi saraf, saluran darah dan tisu penghubung.
  • Salur akar: Bahagian kaviti pulpa yang berada di dalam akar gigi. Ia adalah laluan untuk saraf dan saluran darah.

Selain itu, terdapat juga struktur lain yang mengelilingi gigi. Struktur ini akan membolehkan gigi berada di tempatnya dan mengelakkan dari beralih atau tercabut.

  • Gusi: Bahagian tisu lembut yang melitupi dan melindungi akar gigi dan menutupi gigi yang belum tumbuh. Gusi selalunya merah jambu jika sihat dan merah jika mengalami inflamasi.
  • Tulang alveolar: Tulang ini menyokong akar gigi dan mengekalkan gigi di tempatnya.
  • Ligamen periodontal: Sebuah sistem tisu penghubung yang mengandungi kolagen yang menghubungkan akar gigi ke soketnya.
struktur gigi

Sumber: Tooth. Mouth Healthy by American Dental Association. https://www.mouthhealthy.org/en/az-topics/t/tooth

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Jenis gigi

Bagi kanak-kanak, jumlah gigi susu adalah sebanyak 20 batang. 10 batang di rahang atas dan 10 rahang di rahang bawah. Gigi bayi mula berkembang sebelum mereka lahir, tetapi dalam kebanyakan kes, gigi akan tumbuh apabila bayi berusia antara 6 dan 12 bulan. Apabila kanak-kanak berusia 6 ke 7 tahun, gigi susu akan mula goyang dan tercabut secara normal. Ini adalah untuk memberi laluan kepada gigi kekal pula tumbuh.



Bagi orang dewasa, jumlah gigi normal adalah sebanyak 32 batang. 16 batang di rahang atas dan 16 batang lagi berada di rahang bawah. Pada umur 12 sehingga 14 tahun, kebanyakan kanak-kanak akan kehilangan kesemua gigi susu dan gigi kekal muncul. Antara gigi kekal terakhir yang tumbuh adalah gigi bongsu atau geraham ketiga, iaitu sebanyak 4 batang. Gigi bongsu akan muncul pada umur 17 sehingga 21 tahun. Setiap jenis gigi ada tugas spesifik, termasuklah menggigit, mengunyah dan mengisar makanan.

Antara jenis gigi yang ada adalah seperti, gigi kacip (insicor), gigi taring (canine), gigi geraham kecil (premolar) dan gigi geraham (molar).

  1. Gigi kacip (8 batang): 4 batang rahang atas dan 4 batang di rahang bawah. Gigi ini adalah untuk memotong makanan. Gigi ini juga penting dari segi estetik.
  2. Gigi taring (4 batang):  2 batang di rahang atas dan 2 batang di rahang bawah. Gigi ini sedikit tajam untuk mengoyakkan makanan ketika menggigit.
  3. Gigi geraham kecil (8 batang): 4 batang rahang atas dan 4 batang di rahang bawah. Gigi ini berfungsi untuk memecahkan makanan.
  4. Gigi geraham (12 batang): 6 batang di rahang atas dan 6 batang di rahang bawah. Gigi ini membantu mengisar dan mengigit makanan.

Penutup

Gigi sememangnya mempunyai kepentingan yang sangat tinggi dalam kehidupan manusia. Anda seharusnya menghargai gigi yang anda punyai dan menjaganya dengan baik. Antara penjagaan yang boleh diamalkan adalah dengan menggosok gigi 2 kali sehari, flos gigi sehari sekali dan berjumpa dengan doktor gigi secara kerap. Sentiasalah ingat bahawa gigi anda tidak akan “patah tumbuh, hilang berganti”.

Artikel Berkaitan: Cara Putihkan Gigi Dengan Berkesan

Rujukan:

  1. Tooth. Mouth Healthy by American Dental Association.
  2. Teeth Facts and Figures. NHS UK.
  3. What Are The Different Parts Of A Tooth?. Colgate.

Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten + 4 =