Skip to content

Ubat Viagra: Penggunaan, Dos Dan Kesan Sampingan

Apakah fungsi dan dos pil viagra (Ubat Kuat) ? Artikel ini akan membincangkan penggunaan, dos dan kesan sampingan pengunaan ubat viagra ini.

Pengenalan

Nama generik bagi ubat Viagra adalah Sildenafil dan ubat ini seringkali digunakan bagi mereka yang menghadapi masalah Mati Pucuk.

Anda sudah tentu pernah mendengar ubat suplemen yang pernah diggunakan untuk “jadi kuat”, bukan?



Ketika ini pembangunan dalam penghasilan ubat-ubatan suplemen dan tradisional berasaskan tumbuh-tumbuhan dan bahan semulajadi sudah semakin kuat bercambah dan dijual bak pisang goreng laku di pasaran. Contoh paling dekat seperti tongkat ali atau kacip fatimah sebagai ubat menguatkan kesihatan lelaki dan wanita, gamat untuk luka-luka, dan sebagainya.

Apabila bercakap mengenai ubat-ubatan tradisional ini, memang masyarakat kebanyakan kita sering menggunakannya atas dasar ubat berasaskan tumbuh-tumbuhan dan bahan semulajadi ini sudah pun digunakan bergenerasi lamanya, dan tiada kesan sampingan pada tubuh badan. Tambahan pula, ada juga para penjual mencanang ubat-ubatan tradisional tersebut mampu merawat pelbagai jenis penyakit lebih-lebih lagi sehingga ke tahap menyembuhkan kegagalan fungsi buah pinggang, menguatkan jasmani badan lelaki dan wanita, menurunkan tekanan darah dan sebagainya sehinggalah ramai orang terpengaruh untuk tidak memakan ubat-ubatan hospital, lalu kemudiannya hadir semula ke hospital dengan pelbagai penyakit kronik yang juga turut mengundang kematian.

Perkara tersebut amatlah perlu dipandang serius juga memandang dakwaan tersebut bertentangan dengan undang-undang juga. (Nota: Memang betul! Rujuk balik 20 indikasi yang dilarang untuk dipasarkan dan dicanangkan untuk penjualan ubat-ubatan tidak kiralah sediaan kontemporari dan tradisional juga.)

Kritikan dan juga skeptikal para pengamal perubatan ada asasnya. Bukan semua sediaan ubat-ubatan tradisional ini sebenarnya mempunyai tumbuh-tumbuhan, sumber haiwan atau bahan semulajadi semata-mata. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini gempar negara kita apabila kebanyakan sediaan ubat-ubatan tradisional yang ditarik balik balik penjualannya dari pasaran disebabkan pembuatannya dicemari bahan racun berjadual. Salah satu daripadanya adalah sediaan ubat yang kita akan bincangkan dalam artikel kali ini iaitu sildenafil.

Penggunaan

Ubat kuat seperti mana yang terlalu banyak dicanang oleh para penjual ubat-ubatan tradisional ini paling tidak pun semestinya anda perlu khuatirkan diri anda mesti mempunyai bahan bernama sildenafil ini. Walaupun kerap sangat disalahgunakan dalam ubatan tradisional untuk mengukuhkan fungsi seks lelaki, namun begitu, ubat ini bukan senang-senang boleh jual ya! Dalam hospital dan klinik kerajaan sendiri, ubat ini diletakkan dalam kelas A* (hanya pakar perunding/ pakar sahaja yang boleh mempreskrib ubat ini untuk penggunaan tertentu sahaja), dan memerlukan preskripsi doktor untuk membelinya di farmasi komuniti berhampiran anda.



Jenama Sildenafil

Sildenafil (juga dipanggil dengan nama jenama inovator Viagra yang meliputi ubat sildenafil dalam sebatian sildenafil sitrat [sildenafil citrate]) biasanya dijual dalam pil salutan filem 100 mg dan 50 mg. Selain ubat Viagra, ubat ini juga mudah didapati dalam versi generik murah yang dijual di pasaran dengan jenama :

  • Axcel Sildenafil (100 mg sildenafil sitrat),
  • Edyfil (100 mg dan 50 mg sildenafil sitrat),
  • Elonza 100 (100 mg sildenafil sitrat),
  • Iqnyde (100 mg dan 50mg sildenafil sitrat),
  • Revatio (20 mg sildenafil sitrat),
  • Sildegra (20 mg sildenafil sitrat) dan
  • Vivic (100mg sildenafil sitrat).

Ada sesetengah jenama yang turut dijual sebagai ampaian oral dengan kekuatan 10mg/ 1ml ubat (biasanya farmasis meminta pesakit mencairkan ampaian ini dalam 2 bahagian, 1 bahagian dahulu dicairkan dengan 60 ml air kemudian bakinya 30ml air untuk menghasilkan 90ml ampaian oral mengandungi 10 mg/ 1 ml ubat dan digoncang sekuatnya selama seminit sebelum dimakan), dan juga turut dijual dalam cecair intravena 10 mg/ 12.5 ml.

Pengunaan Selain Ubat Kuat

1. Pulmonary Artery Hypertension dalam Kanak-kanak

FDA meletakkan pelesenan penggunaan sildenafil untuk rawatan penyakit darah tinggi pulmonari (pulmonary artery hypertension) dalam kanak-kanak (walaupun tidak digalakkan penggunaannya oleh FDA kerana data keselamatan dan kesesuaian ubat tersebut yang tidak mencukupi serta kebarangkalian besar kematian dalam kalangan kanak-kanak dengan pengambilan dos tinggi menurut dapatan kajian klinikal berkenaan sildenafil untuk pediatrik jangka panjang) dan orang dewasa dan juga mati pucuk (erectile dysfunction).

Kendatipun penggunaan ubat viagra dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan kerana kekurangan bukti keselamatan dan keberkesanannya, namun begitu penggunaanya masih lagi digunakan secara berhati-hati. Kini terdapat bukti keberkesanan ubat ini digunakan dalam merawat penyakit darah tinggi pulmonari primer dan juga penyakit darah tinggi pulmonari disebabkan oleh penyakit berkaitan tisu penghubung (contohnya artritis, systemic lupus erythematosus (SLE) dan sebagainya).

2. Penggunaan yang lain



Selain dari indikasi yang disebutkan di atas, sildenafil juga turt digunakan secara tidak rasmi (off-label indication) dalam banyak perkara, seperti:

  • Merawat ketidakfungsian organ seks atas kesan sampingan ubat kemurungan (depresi),
  • Kemandulan berkaitan penggunaan ubatan,
  • Mati pucuk disebabkan oleh diabetis dan prosedur dialisis,
  • Simptom-simptom rawatan jangkitan saluran perkumuhan bawahan,
  • Penyakit Parkinson,
  • Pembuangan kelenjar prostat,
  • Terapi radiasi,
  • Spina bifida
  • Kecederaan saraf tunjang, dan
  • Rawatan darah tinggi pulmonari berterusan (persistent pulmonary artery hypertension) dalam bayi baru lahir.

Dos Sildenafil

Dos kebiasaanya untuk pesakit mati pucuk adalah 50 mg sejam (biasanya dalam sela masa 30 minit – 4 jam) sebelum melakukan persetubuhan, tetapi boleh sahaja dinaikkan ke kadar maksimum 100 mg tetapi hanya cuma perlu digunakan sekali sehari sahaja.

Warga tua yang tiada sebarang masalah kesihatan biasanya dimulakan dengan dos 25 mg sehari terlebih dahulu. Bagi pesakit penyakit darah tinggi pulmonari dewasa, dos  5 – 20 mg tiga kali sehari (selang 8 jam) biasanya dipreskrib jika pesakit tersebut normal.

Bagi kanak-kanak pula dos ubat ini diberikan mengikut berat. Jika beratnya melebihi 20 kg ke atas, dos 20 mg tiga kali sehari diberikan, manakala dos 10 mg tiga kali sehari diberikan jika berat mereka 20 kg dan ke bawah.

Dos yang diterangkan di atas adalah hanya untuk oral sahaja. Ubat ini boleh dimakan sebelum atau selepas makan. Jika pesakit memerlukan rawatan intravena (IV), dos secara terus (bolus) 2.5 atau 10 mg tiga kali sehari boleh diberikan kepada pesakit darah tinggi pulmonari dewasa sahaja.

Dos sildenafil juga boleh berubah mengikut kesesuaian pesakit. Jika sildenafil dimulakan untuk rawatan mati pucuk dalam pesakit kegagalan buah pinggang, dos boleh dimulakan dengan 25 mg sehari terlebih dahulu untuk pesakit dengan kadar pembersihan kreatinin [creatinine clearance (CrCl)] kurang 30 ml/min, dan 20 mg dua kali sehari iaitu selang 12 jam (untuk oral) dan 10 mg dua kali sehari (secara IV) jika digunakan untuk penyakit darah tinggi pulmonari untuk bacaan CrCl yang serupa untuk rawatan mati pucuk.

Bagi pesakit kegagalan fungsi hati pula, ubat viagra hanya boleh digunakan untuk pesakit mati pucuk dan penyakit darah tinggi pulmonari Jenis A dan B klasifikasi Child-Pugh sahaja. Jenis C klasifikasi Child-Pugh tidak digalakkan menggunakan ubat ini kerana kontaindikasi. Dos boleh dimulakan dahulu 25 mg sehari bagi pesakit mati pucuk dan 20 mg dua kali sehari bagi pesakit darah tinggi pulmonari.



Kebiasaanya untuk memulakan pengambilan ubat ini mesti mendapat panduan dan perhatian dari doktor terlebih dahulu. Jadi, adalah lebih sesuai jika sekiranya pesakit dapatkan nasihat dari doktor dahulu sebelum berbuat apa-apa. Kebiasaanya doktor mungkin akan membuat penilaian tahap kardiovaskular anda serta tekanan darah, fungsi buah pinggang, darah dan juga hati, dan pemeriksaan fizikal terhadap pesakit terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memulakan sildenafil.

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Penyimpanan

Seperti ubat-ubat makan lain, ubat tersebut perlu diletakkan dalam tempat sejuk dan kering, sebaik-baiknya dalam suhu bilik. Jika dibancuh, ubat tersebut perlu disimpan dalam botol gelap (amber) untuk mengelakkan ubat tersebut dari cahaya, dan boleh disimpan dalam suhu bilik dan peti sejuk (tetapi peti sejuk lebih sesuai untuk disimpan). Sebaik-baiknya ubat biji perlu disimpan sehingga tarikh luput. Manakala ubat bancuhan pula boleh bertahan sehingga 91 hari daripada tarikh bancuhan jika betul caranya.

Cara Ubat Berfungsi Viagra

Enzim phosphodiesterase (PDE) mengandungi lebih 11 subenzim (PDE1 hinggalah PDE11) yang masing-masing mempunyai fungsinya yang tersendiri. Fungsi enzim tersebut menjadi lebih ketara dilihat menerusi etiologi penyakit darah tinggi pulmonari dan juga mati pucuk ini.

Secara asasnya pengenduran otot tisu lembut yang menyebabkan kelancaran saluran darah dalam arteri pulmonari serta saluran darah yang melingkari kawasan penis adalah suatu kerjasama erat di antara dua komponen utama, nitrik oksida (nitric oxide, NO) dan juga enzim phospohodiesterase. Apabila NO mula dihasilkan menerusi stimulasi sistem saraf parasimpatetik, pengeluaran NO mengaktifkan penghasilan siklik guanosin monofosfat (cyclic guanosine monophosphate, cGMP) dari guanosine trifosfat (guanosine triphosphate) yang tidak aktif, seterusnya mengurangkan kepekatan ion kalsium (Ca+) dalam tisu otot lembut menghasilkan pengenduran otot lembut dalam pembuluh darah arteri, menghasilkan kelancaran saluran darah dalam bahagian arteri pulmonari dan juga pembuluh darah arteri di bahagian penis yang menyebabkan otot penis menegang dalam kes penyakit yang kita bincangkan pada hari ini. Enzim phosphodiesterase pula bertujuan mengawal pengeluaran cGMP dengan menukar semula cGMP kepada guanosin trifosfat yang tidak aktif, secara tidak langsung mengecutkan saluran darah arteri.

Dalam penyakit darah tinggi pulmonari, perbezaan ketara yang mudah dilihat dari penemuan klinikal dan kimia adalah penemuan lebih banyak enzim PDE5 dihasilkan oleh tisu lembut kawasan paru-paru serta pengurangan penghasilan NO dari tisu lembut yang melingkari arteri pulmonari. Jika kita lihat juga dalam etiologi penyakit mati pucuk misalnya, walaupun pada hakikatnya mati pucuk boleh dikenali menerusi campuran faktor-faktor utama seperti vaskular, endokrinologikal, neurologikal, serta psikologikal ditambah pula dengan faktor berisiko tinggi seperti tiga serangkai dan merokok, tetapi penemuan kimia juga turut mengiyakan perkara yang sama seperti penyakit darah tinggi pulmonari tersebut.

Sildenafil yang pada asalnya dikaji untuk penyakit darah tinggi koronari pada tahun 1991, kemudian diluluskan FDA pada tahun 1998 untuk indikasi mati pucuk, adalah salah satu dari ubat yang bertindak merencatkan enzim phosphodiesterase-5 (PDE5) dan sangat selektif merencat enzim PDE5 lebih dari PDE2, PDE3 dan PDE4 di dalam tubuh badan kita. Sildenafil yang juga mimik serupa dengan struktur molekul cGMP, bertindak memanjangkan hayat cGMP dalam tisu lembut di corpus cavernosum dalam penis, menjadikan penis tegang dengan lebih lama. Pengenduran tisu lembut dari kawasan paru-paru dan arteri pulmonari juga merupakan hasil daripada kesan sildenafil tersebut juga.

Kesan Sampingan Ubat Viagra

Antara kesan sampingan biasa direkodkan adalah:

  • Sakit kepala (dilaporkan dalam 7-16% aduan),
  • Kulit bertambah merah,
  • Dispepsia (masalah berkaitan sistem penghadaman seperti kembung perut, pedih ulu hati dan sebagainya),
  • Gangguan pada sistem penglihatan (misalnya kegatalan dan kabur mata dan sebagainya),
  • Pening,
  • Kurang tidur,
  • Demam,
  • Muntah-muntah,
  • Cirit-birit,
  • Otot penis menegang lebih lama (priapism),
  • Alergik,
  • Sakit belakang/ tulang kaki,
  • Muka sembab,
  • Kencing tak lawas,
  • Kurang darah merah,
  • Masalah berkaitan sistem pernafasan (bronkitis, batuk, bersin, rhinitis),
  • Pendarahan serebrovaskular dalam otak,
  • Pengsan, dan
  • Tekanan darah tinggi atau tekanan darah rendah.

Kesan sampingan lain yang ditemui pasca pendaftaran namun jarang-jarang berlaku termasuklah kes hipersensitif, krisis vasooklusif (penyakit darah tinggi pulmonari disebabkan sel sabit darah merah), pendarahan retina dan juga nonarteritic anterior ischemic optic neuropathy (NAION) yang mengakibatkan buta sebelah mata. Jika pesakit ada mendapat insiden NAION ini perlu memberhentikan rawatan sildenafil dan terus dapatkan rawatan doktor segera.



Pesakit yang ada mempunyai masalah komplikasi jantung, seperti masalah kegagalan fungsi jantung, infarksi miocardium (MI), penyakit jantung koronari, dan juga pesakit darah tinggi dan serangan jantung (unstable angina) amat berpotensi mengalami risiko kegagalan jantung jika memulakan ubat ini.

Walaupun semestinya pesakit mengandung boleh mengambil ubat ini kerana terletak dalam kategori B FDA, namun demikian tiada sebarang kesimpulan mantap berkaitan kesannya kepada perempuan mengandung dan menyusukan anak. Oleh itu, penggunaan ubat ini mungkin dianggap kontraindikatif dan mungkin tidak sesuai digunakan oleh kedua-dua pihak berkenaan.

Peringatan (Precaution)

Pesakit biasanya akan diterangkan bahawa ubat ini mudah membuatkan mereka pening dan gangguan kepada sistem penglihatan, jadi tidak digalakkan untuk mereka memandu atau melakukan kerja-kerja kritikal dan berat. Jika pesakit mengalami masalah ketegangan urat penis melebihi 4 jam dari sepatutnya atau mempunyai masalah hilang deria pendengaran dan deria penglihatan secara tiba-tiba dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera.

Beritahu doktor juga jika pesakit memakan ubat berasaskan nitrat untuk sakit-sakit berkaitan jantung (lebih-lebih lagi ubat gliseril trinitrat (GTN) dan isosorbida dinitrat dan isosorbida mononitrat) kerana ubat ini boleh menurunkan lagi tekanan darah. Begitu juga perkara sama turut diambil perhatian jika pesakit ada memakan ubat yang mengendurkan pembuluh darah seperti milrinone ataupun nitroprusside.

Pesakit juga dalam masa sama tidak boleh mengambil ubat yang mempunyai fungsi yang sama seperti fungsi sildenafil (sebagai contoh tadalafil, avanafil) untuk merawat mati pucuk. Begitu juga jika sekiranya pesakit dalam dos maksimum ubat sildenafil yang hendak dimulakan juga dengan ubat perencat alfa perlu diingatkan oleh doktor untuk mengambil dos rendah ubat perencat alfa dan tidak sama sekali menaikkan dos sesuka hati. Perhatian juga turut diberikan kepada pesakit yang memakan ubat perencat alfa untuk darah tinggi juga (seperti prazosin). Lebih baik sekiranya berbincang dengan doktor juga mengenai masalah demikian.

Walaupun pada awal tadi saya nyatakan boleh saja sildenafil dimulakan dengan dos rendah jika pesakit mengambil ubat yang merencat enzim CYP3A4 seperti ubat antibiotik clarithromycin dan chloramphenicol, ubat gastrik cimetidine, ubat kulat (ketoconazole misalnya) ataupun ubat sawan seperti phenytoin, namun begitu kebiasaanya jika sekiranya rawatan sildenafil tidak membawa apa-apa kelebihan berbanding risiko, maka adalah sebaiknya pesakit terus berhenti menggunakan ubat ini. Tetapi adalah lebih baik berbincang dengan doktor terlebih dahulu berhubung perkara tersebut.

Doktor juga sebelum memulakan rawatan sildenafil turut memastikan jika pesakit dari awal lagi juga turut mempunyai kecacatan anatomi pada penis (penyakit Peyronie, fibrosis cavernosal dan sebagainya) dan juga masalah yang mungkin pemangkin kepada faktor ketegangan urat penis lebih lama (priapism) seperti sel darah merah sabit, kanser pelbagai sel darah atau leukemia, penyakit ulser perut aktif, masalah kardiovaskular dan komplikasinya, kegagalan buah pinggang, kegagalan hati, dan retinis pigmentosa (masalah genetik melibatkan struktur retina mata yang menyebabkan masalah penglihatan tidak sempurna). Amat penting jika anda nyatakan perkara tersebut kepada doktor juga.

Interaksi antara Ubat

Sebentar tadi, saya ada beritahu mengenai ubat-ubat perencat CYP3A4 yang banyak mempengaruhi pengambilan sildenafil ini. Sildenafil sebenarnya dimetabolisme dalam hati melalui enzim ini, jadi perencat CYP3A4 ini berkemungkinan akan menaikkan lagi kepekatan sildenafil dalam serum darah, sekaligus menghasilkan kesan terapeutik dan sampingan seperti yang telah dinyatakan tadi.



Agak penting dimaklumkan di sini bahawa pengambilan tumbuh-tumbuhan sebagai suplemen seperti St John’s wort (Hypericum perforatum) dan pengambilan limau gedang yang juga bersaing kuat dalam enzim yang sama melajukan proses metabolisme sildenafil dalam hati menyebabkan efek terapeutik ubat tersebut turun. Oleh itu, para doktor dan farmasis kerap menasihatkan para pesakit untuk tidak sama sekali mengambil apa-apa suplemen atau makanan yang mengandungi bahan yang disebutkan tadi.

Selain itu, ubat-ubat yang berfungsi untuk menurunkan tekanan darah seperti perencat alfa (yang saya terangkan sebentar tadi) dan ubat untuk mengendurkan pembuluh darah (vasodilator adalah istilah khas dari Barat untuk menerangkan ubat sebegini) juga turut menyebabkan komplikasi jantung dan tekanan darah yang terlampau rendah juga. Begitu juga dengan pemberian bersama ubat-ubat berdasarkan nitrat yang saya telah nyatakan sebentar tadi.

Ubat-ubat tersebut adalah:

  • Ubat antibiotik clarithromycin dan chloramphenicol,
  • ubat gastrik cimetidine,
  • ubat kulat (ketoconazole misalnya) ataupun
  • ubat sawan seperti phenytoin,
  • ubat antiretroviral seperti ritonavir
  • ubat perencat alfa (alpha-blocker) seperti alfuzosin atau tamsulosin

Kesan Terlebih Dos

Memakan sildenafil secara berlebihan mungkin jarang dilaporkan, tetapi kesan yang dibawanya boleh jadi agak membimbangkan juga. Antara simptom dan tanda-tanda terlebih makan ubat viagra seperti dilaporkan adalah:

  • Pening kepala,
  • Badan lemah,
  • Muka merah
  • Ketegangan urat penis, dan
  • ketidakseimbangan badan
  • loya disebabkan pesakit merasa dirinya sendiri atau persekitaran atau kedua-duanya berpusing (vertigo).

Namun demikian, ada laporan yang menyatakan simptom toksisiti serius seperti tekanan darah rendah yang agak ketara, denyutan nadi laju (tachycardia) dan lemah badan yang ketara. Ada satu kes serius pernah dilaporkan membabitkan seorang dewasa yang mengalami sawan jenis tonik-clonik selepas menyalahgunakan ubat sildenafil pil 100mg.

Rawatan biasa untuk toksisiti ubat ini biasanya jika melibatkan pengambilan kurang dari 4 jam, penggunaan prosedur gastric lavage serta pengambilan arang untuk mengeluarkan semua ubat dari diserap oleh tubuh badan adalah tindakan paling biasa dilakukan. Kawalan terhadap masalah kurang tekanan darah dan denyutan nadi tidak sekata untuk jenis pesakit toksisiti rendah dan sederhana biasanya boleh dibetulkan dengan penerimaan bendalir IV kepada badan.

Namun untuk kes toksisiti serius pula, pesakit yang mengalami pengenduran aktiviti otak seperti kekurangan pengaliran darah dalam otak dan pernafasan tidak sekata biasanya perlu dibuat intubasi dan penyelamatan saluran pernafasan. Arang pula cuma boleh digunakan sekiranya pesakit sedang diintubasi ataupun saluran pernafasan mereka tidak terjejas langsung. Penyaluran ubat intravena seperti noradrenaline yang lebih menjurus kepada pengaktifan reseptor alfa di dalam jantung dan juga phenylephrine adalah lebih digalakkan dalam kes sebegini.

Rujukan



  1. Micromedex Drug Reference. IBM.
  2. MIMS Gateway: Sildenafil. [Internet]. Diambil pada 6 Februari 2021
  3. Duarte, J. D., Hanson, R. L. & Machado, R. F. (2013). Pharmacologic Treatments for Pulmonary Hypertension. Future Cardiology, 9(3), 335 – 349.
  4. Huang, S. A. & Lie, J. D. (2013). Phosphodiesterase-5 (PDE5) Inhibitors In the Management of Erectile Dysfunction. Pharmacy & Therapeutics, 38(7), 407 – 419.
  5. Keravis, T. & Lugnier, C. (2012). Cyclic nucleotide phosphodiesterase (PDE) isozymes as targets of the intracellular signalling network: benefits of PDE inhibitors in various diseases and perspectives for future therapeutic developments. British Journal of Pharmacology, 165(5), 1288 – 1305. doi:10.1111/j.1476-5381.2011.01729.x
  6. Murphy, M., & Demers, J. M. (2018). Oral PDE5 Inhibitors for Erectile Dysfunction. US Pharmacist, 43(6), 29 – 33.
  7. Md Isa, B. (2013). Trending of Adultration – ADR in Traditonal Medicine & Helath Supplement (TMHS) Products. Proceedings from National Regulatory Conference in Kuala Lumpur, Malaysia. [Internet].
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 5 =