Skip to content

Gusi Bernanah: Punca, Simptom dan Rawatan

Gusi bernanah bermaksud poket tisu di gusi dan gigi sekeliling mengalami jangkitan. Gusi akan dipenuhi nanah atau abses. Secara fizikalnya, kawasan sekitar gusi and gigi yang dijangkiti akan menjadi bengkak. Abses gigi terbahagi kepada tiga iaitu abses gingival/gusi, abses periodontal dan abses perikoronal. 

Punca gusi bernanah

Struktur gigi terbahagi kepada beberapa bahagian. Bahagian paling luar dipanggil enamel yang melapisi bahagian lembut dalam gigi iaitu dentin. Dentin and enamel adalah bahagian perlindungan untuk gigi kita. Di dalam dentin pula terdapat pulpa yang merangkumi saluran darah dan saraf gigi.

Pulpa akan bersambung terus ke akar gigi seterusnya menghubungkan gigi kepada tulang rahang atas dan bawah. Jangkitan boleh terjadi jika ada komunikasi antara bakteria and tisu pulpa.



Jangkitan bakteria terhadap tisu pulpa akan menyebabkan pupla mengalami keradangan. Lama-kelamaan, apabila pulpa gagal melawan jangkitan kuman, tisu pulpa di dalam gigi menjadi lemah dan mati. Selepas itu, nanah akan berkumpul di hujung akar gigi. Hasilnya, gusi akan berada dalam keadaan bernanah.

Simptom dan tanda tanda gusi bernanah

Nanah atau abses boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dan berpanjangan di kawasan yang dijangkiti. Jika anda melakukan pemeriksaan sendiri atau diperiksa secara profesional oleh doktor gigi, bengkak dan kemerahan akan kelihatan di kawasan terbabit. Simptom lain yang boleh dilihat dan dirasai termasuklah:

  • Sensitiviti terhadap makanan atau minuman yang sejuk atau panas
  • Gigi bergoyang
  • Pengeluaran nanah
  • Sakit ketika mengunyah
  • Rasa tidak menyenangkan di dalam mulut akibat pengeluaran nanah
  • Demam

Periksa Simptom anda Di Sini

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan kemungkinan anda untuk menghadapi masalah ini. Ia adalah:

  • Penjagaan kebersihan oral yang lemah
  • Merokok
  • Keadaan medikal seperti kecing manis yang tak terurus

Individu yang menghadapi sistem imuniti lemah akibat penyakit seperti kencing manis atau penggunaan ubat yang mempunyai kesan sampingan seperti corticostreroid atau rawatan kimoterapi akan mengalami peningkatan risiko dalam mendapat gusi bernanah.

Komplikasi



Terdapat beberapa komplikasi untuk keadaan ini walaupun kes sebegini jarang berlaku. Contohnya:

  • Cellulitis, iaitu jangkitan kulit dan tisu subkutaneus.
  • Ludwig’s angina, keadaan yang terjadi apabila cellulitis merebak ke dalan tisu di bawah lidah, di rahang bawah dan bawah dagu. Ia juga dikenal sebagai submandibular cellulitis atau submandibular space infection.
  • Osteomyelitis, iaitu jangkitan lapisan dalam tulang.
  • Parapharyngeal abscess, iaitu abses di belakang mulut, berdekatan dengan bahagian tekak. Ia disebabkan oleh bakteria staphylococcal dan/atau streptococcal. Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun atau ke bawah.
  • Cavernous sinus thrombosis, keadaan yang boleh berlaku apabila jangkitan merebak ke dalam saluran darah di dalam sinus kepala.
  • Sepsis – Jangkitan kuman yang telah merebak ke dalam salur darah

Keadaan-keadaan ini memerlukan perhatian perubatan yang segera dan lebih baik diperiksa melalui bahagian kecemasan hospital.

Cara untuk mengelakkan gusi bernanah

Selalunya gusi bernanah adalah disebabkan oleh karies gigi atau penyakit gusi yang membolehkan bakteria memasuki pulpa gigi yang terdedah atau poket gusi maka barisan pertama pencegahan adalah mencegah karies dan penyakit gusi. 

Terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan untuk mengelakkan masalah ini berlaku. Perkara tersebut termasuklah menjaga kebersihan gigi yang baik dan:

  • Memberus gigi dua kali sehari.
  • Menggunakan flos gigi untuk membersihkan antara celah gigi setiap hari.
  • Menggunakan ubat kumur mulut.
  • Mengamalkan diet yang sihat iaitu kurangkan pengunaan gula, terutama sekali mengurangkan atau mengelakkan minuman bergula.
  • Berhenti merokok.

Rawatan Gusi Bernanah

Jika anda mempunyai simptom seperti dinyatakan di atas, terutama sekali jika bengkak merebak dengan cepat seperti cellulitis, sila dapatkan rawatan daripada doktor gigi.

1. Pengeluaran Nanah

Rawatan biasa yang akan dibuat untuk gusi bernanah adalah menyalir keluar nanah atau draining secepat mungkin. Ini boleh dilakukan secara bedah, oleh doktor gigi atau pakar maxillofasial. Pakar mungkin melakukan insisi pada gusi atau mengerudi lubang pada gigi untuk mengeluarkan nanah.

Selepas nanah dikeluarkan, kawasan tersebut akan dibersihkan. Jika abses periapikal, kesemua tisu pulpa yang mati akan dibuang untuk mengelakkan jangkitan berulang. Untuk abses periodontal, pembersihan dalam gigi terutamanya gusi dan akar akan dilakukan.



2. Rawatan Akar

Rawatan akar adalah rawatan standard pergeluaran tisu pulpa untuk kes di mana gigi akan disimpan dan tidak dicabut. Rawatan akar mungkin dibuat jika ada kes ‘perio-endo lesion’. Pilihan lain termasuklah mencabut gigi tersebut.

3. Ubat Tahan Sakit

Kerana abses atau nanah mengakibatkan kesakitan, maka pesakit boleh mengambil ubat tahan sakit untuk mengurangkan rasa sakit tersebut. Ubat tahan sakit yang selalu diberikan kepada pesakit adalah paracetamol

4. Antibiotik

Jika jangkitan telah menjadi teruk atau merebak, atau nanah tidak dapat dikeluarkan, antibiotik akan diberi untuk mengawal jangkitan. Contoh ubat antibiotik adalah:

  • Amoxicillin, secara sendiri atau digabung bersama clavulanate
  • Azithromycin
  • Metronidazole
  • Cefoxitin

Jika pesakit allergik kepada amoxicilin atau penicillin, clindamycin boleh digunakan. Antibiotik sahaja tidak boleh menembusi nanah dengan baik, maka nanah perlu dibuang secara pembedahan.

Cara yang terbaik adalah mendapatkan rawatan awal, bukan sahaja untuk sebab kesihatan tetapi untuk prognosis yang lebih baik. Gusi bernanah boleh merosakkan tisu gusi yang memegang gigi tersebut pada tempatnya dan menyebabkan pesakit akan kehilangan gigi.



Masalah Gigi dan Gusi yang lain:

Gigi BerlubangGigi Ngilu
Gigi KuningGigi Goyang
Gigi TercabutGigi Rapuh
Sakit GigiGigi Rongak
Karies GigiGigi Hitam
Plak GigiGigi Jarang
Gusi HitamGusi Bernanah
Gusi BengkakGusi Berdarah
Gigi BongsuGigi Berlapis
Gigi Jongang

Periksa Simptom anda Di Sini

Rujukan:

  1. Dental Abscess. American Dental Association.
  2. Periodontal Abscess. Portal Myhealth
  3. Gusi Bernanah. Portal Myhealth
Advertisements

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × one =