Gusi Hitam: Punca, Rawatan dan Cara Mengelakkannya

gusi hitam

Apakah punca kepada masalah gusi hitam? Artikel ini akan menerangkan punca dan rawatan yang berkesan kepada masalah ini.

Gusi yang sihat tidak selalunya berwarna merah jambu. Seperti warna kulit, warna gusi juga mempunyai variasi di kalangan individu. Menurut kajian yang dilakukan oleh Future Dental Journal, gusi boleh berwarna dari warna cerah sehingga coklat gelap atau kehitaman. Tona kulit, tekstur dan warna berbeza kerana berlainan bangsa dan tempat.

Tompokan hitam di gusi mungkin juga terhasil akibat beberapa faktor seperti kesan sampingan ubatan atau penggunaan rokok. Gusi hitam bukanlah tanda yang pasti untuk masalah kesihatan oral, namun begitu, jika anda berminat dengan rawatan kosmetik untuk gusi yang hitam, anda boleh membuat rawatan dengan doktor gigi.

Punca gusi hitam

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan gusi hitam, termasuklah:

1. Melanin

Melanin, pigmen gelap yang memberikan kulit warna gelap, juga ada di dalam tisu gusi. Pigmen ini yang menggelapkan gusi secara semulajadi. Menurut laporan Future Dental Journal, pigmentasi melanin adalah normal di kalangan orang yang mempunyai keturunan Afrika, Asia dan Mediterranean. Variasi di dalam warna boleh wujud pada satu bahagian atau kedua-dua bahagian mulut, dan boleh menjadi sekata atau sebagai tompokan. Pigmentasi melanin di gusi adalah normal dan tiada rawatan diperlukan.

2. Merokok

Merokok boleh menyebabkan gusi berubah warna. Ini dikenali sebagai Smoker’s melanosis. Sel khas di dalam badan yang dipanggil melanocytes menghasilkan melanin. Nikotin di dalam rokok boleh menyebabkan melanocytes menghasilkan lebih banyak melanin dari kebiasaan. Gusi boleh menjadi lebih hitam atau coklat. Perubahan warna boleh terjadi seperti tompokan atau keseluruhan dalam mulut.

3. Ubat-ubatan

Menurut Future Dental Journal, ubatan seperti chloroquine, quinine, minocycline, zidovudine, chlorpromazine, ketoconazole, bleomycin, cyclophosphamide dan sebagainya diketahui menyebabkan pigmentasi melanin. Contohnya adalah minocycline yang digunakan untuk merawat masalah jerawat dan jangkitan seperti chlamydia. Kesan sampingan minocycline adalah pigmentasi atau perubahan warna yang boleh terjadi di dalam mulut. Anda boleh berhubung dengan doktor anda mengenai apa-apa perubahan warna yang disebabkan oleh ubatan, kerana ubat alternatif mungkin tersedia.

4. Amalgam tattoo

Amalgam tattoo atau tatu amalgam boleh terjadi di mana-mana sahaja di dalam mulut tetapi selalunya muncul di sebelah tampalan gigi. Amalgam adalah campuran besi yang digunakan untuk membuat tampalan gigi. Rupanya seperti tompokan hitam atau kelabu. Jika semasa tampalan dijalankan, peletakan tidak sengaja amalgam ke tisu gusi atau partikel amalgam terlucut, ia boleh muncul di bawah tisu gusi dan menghasilkan tatu amalgam. Tiada rawatan selalunya diperlukan untuk tatu amalgam kerana ianya tidak membawa sebarang risiko kesihatan.

5. Oral melanoacanthoma

Oral melanoacanthoma adalah keadaan jarang berlaku yang menyebabkan tompokan gelap muncul di tempat berbeza di dalam mulut, termasuklah gusi. Sebab terjadinya keadaan ini tidak diketahui, tetapi mungkin dikaitkan dengan kecederaan atau geseran di dalam mulut. Tompokan ini tidak berbahaya dan selalu terjadi kepada golongan muda.

6. Addison’s disease

Addison’s disease memberi kesan kepada adrenal gland atau kelenjar adrenal, yang menghasilkan pelbagai jenis hormon. Keadaan ini menghentikan kelenjar ini dari menghasilkan hormon secukupnya. Apabila penyakit ini berkembang, seseorang boleh menghadapi gusi dan bibir yang kehitaman ataupun hyperpigmentasi. Selain mulut, Addison’s disease boleh menyebabkan tompok hitam di bahagian badan yang lain. Penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang serius jika tidak dirawat.

7. Kanser oral

Kanser di dalam mulut juga boleh menyebabkan gusi hitam. Simptom lain yang dikaitkan dengan kanser oral termasuklah luka terbuka, pendarahan tidak normal dan bengkak di mulut. Tompokan hitam di gusi boleh terjadi akibat salah satu jenis kanser oral seperti malignant melanoma atau kaposi’s sarcoma.

Rawatan

Gusi hitam selalunya tidak memerlukan rawatan, tetapi untuk individu yang berminat dengan penyelesaian kosmetik, terdapat beberapa pilihan sedia ada. Selepas memeriksa gusi anda, doktor gigi akan mengesyorkan rawatan yang sesuai untuk situasi anda.

1. Membuang tisu gusi dengan skalpel

Ini adalah salah satu pilihan pembedahan. Hasil awal prosedur ini adalah bagus, tetapi selalunya tidak bertahan lama kerana melanocyte akan berhijrah ke kawasan rawatan dan menghasilkan lebih banyak pigmentasi.

2. Cryosurgery

Melibatkan pembekuan tisu gusi yang terlibat. Kajian dari International Journal of Health Sciences melaporkan bahawa kadar terjadi semula selepas cryosurgery adalah rendah.

3. Gingival grafting

Rawatan ini melibatkan pengambilan tisu yang tiada pigmen dari atap mulut dan meletakkan di gusi. Ini akan menyembunyikan gusi dan tidak membuangnya.

4. Rawatan laser

Dikenali sebagai antara teknik yang efektif, menyenangkan dan boleh diharap. Sementara itu, ia juga membenarkan medan operasi yang bersih dan kering serta hasil yang stabil. Lampu laser juga boleh menutup hujung saraf bebas.

Cara mengelakkan Gusi Hitam

Selalunya gusi hitam tidak dapat dielakkan jika anda mewarisinya dari segi keturunan, namun bagi yang lain, terdapat beberapa cara untuk mengelakkan gusi hitam, antaranya seperti:

  1. Berhenti merokok
  2. Selalu membuat pemeriksaan gigi dengan doktor gigi
  3. Mengamalkan penjagaan oral yang baik
  4. Menjaga pemakanan dan diet
  5. Membuat konsultasi dengan doktor mengenai pengambilan ubat

Rujukan

  1. Gingival pigmentation (cause, treatment and histological preview). Future Dental Journal.
  2. What Causes Black Gums?. Colgate.
  3. What causes black gums?. Medical News Today.

Luqman Rasidi

Mohamad Luqman Hakim bin Mohamad Rasidi merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian, Universiti Teknologi MARA. Beliau pernah dianugerahkan tempat ke-2 Poster Presentation dan tempat ke-3 ERP Best Research UiTM Dental Students' Scientific Symposium 2020. Penglibatan beliau dalam The Diagnosa sebagai penulis adalah merupakan satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

Kumpulan artikel-artikel Luqman di SINI

Kenali Luqman melalui profil beliau di SINI

Artikel berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 + 1 =