Skip to content

Jangkitan Paru-paru: Punca, Simptom dan Rawatan

Jangkitan paru paru merupakan salah satu penyakit yang selalu dihadapi oleh kanak-kanak. Penyakit ini kerap kali menyebabkan seseorang kanak- kanak ataupun orang dewasa itu dimasukkan ke dalam hospital.

Pengenalan

Dalam istilah perubatan, masalah ini dikenali sebagai pneumonia dan jangkitan ini sering berlaku di dalam masyarakat bahkan ia menjadi salah satu punca kematian di dalam komuniti.

Masalah ini akan menyebabkan struktur alveoli yang berfungsi sebagai kawasan pertukaran gas oksigen mengalami keradangan. Keradangan tersebut pula akan menyebabkan cecair dihasilkan dan terkumpul di dalam alveoli tersebut. Ini akan menyebabkan pertukaran oksigen di kawasan tersebut terganggu.

Alveoli merupakan struktur seperti kantung yang terletak pada paru-paru. Ia berfungsi untuk pertukaran oksigen dengan darah

Perbezaan di antara alveolus normal dan juga alveolus yang dijangkiti kuman


Semakin besar kawasan jangkitan kuman tersebut, semakin besar kawasan yang mengalami masalah pertukaran oksigen. Jika ia terlalu teruk, pesakit akan mengalami masalah sesak nafas disebabkan kekurangan oksigen di dalam badan.


Simptom Jangkitan Paru-paru

Pesakit yang mempunyai masalah ini akan mengalami kekurangan oksigen di dalam badan. Ini adalah disebabkan keradangan yang berlaku pada bahagian alveoli menyebabkan terhasilnya cecair di dalam alveoli tersebut. Perkara ini akan menyebabkan pertukaran oksigen di kawasan tersebut terganggu.

Oleh itu, pesakit akan mengalami beberapa simptom dan tanda-tanda jika mengalami masalah ini. Ia adalah:

  • Sesak nafas ataupun bernafas laju. Ia adalah disebabkan pesakit tersebuit sedang mengalami kekerungan oksigen di dalam badan
  • Batuk yang teruk
  • Demam yang tinggi
  • Sakit dada. Ini disebabkan batuk yang terlalu kerap menyebabkan otot dikawasan dada tercedera dan menyebabkan rasa sakit ketika batuk ataupun ketika tarik nafas.

jangkitan paru paru

Punca Jangkitan Paru-paru

Terdapat beberapa jenis jangkitan kuman yang boleh menyebabkan masalah pneumonia. Ia boleh disebabkan jangkitan bakteria, virus, dan juga kulat.

1. Jangkitan Bakteria

Beberapa jenis bakteria yang boleh menyebabkan penyakit ini berlaku adalah:

  • Streptococcus pneumoniae
  • Haemophilus influenza
  • Chlamydia pneumoniae
  • Mycoplasma pneumoniae
  • Dan beberapa jenis bakteria yang lain

2. Jangkitan Virus

Terdapat beberapa jenis virus yang boleh menyebabkan masalah ini. Ia adalah:

  • Adenovirus
  • Rhinovirus
  • Coxsackievirus
  • Virus Influenza
  • Coronavirus(MERS-CoV)

Pada tahun 2020 ini, jangkitan virus yang menyebabkan wabak yang teruk adalah virus COVID-19. Terdapat virus lain juga yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang teruk seperti SARS, MERS, influenza dan lain-lain lagi.

Jenis Jangkitan Paru-paru

Bagi pembacaan yang lebih, pneumonia ini boleh dibahagikan kepada pembahagian yang lain iaitu jangkitan yang berlaku di dalam komuniti sahaja(Community Acquired Pneumonia). dan jangkitan kuman paru-paru yang berlaku di dalam hospital (Hospital Acquired Pneumonia).

Bagi masalah jangkitan yang berasal daripada komuniti(Community Acquired Pneumonia), ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu jangkitan yang tipikal dan yang tidak tipikal.

1. Jangkitan paru-paru tipikal

Jangkitan jenis ini adalah jangkitan kuman yang selalu berlaku di dalam komuniti dan simptom-simptom yang dialami oleh pesakit tersebut adalah jelas seperti demam, batuk dan sesak nafas. Oleh itu, untuk mengesan seseorang yang mengalami masalah ini adalah lebih mudah. Bakteria yang menyebabkan jangkitan paru-paru jenis ini adalah:

  • Streptococcus pneumoniae
  • Moraxella catarrhalis
  • Haemophilus influenza


Kajian menunjukkan majoriti daripada pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru yang teruk adalah disebabkan bakteria Streptococcus pneumoniae. Oleh disebabkan itu, saintis telah mencipta satu vaksin yang dikenali sebagai pneumococcal vaksin yang berfungsi untuk melindungi seseorang itu daripada dijangkiti kuman Strep pneumoniae. Setelah vaksin ini diperkenalkan di eropah, jumlah kematian disebabkan jangkitan paru-paru semakin merudum.

2. Jangkitan paru-paru tidak tipikal

Jangkitan jenis ini tidak selalu berlaku dan ia tidak menghasilkan simptom pneumonia yang biasa. Selalunya pesakit hanya mengadu batuk yang berpanjangan tanpa mengalami masalah sesak nafas ataupun demam yang berpanjangan.

Ada juga pesakit yang terus mengalami masalah sesak nafas tanpa mengalami simptom batuk-batuk terlebih dahulu. Mudah kata, Jangkitan paru-paru tidak tipikal ini menghasilkan simptom yang tidak seperti biasa dan terkadang pesakit itu sendiri merasakan ianya satu simptom yang biasa.

Terdapat beberapa jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan kuman jenis ini. Ianya adalah:

  • Chlamydia pneumoniae
  • Mycoplasma pneumoniae
  • Chlamydia psittaci
  • Legionella spesies

Terdapat juga beberapa jenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru jenis ini. Ia adalah:

  • Adenovirus
  • Rhinovirus
  • Coxsackievirus
  • Virus Influenza
  • Coronavirus(MERS-CoV)

Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini

Faktor Risiko

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu terdedah dengan jangkitan kuman paru-paru. Faktor tersebut adalah:

  • Bersentuhan dengan individu yang sedang mengalami jangkitan paru-paru
  • Bersentuhan dengan individu yang sedang mengalami batuk dan selsema
  • Pergi ke tempak berisiko seperti di kawasan timur tengah, baru balik haji atau umrah kerana risiko dijangkiti Kuman MersCoV
  • Melawat kandang unta ataupun meminum susu unta ketika melakukan Haji atau Umrah

Komplikasi Jangkitan Paru paru

Jarang untuk seorang yang menghadapi jangkitan paru-paru akan mengalami komplikasi. Terdapat beberapa komplikasi yang perlu diketahui oleh anda jika anda menghadapi masalah ini. Ia adalah:



  • Pembentukan nanah di dalam paru-paru(Empyema)
  • Ruang kosong terbentuk di dalam paru-paru disebabkan sel dikawasan tersebut mati dan merosakkan struktur di dalam paru-paru. Jika ujian x-ray dilakukan, akan ternampak kawasan hitam pada paru-paru seolah-olah terdapat lubang dikawasan itu.

Faktor Risiko yang Menyebabkan Komplikasi

Terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan penyakit ini menjadi lebih teruk. Jika pesakit mempunyai faktor risiko ini, maka ia lebih senang mengalami jangkitan paru-paru yang teruk

  • Limpa(spleen) yang telah dibuang. Selalunya limpa ini dibuang disebabkan seseorang itu menghidap penyakit talasemia ataupun pecah disebabkan trauma.
  • Mengalami masalah paru-paru yang kronik sebelum ini(Selalunya disebabkan hisap rokok)
  • Masalah jantung
  • Usia yang terlalu tua ataupun bayi pada awal usia
  • Jangkitan yang melibatkan satu lobar(bahagian) paru-paru

Penyakit Lain yang Berkaitan

Terdapat juga beberapa penyakit lain yang akan mempunyai simptom yang sama dengan masalah ini. Ianya amat penting bagi seorang perawat perubatan untuk membezakan penyakit-penyakit ini kerana rawatannya berbeza. Penyakit-penyakit tersebut adalah:

Sakit JantungAsma
Keradangan Paru-paru disebabkan SLEPenyakit Tibi
GERDPulmonary Fibrosis
BronkitisSarcoidosis

Ujian Pemeriksaan

Sebenarnya melalui pemeriksaan klinikal sudah boleh mengesahkan seseorang itu mengalami jangkitan paru-paru ataupun tidak. Ujian yang perlu dibuat hanyalah untuk mengesahkan diagnosa yang telah disyaki oleh doktor.

1. X-ray Dada

Ujian x-ray merupakan ujian yang paling mudah untuk mengesan seseorang sama ada mengalami jangkitan paru-paru ataupun tidak. Bagi x-ray dada yang normal, paru-paru selalunya akan kelihatan gelap. Ini kerana, di dalam x-ray, kawasan yang dipenuhi udara akan lebih gelap berbanding kawasan yang dipenuhi dengan tisu badan, tulang ataupun cecair.

Bagi pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru, kawasan paru-paru yang dijangkiti kuman akan kelihatan tompok tompok berwarna putih. Perkara ini berlaku disebabkan cecair yang terbentuk di dalam alveoli paru-paru tersebut.

2. Pembiakan bakteria daripada kahak dan darah pesakit

Bagi pesakit yang batuk terlalu lama ataupun dimasukkan ke dalam wad, sampel kahak dan darah perlulah diambil untuk melihat jenis bakteria di dalam badan pesakit tersebut. Ini penting kerana dengan mengenalpasti bakteria tersebut, jenis antibiotik yang sesuai dapat ditentukan untuk membunuh bakteria tersebut.



3. Ujian darah

Ada juga ujian darah lain yang digunakan untuk menunjukkan sama ada pesakit sedang mengalami jangkitan kuman ataupun tidak. Ujian tersebut adalah

  • Full Blood Count(FBC)|: Ujian ini akan melihat bilangan sel darah. Bagi pesakit yang mengalami jangkitan kuman, ianya penting untuk mengetahui bilangan sel darah putih. Pesakit yang mengalami jangkitan bakteria akan mempunyai bilangan sel darah putih yang lebih tinggi daripada biasa
  • C-reactive Protein(CRP); Protein jenis ini akan meningkat jika jangkitan paru-paru itu adalah jenis akut dan disebabkan jangkitan bakteria.

jangkitan paru paru

Rawatan Jangkitan Paru-paru

Bagi pesakit yang mengalami masalah ini, mereka boleh dirawat di rumah ataupun di hospital. Jika pesakit tersebut stabil dan tidak mempunyai sesak nafas, pesakit masih boleh dirawat di rumah. Tetapi jika pesakit tidak stabil ataupun usianya terlalu tua, pesakit akan dirawat di wad hospital.

Beberapa kriteria yang memerlukan rawatan di dalam hospital adalah:

  • Bayi berusia kurang daripada 1 tahun
  • Mereka yang berusia lebih daripada 65 tahun
  • Sesak nafas
  • Tidak sedarkan diri
  • Tekanan darah rendah ataupun kadar denyutan nadi yang laju
  • Kurang makan ataupun minum
  • Sakit dada yang melampau
  • Bernafas laju

Manakala rawatan untuk masalah ini pula boleh dibahagikan kepada 2 jenis. Ia adalah:

1. Rawatan Sokongan

Diberikan kepada pesakit dengan tujuan untuk memberi sokongan kepada pesakit sebelum jangkitan kuman tersebut baik dengan sepenuhnya. Rawatan sokongan yang selalunya diberikan adalah:

  • Penggunaan oksigen: Pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru ini selalunya akan mengalami sesak nafas disebabkan kandungan oksigen dalam badan yang berkurangan. Dengan penggunaan oksigen, pesakit tidak perlu bernafas dengan laju untuk meningkatkan oksigen dalam badan.
  • Pemberian air ke dalam salur darah: Pesakit juga mungkin akan kurang minum air disebabkan sesak nafas dan kurang selera makan. Oleh itu, untuk mengelakkan pesakit mengalami dehidrasi dan menyebabkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk, air diberi terus ke dalam saluran darah dan memudahkan pesakit.

2. Penggunaan antibiotik

Bagi pesakit yang stabil dan tidak teruk, pesakit boleh dirawat di rumah dan antibiotik boleh diberikan kepada pesakit. Jenis antibiotik yang diberikan kepada pesakit selalunya bernama ‘Amoxycillin’. Jika penggunaan antibiotik tersebut tidak berkesan, doktor akan memberi antibiotik yang lebih kuat seperti ‘Augmentin’.

Bagi pesakit yang tidak stabil, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad dan antibiotik akan diberikan secara suntikan. Selepas pesakit menunjukkan simptom sembuh dan sudah stabil, pesakit akan dibenarkan balik dan menghabiskan antibiotik pil/sirap dirumah.

Rujukan:

  1. Dunbar LM, Khashab MM, Kahn JB, Zadeikis N, Xiang JX, Tennenberg AM. Efficacy of 750-mg, 5-day levofloxacin in the treatment of community-acquired pneumonia caused by atypical pathogens. Curr Med Res Opin. 2004 Apr. 20(4):555-63.
  2. Musher DM, Thorner AR. Community-acquired pneumonia. N Engl J Med. 2014 Oct 23. 371 (17):1619-28
  3. Cunha BA. Swine Influenza (H1N1) Pneumonia: Clinical Considerations. Infect Dis Clin N Am. 2010. 24:203-228.
  4. Blasi F, Tarsia P. Value of short-course antimicrobial therapy in community-acquired pneumonia. Int J Antimicrob Agents. 2005 Dec. 26 Suppl 3:S148-55.
  5. Nakanishi M, Yoshida Y, Takeda N, Hirana H, Horita T, Shimizu K, et al. Significance of the progression of respiratory symptoms for predicting community-acquired pneumonia in general practice. Respirology. 2010 Aug. 15(6):969-74
Advertisements

2 thoughts on “Jangkitan Paru-paru: Punca, Simptom dan Rawatan”

  1. Tuan Dr. Apakah punca kepada batuk yang lama? Saya dah lama mengalami masalah ini lebih daripada 1 bulan. Adakah jangkitan kuman pada paru-paru adalah salah satu punca dan apa yang saya perlu buat?

    1. Batuk berpanjangan atau batuk lebih daripada 2 minggu mempunyai pelbagai punca. Saya senaraikan beberapa punca seperti:
      1. Jangkitan Tuberkulosis. Ini orang kita selalu panggil batuk kering.
      2. Jangkitan paru-paru pun boleh menyebabkan batuk yang lama
      3. Gastroesophageal reflux disease. Keadaan dimana asid dalam perut naik ke bahagian tekak
      4. Penyakit Asma
      5. Ubat Darah Tinggi. Terdapat satu jenis ubat darah tinggi yang menyebabkan batuk yang berpanjangan dan kering
      6. Resdung (allergy rhinits)
      7. Kanser paru-paru

      Kesemua masalah boleh menyebabkan batuk yang lama dan setiap satu masalah ini mempunyai cara rawatan yang berbeza. Sebagai contoh jika seseorang mengalami masalah GERD, rawatan yang diberikan selalunya ubat gastrik seperti Omeprazole untuk mengawal penghasilan asid dalam perut. Ini boleh mengelakkan asid ini naik dari perut ke bahagian tekak.

      Begitu juga penyakit asma. Rawatannya berbeza. Ia memerlukan ubat sedut jenis steroid untuk menjadikan kawalan asma pesakit lebih terkawal dan mengurangkan kekerapan serangan asma.

      Oleh itu, setiap daripada penyakit mempunyai rawatan dan simptom yang berbeza. Ini memerlukan pemeriksaan daripada doktor yang merawat. Oleh itu, dinasihatkan tuan untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik yang terdekat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 14 =