Ramai yang bertanya kenapa mak yang mengalami kencing manis ketika mengandung akan menyebabkan bayinya lebih besar daripada biasa. Sepatutnya emaklah yang berbadan besarkan sebab dia yang kena kencing manis.
Penjelasan berkenaan hal ini
Ketika seseorang wanita itu mengandung, ada sesetengah daripada mereka mengalami kerintangan insulin(insulin resistance) dimana insulin tidak dapat berfungsi dengan begitu baik.
Seperti mana yang kita tahu bahawa fungsi insulin ini adalah untuk membawa masuk gula daripada dalam darah ke dalam sel.
Jika insulin ini tidak dapat befungsi dengan normal, maka bacaan gula dalam darah akan meningkat dan menyebabkan terjadinya masalah kencing manis pada mereka yang sedang hamil.
Kenapa pula bayi jadi berat?
Apabila gula dalam darah ibu terlalu tinggi, maka gula ini akan masuk ke dalam saluran darah bayi. Bayi yang kecil ini pula masih tidak menghadapi masalah kerintangan insulin. Jadi semakin banyak insulin akan dihasilkan untuk memasukkan gula ke dalam sel badan bayi. Kiranya bayi ini pula tolong si ibu untuk kurangkan gula dalam badan si ibu.
Jadi gula yang banyak daripada ibunya tadi itu akan diserap masuk ke dalam sel pada badan bayi. Disebabkan kebanyakan gula ini tidak digunakan oleh bayi maka, maka lebihan gula tadi itu akan ditukarkan menjadi lemak dalam badan bayi.
Oleh itu, ia akan menjadikan bayi daripada ibu yang menghadapi kencing manis ini lebih besar daripada bayi lain.
Anda ada sebarang masalah kesihatan? Tanyakan soalan anda disini
Ibu yang mempunyai kawalan kencing manis yang bagus tidak akan mempunyai bayi yang besarkan?
Selalunya ibu yang mempunyai kawalan kencing manis yang bagus akan mempunyai bayi yang tidak terlampau besar.
Tetapi terdapat kemungkinan juga yang bayi tersebut masih besar. Ini kerana mereka masih menerima gula yang banyak daripada ibu.
Apakah komplikasi yang boleh dihadapi jika kawalan gula ibu tidak memuaskan?
Bayi boleh menghadapi beberapa komplikasi seperti:
- Berat badan bayi yang lebih daripada biasa
- Bayi yang besar pula boleh menyebabkan masalah ketika dalam proses kelahiran seperti tersangkut bahu dan pendarahan ibu yang teruk
- Bayi boleh mati secara tiba-tiba ketika di dalam kandungan
- Setelah bayi dilahirkan bayi boleh mengalami hypoglycemia iaitu kurang gula dalam darah. Ini boleh menyebabkan bayi kehilangan nyawa jika tidak dirawat dengan cepat
- Bayi juga boleh mengalami kecacatan seperti masalah jantung, paru-paru dan pelbagai lagi masalah.
Apakah yang perlu anda buat ketika anda mengalami kencing manis ketika mengandung?
Ada beberapa perkara yang anda perlu buat ketika anda mengandung. Perkara tersebut adalah:
- Kawal makanan anda. Jika anda membuat rawatan susulan di Klinik kesihatan kerajaan, anda selalunya akan dirujuk ke pakar pemakanan. Mereka akan mengajar anda cara atau jenis makanan yang sesuai untuk anda
- Ikut rawatan susulan dari pihak klinik. Mereka yang mengalami kencing manis akan dipantau dengan lebih kerap berbanding wanita yang lain. Kekerapan melakukan ultrasound juga akan lebih banyak untuk memantau perkembangan bayi dalam kandungan
- Anda boleh bersenam ketika mengandung. Elakkan senaman yang berisiko untuk mengakibatkan trauma pada bahagian abdomen. Beberapa senaman yang boleh dilakukan adalah berenang, berjalan laju, mengayuh dengan menggunakan mesin basikal dan beberapa senaman lain yang tidak terlalu aktif